Home Cerpen Cinta Pusara Tanpa Nama
Pusara Tanpa Nama
norita ismail
4/10/2016 21:33:58
2,316
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Biar betapa berat hati ini untuk melepaskan, akhirnya aku terpaksa juga kerana dia bukan milik ku.

“Asalamualaikum.“

“Waailaikumusalam.“

“Awak Milah kan? Jamilah Jamil, kelas 5 Perdagangan 1, tahun 82.“

“Saya.“

Tadinya, aku terpaku dengan dahi berkerut setelah begitu lama aku cuba mengingatkan siapa orang itu.

“Awak tak cam saya ka Milah? Saya Ali ...“

Di ketika itu, ada satu nama yang bermain di ingatan ku. Nama yang sekian lama aku lupakan kerana ia amat menyakitkan. Lalu aku pun tersipu-sipu malu menyembunyikan apa yang ada di dalam hati dan berkata. “Aduh, punya la slow aku ni!“

“... alah, yang awak baling telur, lepas tu kena kat saya masa sekolah dulu. Saya Ali Botak la ...“

Dan setelah dia menyebut-nyebut kisah dahulu, seketika itu juga aku buat-buat menunjuk muka seakan ingat kembali siapa kah dirinya itu.

“Ali Botak. Ooo ... ya ya, baru saya ingat.“

Dan itu kata-kata yang terkeluar dari mulut ku untuk berlindung sebalik perasaan terkejut dengan apa yang aku sedang lihat, wajah seorang lelaki yang begitu jauh berubah berbanding dulu. Dengan berjambang, berjanggut dan beruban lagi, memang patut kalau aku benar-benar lupa tadi, “Hmm, lima puluh persen berubah!“

“Milah duduk mana sekarang?“

“Shah Alam. Kerja di ITM.“ Jawab ku tanpa dipinta.

“Pensyarah la ya.“

Aku cuma mengangguk lalu kami bertukar nombor telefon dan entah kenapa, aku boleh berjanji pula akan menghubunginya nanti.

Dan hari pun berlalu, hari itu selepas makan tengah hari, aku duduk di sofa di ruang tamu seorang diri. Masa-masa beginilah kalau dapat melelapkan mata sebentar. Pergh! Nikmatnya. Apatah lagi tadinya aku berselera dengan nasi berlaukan asam pedas ikan Jenahak berulamkan petai kegemaran, “Hancur diet aku hari ni!“

Kemudian, baru saja aku cuba untuk mengingat-ingat kenangan masa sekolah dulu. Tiba-Tiba, ringtone telefon lagu lama, lagu Cinta Benar Cinta kumpulan D’Atomic Power, lagu yang sekian lama jadi pilihan nombor satu aku, berbunyi.

Bila aku lihat skrin telefon. Yang ada hanya nombor, nama pemanggil tidak keluar. “Aku memang pantang kalau ada call gaya gitu. Tak adanya la aku nak angkat.“

Setelah tiga kali missed call berturut-turut, akhirnya aku jadi cair, “Tak apalah, aku angkat call ni. Mana tahu ia panggil penting.“

“Asalamualaikum Milah.“

“Waalaikumusalam. Siapa sana yerk?“

“Ali.“

“Ooo, Ali. Ali apa khabar?“

“Baik. Kata nak call. Lama saya tunggu tapi Milah tak call pun.“

Aku terdiam sejenak dan fikiran ku ligat bermain, “ Bagaimana nama yang dulu menjadi igauan dan kemudian hingga kering air mata untuk aku lupakan, tiba-tiba hadir semula. Kalau dulu untuk aku bertentang mata pun tak mampu, inikan pula nak bersembang di telefon. “

“Esok Milah free tak?“

“Kenapa?“

“Kita lunch.“

“Insha Allah. Esok, saya telefon awak semula ya.“

Kalau ikutkan hati memang aku teringin sangat berjumpa dengannya tapi entah kenapa, sepantas itu juga timbul pula rasa malu. Atau sebenarnya aku ini malu tapi mahu.

Dan aku, sepertinya terfikir, “Bukan kah dia tu suami orang. Kenapa pulak dia nak ajak aku dating, ya?“

Di atas sofa, terngiang-ngiang kisah 10 tahun dahulu.

Ketika pagi yang masih gelap, “Malas betul nak bangun. Semalam Sabtu, sememang cuti. Kalau sambung cuti sehari lagi, bagus ni. Bosan la asyik sekolah saja.”

Lalu aku terbayang-bayang akan seronoknya kalau cuti sekolah. Dapat melepak depan rumah sambil makan rambutan. Lepas tu, main buai. Tambah pulak kalau Ani, Leha, Eton atau Anim datang main sama, "Memang seronok habis la!"

Tambah lagi, rumah aku ini dah macam balairaya, bila petang saja ramai budak kampung yang datang berkumpul, termasuklah kawan-kawan aku.

Lagi pun laman rumah aku luas. Abang aku pula ramai; lima orang dan kakak, tiga. Jadi, “Tak pernah nya rumah tu senyap, meriah memanjang!“

Sedang aku berangan-angan begitu, tiba-tiba aku tersedar, “Aiya. Baju belum gosok. Arang belum bakar lagi, pulak.“

Lalu muncul perasaan malas bila memikirkan lecehnya menggosok baju guna sterika arang tu. Kayu arang kena bakar atas dapur dulu, kemudian tunggu sampai jadi bara. Dah jadi bara, baru boleh masukkan dalam sterika. Selepas itu, baru kerja gosok menggosok boleh mula, "Kan leceh tu! "

Selalunya, malam sebelum tidur aku sudah siap menggosok baju sekolah. Tetapi malam itu aku betul-betul bercinta nak gosok. Akhirnya, aku ambil keputusan ponteng sekolah.

Bila dah ponteng, apa lagi yang aku boleh buat selain lepas saja solat Subuh aku pun sambung tidur.

Tidak berapa lama kemudian.

“Milah! Kenapa tak sekolah? “

“Malas la mak. Bukan belajar pun. Hari ni, sekolah ada sambutan Hari Guru, la!“

Emak senyap.

Aku pun sambung tidur semula. Pukul sepuluh pagi baru bangun lalu ke dapur.

“Mak... !“

Senyap.

“Mak! Ooo, mak!“

Aku berfikir sendiri, “Ke mana pulak perginya mak aku ni?“

Kemudian, aku membuka tudung saji atas meja makan, “Wah, ada bingka ubi.“ Sambil makan aku berangan-angan jadi orang bandar. Jadi orang Kuala Lumpur misalnya.

Pasal apa aku suka Kuala Lumpur? Pasal aku sering ke sana bila sekolah cuti panjang. Akak aku ada di sana. Dia kerja jadi perajurit wanita - Peranita. Dia selalu kata, “Sounang idup di bonda ni. Air dalam bosi, api dalam kaco, potik topi, tongah menyalo.“

Aku cuba bandingkan susahnya hidup di kampung. Nak guna air kena timba dulu dari perigi. Masak guna kayu. Mandi tepi kolam luar rumah. Lampu pula lampu pam minyak tanah.

Di keesokan harinya, aku hadir sekolah seperti biasa. Ali Botak sebagai ketua kelas yang jadi pembantu cikgu sedang sibuk mengambil kedatangan pelajar.

“Jamilah Jamil!“

“Saya!”

“Kenapa semalam tidak datang?“

“Demam.“ Jawab ku mudah.

“Mana surat doktor?“

“Demam sikit aje. Tak jumpa doktor pun.”

“Kalau surat tak ada. MC pun tak ada, kira ponteng, ya.“ Aku diam. “Ponteng pun ponteng lah,“ jawab ku perlahan.

Waktu rehat, aku dan geng-geng aku makan nasi lemak di belakang kantin sambil melihat beberapa pelajar lelaki bermain bola di padang.

Biasanya Ali Botak dan pelajar-pelajar yang aktif sukan akan bermain bola sekejap masa rehat. Aku pula suka sangat dengan Ali Botak, biar pun dia tidak sekacak Jamal Abdilah. Haha! Yang aku tahu, ramai juga pelajar perempuan yang menaruh hati padanya.

Kebetulan, hari itu, hari jadi Ani. Aku dan geng aku telah berpakat untuk menggenakan Ani. Kami nak baling dia dengan telur tembelang. Hmm.

Dari hujung padang, aku lihat Ani berjalan seorang ke arah kami berkumpul. Setelah Ani cukup dekat, aku pun keluarkan telur dari beg perlahan-lahan dan aku...

Shuup!!!

Aku hanya mendengar seseorang menjerit, “Aduh, busuknya!“

Apa yang terjadi..., aku tak berapa pasti. Aku syak, ketika telur yang aku baling terbang laju ke arah Ani, dia tiba-tiba tunduk membetulkan tali kasutnya.

Dan Ali Botak yang menggejar bola arah kami tidak nampak sebutir telur tembelang terbang melayang dan singgah tepat ke dadanya.

Dan apa yang terjadi selepas itu? Aku hanya boleh cerita yang aku..., menanggung akibatnya.

Aku menghampiri Ali, “Ali, aku minta maaf. Aku tak berniat nak baling telur tu pada kau. Aku nak kenakan Ani. Hari ini hari jadi dia. Maafkan aku Ali.“

Nasib baik hari itu, Ali memakai pakaian sukan dan penangan telur tembelang itu? Jawabnya seminggu baunya tidak akan hilang.

“Boleh! Saya boleh maafkan dengan syarat awak basuhkan baju saya ni.“

“Okey, tak ada hal. Tapi jangan kau cakap dengan cikgu disiplin pulak lepas ni.“

Selepas itu, segalanya berjalan seperti biasa hingga pada hari aku menyerahkan semula bajunya.

“Terima kasih, Milah.“

“Sama-sama.“

“Lain kali awak baling la telur lagi ya. Boleh la awak basuhkan lagi sekali baju saya ni.“

“Baik. Esok saya bawa sepuluh biji telur tembelang lagi. Khas untuk awak.“

“Boleh. Janji saya dapat jumpa awak selalu.“

Dan ketika itu, aku tersenyum, “Ah, pandai bergurau pulak si mamat ni.“

Sejak itu, aku dan Ali sering bertemu. Kadang di kantin, kadang tu di perpustakaan selalunya sewaktu pulang sekolah. Dan kami semakin akrab.

Mulanya hanya sahabat dan lama-lama berputik pula rasa kasih di hati lalu menjadi bunga-bunga cinta-Cinta Monyet. Hari yang berlaku, kami seperti belangkas. Berjanji sehidup semati. Ada kalanyà merajuk, cemburu dan bahagia. Kononnya tak boleh hidup jika ditinggalkan.

Di hari, aku menyambut ulang tahun ke 17, Ali hadiahkan seutas jam tangan. Walaupun cuma jam jenama biasa tapi itu sudah cukup bererti bagiku. Bahagianya saat itu. Terlalu indah untuk dikenang.

Setahun aku memadu kasih. Selepas keputusan SPM diumumkan, Ali dapat keputusan cemerlang. Ali dapat pangkat satu dengan 10 aggregate. Matematik dan Perdangangan dapat 1P. Dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di ITM Segamat buat Diploma Perakaunan. “Hmm. Budak bijak la katakan.“

Dan aku, “... pangkat 1 juga tapi aggregate 20 lebih sikit. Mohon kursus lain, dapat panggilan temuduga buat Pra Diploma Perdagangan dan tempat ... ITM Segamat juga. Dah jodoh. Hihi.“

Kami daftar sama-sama, balik kampung sama. Ali ada jadi kuatlah aku. Aku boleh jumpa selalu dan jadilah cinta kami umpama cintanya Laila dan Majnun. Cinta hikayat yang penuh dengan bulan dan bintang di langit. Kami habiskan masa bersama demi cinta dan cita-cita.

Kami berlumba untuk dapat dean list di setiap semester. Cuba score gpa sekurang-kurangnya 3.5 point and above dan maintain first class cgpa

Walaupun kami berlainan course, namun kami saling membantu. Aku impikan nantinya kami akan menyarung jubah di majlis konvokesyen yang sama.

Masa yang berlalu, sedar tak sedar, kami sudah berada di tahun akhir. Aku harapkan kami sama-sama berjaya dan mengakhiri cerita cinta kami di jinjang pelamin.

Panas yang ku harap hingga ke petang, rupa-rupanya hujan yang turun di tengah hari. Sama sekali aku tidak menduga , Ali tiba-tiba berubah. Cintanya beralih arah kepada si freshie yang baru dia kenal. Lalu dia terus memutuskan hubungan dengan alasan tiada lagi sefahaman dengan ku.

“Mudahnya kau pergi setelah sekian lama kau bertapak di hati ini. Aduh sakitnya hati ku bagai tertusuk sembilu.“

Lalu merana. Kecewa. Duka lara lah aku ... hingga makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena.

Dengan kepayahan aku menamatkan semester akhir ku tanpa dean list. Akhirnya, result ku cukup-cukup makan saja.

Luka ditinggalkan begitu parah hingga berat badan ku menyusut dengan banyaknya. Aku sering termenung mengenang nasib diri, mencari di mana silap hingga ditinggal pergi. Airmata jadi peneman. Aku hampir hilang arah hingga terasa bagai ingin mati saja

Namun aku masih waras. Akhirnya dengan kepayahan aku bangkit semula aku menerima takdir yang Maha Esa. Aku bangun di tengah malam bertahajud dan memohon pada Allah agar aku menjadi manusia yang bersabar dalam menempuh kehidupan di alam maya ini.

Benarlah janji Allah. Orang yang bersabar akan menikmati buah kesabaran yang manis. Aku redha jika itu ketentuan Tuhan. Aku juga redha Ali bukan jodoh ku.

Aku memohon untuk menyambung peringkat degree di ITM Shah Alam dan yang dengar, Ali terus bekerja sebagai Akautan di syarikat ayah kekasihnya.

Aku tidak ingin menoleh ke belakang lagi. Biar aku gagal dalam bercinta tapi aku tidak ingin gagal dalam hidip. Hidup mesti diteruskan. Aku mesti berjaya dengan apa yang aku cita- citakan

Aku meneruskan pengajian ku. Biar sesukar mana pun aku akan hadapi jua. Cinta bagi ku sudah tidak perlu lagi.

Biar aku terus hidup sendiri begini sampai bila-bila. Jika jodoh aku ada, ada lah. Jika tidak , aku redha dan anggap itu takdir Illahi..

Dan hari ini, kemunculan Ali menggugat kewarasan aku. Aku cuba melawan untuk melupakannya namun aku jadi perindu. Aku cuba membenci tapi aku teringin sangat bertemunya.

“Aah, kenapa kau hadir dalam hidup aku, Ali? Mengapa di saat nama mu telah jadi sejarah, tiba-tiba kau menjelma lagi. Kini, kau buat hati ku jadi tidak karuan. Ditelan mati emak diluah mati bapak.“

Kali ini aku harus nekad untuk tidak membalas dendam cuma aku mahu Ali membayar balik setiap luka yang pernah dia tinggalkan, membayar balik setiap parut-parut yang pernah ditoreh sehingga meninggalkan kesan pada kehidupan aku ini. Menghilangkan rasa cinta ku pada kaum adam, menghilangkan rasa percaya dan kasih sayang.

Setelah sekian lama aku mengusir kenangan, kini dia dàtang kembali. Lalu linangan air mata yang selama ini aku bendung tiba-tiba mengalir lesu menyambut kedatangan Ali.

Esok, aku akan bertemu Ali. Aku mahu bertemunya di Tasik Shah Alam yang bersebelahan dengan masjid supaya bila waktu Zuhur nanti mudah bagi ku untuk solat.

Pukul sebelas pagi aku menanti, "Ah, Ali. Terasa aku seperti gadis muda belia yang baru nak belajar dating pula rasanya."

“Assalamualaikum Milah.“

Aduhai, gemersiknya suara itu. Suara yang aku rindui dan ternanti-nanti untuk aku dengar. Suara yang menggetarkan jantung ku berdegup kencang

“Walaikumusalam.“

“Apa khabar Milah.“

“Khabar baik.“

“Dah lama Milah sampai?“

“Sepuluh minit. Anak isteri Ali apa khabar?“

“Alhamdulillah baik semuanya.“

“Dia tahu Ali jumpa saya?“

Ali terdiam. Aku pun turut terdiam sama. Dalam fikiran ku mungkin isterinya tak tahu dia jumpa kekasih lamanya. Kalau isterinya tahu, habis berantakan rumahtangganya. Perempuan mana boleh terima kalau suami menagih cinta lama.

“Ada apa Ali beriya-iya nak jumpa saya?“

“Saja jer Milah. Nak tanya khabar.“

Aku bungkam. Sungguh kejam lelaki ini. Dulu dia tinggalkan aku. Kini dia datang lagi biar luka lama berdarah kembali.

Aku cuba mulakan bicara, biarpun sukar.

“Ali ... saya minta maaf. Saya tak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengan Ali walaupun hanya sekadar sahabat. Saya dah lama lupakan dan buang kenangan kita jauh-jauh. Biarpun nama Ali telah terpahat di hati saya ini tapi itu tiga puluh tahun dahulu. Bukan Ali yang sekarang.“

“Milah, maafkan saya. Saya rasa sangat bersalah bila dapat tahu sampai hari ini Milah belum ada pengganti lagi. Maafkan saya Milah."

"Ya, saya memang tidak dapat mencari pengganti awak. Saya memang tidak dapat memadam cinta saya pada awak. Nama awak adalah nama terakhir untuk cinta saya. apa yang awak buat pada saya telah menghilangkan rasa percaya dan rasa cinta saya pada kaum adam.

“Maafkan saya Milah.”

"Kenapa baru sekarang awak nak memohon maaf dari saya. Sebelum ini, adakah saya terlalu hina untuk awak temui dan pohon kemaafan. Kenapa setelah saya bunuh segala rasa sayang dan cinta saya buat awak. Tahu tak betapa terseksanya saya waktu menanti kemaafan awak, Ali?”

“Milah, jika awak sudi, mari bina semula istana impian kita jika itu yang dapat membuat awak maafkan saya.”

“Saya telah lama maafkan awak, Ali. Tapi untuk terima awak semula, itu amat mustahil.”

“Tapi saya masih cintakan Milah.”

“Untuk apa cinta di usia senja ini, Ali? Cinta yang boleh menghilangkan rasa cinta dan hormat anak- anak dan perempuan yang melahirkan zuriat awak. Saya tidak perlukan sesiapa lagi dalam hidup saya. Cukuplah Allah tempat untuk saya curahkan rasa cinta yang ada ini.”

Ketika itu, aku lihat ada manik-manik mutiara jernih keluar dari kelopak matanya. Ingin sekali aku kutip dan simpan jadi kenangan tapi apakan daya. “Siapalah aku di sisi mu, Ali.” Keluh ku perlahan.

“Ali, saya bagi peluang awak sehingga azan bergema di masjid itu. Dengan masa yang ada ini, anggaplah saya ini kekasih awak. Dan selepas itu, kita akan berpisah untuk selamanya.

Kita jangan bertemu waima bersahabat sekalipun. Biarlah saya simpan kemas-kemas cinta awak di dalam hati saya selamanya. Biarlah kenangan indah kita dulu tetap tersimpul mati hingga ke hujung nyawa. Selagi azan belum bergema awak lah kekasih saya. Bila azan bergema, anggaplah kita seperti tidak pernah kenal.”

Ali tunduk. Air matanya makin laju mengalir. Aku tidak mampu lagi memandang wajah Ali kerana air mata ku sendiri berjurai-jurai. Sapu tangan ku turut basah dengan air mata ku.

“Ali, tidak kah di pertemuan akhir ini awak mahu membahagikan saya?”

“Ya, saya mahu Milah. Jika itu dapat menebus segala dosa saya pada Milah.”

“Baiklah Ali, mari kita bercerita, bercinta dan berkasih sayang sehingga azan berkumandang. Sekarang masih 11.50. Kita ada masa satu jam lebih untuk bersama. Kita lupakan masalah kita sebentar.”

Kami bercerita bagai tiada apa-apa yang terjadi sebelum ini. Cerita tentang hati dan perasaan. Cerita tentang masa depan dan janji-janji indah-indah.

Dua jam kami habiskan masa bersama sambil melihat anak-anak ikan bermain di tasik. Kami bergelak ketawa dan bergurau senda.

Hati ku berkata, "Buruknya bila orang tua bercinta."

Pengunjung yang lalu lalang di situ tidak peduli pun tingkah kami, yalah kami dah tua, mungkin mereka fikir kami pasangan suami isteri yang rumahtangga kami sedang dilanda sengketa. Berbincang adalah jalan penyelesaiannya.

Dan bila saja azan bergema, hati ku jadi pilu. Ali terdiam. Aku tenung wajahnya lama-lama. “Kenapa begitu sukar sekali untuk aku melupakan cinta mu?”

Untuk kali terakhir di pertemuan itu, aku menghulurkan tangan tanda salam perpisahan. Ali sambut lalu ku cium tangan lelaki yang suatu masa dulu pernah ku impikan menjadi calon suami. "

Basah tangan Ali dengan air mata ku. Dia memegang kepala ku yang bertudung. Laungan azan semakin ke penghujung. Aku menarik tangan ku dari gengamannya.

Perlahan-lahan aku tinggalkan Ali menuju ke kereta. Ali hanya mampu memandang ku dengan kelobak matanya yang layu.

Dan akan aku kotakan janjiku, "Selamat tinggal Ali. Selamat tinggal wahai cinta."

Aku berjalan menuju Masjid Shah Alam yang tersergam indah itu. Selepas solat, aku memohon ampun dari Allah kerana bersentuhan tangan dengan seorang lelaki yang bukan mahram ku, tadi. Aku bertaubat nasuha dan berdoa semoga mampu melupakan Ali buat selama-lamanya. Lalu aku bertekad untuk mengkuburkan namanya, di PUSARA TANPA NAMA.

Tamat...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh norita ismail