1,934
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
My Princess


“PRINCESS!”

Terkejut beruk aku dibuatnya apabila disergah dari belakang. Aku ketika itu masih ralit menaip manuskrip di lappy sungguh tidak menjangkakan kedatangan Darish yang secara tiba-tiba. Salam pun tidak diberi. Main terjah saja.

Dengan wajah cemberut aku menutup software Microsoft word. Perhatianku beralih pada Darish yang sudah menarik kerusi, duduk di hadapanku. 

“Princess buat apa?” Darish menayangkan senyuman. Aku tunjuk penumbuk. Tidak suka dengan gelaran princess yang digunakan olehnya. Sejak pertemuan pertama kali aku dengannya, dia memang tidak memanggilku dengan nama sebaliknya menggunakan panggilan princess. Entah apa yang menarik tentang diriku yang menyebabkan dia memanggilku dengan gelaran itu. Apa dia ingat aku ini anak perempuan yang manja? Atau puteri raja? Apabila aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku terhadapnya, dia beralah. Tidak akan memanggil aku dengan gelaran itu lagi. Namun nampaknya dia sudah lupa dengan janjinya. Gelaran itu masih meniti di bibirnya. 

“Abang Rish nak apa?” Wajah aku masih masam. Bibir ini susah benar hendak senyum di hadapan Darish. Bukannya aku tidak kenal perangai dia. Sekali tidak membuli aku memang tidak sah.

“Princess, boleh tak senyum? Senyum kan sedekah… Tak nak bersedekah dengan Abang Rish ke?” 

Aku mempamerkan senyuman yang dibuat-buat. Hampir saja pipiku menjadi mangsa cubitan Darish jika aku tidak mengelak. Tetapi aku tahu dia main-main saja.

“Mana boleh sentuh bukan mahram,” aku mengingatkan Darish dengan wajah tidak puas hati. Dia menyambut kata-kataku dengan tawa. Entah apa yang menarik hatinya, aku tidak nampak kelucuan pada kata-kataku.

“Princess kau ni comel la…” Darish mengerling Hairiz yang sedang membasuh keretanya. Hairiz tersengih. “Kau baru tahu ke adik aku ni comel?” Dia meledakkan tawa. Bangga apabila adiknya dipuji oleh kawannya itu.

Tawa Darish akhirnya reda. Dia kembali memandangku dengan wajah manisnya. Aku angkat kening. 

“Abang Rish ada benda nak kasi dekat Umai. Umai nak tak?”

Aku tercengang. Lelaki ini, dia selalu sahaja memberikan sesuatu untukku. Bulan lepas dia sudah memberikan aku set pin tudung. Kali ini apa pula? Dia berkawan rapat dengan abang aku tetapi hadiah selalu diberikan kepadaku. Kadang-kadang aku pening sendiri. Aku atau abang aku kawan dia sebenarnya?

“Abang Rish, Umai ni siapa nak terima barang dari Abang Rish? Kenapa tak bagi dekat along aja?”

Darish ketawa sekali lagi. “Takkan lelaki nak pakai shawl pula?” Ketawanya disambut oleh Hairiz. 

“Shawl?”

“Iya. Shawl yang pakai dekat kepala. Lelaki mana boleh pakai shawl. Nanti abang kesayangan princess diminati lelaki lain, tak ke naya.”

“Rish, aku straight!” Beria-ia Hairiz mengatakan bahawa dia tidak ‘bengkok’.

Darish angguk. “Iya, aku tahulah. Gurau ajalah,” sahutnya bersahaja.

Aku berura-ura hendak menolak. Namun dia seolah-olah memahami apa yang aku fikirkan lalu sebuah bungkusan berbalut kemas ditolak ke arahku.

“Abang Rish bagi ni tak minta balasan pun. Ikhlas untuk princess.”

Aku hanya memandang bungkusan itu. Tidak berani untuk menerimanya. Tidak berani juga untuk menyentuhnya.

“Kenapa? Umai tak suka?” Darish meneka. Laju aku menggelengkan kepala. Bukan tidak suka, tetapi aku segan. Kenapa dia selalu melebihkan aku dalam segala hal? Aku tahu dia tidak punya adik-beradik yang lain. Dia seorang sahaja. Membesar di rumah anak yatim tanpa tidak tahu siapa dirinya yang sebenar. Namun itu bukan satu alasan untuk dia memberatkan hidupnya dengan memberi perhatian kepadaku. Memanglah dia kawan kepada Hairiz tetapi aku dengan dia bukanlah berada dalam satu hubungan yang istimewa.

Darish perasan wajah kurang senangku. Bibirnya tetap mengukir senyuman. 

“Umai, ini hadiah aja pun. Tak ada bawa maksud apa-apa. Abang Rish kan selalu buli Umai jadi Abang Rish nak tebus salah dengan bagi hadiah. Umai pun mesti tak suka kalau Abang Rish selalu buli Umai kan? Jadi, why not Umai terima hadiah ni sebagai balasan yang Abang Rish takkan ganggu Umai lagi?”

“Bukan rasuah?” Aku mengecilkan pelupuk mataku, tidak percaya dengan kata-katanya. Memang dia selalu buli aku namun aku perasan dia selalu memujukku setelah membuli aku. Aku tidak mengerti kenapa dia bersikap sebegitu.

“Abang Rish nak cium syurga Allah. Tak main rasuah ni. Apa faedahnya? Abang Rish dah tak nak buli Umai dah.” Darish menafikan. Nampak benar dia ikhlas.

“Lepas ni Abang Rish akan buli Umai balik kan?” Sungguh aku tak percaya dengan kata-katanya. Hari ini dia cakap dia sudah tidak mahu membuliku. Esoknya mulalah trick dia nak kenakan aku balik.

Meledak ketawa Darish. “Siapa lagi yang berani nak buli princess? Abang Rish aja yang berani.” 

“Kalau macam ni aku pun nak jadi princess, Rish. Kau buli aku lepas tu bagi aku hadiah. Aku nak kereta sebuah. Boleh?” Hairiz menyampuk ketika menghala langkahnya ke arahku. Dia melabuhkan punggung di sebelahku.

“Banyaklah kau nak jadi princess. Dengan muscle tu, nak pakai gaun macam mana?” Darish mengenakan kawannya.

“Untunglah adik aku ni. Ada prince charming yang jaga dia….” Hairiz berkata separa berbisik. Aku menjeling tajam. Perangai abang aku dengan kawan dia ini sama saja.

“Orang dah bagi, ambil ajalah. Nanti bila Rish dah tak datang sini, Umai teringat dekat dia pula. At least ada kenangan.” 

Kata-kata Hairiz menyentakku. Apa maksudnya? Darish tidak akan datang lagi? Dia mahu berhijrah?

“Apa maksud along?” Aku pandang Hairiz kemudian mengalihkan mataku ke arah Darish. Menantikan penjelasan.

“Sebenarnya macam ni….” Darish menarik nafas panjang sebelum menghelanya. “Tak lama lagi Abang Rish akan berhijrah ke England. Family Abang Rish sedang tunggu Abang Rish kat sana.”

Aku tergamam. “Abang Rish cakap abang tak tahu siapa keluarga abang.” Suaraku berubah serak.

“Memang abang tak tahu tapi bulan lepas abang dapat tahu semuanya. Atuk abang sendiri datang jumpa abang.”

Bibirku bergetar. Ini bermakna Darish datang menemuiku untuk kali terakhir? Aku gembira mungkin kerana tiada pembuli namun aku pastinya akan merindui kenakalannya. Aku gelengkan kepala. Tidak. Aku tidak boleh pentingkan diri sendiri. Aku sepatutnya memikirkan kebahagiaannya. Selama ini keluarga dia hanyalah keluarga aku. Sudah tiba masanya dia kembali ke pangkuan keluarga sebenar.

“Jadi, bila Abang Rish akan bertolak?” Aku menahan sebak. Menyedari wajah suramku, Hairiz memaut bahuku. Aku mengalihkan wajah. Dia senyum. Mungkin dia ingin menyalurkan aku kekuatan. Namun bagi aku kekuatan aku sudah mula pudar.

“Lagi dua minggu.”

Aku terangguk-angguk. “Akhirnya Abang Rish dah jumpa keluarga sebenar abang. Lepas ni hidup Umai dah kembali kepada asalnya. Tak ada lagi pembuli Umai.” Aku bersuara lirih.

“Umai, Umai okey ke dengan keputusan abang?” Darish cuba bertanya. Aku mengangguk. Siapa aku untuk menghalangnya?

“Rish, aku ada benda nak buat kat dalam. Kau cakaplah dengan adik aku ni.”  Hairiz beredar dari situ bagi memberikan ruang untuk kedua-duanya.

“Abang Rish dah jumpa keluarga sebenar abang. Abang Rish sepatutnya bahagia. Takkanlah Umai nak halang abang?” Aku menyembunyikan rasa sebak yang bertandang walaupun aku kira Darish sudah menyedarinya.

“Kalau Umai tak nak abang pergi, abang takkan pergi.” 

Aku tersentak. Lalu kupandang wajahnya. Apakah lelaki ini sedang bergurau di depanku? Perkara itu bukan perkara yang remeh.

“Abang Rish, bukan ini ke yang abang nak? Your real family. Takkan abang dah lupa? Jangankan kerana Umai, abang nak tolak semua tu. Keluarga abang tengah tunggu abang. Abang nak hampakan dia orang?”

Darish mengeluh berat. “Tapi bagi abang, keluarga sebenar abang adalah keluarga Umai.” Dia mengangkat wajah, merenung anak mataku. “Kalau Umai tak nak abang pergi, abang takkan pergi. I will stay.”

“Abang Rish bergurau?” Aku ketawa perlahan. Bagiku, dia hanya bergurau sahaja. Namun, dia menidakkan. “Abang serius ni!” Nada suaranya kedengaran tegas membuatkan aku kematian kata seketika.

“Abang Rish jangan bergurau. Ini soal….”

“Kalau cinta abang ada kat sini, kenapa abang harus pergi?” 

Cinta? Aku tidak salah mendengar mungkin. Sepatah kata itu benar-benar meniti di bibir Darish.

“Abang nak jaga princess. Kalau abang pergi, abang dah tak boleh perhatikan princess. Tak boleh tengok air mata princess setiap kali kena buli dengan abang. Tak boleh kenakan princess. It will hurt me, princess.”

Aku masih tidak mampu menuturkan kata. Mendengarkan luahannya, aku tahu dia juga menaruh perasaan yang sama sepertiku. Tetapi, aku tidak mahu menyekat kebebasannya. Selama ini dia menginginkan keluarga, lalu keluarga aku menerimanya. Dan kini dia sudah menemui keluarga sebenarnya. Mengapa harus dia masih memberatkan aku pada saat dia sudah boleh meninggalkan aku?

“Tell me not to go.” 

Aku menggeleng. “Tak boleh.”

“Kenapa tak boleh? Princess dah tak nak tengok muka abang? Princess suka bila abang dah tak ada untuk buli princess?”

“Tak boleh, Abang Rish. Umai tak nak jadi orang yang pentingkan diri sendiri. Walaupun Umai nak abang stay, tapi Umai bukan sesiapa pun pada abang. Umai tak ada hak ke atas abang.”

“Tell me not to go.” Darish menekanku. Aku tetap dengan keputusanku. Kepalaku tetap menggeleng ke kiri dan ke kanan silih berganti.

“Jadinya, Umai rela abang pergi?” Darish bangkit. Tangannya tergenggam erat. “Kalau ini yang princess nak, abang akan buat.”

Aku menunduk. Air mataku tumpah sebaik sahaja dia berlalu pergi. Tudungku basah dek air mataku yang tidak berhenti mengalir. 

Ya Allah, apakah aku terlalu mencintai lelaki itu sehingga aku tidak mahu melepaskan dia pergi?

***

AKU terpegun lama di depan cermin. Shawl pemberian Darish terlilit kemas di kepalaku. Cantik. Pandai dia memilih corak dan warnanya. Tetapi apa gunanya semua ini. Darish tidak akan tahu tentang shawl ini. Dia tidak tahu hari ini aku memakainya. Memakainya untuk majlis pertunanganku sendiri. 

Tiga bulan yang lalu aku dipinang oleh seorang anggota polis berpangkat Inspektor. Aku tiada daya hendak membantah. Keluarga aku juga tidak menghalang. Menerima pinangan itu dengan rela. Tiada sesiapa yang memaksa. Jika aku terus menyimpan perasaanku terhadap Darish, aku yang bakal kecewa nanti. Lalu aku memutuskan untuk melupakannya dan memberiku peluang untuk mencintai bakal tunangku. 

“Ya Allah… Kuatkan hati aku…” Aku melekapkan tapak tangan ke dada, cuba membendung rasa sebak ini. Aku cuba melupakan dia. Namun hatiku tetap degil. Masih juga menyeru namanya. Masih juga ingin menatap wajahnya. Tamakkah aku? Tamakkah aku berkehendakkan dia sedangkan ada lelaki lain yang ingin menyuntingku sebagai isteri?

“Princess…”

Suara itu. Aku masih cam suaranya. Aku menoleh ke belakang. Terpampang wajah yang kurindui. Dia sedang elok bersandar di muka pintu. Penampilannya semakin kemas. Bersut hitam dan rambutnya sudah dipotong pendek. Penampilannya menyerupai ahli korporat yang berjaya. Mungkin keluarganya mempunyai perusahaan yang besar. Apa yang pasti, kehidupannya sudah berubah ke arah lebih baik.

“Abang Rish buat apa kat sini?” Aku bertanya sambil menyapu air mataku. Rasa malu ditatap olehnya dengan keadaan aku begini. Dia fikir aku mungkin menangis kerana pertunangan ini.

“Bertunang tak ajak abang.” Ada kedengaran rajuk di situ.

Aku memaksa senyum. “Abang Rish kan ada dekat England.” 

“Tak boleh email abang?”

Aku menggeleng. “Umai jarang buka emel.” Aku berdalih. 

“Nampak sangat Umai nak jauh dari abang kan? Nak mengelak daripada abang kan?”

“Umai kan dah nak jadi tunang orang. Kena jaga hati tunang. Nanti apa pula kata orang kalau kita masih berhubung?”

Darish menapak ke arahku. Dia menyentuh hujung shawl yang kupakai ini. “Cantik shawl ni. Lagi cantik bila princess yang pakai.” Dia memuji.

Aku ketawa kecil, menyembunyikan perasaan sebakku yang masih tidak hilang. Malah ianya semakin menekanku dengan kehadiran Darish. 

“Iya. Sebab abang yang pilih,” sahutku. “Abang Rish, tak elok tahu masuk bilik anak dara orang.” Sempat aku mengingatkan. Apa kata orang pula jika mereka tahu aku kini sedang berdua-duaan dengan seorang lelaki bukan mahramku padahal aku bakal menjadi tunangan orang sebentar lagi. Satu perkara yang membuatkan aku tertanya-tanya. Macam mana dia boleh masuk? Aku hairan sendiri.

“Abang fly dari jauh semata-mata nak bawa anak dara sorang ni fly dengan abang. Nak halau abang ek?” Darish mengulum senyum. Aku terpinga-pinga. Tidak memahami maksud di sebalik kata-katanya itu.

“Rish, rombongan meminang dah on the way. Kau dah tak ada banyak masa ni.” Tiba-tiba saja Hairiz muncul di muka pintu. Wajahnya serius. Aku semakin tidak faham. Apakah agenda dua sahabat ini?

“Aku nak pergi dah ni. Tengah pujuk princess ni.” Selamba sahaja Darish berkata sambil mengenyitkan matanya ke arahku. Bibir merahnya menguntum senyuman. Darah merah menyerbu pipiku. Senyuman itu sungguh indah pada pandanganku. Sungguh memikat. Hati ini mula cair. Mencair seperti ais di kutub.

Hairiz menganggukkan kepalanya sebelum beredar. Aku pandang Darish. Dahiku terkerut, tidak senang hati dengan agenda lelaki itu.

“Apa Abang Rish nak buat?”

Darish tidak segera memberi jawapan sebaliknya tersenyum. “Princess perlu diselamatkan.” Itu sahaja jawapannya yang pastinya menambahkan kebingungan dalam diriku. Mengapa pula aku perlu diselamatkan? Diselamatkan daripada siapa? Daripada bakal tunangku? Dia seorang polis, bukan penjenayah.

Tanpa sempat aku menyoal dengan lebih lanjut, dia mencapai pergelangan tanganku yang berlapik. “Let’s get married.”

Degupan jantungku bagaikan mahu terhenti. “Apa maksud Abang Rish?” Walaupun sudah jelas dia menyebut ‘jom kahwin’ dalam bahasa Inggeris, aku masih ragu-ragu dan tidak percaya. 

“Kan abang dah cakap tadi. Abang nak bawa princess abang dari sini. Nak selamatkan princess.”

“Kenapa?” Aku kerutkan dahi sekali lagi.

“Nak jadikan princess abang milik abang soranglah. Abang tak nak Umai jadi milik polis tu. Umaira akan jadi milik abang kejap lagi. Milik abang. Ingat tu.” Dia menekan perkataan ‘milik abang’. Aku ternganga. Maksudnya… dia mahu membawa aku kahwin lari? Adakah lelaki ini sudah hilang akal? Nanti apa pula kata kedua orang tuaku?

“Abang Rish, kita tak boleh buat macam ni. Kita orang Islam, ada adat. Umai tak nak malukan keluarga Umai…” Aku tidak berganjak, takut untuk menuruti rancangannya. Walaupun aku sayangkan dia dan mahu menjadi milik dia, aku tidak mungkin menjatuhkan maruah kedua orang tuaku. Pasti mereka kecewa dengan aku sekiranya aku akur dengan rancangan Darish.

“Princess, abang takkan malukan keluarga Umai. Percayalah cakap abang.” Bersungguh-sungguh Darish cuba meyakinkan aku, bahawa tindakan aku tidak akan memalukan keluargaku. Tetapi itu katanya, bukan diriku. Bagaimana reaksi keluargaku sekiranya aku lari dari majlis pertunangan untuk berkahwin dengan lelaki lain? Aku tidak mampu membayangkannya.

“Believe in me. Abang takkan buat sesuatu yang stupid.”

Aku terus ditarik keluar dari bilik itu. Terkial-kial aku cuba membuntuti langkahnya kerana kainku yang labuh. Belum sempat aku hendak membetulkan kainku, tubuhku terasa melayang ke udara. Aku terpejam mata. Saat aku membuka kelopak mata, tubuhku sudah berada dalam pangkuannya. Bridal style. Darah merah menyerbu ke wajahku. 

“Mana boleh sentuh bukan mahram.” 

Aku meminta dia menurunkanku dengan segera namun dia tidak mempedulikanku. Sejak bila pula Darish pandai meremehkan tentang agama padahal selama ini dia juga yang sering mengingatkan aku tentang agama? 

“Dah nak jadi halal pun.” Hairiz menyampuk. Aku ketap bibir. Ianya bukan satu syarat untuk dia memegang aku selagi aku belum diangkat sebagai yang halal untuknya. Aku meliarkan mata. Mama dan abah sedang tersenyum ke arahku. Apa maksudnya?

“Abang Rish, turunkan Umai. Umai tak nak tempah dosa free.” Aku meronta. Darish yang tidak tahan dengan rontaan aku segera menurunkan aku. Aku menarik nafas lega. Mama dan abah sudah nampak tetapi mereka langsung tidak melarang. Jangan cakap mereka suka anak mereka berpelukan dengan lelaki bukan bergelar suami.

“Rish, rombongan dah nak sampai. Lekas pergi ke masjid. Pak imam dah tunggu.” Abahku menunjukkan jam di pergelangan tangannya. 

“Alright, abah. See you there.” Darish mengangkat tangan kemudian menarik lenganku. Aku yang masih terkial-kial cuba menyaingi langkahnya. Seketika aku menoleh ke belakang. Abah, mama dan abang aku masih lagi tersenyum.

Aku masih terpinga-pinga melihat senyuman itu. What’s going on? Aku mahu menyoal Darish namun dia kelihatannya sibuk hendak mengejar masa.

***

MENANGIS. Sungguh aku tidak sangka pengakhiran aku begini. Tetapi aku tidak boleh marah. Dia melakukannya untuk aku. Dan aku perlu berterima kasih kepadanya. Jika tidak, yang merana nanti adalah aku juga. 

“Masih marah dekat abang?”

Aku memukul dadanya perlahan. “Kut iya pun janganlah cempung Umai. Buat malu aja.” Aku membebel. Aku yang malu bukannya dia. Aku bukan muka tembok sepertinya.

“Dah halal pun. Itu pun masih nak marah ke?” Darish menarik hidungku. Aku mengaduh. “Abang, kesian bakal tunang Umai.” Aku tiba-tiba teringatkan Fakhir yang sepatutnya menjadi tunangku. Gara-gara Darish, aku terpaksa memalukan dia. Tetapi jika aku meneruskan jua dengannya, aku yakin aku tidak mampu membahagiakan dia. Doa aku agar dia dipertemukan seorang perempuan yang lebih baik daripada aku.

“Dia boleh cari Umai yang lain. Umai yang ni…” Darish menarik tubuhku ke dalam rangkulannya. “Untuk abang seorang sebab you’re my only princess.”

Aku senyum. Tengahari tadi aku selamat bergelar isteri kepada Darish Aniq. Tanpa segan silu dia menyerbu rumahku, menyatakan hasratnya kepada abah dan mama. Abah dan mama kaget pada mulanya. Namun Darish meyakinkan mereka. Sanggup pula mereka merancang projek untuk melarikan aku dari rumah sebelum ketibaan rombongan peminangan. Agaknya bagaimanakah reaksi rombongan itu?

“Jadi lepas ni kita akan stay kat mana?”

Darish diam seketika. 

“Abang bagi princess abang tentukan. Malaysia atau England. Atuk abang tak kisah kalau abang nak stay kat sini.”

Aku menolak perlahan tubuh Darish. Sepasang mata cantik itu aku tenung. Terjawablah aku kini mengapa dia memiliki wajah ala-ala lelaki Inggeris. Rupa-rupanya darah Inggeris mengalir dalam tubuhnya.

“Abang tak kisah? Abang baru aja bersatu dengan family abang.”

Darish mencebir bibir. Dia merebahkan tubuh ke katil. Sebelah tangan menampung kepada, dijadikan bantal.

“Dekat sana tak ada princess. Tak best sebab tak boleh buli princess. Dekat sini ada princess. Boleh buli. Lepas ni abang akan buli Umai junior pula.” Selamba dia menjawab. Aku hampir saja hendak menumbuk perutnya namun tubuhku terlebih dahulu ditarik menyebabkan aku rebah di sebelahnya. 

“Abang sayangkan princess. Sebab tu abang buli princess. Hehe.” Dia ketawa lepas. Aku mencubit perutnya. Darish mengaduh sakit.

“Princess….” Dia tayang wajah monyok. Aku segera mengusap perutnya yang menjadi mangsa cubitanku tadi.

“Kesian. Kena cubit ke? Itulah, lain kali buatlah lagi.” Dalam memujuk sempat aku menyindirnya.

Darish hanya ketawa. Tidak makan saman dengan kata-kataku. Sudah kukenal perangainya yang satu itu. Mujur saja dia yang menjadi suamiku. Kekurangan atau kelebihannya, hanya aku yang tahu.

“Abang sayang princess. Abang cintakan princess.” Darish mengucapkan kata-kata itu dengan syahdu sehingga membuatkan pipi aku merona merah.

“Love you too, abang.” Aku membalas dengan malu-malu. 

“Sayang, abang nak Umai junior.” Tiba-tiba dia meminta. Aku terkebil-kebil. Baru kahwin dia sudah minta aku melahirkan anak untuk dia? Dia ingat ini dunia magik ke? Baru saja kahwin terus ada anak?

“Baru kahwin mana boleh terus dapat anak.” Aku menggelengkan kepala.

“Sebab itulah kita kena….” Darish tidak menghabiskan kata-katanya sebelum dia merangkulku erat dan dalam masa yang sama lampu meja di sebelah katil dimatikan. 

“Abang!”



Tamat.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.