Home Cerpen Cinta Menguntum Kasih Menyulam Sayang
Menguntum Kasih Menyulam Sayang
Siti Norshimah Binti Md Yasan
23/4/2016 23:53:26
2,464
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Menguntum Kasih Menyulam Sayang

Tina menyusun pinggan di atas meja. Dia kemudiannya memerhatikan ke tingkat atas. Lantas kemudian suaranya memetir.

“Pak su! Your breakfast si ready!” Jerit Tina. Segera dia menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Tina seperti tidak tentu arah. Jam menunjukkan ke angka 7 pagi.

“Pak su! Cepatlah!” Tina meninggikan volume suaranya.

“I’m coming, honey.” Sambut Farhan dari tingkat atas. Dia segera menuruni anak tangga sambil membetulkan tali leher.

“Cepatlah pak su. Tina dah lapar ni. Tunggu pak su macam tunggu nenek si bongkok tiga tau. Bersiap mengalahkan perempuan. Mak usu pun bersiap tak macam pak usu. Dari bujang sampai dah berkahwin pun macam siput je pak usu nak bersiap.” Bebel Tina seraya dia sampai di meja makan. Farhan tidak segera menjawab sebaliknya dia menarik keluar kerusi dan melabuhkan punggung.

“Ye nenek Tina. Duduk makan. Nanti lambat pulak ke sekolah.” Farhan menuang fresh orange ke dalam gelas. Kemudian dia mencapai roti yang tersedia di atas meja dan menyapu dengan mentega.

“Pak su tak nak nasi goreng ke?” Tanya Tina yang sedia untuk menghidangkan kepada Farhan. Farhan menggeleng.

“Rugi pak su tak merasa masakan mak su ni. Sedap tau. Tina pun bawa bekal ke sekolah.”

“Habis tu?”

“Susah-susah je mak su masakan untuk kita. Pak su sikit pun tak merasa.” Tina sudah pun membuat wajah muramnya. Farhan menggeluh. Masakan dia mahu. Sedikit pun dia tidak mahu. Apalagi melibatkan Fazlyn.

Fazlyn keluar dari dapur dan membawa dua bekas untuk Farhan dan Tina. Fazlyn melemparkan senyuman untuk kedua-dua mereka. Senyuman itu kemudiannya disambut oleh Tina. Namun tidak kepada Farhan. Dia tidak mengendahkan kehadiran Fazlyn dan sibuk melayani Tina. Sedikit pun dia tidak merasa nasi goreng pagi itu.

“Ini Tina punya. Merah jambu.” Fazlyn menyerahkan bekal berisi nasi goreng kepada Tina.

“Apa nota yang mak su tuliskan untuk Tina?” Fazlyn tersenyum dan dia menggelengkan kepala.

“Mana boleh mak su beritahu. Tak supriselah kalau macam tu.” Ujar Fazlyn. Memang itu rutin harian Fazlyn. Jika dia menyediakan bekal untuk Tina dan Farhan dia akan menyelitkan nota bermadah untuk mereka berdua. Walau pun Farhan tidak pernah menjamah makanan apa lagi bekal yang dibawa Fazlyn tetap dengan tugasnya untuk menyediakan pakai dan makan Farhan.

“Semalam mak su beritahu ‘Jangan bermegah dengan seribu kawan kerana seribu itu belum tentu menjadi sahabat’. Tina suka dengan kata-kata tu. Untuk pak su pula…. Apa yang mak su bagi tahu, pak su?”

“Pak su!”

“Erm!” Farhan tidak menjawab pertanyaan Tina itu. Dia tidak pernah merasai makanan yang dibekalkan apalagi mengendahkan nota yang diselitkan di dalam bekal itu.

“Abang, bekal ni untuk abang.” Farhan tersentak. Dia merenung tajam kepada Fazlyn. Cuba menerangkan kepada Fazlyn. Betapa dia tidak menyukai Fazlyn memanggilnya dengan panggilan ‘abang’.

“Encik Farhan…. Bekal.” Farhan tidak mengendahkan. Dia bangkit dan segera mencapai kunci kereta. Briefcase yang berada di sisinya dicapai.

“Pak su dah nak pergi kerja ke?” Tanya Tina yang masih lagi menikmati sarapan pagi.

“Pak su…. Makanlah sikit. Tak baik tau.” Pujuk Tina.

“Pak su tak naklah. Kalau Tina nak makan…. Makanlah. Pak su tunggu Tina kat kereta.” Pesan Farhan yang terus meninggalkan meja makan. Fazlyn cuma menjadi pemerhati. Betapa dia sedih dengan tindakan Farhan itu. Namun dia sedar, dia perlu bersabar. Tina memandang ke arah Fazlyn dengan perasaan yang bercampur. Dia kasihankan Fazlyn. Ada masa dia menyalahkan juga dirinya kerana memaksa bapa saudaranya itu berkahwin dengan Fazlyn. Gadis yang tidak dicintainya.

Saat Tina berjumpa dengan Fazlyn di pejabat bapa saudaranya itu, Tina tahu itulah insan yang sesuai untuk Farhan. Namun apa boleh buat bila Farhan masih bercinta dengan Maria yang Tina tahu cinta gadis itu hanya untuk harta Farhan sahaja. Bila saat Maria menarik diri pada majlis perkahwinan, sediri dia yang mendesak bapa saudaranya itu berkahwin dengan Fazlyn.

“Mak su sabar ye. Nanti biar Tina ajar pak su. Pak su tu memang buta kasih sayang. Mak su jangan bimbang. Tahu apa yang Tina nak buat. Mak su nak tumpang ke?”

“Tak apalah Tina. Tina pergi dulu. Nanti mak su pergi sendiri.”

“Tak pe…. Tina tunggu mak su. Mak su bersiap. Takkan nak pergi asing-asing pulak. Dah kerja satu pejabat pergi sama-samalah.” Petah sahaja Tina berkata.

“Tak naklah mak su. Nanti pak su marah. Biarlah mak su naik teksi je.” Tina tidak mengendahkan kata-kata Fazlyn. Dia segera mencapai beg tangan Fazlyn dan menarik tangan Fazlyn.

“Eh…. Tina. Sekejap le. Mak su nak kunci pintu dulu. Nanti sia-sia je perompak masuk.” Kalut Fazlyn dengan tindakan Tina itu. Kemudiannya Fazlyn terhenti.

“Kenapa mak su?” Fazlyn menundingkan jari ke arah Farhan. Tina menepuk dahi. Lupa pula dia dengan kereta Farhan yang hanya dua tempat duduk.

“Pak su! Hari ni mak su nak tumpang pak su.” Terbuntang anak mata Farhan mendengarnya. Dia berpusing. Mana mungkin!

“Tina! Jangan buat lawak boleh tak? Kereta ni dua tempat duduk. Kita bertiga. Mana nak sumbat lagi?”

“Itulah…. Tina dah beritahu dengan pak su lama lagi. Rugi beli kereta dua tempat duduk ni. Kalau ada anak macam mana? Tina tak kira. Mak su kena tumpang pak su juga.” Bentak Tina yang berusia 12 tahun itu.

“Tina! Nanti kena saman siapa yang nak bayar. Tina bukannya umur 3 tahun yang boleh pangku.” Keras nada Farhan. Fazlyn yang berada di sisi Tina hanya mendiamkan diri. Kalau bersuara dia juga yang akan kena nanti.

“Tina tak kisah. Tina duduk atas pangku mak su. Bukan atas pangku pak su. Dah… pak su jangan nak banyak cakap. Kesian mak su nak tunggu teksi. Tina bagi pak su satu minggu tukar kereta baru. Kalau tidak nanti Tina suruh Pak Mail hantar Tina ke sekolah.” Bebel Tina. Farhan menggarukan kepala yang tidak gatal. Hish! Susah betul nak layan budak tak cukup umur ni.

“Yelah…yelah…. Dah! Jangan nak banyak borak. Masuk je.” Kerah Farhna. Tercicit-cicit Fazlyn dan Tina memasukki perut kereta. Tersenyum lebar Tina melihatkan perubahan riak wajah Farhan. Puas hatinya apabila dia dapat melihat Farhan dan Fazlyn di dalam satu kereta.

Farhan menurunkan Tina di sekolah dan kemudiannya dia meneruskan pemanduan ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan Fazlyn tidak bersuara sepatah kata. Dia sebenarnya tidak pernah berada di dalam satu kereta bersama-sama dengan Farhan. Farhan sesekali memerhatikan Fazlyn, isteri yang tidak pernah dicintai. Jika tidak dengan permintaan Tina sesekali dia tidak memperisterikan Fazlyn. Dan juga jika Maria tidak meninggalkan semasa mereka nikah, sudah tentu bukan Fazlyn yang duduk di sebelahnya. Tidak pernah terlintas di kotak fikirannya untuk memperisterikan Fazlyn, kerani biasa di pejabatnya. Dia tidak mengenali Fazlyn, cuma Tina sahaja yang rapat dengannya.

“Sudah berapa kali saya pesan. Jangan sesekali panggil dengan perkataan yang saya tak suka tu. Itu bukan panggilan untuk saya dari mulut awak.” Tersentak Fazlyn mendengarkan kata-kata Farhan itu. Walau pun perlahan namun begitu menusuk ke lubuk hatinya. Sakit dan perit. Namun dia perlu menelan semuanya kerana Tina. Permintaan Tina sebenarnya membuka pintu hati untuk dia menerima pinangan dari Farhan.

“Maafkan saya. Saya janji takkan panggil dengan panggilan…a…”

“Don’t ever!” Fazlyn mengangguk.

Sampai sahaja di pejabat, Fazlyn segera menuju ke meja dan Farhan masuk ke dalam bilik dengan wajah yang kelat. Kalau bukan desakan dari Tina tadi, tak adalah Fazlyn menumpangnya ke tempat kerja.

Farhan membuka notebook dan memulakan tugas sebelum pintu biliknya di ketuk orang. Dia menggeluh perlahan. Baru sahaja nak bekerja, ada saja yang datang mengacau. Melihatkan wajah Zaki yang bermain di ruang mata, dia tidak jadi untuk menjadi marah. Sahabatnya itu melemparkan senyuman.

“Apa senyum-senyum?” Tanya Farhan dingin.

“Hai, aku nak senyum pun tak boleh ke?”

“Yelah… cara kau senyum tu macam ada makna tau.” Serkap Farhan.

“Tadi aku nampak kau dengan Fazlyn. Apa mimpi kau bawa dia pergi pejabat? Kalau sebelum ni aku tengok dia naik teksi walau pun kau sebumbung atau mungkin sebilik dengannya.”

“Tina yang paksa aku. Kalau tidak, tak adanya aku nak tumpangkan dia.” Zaki menggelengkan kepala. Kesal dengan tindakan Farhan itu.

“Kau tak baik buat macam tu dengan Fazlyn. Dia kan isteri kau. Fazlyn tu budak yang baik. Aku tahu sebab dia pekerja bawahan aku.” Wajah Zaki dipandang sekilas.

“Kau beruntung kerana memperisterikan dia. Sepatutnya kau yang menjaga dia. Ini tidak, kau biarkan dia macam tu je. Kesian dia tau.”

“Dah, jangan pulak kau yang kena dengan aku nanti. Tak ada maknanya aku nak menjaga dia. Dia boleh menjaga diri dia sendiri. Dia dah besar.”

“Kau jangan terlalu ego, Farhan. Kau jangan terlalu membenci kerana aku takut di satu hari nanti kau akan menyintai dia. Aku faham dengan kau, mengapa Maria tu juga yang kau nak tunggu. Takkan kau lupa apa yang sudah dia buat pada kau?”

Farhan terdiam mendengarkan kata-kata dari Zaki tadi. Dia tersentak dengan dua perkara. Pertama, dengan kisah Maria diungkit dan yang kedua dengan apa yang dikatakan sebagai benci menjadi suka. O…. sesekali tidak. Tiada maknanya cinta Fazlyn di dalam hatinya.

“Itu orang. Kalau aku memang sampai bila-bila pun aku tidak akan terima dia. Aku terima dia pun sebab Tina. Tiada sebab lain. Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan ye.” Zaki tersenyum dengan jawapan yang diberikan oleh Farhan.

“Aku yakin dengan jodoh kau, Farhan. Memang sudah tertulis bahawa dia adalah pasangan untuk kau. Kenapa Maria yang nak kau kejarkan? Kalau betul dia nakkan kau, masa nikah dia takkan tinggalkan kau. Malukan kau depan orang ramai. Perempuan yang macam tu tak sesuai nak dijadikan isteri. Kau ni memang buta, Farhan.” Keras kata-kata Zaki mengenakan Farhan.

“Engkau kalau setakat nak bagi nasihat, baik kau keluar dari bilik ni. Aku ada banyak kerja yang perlu aku siapkan. Kalau dah tak ada kerja nak buat, aku boleh bagi kerja kat kau.” Akhirnya Zaki mengalah. Namun sebelum dia melangkah keluar dari bilik Farhan, dia berpaling.

“Kau jangan risau, Farhan. Aku akan pastikan kau dengan Fazlyn akan jadi pasangan yang paling ideal sehingga kau lupakan si Maria tu.” Pesan Zaki membuatkan Farhan tersentak. Nampaknya Zaki beria-ia untuk melihat dia bahagia bersama-sama dengan Fazlyn.

Petang itu, seperti biasa Tina menantikan Pak Mail di sekolah sebelum membawa Tina ke pejabat Farhan. Senyuman Tina itu membawa seribu erti buat Pak Mail. Rancangan bersama-sama dengan Tina masih semat disimpan.

“Macam mana Pak Mail. Dah uruskan semuanya?” Tanya Tina sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Pak Mail mengangguk penuh teruja. Rancangan yang telah dibuat bersama-sama dengan Tina adalah untuk menyatukan majikannya. Namun dalam rancangan itu terselit juga rasa gelisah kerana khuatir jika ianya menjadi kes polis.

“Pak Mail jangan risau. Hari ni mak su balik dengan pak su. Masa tu kita buat projek tu.” Ujar Tina. Tina tersenyum dengan lebar bila terkenangkan apa yang akan dilakukan nanti. Bukannya buat apa pun, cuma mengusik mak sunya itu.

Sampai sahaja di pejabat, Tina dan Pak Mail melihat suasana yang kecoh. Pak Mail bergegas ke bilik Farhan dan ternyata Farhan tiada di situ.

“Encik Farhan mana?” Tanya Pak Mail kepada Rina, setiausaha Farhan. Ternyata Rina di dalam keadaan cemas. Berita Farhan dipukul sewaktu ingin keluar makan membuatkan Rina serba tidak kena.

“Habis tu dia di mana?”

“Sekarang Encik Farhan ada di hospital. Nasib baik Pak Mail balik awal. Nanti minta tolong Pak Mail bawakan Puan Fazlyn ke hospital. Kesian saya tengok dia. Dari tadi asyik menangis je.” Pak Mail tidak tunggu lama. Segera dia memanggil Fazlyn dan membawa Fazlyn dan Tina ke hospital.

Seram sejuk Fazlyn melihatkan Farhan yang sudah terlantar di atas katil. Air matanya dari tadi tidak pernah putus. Begitu juga dengan Tina yang dari tadi asyik menangis. Dia tidak sangka rancangan untuk menyatukan pak su dan mak sunya menjadi mimpi ngeri pula. Tina memerhatikan Farhan dengan rasa debaran yang tidak pernah berhenti dari tadi.

“Tina, kita doakan pak su selamat ye.” Ujar Fazlyn sambil mengusap lembut rambut Tina. Tina memeluk erat Fazlyn dan tidak meleraikan. Tina menggenggam erat tangan Farhan.

“Pak su…. Bangun. Tina kat sini pak su. Pak su tak boleh tinggalkan Tina. Pak su…. Mak su… kenapa pak su tak bangun lagi.” Fazlyn tidak berkata apa. Dia teringin sekali untuk menggenggam tangan milik suaminya itu. Namun dia tidak betah kerana mungkin kehadirannya itu mungkin tidak dialukan. Fazlyn yakin, mungkin adalah hikmah untuk dia menjaga dan mendekati suaminya itu.

“Nanti Tina balik dengan Pak Mail ye. Tina duduk rumah Nek Ngah dulu.” Tina menggeleng.

“Tak nak. Tina tak nak tinggalkan pak su.”

“Jangan macam ni sayang. Mak su janji mak su akan jaga pak su. Tina balik dulu ye. Esok Tina nak sekolah, kan?” Pujuk Fazlyn. Tina memandang kepada Fazlyn. Mungkin ada benarnya. Ini mungkin masanya untuk dia memberi peluang kepada Farhan dan Fazlyn berdua bersama. Mungkin ini akan memberikan peluang untuk Farhan mengenali Fazlyn.

“Mak su boleh ke?”

“Tina jangan risau. Memang dah jadi tugas mak su menjaga pak su. Tina balik rehat, ye. Nanti beritahu dengan tok ngah dengan nek ngah yang pak su tak ada apa-apa.” Fazlyn memujuk lagi. Dia tidak mahu Tina risau dengan Farhan.

“Mak su jaga pak su baik-baik eh. Nanti Tina beritahu dengan nek ngah jangan risau pasal pak su. Esok lepas sekolah Tina jenguk ye.” Fazlyn mengangguk perlahan.

Tina melepaskan Farhan dan Fazlyn dengan hati yang berat. Dia memandang sekilas kepada Pak Mail seolah meminta penjelasan. Dari cerita yang didengarnya Farhan dipukul saat Fazlyn hampir diragut. Seolah hampir dengan rancangannya. Pak Mail pula hanya menjadi pemerhati. Namun dalam diam dia yakin ada rahmat di sebalik dengan apa yang terjadi.

Fazlyn menarik kerusi dekat dengan katil Farhan. Sepanjang perkahwinan inilah kali pertama dia dapat melihat suaminya itu dengan lebih dekat lagi. Sebelum ini mereka tidak pernah sebilik apa lagi untuk berkongsi katil. Air mata Fazlyn tumpah lagi. Ingin rasanya untuk dia menggenggam tangan Farhan. Namun dia tidak betah. Akhirnya dia menjadi pemerhati. Selimut Farhan dibetulkan.

“Abang… semoga cepat sembuh. Lyn sayangkan abang.” Fazlyn mengharapkan Farhan tidak mendengarkan kata-katanya itu. Kalau Farhan mendengarkannya sudah tentu berderai airmatanya kerana teruk dimarahi. Dan kini dia dapat memanggil nama keramat itu disaat Farhan tidak sedarkan diri. Alangkah indahnya jika Farhan dapat menyayangi dirinya.

Farhan tersedar saat jam di dalam wad menunjukkan ke angka 11 malam. Dia mengeliat kecil. Tekaknya mula kering. Perutnya terasa lapar. Baru dia tahu dia berada di dalam wad hospital setelah teruk dia dibelasah dengan sekumpulan lelaki yang cuba untuk meragut isterinya. Farhan memandang di sisi katil. Kelihatan Fazlyn yang sedang nyenyak tidur. Untuk mengejutkan Fazlyn dia tidak betah. Kasihan melihatkan Fazyln yang agak keletihan itu. Farhan cuba untuk mencapai cawan di atas meja namun gagal. Tangannya yang kemas dibalut membantutkan pergerakan.

“Encik Farhan nak air ke?” Farhan tersentak apabila melihatkan Fazlyn yang sudah terjaga.

“Saya nak minum. Perut dah lapar ni.” Ujar Farhan perlahan.

“Tak pe. Biar Lyn buat.”Fazlyn mencapai roti yang siap dibelinya tadi dan mencapai cawan yang berisi air. Kemudiannya dia memberikan roti kepada Farhan. Walau pun dia lapar nasi ketika itu namun roti pun rotilah. Janji kenyang. Tengah malam buta ni mana nak cari nasi. Dalam hospital pula tu.

“Makan puas-puas Encik Farhan. Kalau lapar lagi Lyn beli lagi kat kedai bawah nanti.” Ujar Fazlyn.

“Tak apalah. Ini pun dah cukup. Kenapa awak tak balik?” Fazlyn tahu memang itu yang akan ditanyakan oleh Farhan. Namun dia sedar akan tanggungjawabnya adalah disisi suaminya tidak kira sihat atau sakit.

“Memang dah jadi tanggungjawab Lyn berada di sini.”

“Tanggung jawab apa?”

“Tanggung jawab sebagai seorang isteri. Memang Lyn sepatutnya berada di sini.” Farhan terdiam di saat Fazlyn mengungkitkan perkataan ‘isteri’.

Fazlyn sabar melayani kerenah Farhan yang agak dingin dengannya. Fazlyn membetulkan tilam dan selimut. Farhan membiarkan sahaja sehingga dia merasa selesa. Farhan menyambung tidurnya. Begitu juga dengan Fazlyn. Walau pun Farhan dingin dengannya namun dia merasa berbesar hati dapat menjaga Farhan. Betapa besar pahala untuk menjaga suami sendiri.

Keesokkan harinya Farhan tersedar saat jam menunjukkan ke angka 6 pagi. Dia tersentak apabila tangannya menindih tangan Fazlyn yang lembut. Dia memandang lama kepada Fazlyn. Entah mengapa hatinya mula rasa debarannya. Ah, betapa setianya dia di sini. Ah! ‘Apa yang telah aku buat padanya? Walau pun aku bersikap dingin namun dia tetap menjaga aku’. Farhan tersentak apabila Fazlyn mula sedar dari tidurnya. Namun Farhan menutup mata seolah sedang tidur. Fazlyn yang tersedar dari tidur terkejut dengan genggaman tangan Farhan. Dia mengangkat tangan Farhan dan kemudiannya dia berlalu meninggalkan Farhan. Dia perlu ke surau untuk menunaikan solat subuh.

Farhan mencari kelibat Fazlyn yang masih belum muncul lagi. Sudah satu jam Fazlyn meninggalkannya. Hatinya mula sudah tidak keruan. Perasaan apakah ini? Baru sekejap Fazlyn meninggalkannya dia sudah rasa gelisah. Sarapan yang ditinggalkan untuknya sedikit pun tidak dijamah. Entah mengapa sekarang ini dia ingin sangat merasa masakan dari tangan Fazlyn. Kalau dulu dia tidak pernah diendahkan, tapi kini dia pula yang merasa kempunan.

Farhan mengariskan senyuman kecil apabila melihatkan Fazlyn berada di ruang matanya. Dia cuba ingin memberikan senyuman untuk Fazlyn namun dengan ego yang kuat bersarang membuatkan dia tidak berbuat demikian.

“Awak pergi mana?” Tanya Farhan perlahan. Fazlyn tersenyum. Baru sekarang dia memperlahankan nada suaranya.

“Maafkan saya, Encik Farhan. Saya pergi sembahyang subuh tadi. Lepas tu tu saya terus mandi. Encik Farhan nak apa-apa ke?”

“Saya nak makan.” La… ingatkan nak apa tadi. Fazlyn mengintai sarapan pagi itu. Mee hoon goreng dan juga susu rendah lemak sudah tersedia.

“Makanlan banyak sikit. Nanti boleh sihat sikit.” Farhan menggeleng bila sampai suapan yang ketiga. Dia menolak pinggan dan entah mengapa Mee hoon goreng itu tidak sedikit pun memberi nafsu untuk dia menjamu selera. Tiba-tiba dia teringatkan bekal yang disediakan oleh Fazlyn setiap hari untuk dirinya. Namun dia sedikit pun tidak pernah membawa ke tempat kerja apalagi membuka bekalan itu. Setiap hari Tina sering bercerita akan nota yang ditinggalkan oleh Fazlyn. Kebanyakkan madah dan juga kata-kata perangsang.

“Kenapa? Tak nak ke? Atau Encik Farhan nak saya belikan apa-apa?” Farhan menggeleng kepala lagi?

“Saya nak makan nasi lemak yang awak masak.” Fazlyn terkejut dengan permintaan Farhan itu. Dia memandang Farhan dua kali. Adakah dia tersilap dengar atau pun telinganya dia yang pekak?

“Nasi lemak yang saya masak?”Ulang Fazlyn seolah tidak percaya. Farhan mengangguk . Dia cuba menebalkan muka untuk meminta nasi lemak air tangan Fazlyn.

“Nanti saya panggil Pak Mail untuk hantar awak balik masak.” Senang hati Fazlyn dengan permintaan itu. Memang itu impiannya bila Farhan sudi merasa masakan dari air tangannya.

“Tapi jangan lambat sangat. Saya bagi tempoh satu jam je.” Ujar Farhan. Satu jam? Erm… apa boleh buat? Cuba yang semampunya.

Fazlyn terus pulang ke rumah setelah Pak Mail sampai di tempat letak kereta hospital. Dia cuba mempercepatkan pergerakan agar sempat sampai ke hospital dalam masa satu jam. Sudah macam robot dia membuat segala permintaan Farhan. Nasib baik dia tidak perlu untuk membeli kerana segalanya sudah tersedia di dapur. Pak Mail pula setia menanti di dalam kereta. Namun 45 minit kemudian Fazlyn keluar dari rumah sambil membawa bekal nasi lemak. Dia kemudiannya masuk ke dalam perut kereta dan meninggalkan perkarangan rumah.

Sampai sahaja di hospital dia melihatkan Farhan yang sedang tidur. Dia terus menuju ke katil Farhan dan meletakkan nasi lemak di atas meja sisi. Dia mematikan hasrat untuk mengejutkan Farhan apabila suaminya itu lena dalam tidurnya. Akhirnya dia duduk kembali dan mencapai novel yang dibawanya dari rumah.

Farhan membuka mata dan dia menarik nafas lega apabila Fazlyn berada di sisinya. Dia memandang ke meja sisi. Bekal yang berisi nasi lemak itu bagaikan memanggil namanya. Lapar perut dari tadi minta di isi.

“Lyn…” Perlahan sahaja Farhan memanggil. Fazlyn terkejut dari pembacaannya. Leka dia membaca sehinggakan dia tidak sedar yang Farhan sudah pun terjaga.

“Dah nak makan ke? Lyn ambilkan. Nak Lyn suapkan?”

“Tak apa. Lagi pun yang patah tangan kiri saya. Mana bekal tu?” Fazlyn menyerahkan bekal kepada Farhan.

“Awak sambung baliklah baca novel tu. Kalau ada apa-apa saya panggil awak.” Ujar Farhan. Fazlyn akur dan meneruskan menyambung membaca.

Farhan membuka plastik bekalan dan berharap agar ada nota yang terselit di dalam bekalan itu seperti mana yang selalu dibuat oleh Farhan. Sesekali dia mendengar Tina bercerita tentang madah dan kata-kata Fazlyn adakala dia juga teringin ingin tahu apakah nota yang selalu ditinggalkan oleh Fazlyn untuknya.

Izinkan aku berkongsi duka agar dapat kulakar senyuman untukmu’ kata-kata itu membuatkan hati lelaki Farhan menjadi cair. Dia menyuap nasi lemak dengan penuh nikmat sambil dia membaca kata-kata yang ditulis oleh Fazlyn. Entah mengapa hatinya berbunga riang. Sakit badannya tidak terasa. Tahu-tahu sahaja dia sudah pun menghabiskan bekalan yang dibawa oleh Fazlyn itu.

“Petang nanti saya dah boleh balik rumah.” Ujar Farhan setelah sendawa kekeyangan. Fazlyn berpaling. Entah mengapa tiba-tiba dia merasa hampa dan kecewa dengan berita yang disampaikan oleh Farhan. Jika Farhan keluar dari hospital bermakna dia sudah tidak dapat untuk berbakti dengan suaminya itu.

“Awak macam tak suka je saya keluar dari hospital ni. Kenapa? Awak suka saya duduk sini.” Melihatkan wajah Fazlyn yang berubah membuatkan hati Farhan tidak tenang.

“Tak…. Saya bersyukur Encik Farhan keluar. Memang saya sentiasa mendoakan yang Encik Farhan sihat. Tapi….”

“Tapi apa?”

“Mungkin lepas ni Encik Farhan dah tak nak saya jaga Encik Farhan lagi.” Farhan memandang kepada Fazlyn. Ah, betapa jujurnya wajah milik isterinya itu. Air mata Fazlyn entah mengapa begitu murah untuk jatuh. Farhan sedar apa yang dialami oleh isterinya itu. Dia juga mendengar akan luahan isi hati Fazlyn terhadapnya.

“Dahlah jangan nak menangis kat sini pulak. Petang nanti teman saya jelaskan bil hospital ni.” Fazlyn menangguk perlahan.

Entah mengapa mood untuk membaca mati dengan tiba-tiba. Ah, mengapakah begitu singkat aku dengan dia? Belum puas untuk aku berada di sisinya mengabadikan diri sebagai seorang isteri. Kenangan saat dia menjaga Farhan begitu jelas difikirannya.

Farhan mengeluh perlahan saat dia melabuhkan punggung di atas sofa. Seronok rasanya bila dapat pulang ke rumah. Kalau berehat tak keluarkan peluh pun boleh letih juga badan ni. Farhan mencari kelibat Fazlyn. Entah kemana isterinya itu pun dia tidak tahu.

“Pak usu okey tak?” Tiba-tiba Tina duduk di sisinya. Farhan seperti biasa melemparkan senyuman untuk anak buahnya itu.

“Pak su okey. Dah sihat pun.”

“Pak su nak makan apa-apa tak?” Tanya Tina lagi.

“Mak su masak apa tadi?” Tina berpaling kepada Farhan. ‘Mimpi apa pula pak su aku ni? Tiba-tiba tanya mak su masak apa.’

“Entah. Mak su tak siap lagi. Kenapa? Pak su dah lapar eh? Nanti Tina tanya mak su jap.”

“Eh! Tak payalah. Tina temankan pak su tengok tv ni. Nanti mak su siap mesti dia panggil kita.” Tina meletakkan tangannya di dahi Farhan.

“Pak su ni sihat ke tidak? Atau demam pak su tak kebah lagi.”

“Pak su sihatlah. Tina ni pulak kenapa?”

“Yelah…. Selama ni pun pak su bukannya nak makan masakan mak su. Pak su sanggup makan kat luar dari makan kat rumah.”

“Erm… habis takkkan pak su nak keluar dengan tangan yang macam ni?” melopong mulut Tina mendengarnya.

“O…. Tapi….” Farhan menelan air liur yang tersekat dikerongkongnya. Takkan dia ingin membuka pekung di dada. Takkan dia ingin memberitahu yang sebenarnya dia sudah mula menggemari masakan isterinya itu. Mahu satu rumah dengar Tina mentertawakannya.

“Pak su kan boleh suruh Pak Mail belikan?”

“Tak payah nak susahkan Pak Mail. Dah malam ni.”

“Ke pak su dah sukakan mak su masak?” Usik Tina membuatkan wajah Farhan mula berubah.

“Mana ada. Pandai-pandai je Tina ni. Dah! Nak tengok TV ke nak membebel. Kalau nak membebel masuk bilik je.” Arah Farhan yang ingin menutup rasa malu dan rasa salahnya. Dan Tina tersenyum meleret sambil memandang kepada Farhan yang sudah merona merah. Senang hati apabila dia melihat perubahan kepada bapa saudaranya itu.

Tiga bulan berlalu membuatkan Farhan merasakan benar-benar sihat. Dia bertambah sihat dengan penjagaan Fazlyn sepanjang dia sakit. Fazlyn sanggup mengambil cuti tanpa gaji demi memastikan yang dia benar-benar sembuh. Untuk jangka masa itu dia benar-benar berterima kasih kepada Fazlyn dengan keprihatinan yang diberi. Dan dalam masa itu juga Farhan bagaikan terkunci untuk mengucapkan terima kasih gara-gara mahu menggekalkan tembok egonya walau pun dia tahu temboknya itu kian hampir runtuh.

Farhan menyanyi kecil sambil membetulkan tali leher. Namun sampai sahaja di meja makan, langkahnya terhenti. Kelibat Fazlyn kemudiannya dicari. Yang ada cuma Tina yang sedang menikmati sarapan ketika itu.

“Makan roti dengan kaya je. Mak su tak masak ke?” Tanya Farhan apabila melihatkan Tina yang tidak bermaya menikmati roti yang disapu dengan kaya.

“Entah. Biasanya mak su dah masak masa ni.”

“Tak apalah. Pak su pergi tengok dulu. Lagi pun pak su dah mula kerja hari ni. Nanti lambat pulak pergi kerja.” Tina mengangguk.

“Oh ya, kejap lagi Pak Mail datang ambil Tina tau. Jangan lupa tutup pintu.” Pesan Farhan.

Farhan melangkah ke arah pintu bilik Fazlyn. Dengan perlahan dia membuka pintu bilik itu. Kelihatan Fazlyn masih lagi di katil. Dia menghampiri Fazlyn. Kesempatan itu dia memandang kepada Fazlyn. Ah, betapa tenangnya dia. Tapi…. Kenapa macam pelik je wajah isteri aku ni?

“Panasnya badan dia.” Farhan merasa bahang badan Fazlyn di dahi milik isterinya itu.

“Sejuknya tangan dia.” Kali ini dia menggenggam tangan Fazlyn. Entah mengapa hatinya diulit rasa gelisah. Takut dan tidak tentu arah.

“Lyn…” Perlahan sahaja Farhan mengejutkan Fazlyn.

“Encik Farhan… maaf tertidur. Rasa macam tak sedap badan. Oh, maaf. Nak pergi kerja ke? Sekejap lagi saya siap.” Fazlyn cuba untuk bangun namun rasa pening dan rasa tidak sedap badan membuatkan dia baring semula.

“Badan Lyn panas sangat ni. Tak payahlah pergi kerja. Er…. Abang hantar Lyn klinik.” Farhan merasakan tenang saat dia melafazkan perkataan yang mungkin selama ini sepatutnya digunakan. Fazlyn tersentak mendengarkan perkataan itu. Ah, adakah mimpi atau pun kesan sampingan dia demam?

“Abang telefon Zaki abang sambung cuti lagi. Lepas ni bersiap abang bawa Lyn pergi klinik.” Sekali lagi Fazlyn seperti tidak percaya. Dia memandang Farhan sekilas. Melihat akan kejujuran suaminya itu.

“Nak abang pakaikan baju ke?” Terbeliak anak mata Fazlyn mendengarnya. Ini aku yang demam ke dia yang demam ni? Omong Fazlyn sendiri. Bila mendengarkan kata-kata Farhan itu membuatkan Fazlyn melompat dari katil. Sudahlah peningnya masih belum hilang lagi. Bila disergah sebegitu bertambahlah peningnya.

“Ha… Zaki…. Ye… aku tahu yang aku kena masuk hari ni. Tapi aku minta maaf sebab aku kena hantar Lyn ke klinik. Dia tak sihat.” Fazlyn mendengarkan sahaja perbualan antara Farhan dan Zaki. Pelik dengan perangai Farhan itu membuatkan Fazlyn terus berlalu dan dia kemudiannya masuk ke dalam bilik air. Namun belum sempat dia melangkah jauh dia merasa pening dan pitam. Tiba-tiba dunia dirasakan gelap. Dan akhirnya Fazlyn rebah tidak sedarkan diri.

“Fazlyn!” melihatkan tubuh Fazlyn yang sudah rebah itu membuatkan Farhan menjadi tidak menentu. Dia kemudiannya mencempung Fazlyn dan segera ke klinik. Hati Farhan kian gelisah apabila melihatkan Fazlyn yang masih belum sedar lagi. Mungkin inilah perasaan Fazlyn saat dia dipukul dulu. Memang tidak boleh digambarkan perasaan itu. Resah, gelisah, takut, dan sedih semuanya datang dengan masa yang sama.

Badan Fazlyn masih lagi lemah saat dia keluar dari klinik. Rangkulan tangan Farhan dipinggangnya membuatkan hati Fazlyn berdebar. Tidak pernah Farhan bersikap begitu terhadapnya. Namun panggilan ‘abang’ yang keluar dari bibir Farhan dan tindakan Farhan yang mengambil berat akan dirinya membuatkan dia merasa tenang. Alangkah indah jika dia juga boleh memanggil dengan panggilan ‘abang’ seperti mana panggilan isteri kepada suaminya.

“Lyn nak makan apa-apa?” Tanya Farhan sebaik sahaja mereka masuk ke perut kereta. Lyn menggeleng.

“Tak mengapalah Encik Farhan. Balik nanti saya masak. Kesian Encik Farhan dengan Tina tak ada apa nak makan nanti.”

“Tak payahlah. Abang belikan Lyn bubur. Kalau nak suruh abang buat memang tak menjadi nanti. Panjang pulak komen si Tina tu. Pasal Tina abang tahulah nak buat apa nanti. Belikan dia tomyam campur kuncilah mulut dia nanti.”

Fazlyn tersenyum tawar. Kepalanya masih lagi sakit. Mahu sahaja dia melelapkan mata. Tetapi takut pula dengan Farhan.

“Tidurlah dulu. Kalau dah sampai abang kejutkan. Lagi pun Tina dah nak balik ni. Abang terus jemput dialah sekali.” Terang Farhan. Fazlyn mengangguk. Dia kemudiannya melelapkan mata sambil membiarkan Farhan bermain dengan hati sendiri. Farhan memandang ke arah isterinya itu. Entah mengapa dengan tiba-tiba kasih dan sayang mula bercambah di hatinya. Dia tenang disamping Fazlyn. Jatuh hatikah ini? Kemudiannya kata-kata Zaki mula menerjah di kotak ingatannya.

“….Kau jangan terlalu membenci kerana aku takut di satu hari nanti kau akan menyintai dia…..” ah! Memang tepat kata-kata kau, Zaki. Namun kini dia bagaikan meludah menjilat semula kerana di saat itu dia teringin sekali Fazlyn memanggilnya ‘abang’.

Suara riuh Tina membuatkan Fazlyn tersedar dari lenanya. Dia memandang sekilas kepada Farhan dan kemudiannya dia berpaling kepada Tina dibelakang.

“Mak usu dah bangun. Kesian mak su. Mak su demam ye.”Ujar Tina sambil meletakkan tangan di dahi Fazlyn. Fazlyn berpaling kepada Tina. Dia juga melihatkan perubahan kepada Tina.

“Tina tak sihat ke?” Tanya Fazlyn. Tina menggeleng dan tersenyum.

“Bila dengan mak su mesti Tina sihat selalu.”

“Dia sakit kepala lagilah tu. Pergi klinik tak nak. Puas abang pujuk.”

“Kita pergi klinik nak?” Pujuk Fazlyn. Tina menggeleng sekali lagi.

“Tak naklah. Tina okey. Mak su tu. Jaga kesihatan.”

“Amboi! Cakap macam mak nenek.” Celah Farhan pula.

“Pak su tak kerja ke?” Farhan menggeleng.

“Pak su ambil cuti untuk mak su ye….. Hah…. Mesti pak su dah suka dengan mak su.” Senyum Tina membuatkan Fazlyn tertunduk malu.

“Masalahnya pak su je yang suka dengan mak su. Kalau mak su tak suka dengan pak su nak buat macam mana?” Ujar Farhan sambil menjeling kepada Fazlyn.

“Tulah… dulu pak su juga yang jual mahal kan?” Farhan terdiam dengan kata-kata Tina. Dulu tak pandang sekarang tergila bayang. Hah! Ambik kau!

“Mak su… rindulah dengan nota mak su tu. Hari ni kan Tina tak bawa bekal. Semua kawan-kawan nak tahu apa nota yang mak su nak bagi kat Tina.”

“Saat terindah hanya bersamamu sayang….”

“Bestnya….. kawan-kawan Tina semua suka dengan nota-nota yang mak su tulis tu.”

“Agaknya apa yang mak su tulis kalau untuk pak su ye?”

Fazlyn terkejut dengan kata-kata Farhan itu. Dia berpaling kepada Farhan dan dengan sekilas Farhan mengeyitkan mata. Malu untuk dia berkata-kata…. Setiap hari hanya nota yang sama ditulis untuk suaminya itu. Cuma semasa di hospital sahaja dia memberika nota yang berbeza.

Tiada yang lebih indah dari menjadi sebahagian dari rusukmu kanda… kasih sayang ku tanam untuk selamanya…’

Fazlyn tahu Farhan tidak pernah membaca nota yang diberikan. Jadi dia tidak begitu gelisah dengan cerita yang bentangkan oleh Tina.

“Kalau untuk pak su lagi best. ‘Tiada yang lebih indah dari menjadi sebahagian dari rusukmu kanda… kasih sayang ku tanam untuk selamanya’.Romantik betul.” Berbular biji mata Fazlyn saat mendengarkan Tina berkata-kata.

“Tina! Tak baik tau baca orang punya.” Tegas Farhan.

“Dah pak su tak nak baca. Tina bacalah bagi pihak pak su. Hari-hari mak su tulis kata yang sama. Tapi pak su tak pernah baca kan?” Teka Tina. Farhan tidak berkata apa. Dia terdiam.

“Tina….”

“sorry mak su. Tak sengaja. Sampai hati pak su tak ingat dengan nota yang mak su bagi. Dah terang memang pak su tak ambil kisah pun dengan nota yang mak su bagi.” Farhan mengaku sejujurnya. Dia tidak pernah membaca nota yang diberikan oleh Fazlyn. Sehinggalah pagi tadi saat dia ingin ke pejabat dia mengharapkan bekal dan nota yang bakal disediakan oleh Fazlyn. Namun tak sangka Fazlyn pula yang demam.

“Dah… jom balik. Layan Tina memang tak jadi kerja.” Farhan cuba menutup rasa salahnya. Sesekali dia memandang kepada Fazlyn. Gelora hati lelakinya kian melonjak untuk melunaskan nafkah zahir dan batin yang selama ini dia pinggirkan.

Merona muka Fazlyn saat Farhan menggenggam tangannya. Dia berpaling kepada Farhan yang masih lagi tenang dalam pemanduan. Tina yang berada dibelakang tersenyum senang. Melihat kebahagiaan bapa saudaranya bagaikan impian menjadi kenyataan.

Semenjak dari hari itu, kasih Farhan kian memekar untuk isterinya itu. Tambahan lagi dengan percutian bulan madu yang tidak pernah kecapi sebelum ini. Senyuman Farhan kian memekar dan senyuman Fazlyn kian manis dengan kebahagiaan yang dikecapinya kini. Dengan kasih sayang Farhan yang mendalam buat dirinya membuatkan Fazlyn kian dihargai.

“Sayang! Turun sarapan!” Laung Farhan dari bawah. Fazlyn yang sedang bersiap segera turun.

“La… abang buat sarapan ke?” Farhan mengangguk. Tina yang berada disebelah tersenyum girang. Gembira benar dia dapat mengajar bapa saudaranya membuat nasi goreng.

“Nak tunggu apa lagi? Jomlah rasa nasi goreng yang abang buat ni.” Fazlyn menarik kerusi dan aroma nasi goreng itu benar-benar membuatkan dia tidak sabar untuk merasa.

“Senang hati Tina. Lepas ni senanglah Tina nak lepaskan mak su dengan pak su. Sebab pak su dah sayangkan mak su. Nanti pak su jangan buli mak su tau kalau Tina tak ada. Kesian mak su. Pak su kena jaga mak su tau. Janji tau.”

“Yelah…. Yelah…. Banyak sangat cakaplah budak ni. Makan cepat. Komen macam mana pak su masak.”

“Erm… sedap. Bolehlah sediakan sarapan hari-hari.”

“Hari cuti je boleh. Kalau hari kerja pukul 10 baru siap.” Ujar Farhan.

“Hari ni abang nak ke pejabat sekejap. Lyn temankan Tina ye. Nanti balik abang janji kita keluar okey?” Fazlyn mengangguk.

“Mak su keluar jelah dengan pak su. Biarkan Tina sorang. Nanti pun Tina kena tinggal sorang.” Senyum Tina.

“Dia saja nak kita pergi dating tu sayang.”

“La… Tina ikut jelah. Nak buat apa tinggal sorang.”

“Tak nak kacau pak su dengan mak su.” Ucap Tina.

“Okeylah sayang-sayang ku semua. Dah nak pergi ni. Sayang, abang pergi dulu tau. Kalau ada apa-apa telefon abang.” Fazlyn mengangguk sambil menyalam suaminya itu. Farhan menghinggap satu ciuman diubun-ubun isterinya itu seperti mana dia lakukan setiap hari kini. Kemudiannya dia beralih kepada Tina yang wajahnya nampak sayu.

“La… kenapa ni? Bukan ke pak su dah janji nak bawa Tina keluar petang nanti.” Pujuk Farhan. Namun Tina terus memeluk pejap tubuh milik Farhan. Air mata Tina terus mengalir. Farhan agak terkejut dengan tindakan Tina itu.

“Kenapa ni?”

“Tina sayangkan pak su.”

“Pak su juga sayangkan Tina. Dah, jangan buat pak su risau boleh tak?” Ujar Farhan. Tina menyeka air mata.

“Okeylah pak su. Jangan lupa tau janji Tina. Jaga mak su baik-baik.” Pesan Tina sebelum Farhan melangkah keluar dari rumah.

Farhan melangkah ke dalam pejabat dengan debaran hati yang tidak boleh digambarkan. Entah mengapa dia merasa tidak sedap hati. Dia kemudiannya terkejut dengan bunyi orang mengetuk pintu biliknya.

“Farhan, aku call kau bagai nak gila tadi. Kenapa kau tak jawab?” Tanya Zaki yang riak wajahnya seakan resah.

“Aku tengah drive tadi. Sorrylah bro. kenapa? Kalau pasal projek tu aku sediakan proposal tu nanti kau semak ye.”

“Kau tinggalkan dulu projek tu boleh tak? Baik kau balik rumah kau sekarang.”

“Kenapa?”

“Maria datang tadi. Bukan main marah dia bila dia tengok gambar kau dengan Fazlyn. Mengamuk sakan dia. Nampak gayanya dia nak ke rumah kau. Sebab dia kata nak buat perhitungan dengan kau. Cepat Farhan. Aku risau tengok cara Maria marah tadi. Orang yang marah macam tu boleh buat apa-apa. Aku takut….” Belum sempat Zaki berkata apa Farhan sudah beredar dari situ.

Perjalanan ke rumah Farhan merasakan amat jauh dan lama. Di dalam hati dia hanya berdoa agar Fazlyn dan Tina tidak diapakan oleh Maria. Farhan cuba menelefon Fazlyn namun gagal. Fazlyn tidak menjawab panggilan telefonnya. Akhirnya dia meminta pertolongan dari pakngahnya yang duduk selang beberapa rumahnya. Ya allah! Kau lindungilah isteriku dan anak buahku!

Farhan sampai di rumah apabila melihatkan dua buah kereta polis sudah berada di perkarangan rumahnya. Dia berlari masuk ke dalam rumah.

“Sayang!”

“Tina!” Farhan berlari mendapatkan Fazlyn dan Tina yang terbaring di atas lantai.

“Sayang! Bangun sayang.” Farhan memangku tubuh Fazlyn. Kemudianya dia mencapai Tina yang berhampiran dengan Fazlyn. Hati lelaki Farhan kalah. Air matanya mengalir laju.

“Marrriaaaa!!!!!!!!!!!”

Air mata Farhan masih lagi basah. Melihatkan Fazlyn yang masih belum sedarkan diri membuatkan hatinya tidak pernah tenteram. Maria sudah pun ditangkap oleh polis dan dia berharap wanita itu akan menerima balasan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan.

“Bangun sayang…. Jangan tinggalkan abang.” Farhan kian erat menggenggam tangan Fazlyn. Kemudian dia mengucup lembut tangan milik Fazlyn. Wajah isterinya itu ditatap.

Kehangatan air mata Farhan telah mengumpulkan semangat Fazlyn untuk membuka matanya. Dia memandang kepada suaminya.

“Abang…” Perlahan sahaja suara yang lontarkan oleh Fazlyn. Namun dengan suara itu membuatkan Farhan memanjat rasa kesyukuran yang tidak terhingga.

“Sayang dah sedar…. Syukur Alhamdulillah…”

“Tina mana bang?” Berubah wajah Farhan saat Fazlyn bertanyakan tentang Tina. Ingin sahaja dia memberitahu perkara sebenar namun dia tidak sanggup. Nasihat doktor perlu diambil kira.

“Sayang jangan banyak cakap. Sayang kena cukup rehat. Kenapa tak beritahu dengan abang yang sayang dah berbadan dua?” Fazlyn tersenyum malu bila Farhan menceritakan tentang dirinya. Memang dia ingin memberitahu kepada Farhan namun dia tidak tahu akan perkara yang tidak diingini akan berlaku. Farhan masih lagi setia menggenggam tangan Fazlyn seolah tidak mahu dilepaskan. Kasih sayangnya kini tidak boleh dihalang oleh sesiapa pun. Cintanya adalah untuk Fazlyn seorang.

“Abang… Tina mana?”

“Sayang tidur dulu ye.” Fazlyn menggeleng selagi dia tidak tahu akan perihal Tina. Dia memandang tepat kepada anak mata Farhan.

“Abang…. Cakap bang. Tina mana?”

“Sabar ye sayang.”

“Tolonglah bang. Beritahu dengan Lyn apa yang dah jadi dengan Tina.” Fazlyn tahu ada sesuatu yang tidak elok terjadi kepada Tina.

“Sabar, sayang. Allah lebih sayangkan dia.” Kali ini air mata Farhan jatuh lagi. Sebolehnya dia tidak mahu menceritakan tentang Tina. Namun apabila dia didesak dia menjadi tidak sampai hati. Air mata Fazlyn turut gugur saat dia mengetahui apa yang telah terjadi.

“Tina cedera di kepala semasa Maria menolaknya ke dinding. Doktor tidak dapat selamatkan Tina, sayang. Apa lagi dengan barah otak yang dihidapinya. ” Bergetar suara Farhan saat memberitahu akan perkara yang sebenarnya.

“Ini semua salah Lyn kan bang.”

“Jangan cakap macam tu sayang. Tak baik. Kalau arwah Tina dengar mesti dia marah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Allah menjadikan sesuatu kejadian itu ada hikmahnya sayang. Jangan salahkan diri sendiri dengan apa yang terjadi.”

“Tapi bang….”

“Shh…. Dah, jangan cakap yang bukan-bukan. Tak baik untuk kandungan sayang tu. Abang janji sayang. Akan menjaga sayang seperti mana nyawa abang. Janji dengan abang jangan sebut perkara yang bukan-bukan. Kita berdoa sahaja Tina ditempatkan orang-orang yang beriman ye sayang….” Fazlyn menangis semahunya di bahu Farhan. Farhan dengan perlahan memeluk isterinya itu.

“Lepaskanlah sayang…. lepaskanlah tangisan itu. Kita berdoa yang terbaik untuknya.”

Tujuh bulan berlalu….

“Ala sayang anak papa ni….. busuknya sayang. Tak mandi lagi ke anak bujang papa ni?” Farhan mengagah anak kecilnya itu. Fazlyn tersenyum dengan gelagat Farhan. Baru balik kerja terus nak menerpa anak.

“Lagi busuk papa tu kan sayang.” usik Fazlyn.

“Amboi, mama tu macam nak halau papa je.” Jeling Farhan manja. Fazlyn kemudiannya mencapai Rafiq dari Farhan. Dia meriba Rafiq sambil menyusukan anak kecil itu.

“Ala… bang pun nak riba juga…” Renggek Farhan.

“Tak nak! Abang busuk.” Usik Fazlyn.

“Busuk-busuk pun lelaki nilah yang Lyn sayang…”

“Ye… Lyn sayang abang….” Farhan tersenyum dan kemudiannya dia mencapai tangan Fazlyn dan mengucup lembut. Kasihnya tertumpah di situ. Begitu juga dengan kehadiran insan baru yang melengkapkan kehidupan rumahtangganya. Tiada yang indah saat berada dengan insan-insan yang tersayang. Buat Tina, kasihnya masih tersemat dihati walaupun jasadnya telah pergi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.