Home Cerpen Keluarga Cahaya Aidilfitri
Cahaya Aidilfitri
Siti Norshimah Binti Md Yasan
15/8/2015 09:21:29
4,365
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

CAHAYA AIDILFITRI

Fazni memerhatikan gelagat orang ramai yang sedang beratur membeli juadah untuk berbuka nanti. Baazar ramadhan yang menyediakan pelbagai menu juadah membuatkan Fazni mula rambang mata. Kalau boleh semua yang tersenarai di anak tekak ingin dibelinya. Namun memandangkan dia cuma dua ‘mulut’ terpaksa juga dia buat short list. Apa yang benar-benar yang ingin dirasa. Pak Ishak masih lagi mengikut Fazni dari belakang. Dia juga turut rambang mata. Namun murtabak yang berada di tangan di kirinya adalah juadah wajib untuk dia berbuka.

“Pak Ishak, nak makan apa ni?” Tanya Fazni sambil memandang ke arah tepung pelita yang menggamit seleranya.

“Terpulanglah pada Encik Fazni nak makan apa. Kuih tu pun nampak macam sedap je.” Ujar Pak Ishak.

“Kak, minta kuih tu empat ringgit.” Fazni menundingkan jarinya ke arah kuih Tepung Pelita.

“Banyak sangat tu Encik Fazni. Nak buat apa?” Tanya Pak Ishak kehairanan. Fazni tersenyum dan lantas memandang kepada Pak Ishak.

“Pak Ishak bawak balik rumah separuh.” Ujar Fazni.

“Eh, tak payalah susah-susah. Pak Ishak makan murtabak ni pun dah cukup. Lagi pun Mak Mah kamu dah masak nasi kat rumah tu.” Tolak Pak Ishak lembut.

“Ala…. Ambik jelah Pak Ishak. Bawakan untuk Mak Mah. Mana tau dia teringin nak makan kuih ni.” Pak Ishak merasa serba-salah. Akhirnya dia mengalah.

“Yelah….” Pak Ishak menyambut kuih dari tangan Fazni. Bak kata orang rezeki jangan ditolak dan musuh jangan pula dicari.

Akhirnya Fazni tiba di rumah jam 700 malam dan masih lagi berbaki 20 minit sebelum umat islam berbuka puasa. Pak Ishak pula segera pulang ke rumah setelah menghantar Fazni pulang. Kuih tepung pelita yang dibelikan oleh Fazni dibawanya sekali. Fazni segera turun ke ruang makan setelah masa kian menginjak waktu berbuka. Dia kelihatan santai dengan berbaju t-shirt dan berkain pelikat. Fazni memberi salam kepada ayahnya, Dato’ Malik yang dari tadi menantikan Fazni untuk berbuka bersama-sama. Aroma gulai ayam masak lemak cilia pi mula menjamah hidungnya yang agak mancung itu. Dia melabuhkan punggung di hadapan Dato’ Malik dan segera menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Bila masa pulak Mak Mah masak ni. Nampak macam sedap je.” Tegur Fazni.

“Nampak sedap ye. Yang sebenarnya abah yang masak.” Fazni tegas berpaling. Hah? Boleh percaya ke ni?

“Fazni tak percayalah abah yang masak. Selama ni tak pernah pun nampak abah masak. Hari ni pulak rajin masuk dapur.” Fazni menggelengkan kepala. Tak percaya ianya adalah hasil tangan ayahnya itu.

“Tak percaya tak apa. Cuba Fazni rasa dulu sama tak dengan masakan Mak Mah. Yang sebenarnya abah dah lama tinggalkan dunia memasak ni. Masa abah bujang dulu memang abah pandai memasak. Masa belajar kat oversea dulu abah yang jadi ketua chef masa raya tau. Cubalah rasa.” Dato’ Malik tersenyum.

“Nampak macam sedap.” Fazni sudah tidak sabar untuk menikmati hidangan berbuka itu memandangkan menu kegemarannya sudah jelas diruang matanya. Mana boleh dia menolak lauk gulai ayam itu.

Tatkala azan mangrib berkumandang, kedua beranak itu menikmati hidangan berbuka tanpa suara. Dato’ Malik memerhatikan sahaja anak terunanya itu sehingga selesai membasuh tangan.

“Raya tahun ni Fazni nak keluar negara juga ke?” Tanya Dato’ Malik memecah keheningan senja itu. Fazni mendiamkan diri. Dengan perlahan dia mencapai air dihadapannya dan diteguk puas. Fazni senyum seketika. Mungkin ada maksud ayahnya itu memancing dia dengan gulai ayam itu. Pasti ada sesuatu yang ingin disampaikan.

“Fazni nak ke switzeland.” Ringkas dan padat sahaja jawapan yang dilemparkan oleh Fazni.

Memang begitu dia untuk sepuluh tahun kebelakangan ini. Dia tidak betah untuk menyambut hari raya kerana pada saat itu insan kesayangan meninggal dunia. Dan untuk melupakan masalah itu Fazni sering membawa diri bila saat tibanya hari raya. Jika tahun lepas Rome menjadi pilihan hatinya dan tahun ini dia memilih swizeland untuk membawa diri.

“Beraya dengan abah tahun ni.” Fazni memadang kepada Dato’ Malik untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian.

“Abah rindu nak berhari raya dengan anak abah ni.” Farhan senyap. Cuba untuk mengamati kata-kata ayahnya itu. Atau lebih menjurus kepada permintaan.

“Maafkan Fazni, abah. Fazni sudah pun tempeh tiket. Lagi pun tiada apa yang tinggal untuk Fazni berhari raya di sini.”

“Fazni masih ada abah. Abah perlukan Fazni.” Fazni mengeluh. Dato’ Malik masih lagi memandang dengan penuh harapan. Harapannya amat tinggi dan sepuluh tahun juga dia menanti dengan penuh sabar.

“Abah sunyi kalau Fazni pergi nanti. Ayah juga yang termenung seorang diri kat sini. Nasib baik ada Pak Ishak. Nampaknya tahun ni abah kena beraya dengan dia lagi. Bilalah abah nak merasa nak berhari raya dengan anak sendiri.” Ada nada sedih dan kesal yang diucapkan oleh Dato’ Malik.

“Kalau macam tu abah ikut Fazni sajalah.” Cadang Fazni. Dia juga kasihan melihat ayahnya keseorangan.

“Tidak Fazni. Abah tak boleh buat macam tu. Setiap tahun abah akan kunjungi pusara ibumu nak. Abah tidak akan tinggalkan tanah ni pada waktu yang mulia itu.” Fazni terdiam di saat ayahnya mula menyebut tentang ibu. Entah mengapa hatinya mula sebak.

“Maafkan Fazni ayah. Fazni masuk naik dulu. Fazni nak sembahyang maghrib.” Fazni tidak dapat berkata apa lagi. Dia mematikan perbualan dengan meninggalkan sisa harapan bagi seorang ayah.

Fazni berteleku di meja dengan kerja-kerja yang masih tertangguh. Dia tidak mengendahkan suara bising dan riuh di luar. Dia membiarkan para pekerjanya menikmati suasana menjelang hari raya. Keriuhan yang di luar sedikit pun tidak membuat dia terganggu. Cuping telinganya jelas menangkap suara Farah yang nyaring.

“Kalau nak kuih bayar dulu. No pulus no kuih, okey?” Begitulah kata-kata Farah yang dapat ditangkap oleh Fazni. Fazni tersenyum dengan gurauan Farah itu. Farah si penjual kuih semasa raya. Tiap tahun ada sahaja tempahan yang diterimanya.

“Oi! Tudung yang kau ambik hari tu kau tak bayar lagi tau. Ini buku hutang aku yang jadi bukti. Bila masa nak bayar. Order hari tu bukan main lagi.” Kali ini suara Fariha pula yang memetir.

Mangsa-mangsa yang kebanyakkannya adalah lelaki yang sudah pun sedia mengenepilkan duit untuk persiapan hari raya. Nak belikan untuk emaklah, nak belikan untuk isterilah da nada juga yang ingin belikan untuk tunang dan buah hati. Yang pasti Farah dan Fariha senyuman mereka sampai ketelinga. Mahu tidak, untung mereka berganda. Duit gaji pun tak terusik. Raya sakan mereka tahun ni.

Fazni memberi peluang kepada pekerjanya untuk menikmati suasana hari raya. Lagi pun tidak lama lagi umat islam akan menyambut hari raya. Insyaallah dalam tempoh 3 hari lagi. Fazni memerhatikan gambar yang amat dirindui selama ini. Wajah ibunya kian jelas diruang matanya. Lagu raya kemudiannya berkumandang di corong radio yang dikawal oleh pusat kawalan membuatkan hatinya kian sayu. Dia kemudiannya mendail nombor Muhammad.

“Mad, tolong offkan radio di dalam bilik saya. Saya tengah buat kerja ni.” Ujar Fazni yang cuba menutup rasa getarnya. Akhirnya dia menghela nafas lega apabila lagu yang tadinya berkumandang senyap dengan tiba-tiba. Erm…. Bolehlah buat kerja lepas ni.

Fazni bangkit dari duduknya dan segera meninjuau keluar bilik. Kosong. La… mana perginya semua orang dalam pejabat ni? Fazni melirik jam di tangan kanannya. Hah? Sudah pukul 630? Dah lambat ni. Patutlah rasa lenguh badan bukan main. Farhan mengemas segala di atas meja dan menutup semua lampu dan komputer. Dia harus berada di KLIA sebelum pukul sembilan untuk penerbangan ke Switzeland. Dia mencapai kot dan briefcase dan segera keluar dari pejabat.

Bagus! Hujanlah pulak. Mesti jalan jammed punyalah. Tambahan lagi waktu orang ramai yang mahu keluar dari kota untuk pulang ke kampung halaman. Fazni berlalu dan menghidupkan enjin kereta. Belum sempat dia membelok ke jalan besar dia telah terlanggar seseorang. Fazni keluar dari perut kereta untuk mendapatkan pertolongan.

“Awak tak ada apa-apa ke?” Fazni cuba untuk membantu gadis berbaju kurung biru itu. Dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak melihat kiri dan kanan. Inilah kalau dah kalut. Ada sahaja yang tak kena.

“Kaki saya sakit.” Air mata Qalesya mula mengalir menahan sakit. Orang lagi nak cepat ke stesen bas ada pula bala yang menimpa. Qalesya menyeka air mata yang masih berbaki. Nak marah pun tak ada gunanya. Perkara dah terjadi. Terima sajalah takdir yang telah ditentukan.

“Awak boleh bangun tak?” Tanya Fazni lagi. Qalesya cuba bangun namun gagal. Dia jatuh semula. Beg pakaian yang berada tidak jauh dari sisinya ditarik. Kakinya begitu sakit untuk dia bangun semula. Macam mana nak jalan ni? Wa….. nak balik kampung. Ternyata wajah Qalesya mula berubah.

“Saya minta maaf. Saya betul-betul tak nampak awak tadi. Saya minta maaf. Awak nak pergi mana? Biar saya hantarkan awak.” Fazni cuba untuk membantu Qalesya. Dia cuba untuk bangunkan Qalesya.

“Saya nak balik Melaka ni.” Gulp! Bagai tersekat dikerongkong anak tekak Fazni mendengarkan kata-kata Qalesya itu. Melaka? Berguarau ke dia ni?

“Alamak…. Kalau macam ni terlepaslah bas saya.” Dengan perasaan yang agak bersalah, Fazni memasukkan beg pakaian Qalesya di dalam bonet kereta.

“Tak mengapalah. Saya akan hantar awak ke stesen bas.” Pelawa Fazni sambil membuka pintu kereta. Qalesya tiada pilihan lain dan segera masuk ke dalam kereta milik Fazni.

“Saya minta maaf Encik Fazni kalau saya ni agak menyusahkan.” Fazni tersentak apabila Qalesya tahu akan namanya. Dia kenal aku?

“Macam mana awak boleh kenal saya?”

“Encik Fazni adalah CEO syarikat. Kalau ada pekerja yang tidak kenal dengan CEOnya jangan kata bekerja kat syarikat tu.”

“Tapi saya tak kenal dengan awak.”

“Seorang pekerja kenal akan majikannya. Tetapi Encik Fazni nak kenal akan 2,000 pekerja saya tak pasti Encik Fazni boleh lakukan.” Qalesya tersenyum. Dia tidak meyangka dapat menaiki satu kereta dengan majikannya. Ianya bagaikan di dalam mimpi dan mimpinya menjadi realiti. Bukan senang untuk dia berjumpa dengan majikannya. Dalam setahun dia hanya berjumpa dengan Fazni cuma dua kali. Pertama semasa pembentangan kewangan syarikat dan juga majlis Beramah Mesra Aidilfitri. Itu pun dia memandang dari jauh.

“Benar kata awak tu. Eh, pukul berapa bas awak?” Tanya Fazni.

“Lapan.” Ringkas sahaja jawapan yang dilemparkan oleh Qalesya.

Fazni memandang jam di dashboard keretanya. Sudah hampir dengan waktu berbuka. Dia menguatkan radio KLFM dan suara gemersik ayat-ayat Al-quran menyapa di cuping telinga. Begitu mendamaikan. Tidak kemudiannya azan maghrib mula berkumandang. Kini baru dia sedar tiada apa untuk dia berbuka. Nampaknya telan air liur sajalah waktu sekarang ni. Nak berhentikan kereta kasihan pula dengan Qalesya. Nanti terlepas pula bas untuk pulang ke kampung. Kemudiannya dia tersentak apabila Qalesya memberikannya air kotak dan roti. Fazni memandang kepada Qalesya. Malu pula untuk dia menyambut pemberian dari Qalesya itu.

“Encik Fazni ambillah. Kebetulan saya ada beli lebih. Alas perut tu dulu.” Akhirnya Fazni akur. Dia menyambut roti dan air dari pemberian dari Qalesya. Bukan itu sahaja. Qalesya dengan senang hati membantu membukakan plastik roti dan air.

Fazni mula rasa tidak senang apabila jam telah pun menunjukkan ke angka 745 malam. Lima belas minit lagi Qalesya akan terlepas basnya. Keadaan jalan raya kian sesak. Untuk menyampaikan satu kilometer pun mahu hampir setengah jam. Dan dia pula perlu sampai ke KLIA sebelum pukul 900 malam untuk chek-in.

“Alamak…. Jalan sesaklah pulak.” Kata-kata Fazni itu membuatkan Qalesya berubah riak wajahnya. Takut dan gelisah kerana dia tidak dapat gambarkan sekiranya dia gagal sampai di stesen bas sebelum pukul 800 malam.

“Sabarlah Encik Fazni.” Pujuk Qalesya untuk menutup rasa gelisah dan tidak mahu Fazni turut rasa perasaan yang sama. Dia pasti jika ada rezeki dia akan sempat sampai.

“Tak pun Encik Fazni turunkan saya di stesen LRT. Saya pasti Encik Fazni pun nak balik beraya di kampung.” Kampung? Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mempunyai kampung. Kuala Lumpur adalah kampungnya. Di luar negara adalah tempat dia menyambut hari raya semenjak 10 tahun yang lalu.

Akhirnya Qalesya agak gementar. Lagi 5 minit bas akan bertolak dan stesen bas TBS masih belum jelas diruang matanya. Buatnya bas akan terlepas nak buat macam mana? Qalesya tekad. Kalau dia terlepas bas, esok hari dia akan naik tren komuter ke Seremban dan naik bas kemudiannya. Kalau tiada bas ekspress dia akan naik bas sambut-sambut. Itu adalah penyelesaiannya jika dia terdesak. Nasib baik juga kampungnya di Melaka. Buatnya jauh di utara mahu menangis tak berlagu.

Sampai sahaja di Terminal Bersepadu jam telah pun menunjukkan ke angka 815 malam. Hati Qalesya berdebar. Dia segera ke kaunter untuk bertanyakan tentang bas yang akan dinaiki. Telahannya benar. Qalesya hampa. Bas yang bakal dinaiki baru sahaja berlepas. Memang dia sudah menggagak bahawa dia akan ketinggalan bas. Ah, dugaan apakah ini? Qalesya melangkah perlahan dari terminal itu dengan perasaan sedih. Dia terpaksa berdikari esok. Yang penting dia mesti pulang ke kampung esok untuk menyambut hari raya. Wajah ibu dan adik-adiknya silih berganti.

Belum sempat dia menelefon keluarganya dikampung, raut wajah Fazni jelas di pandangan matanya. Fazni masih belum pulang? Apa pula dia buat di sini?

“Encik Fazni? Apa encik buat kat sini. Kenapa tak balik lagi?” Fazni tersenyum seperti kerang busuk. Baju kemeja biru yang dipakainya semenjak pagi tadi bagaikan tidak terurus. Tali lehernya sudah dilonggarkan.

“Saya minta maaf kalau saya membuatkan Qalesya terlepas bas tadi. Ada apa yang boleh saya bantu?” Qalesya menyeka air mata buat kali kedua. Hati lelaki Fazni ternyata rasa gelisah. Dia pasti dia perlu untuk membantu Qalesya.

“Tak mengapalah Encik Fazni. Saya boleh naik tren esok. Yang penting sekarang ni baik encik balik. Nanti lambat pulak sampai ke kampung.” Ujar Qalesya untuk tidak membebani Fazni dan dalam erti kata yang sama dia juga sedang memujuk dirinya juga.

“Ada tren ke Melaka ke?” Qalesya tertawa mendengarnya. Nampak sangat Fazni tidak pernah menaiki pengangkutan awam.

“Memang le tak ada. Esok saya kena naik tren ke Seremban. Lepas tu kena naik bas ke Tampin. Lepas ke Tampin saya ke naik bas ke Melaka. Sampai di Melaka saya kena ambil bas untuk ke kampung saya. Esok pagi saya kena bangun awal.” Terang Qalesya. Terbuntang biji mata Fazni mendengarnya. Sampai begitu sekali? Payahnya.

“Saya hantar Qalesya balik kampung.” Entah mengapa pelawaan itu laju meluncur dari bibir Fazni. Tercenggang Qalesya mendengarnya. Biar betul.

“Encik Fazni ni biar betul. Tak payahlah susah-susah. Saya boleh balik esok. Jangan bimbang. Esok masih ada. Lusa barulah kita beraya.” Qalesya cuba menolak pelawaan Fazni. Dia tidak mahu menyusahkan majikannya itu.

“Saya hantar awak balik kampung…. Please….” Qalesya mula rasa serba-salah.

“Tapi….” Qalesya agak berat dengan tawaran oleh Fazni itu. Walau pun dia tahu Fazni adalah majikannya namun dia merasa agak curiga. Namun begitu dia terdesak.

“Minta saya telefon awak.” Hah? Melopong mulut Qalesya mendengarnya.

“Nak buat apa?”

“Bagi je….” Telefon bimbit yang berada di tangan Qalesya dicapai tanpa Qalesya memberi keizinan. Fazni bertanyakan tentang nombor telefon di kampung sebelum dia mendail.

“Makcik jangan bimbang. Saya akan hantar Qalesya sampai depan pintu rumah. Kalau kami tak sampai sebelum sahur, makcik boleh panggil polis.” Qalesya binggung.

“Awak jangan bimbang. Saya akan hantar awak balik kampung. Lagi pun saya tiada kampung untuk berhari raya.” Tanpa sedar Fazni menarik tangan Qalesya. Qalesya terhenti.

“Encik Fazni….” Fazni berpaling. Alamak! Dia malu sendiri. Hish! Tarik tangan anak dara orang.

“Sorry… tak sengaja.” Qalesya tersenyum sendiri. Dia kemudiannya mengikut Fazni sehingga ke kereta.

“Saya tak faham dengan Encik Fazni. Kalau Encik Fazni tak ada kampung masakan bawa beg besar. Habis tu dalam bonet tu?”

“Saya bukan nak balik kampung tapi saya nak ke luar negara.” Perlahan sahaja kata-kata yang dilontarkan oleh Fazni. Dia tidak mahu Qalesya memikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya.

“Ke luar negara pada bulan yang mulia ini? Encik Fazni memang rugi besar. Orang bandar semuanya nak pulang ke kampung bertemu dengan sanak-saudara sedangkan Encik Fazni lari dari semua tu? Saya memang tak faham dengan Encik Fazni. Kita dihari mulia ini adalah masa untuk kira bersama-sama yang tersayang. Memang sejak kecil lagi ke Encik Fazni berhari raya di luar negara? Bagaimana pula dengan Dato’?” Fazni tidak segera menjawab persolan itu. Dia tenang dengan pemanduan dan meleparkan pandangan ke luar tingkap sambil membariskan ayat untuk jawapan kepada Qalesya.

“Saya berhari raya semenjak sepuluh tahun yang lalu. Cuma ayah saya sahaja yang masih setia berhari raya di sini.” Ternyata pengakuan dari Fazni itu memeranjatkan Qalesya. Fazni tidak membalas pandangan Qalesya sebaliknya dia meneruskan pemanduannya.

“Saya yang singgah di R & R sekejap. Saya nak mandi, solat dan makan sekali. Sudahlah saya tertinggal maghrib tadi.” Fazni terus mengubah tajuk. Dia sebenarnya tidak mahu bersoal jawab dengan Qalesya sekirnya gadis itu bertanyakan tentang dirinya.

Qalesya akhirnya mengangguk setuju. Dia kemudiannya merasa serba-salah kerana mencampuri urusan peribadi majikannya itu. Qalesya turun dari kereta dan turut menunaikan solat. Usai solat dia kemudiannya membeli makanan untuk dirinya dan juga Fazni tanda terima kasih yang tidak terhingga untuk majikannya. Dia kemudiannya pulang ke kereta untuk menantikan Fazni.

Penantian Qalesya berakhir apabila melihatkan kelibat Fazni yang sudah pun menukar baju. Ah, orang lelaki memang senang dan sempoi je. Kali ini Fazni agak lebih santai dengan memakai t-shirt dan berseluar jeans. Yang jelas Fazni lebih tampak kacak. Sepanjang perjalanan Qalesya lebih banyak membisu. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut tentang apa yang berlaku memandangkan Fazni sendiri tidak selesa dengan pertanyaanya.

“Macam mana dengan kaki awak? Dah okey dah?” Fazni bertanya memecah kesunyian malam. Sudahlah jalan sesak. Melayani lagu hari raya yang kerap berkumandang di corong radio membuatkan Fazni kian tidak selesa. Dan penyelesaianya dia cuba untuk berbual dengan Qalesya.

“Dah okey dah. Kurang sikit masa saya letakkan minyak panas tadi.”

“Kalau tak okey saya hantarkan pergi klinik.”

“Tak mengapalah Encik Fazni. Saya dah okey dah.” Tolak Qalesya. Sudahlah Fazni mempelawanya untuk hantar pulang ke kampung. Itu pun sudah cukup untuk dia berterima kasih.

“Sekarang memanglah tak sakit. Esok baru terasa.” Qalesya memandang kepada Fazni yang luar biasa tindakannya.

“Tak apa…. Saya okey. Encik Fazni hantarkan saya balik ni pun dah cukup. Tak payahlah susah-susah.” Tolak Qalesya.

“Saya yang langgar awak. Dan sudah jadi tanggungjawab saya untuk pastikan awak selamat.” Ujar Fazni. Qalesya diam. Memang dia masih terasa sakit di kakinya tetapi dia yakin semuanya itu tidak lama. Namun apa yang penting pada ketika ini adalah dia ingin cepat sampai ke kampung untuk bertemu dengan keluarganya.

Mereka kemudiannya sampai di Melaka tatkala jam menunjukkan ke angka 2.00 ekoran dari jalan yang agak sesak di lebuh raya . Fazni mula rasa letih. Maklumlah…. Perjalanan yang biasanya 2 jam menjadi 5 jam memang memenatkan. Namun dia perlu gagahi juga untuk dia pulang ke Kuala Lumpur. Apa yang penting kini dia sudah pun menunaikan amanah yang telah dijanjikan olehnya untuk pastikan yang Qalesya selamat sampai di kampung.

“Assaalamualaikum….” Laung Qalesya nyaring. Namun belum sempat dia memberi salam yang kedua, salamnya bersambut. Lesar senyuman sang ibu apabila melihatkan anak gadisnya selamat sampai.

“Maafkan saya makcik. Jalan sesak tadi. Saya minta maaf juga sebab saya Qalesya terlepas bas dia.” Terang Fazni sambil bersalaman dengan wanita yang sudah melepasi separuh abad itu.

“Tak mengapa. Makcik faham. Makcik senang bila Qalesya selamat sampai. Jemputlah masuk dulu. Rehatkan badan. Tak pun sahur dulu kat sini. Bila dah segar badan tu bolehlah balik.” Pelawa Puan Halijah manis. Fazni rasa serba-salah.

“Buat susah makcik saja. Tak mengapalah makcik…. Saya boleh drive.” Fazni cuba menolak. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga itu. Dalam erti yang sama dia perlu ke KLIA untuk mencuba nasib sekiranya ada flight untuk dia terbang Switzeland.

“Tak ada susahnya. Marilah masuk. Makcik senang kalau Fazni sudi.” Melihatkan kejujuran ibu Qalesya itu membuatkan Fazni akur. Dia masuk ke rumah milik keluarga Qalesya dan duduk di atas kerusi rotan dan lantas dia mencari kelibat Qalesya. Ah, mungkin dia sudah masuk ke biliknya.

“Encik Fazni, bangun sahur.” Fazni tersentak apabila dia dikejutkan. Dalam samar lampu dia melihatkan senyuman Qalesya yang berganti dengan panggilan namanya.

“Macam mana saya…” Fazni melihatkan dirinya berselubung dengan selimut.

“Angah yang selimutkan Encik Fazni tadi. Jom makan.”

“Dah pukul berapa ni?” Tanya Fazni dalam keadaan separa sedar.

“Dekat pukul 5.00. Bangunlah Encik Fazni. Nanti lewat pulak.” Fazni bangkit. Badannya mula terasa setelah lena dari tidurnya. Dia mengikut Qalesya dari belakang. Sampai sahaja di dapur alangkah terkejutnya dia melihatkan adik-beradik Qalesya yang begitu ramai. Satu… dua… tiga… empat….lima… dan enam termasuk Qalesya?”

“Ini tak termasuk kak long saya. Saya ada 7 orang adik-beradik. Ramaikan? Kalau dah berkumpul tu Encik Fazni jangan terkejut dengan telatah mereka.” Ujar Qalesya sebelum Fazni bertanya. Hish! Macam tahu je apa yang nak ditanya. Fazni malu sendiri.

Berada di kelompok keluarga Fazni entah mengapa Fazni leka dengan telatah adik-beradik Qalesya. Ibarat seperti dia sudah lama kenal. Begitu juga dengan ibu Qalesya yang tidak kekok melayaninya. Namun hanya satu persoalan yang bersarang di dalam fikirannya. Di manakah ayah Qalesya?

Usai bersembahyang subuh Qalesya menghantar Fazni sehingga di pintu rumah. Melihatkan Fazni yang sudah bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur membuatkan hati Qalesya bagai diulit seribu perasaan. Kenangan semalam kian menerjah di kotak fikirannya. Dan selepas ini sudah tentu dia tidak akan bertemu dengan majikannya itu. Kalau ada pun mungkin dari kejauhan sahaja.

Fazni masuk ke perut kereta dan segera menghidupkan enjin kereta. Namun sudah puas dia memulas kunci keretanya namun senyap dan sunyi. Pelik! Semalam okey je. Keretanya masih lagi tidak mahu hidup. Dia kemudianya keluar dari kereta dan melihat keadaan enjin keretanya. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Macam mana dia ingin pulang ke Kuala Lumpur kalau keretanya meragam?

“Kenapa Encik Fazni?” Qalesya berlalu menuju ke arah Fazni yang sudah mula berputus asa.

“Entahlah. Kereta ni meragamlah pulak.” Qalesya tersenyum.

“Mungkin Encik Fazni kena beraya kat sini kot? Mana nak cari mekanik sekarang ni.” Fazni mengeluh sekali. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang ini. Halijah yang berada di dalam bilik setelah bersembahyang subuh turut keluar untuk melihat Fazni yang ingin pulang ke Kuala Lumpur. Namun dia melihatkan Fazni masih lagi setia di kereta sambil riak wajah yang bermasalah.

“Kenapa Qalesya?”

“Ini mak…. Kereta Encik Fazni ni…. Segan nak hidup.” Ujar Qalesya melawak. Semenjak semalam dia tidak pun melihat segaris senyuman dari bibir majikannya itu.

“Nampaknya Fazni kena beraya dengan kami. Lagi pun Qalesya kata Fazni tak ada kampung nak beraya. Apa salah beraya dengan kami. Boleh merasa raya dikampung. Dah alang-alang sampai sini. Lagi pun esok dah raya.”Kali ini Puan Halijah pula yang mempelawa. Fazni memandang wajah Qalesya dan Puan Halijah dengan silih berganti. Bagaimana harus dia memberitahu bahawa dia sedikit pun tidak membuat persiapan.

“Maafkan saya, makcik. Lagi pun saya tak buat sebarang persiapan pun. Baju raya pun saya tak beli. Seganlah saya makcik. Tak apa. Nanti matahari naik saya cuba cari mekanik.” Ujar Fazni.

“Alasan saja tu mak. Mustahil Encik Fazni tidak beli sebarang persiapan untuk hari raya?” Fazni menggeleng. Qalesya tersenyum lagi.

“Masih belum terlambat lagi, Encik Fazni. Nanti saya minta tolong adik saya Sukri temankan Encik Fazni beli semua tu. Lagi pun ada banyak barang nak beli. Nanti boleh beli baju melayu.”

“Tapi…”

“Tak payah nak bertapi lagi, Fazni. Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan. Dah, masuk. Banyak kerja nak buat ni. Nanti boleh tolong kami.”

Entah mengapa dengan hati yang terbuka Fazni menerima ajakan dari ibu Qalesya itu. Dia mengangkat beg dan terus menuju ke bilik Sukri untuk dia menyalin baju. Esok adalah hari raya. Mungkin ada sesuatu dia boleh lakukan untuk keluarga itu kerana menerima kedatangannya. Akhirnya dia mengikut Sukri ke pekan untuk membeli barang dan persiapan untuk hari raya esok.

Suasana sebelum hari raya di kampung membuatkan dia lupa seketika. Kesibukkan masing-masing dengan tugas sendiri membuatkan dia merasa riang. Qalesya yang dari tadi sibuk di dapur bersama ibunya sering diusik oleh adik-adiknya yang kecil. Sehinggakan Qalesya tidak senang untuk memasak. Fazni tersenyum dengan telatah adik-adik Qalesya yang suka mengusik itu. Aroma rendang dan kuah kacang mula menusuk di ruang hidungnya. Sudah lama dia tidak merasa rendang dan kuah kacang.

Fazni mula mencari kerja. Dia segera menuju ke arah Sukri yang sedang menjaga ketupat. Sambil itu dia juga mengapak kayu bagi memenuhkan kayu api di dalam bangsal. Fazni mencapai kapak dari tangan Sukri.

“Tak mengapalah Encik Farhan…. Biar saya yang buat. Encik Farhan kan tetamu kami.” Sukri mencapai kembali kapak dari tangan Fazni. Payah nanti. Silap haribulan kapak pulak yang melayang nanti. Kalau kena orang tak ke haru nanti.

“Tak perlulah panggil Encik Farhan. Panggil abang pun dah cukup. Seganlah abang je yang tak ada kerja.”

“Tak adapalah bang. Abang duduk je.” Namun Fazni merasa tidak selesa. Akhirnya dia membantu Sukri menyusun kayu api. Sambil itu dia berbual panjang. Berborak dengan Sukri dia merasa amat seronok. Bagaikan dia sudah lama mengenali anak muda itu.

“Lepas habis kita rebus ketupat ni kita pergi balik ke pekan. Kak ngah kata abang tak ada baju melayu lagi. Nanti ikut Syuk. Kita pergi beli baju melayu dengan songkok sekali. Mesti abang handsome kalau pakai baju melayu, kan?” Fazni tersenyum mendengarkan ajakan itu. Betapa hatinya tenang ketika itu. Sambutan Qalesya sekeluarga begitu bermakna buat dirinya. Dia begitu selesa sekali.

Azan isyak mula berkumandang kemudian disusuli dengan takbir raya. Fazni masih lagi memandang keluar jendela dengan pemandangan kanak-kanak riang yang sedang seronok bermain bunga api. Lamunannya begitu jauh. Semenjak kecil lagi dia tidak pernah merasai aidilfitri yang begitu bermakna seperti ini. Betapa dia aman dan bahagia di desa yang begitu mendamaikan jiwanya. Namun jauh di sudut hati Fazni masih lagi merintih. Pemergian ibunya di malam aidilfitri bagaikan berlaku semalam.

Tanpa disedari perilaku Fazni diperhatikan oleh Qalesya dari belakang.

“Kak ngah, pergilah tengok abang Fazni tu. Dari tadi asyik termenung je.” Bisik Malina perlahan di cuping telinga Qalesya.

“Encik Fazni…” Fazni tersentak dan berpaling. Kali ini Qalesya terkejut dengan senyuman yang dilemparkan oleh Fazni. Hati Qalesya mula rasa debarannya. Ya Allah… kau tetapkanlah hati ini. Patutlah ramai yang meminati CEO muda ini. Dengan wajah bersih ala cina dan rambut ikal dan berlesung pipit patutlah Rohana tak tidur malam. Hati kecil Qalesya tertawa apabila teringatkan rakan sekerjanya.

“Saya nampak Encik Fazni termenung panjang dari tadi. Kenapa? Encik Fazni tak selesa tinggal di sini ke?” Fazni tersenyum lagi.

“Ada apa yang boleh saya bantu?”Fazni senyap. Qalesya masih lagi berdiri dan menantikan kata-kata dari Fazni.

“Bukan…. Saya memang seronok di sini. Tapi…. Qalesya tahu mengapa saya berhari raya di luar negara selama sepuluh tahun ini?” Qalesya senyap. Menantikan bicara lanjut dari Fazni.

“Ibu menyayangi saya dengan menatang minyak yang penuh. Berkongsi kegembiraan dan juga kedukaan saya. Saat saya dahagakan lagi kasih-sayangnya, Allah telah menjemputnya di malam aidilfitri kerana barah yang dihadapinya. Semenjak dari itu, setiap malam raya saya akan memikirkannya. Saya keluar negara untuk tidak memikirkannya.” Qalesya menghampiri Fazni. Minyak wangi berjenama polo menerawang mencecah hujung hidungnya.

“Encik Fazni bukan melupakan masalah, tetapi Encik Fazni ingin melarikan diri dari masalah. Encik Fazni beruntung kerana sudah tahu akan pemergiannya. Saya, kehilangan ayah saat kami adik-beradik perlukan kasih-sayangnya. Di malam raya juga ayah terlibat kemalangan jalan raya semasa ingin ke masjid. Dengan keadaan kami adik-beradik yang ramai, saya terpaksa mengharungi cabaran itu. Setiap yang hidup perlu teruskan kehidupan. Lagi pun Encik Fazni punyai ayah.”

“Saya buntu Qalesya.”

“Masih belum terlambat, Encik Fazni. Encik Fazni mempunyai ayah yang perlukan kasih sayang dari seorang anaknya. Dan Encik Fazni perlu mengambil kesempatan ini sebelum dia pula yang meninggalkan kita. Kita tidak tahu akan ajal kita yang akan menjemput. Saya yakin dengan Encik Fazni. Encik Fazni boleh lakukan.”

Fazni terdiam mendengarkan kata-kata Qalesya yang begitu menusuk hatinya. Dia memandang ke arah wajah Qalesya yang tulus dan jujur itu. Qalesya akhirnya meninggalkan Fazni sendirian untuk melayani perasaannya. Angin malam membuatkan Fazni meninggalkan jendela itu bersama-sama dengan kenangan lama. Keriuhan adik-adik Qalesya membantu menyusun kuih raya membuatkan dia terhibur. Dia melepaskan satu keluhan beban yang selama ini bersarang di dalam hati dan mala mini dia benar-benar terasa lapang.

Azan subuh mula berkumandang dan kemudiannya disusuli dengan takbir raya yang sayup kedengaran. Fazni segera bangkit dan terus ke bilik air. Setelah mandi sunat aidilfitri wajahnya tulus disimbahi dengan air wudu’. Meminta keberkatan dan keinsafan di hari mulia, air mata Fazni mula tumpah. Setelah sepuluh tahun dia melarikan diri, inilah kali pertama dia berhari raya di tanah airnya sendiri. Setelah siap sedia dia terus menuju ke masjid bersama-sama dengan Sukri dan adik-beradik Qalesya yang lain untuk menunaikan sunat aidilfitri. Betapa dia gembira dan seronok apabila melihatkan ramai umat islam yang berlumba-lumba untuk ke masjid. Masing-masing semuanya berbaju baru dan berwarna-warni.

Selesai bersembahyang sunat aidilfitri, Fazni bertekad untuk pulang ke Kuala Lumpur dan akan menyambut hari raya bersama-sama dengan ayahnya.

“Assalamualikum….” Fazni melangkah masuk ke dalam rumah sambil membuka songkok. Dia begitu kacak dengan mengenakan baju melayu hijau cekak musang. Namun langkah Fazni terhenti apabila dia mengenali wajah yang sedang duduk di ruang tamu.

“Ayah?” Fazni terus memeluk Dato’ Malik dengan erat. Air mata Fazni mengalir. Sayu dan terharu.

“Maafkan Fazni, ayah. Selama ini Fazni banyak mengguriskan hati ayah.”

“Al-hamdulillah…. Hasrat ayah untuk berhari raya dengan Fazni tahun ini termakbul.”

“Tapi…. Macam mana ayah tahu yang Fazni ada kat sini?”

“Tu… Qalesya yang beritahu. Kalau dia tak ada, mungkin ayah ingat kamu di Switzeland.” Fazni berpaling kepada Qalesya yang sedondon dengannya. Detik hati Fazni bagaikan terhentik apabila melihatkan Qalesya yang melemparkan senyuman.

“Saya minta maaf pada Encik Fazni kalau saya membuat keputusan tanpa bertanya lagi. Niat saya adalah ikhlas, untuk melihat Encik Fazni berhari raya dengan keluarga sendiri sebelum terlambat. Betapa indah jika keluarga berada di samping kita saat ini.” Sekali lagi Fazni kagum dengan kata-kata Qalesya itu.

“Tidak…. Sebenarnya saya yang perlu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana menyedarkan saya. Memberikan nasihat dan kekuatan yang selama ini saya lemah. Terima kasih, Qalesya.” Berbunga hati Qalesya mendengarkan butir bicara dari Fazni itu. Memang niatnya untuk menyatukan kedua beranak itu.

“Nasib baiklah kampung Pak Ishak kamu ni sebelah je. Malam tadi Qalesya telefon ayah. Beritahu kamu di mana. Ayah telefon kamu, tak berangkat.”

“Maaf ayah. Telefon Fazni tertinggal di pejabat. Kalut masa nak balik tempoh hari. Mungkin ada hikmahnya apa yang telah berlaku untuk dua tiga hari ini, ayah.” Fazni sedar jika tidak dia tertinggal telefon, terlanggar Qalesya dan keretanya rosak mungkin dia tidak dapat menikmati hari raya yang penuh bermakna seperti sekarang ini.

“Tahun depan nak beraya di mana?” Saja Dato’ Malik ingin menduga anak terunanya. Fazni tersenyum dan lantas mengerling kepada Qalesya.

“Saya dah ada kampung.” Tegas Fazni megah.

Setahun berlalu…..

Fazni menekan butang intercom dari biliknya dan telefon di meja Qalesya menyala.

“Sayang… tahun ni kita balik raya seminggu lebih awal, boleh?” Qalesya ketawa kecil. Dia tidak menyangka semenjak dia berkahwin dengan Fazni, suaminya itu suka untuk pulang ke kampung.

“Abang, kerja Qalesya belum habis lagi.” Renggek Qalesya manja di corong telefon.

“Tak apa…. Abang akan releasekan cuti sayang untuk 2 minggu.” Ujar Fazni dalam nada ceria.

“Habis siapa yang nak siapkan kerja Qalesya nanti?”

“Abang temankan sayang sampai sayang siap. Bolehlah ye….”

“Okey, tapi jangan pulak abang yang tidur nanti.” Fazni ketawa. Kasihnya kepada Qalesya berbangkit. Cinta buat Qalesya kian membenih. Cinta pandang pertama mengubah seluruh hidupnya.

“Sayang….”

“Nak apa lagi bang? Nanti kalau orang dengar malulah.”

“Terima kasih, sayang. Dan tahun ini raya abang lebih bermakna dengan kehadiran sayang di sisi abang. Sebagai rusuk abang.” Ucapan itu membuatkan Qalesya tersenyum menahan malu. Dan kasih sayang untuk Fazni kian bercambah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.