1,228
Kategori:
Genre:
Senarai Bab

LANGKAHNYA dihayun laju menuju ke kelas 5 Cempaka. Hujung baju yang sengaja diletakkan di luar diramas geram. Pelajar lain yang berkejaran ke kantin sekolah langsung tidak dihiraukan. Sekarang waktu rehat bagi pelajar menengah atas. Sepatutnya dia juga ke kantin namun berita yang dikhabarkan teman sekelasnya tadi membantutkan seleranya.

Mujahid memerhati suasana kelas 5 Cempaka yang sudah lengang. Cuma ada beberapa pelajar perempuan yang sedang berteleku di meja masing-masing termasuk Dahlia. Kerusi di hadapan meja Dahlia ditarik sebelum dia melabuhkan duduk sambil tangannya diletakkan di atas penyandar.

Dahlia yang sedang menyelesaikan soalan kebarangkalian mengangkat wajah dengan kening berkerut. Apa mahu Mujahid ke mari sedangkan mereka tidak berjanji untuk makan berdua hari ini? Dia menoleh ke arah rakan-rakannya yang masih sibuk dengan kerja masing-masing seraya kembali menatap muka masam mencuka Mujahid.

“Betul ke kau jumpa Fahrin pagi tadi?” soal Mujahid dengan nada mendatar. Mata bundar Dahlia ditatap tajam. Dia tahu Dahlia sedang menahan ketawa, buktinya gadis itu sedang tersenyum senget.

“Muja cemburu ya?” Kepalanya menunduk, meneliti jalan kira yang masih belum selesai. Tangannya lincah menulis jalan kira sambil sesekali dia menekan kalkulator. Belum sempat dia mencatat jawapan, pensil mekanikalnya lebih dahulu dirampas.

“Muja!” jerit Dahlia. Dia sudah berdiri dengan tangan bercekak pinggang. Tidak puas hati dengan tindakan Mujahid.

Suara ketawa Mujahid bagai menambahkan lagi ketidakpuasaan hati Dahlia. Kerusinya ditolak ke belakang lantas dia menghayunkan langkah ke luar kelas. Dia kemudian melabuhkan duduk di atas kotak pili bomba dengan muncung sedepa.

“Amboi, sejak bila sensetif ni? Sepatutnya aku yang merajuk tau.” Badannya disandar pada dinding koridor sambil tangannya disilang ke dada. Mujahid sudah angkat kening sambil tersengih.

“Apasal pula kau yang patut merajuk?” soal Dahlia acuh tak acuh dengan mata terjegil. Aku sensetif sejak dulu Muja. Kau aje yang tak pernah ambil berat tentang perasaan aku.

“Sebab kau jumpa Fahrin pagi tadi. Lutfi yang bagitahu aku.” Mujahid tersenyum hambar.

Cemburu? Ya, dia cemburu sangat. Kalau tiada apa-apa, masakan mereka berjumpa? Sudahlah Dahlia langsung tidak menunggu dia pagi tadi. Kebiasaannya mereka akan ke sekolah bersama-sama namun pagi tadi lain pula ceritanya.

“Kita orang cuma berbincang tentang kem Juara SPM. Kau tahu kan Fahrin setiausaha kem dan aku penolong setiausaha. Mahu tak mahu aku terpaksa bekerja dengan dia. Diulang terpaksa.” Sengaja dia menekankan perkataan terpaksa supaya Mujahid akan memahami situasinya. Dia cuma berjumpa dengan Fahrin untuk menyerahkan contoh pamplet yang akan diagihkan kepada guru-guru. Tidak lebih dari itu.

Mujahid mengeluh perlahan. Dia hairan juga kenapa Fahrin yang sentiasa memegang jawatan pengerusi dalam apa sahaja aktiviti yang dia ceburi tiba-tiba memegang jawatan setiausaha. Pelik bin ajaib sungguh. Kalau Dahlia sudah berkata begitu, apalagi yang harus dia katakan. Nanti merajuk pula buah hati pengarang jantungnya ini.

“Aku masuk dulu, ada beberapa soalan lagi yang aku kena siapkan.” Balas Dahlia acuh tak acuh seraya melompat turun. Dia kemudiannya melangkah masuk ke dalam kelas tanpa menoleh ke belakang.


PENSIL yang digunakan untuk menggariskan nota-nota penting itu diletakkan di atas buku. Kepalanya bercelaru dengan persoalan demi persoalan yang menjengah kotak fikiran. Baru sebulan dia couple dengan Mujahid, timbul pula konflik antara mereka berempat. Dia tahu Mujahid masih belum menyedari konflik yang mula timbul dan dia pula tiada hati untuk memberitahu lelaki itu. Hmm.. blur betul Mujahid. Ah, biarlah dia selesaikan semuanya sendiri.

Dahlia menggelengkan kepala beberapa kali sebelum kembali berteleku di hadapan buku teks sejarah. Dia harus fokus pada pelajaran terlebih dahulu sebelum berkeluh kesah soal percintaan yang baru mencecah usia sebulan. Tapi dia menaruh perasaan pada Mujahid sejak di sekolah rendah.

“Isk, tak boleh jadi ni.” Keluh Dahlia seraya kembali meletakkan pensil ke atas buku.

Bertahun dia menunggu lelaki itu membalas perasaannya. Bermacam dugaan dan cabaran yang dia hadapi demi mempertahankan perasaan yang terbuku di hatinya walaupun tanpa disedari Mujahid. Bukannya sikit perempuan yang Mujahid suka, ramai ! Sejak di sekolah rendah lagi. Cuma lelaki itu tidak pernah bernasib baik dalam soal memikat perempuan. Jadi, kenapa ya dia tak cukup kuat setelah hati lelaki itu berjaya dia miliki?

Jujur dia sangat sayangkan Mujahid. Waktu itu dia darjah dua dan Mujahid pula darjah satu.

“Tak elok makan jajan pagi-pagi, rosak gigi nanti.” Usik Pat yang berbadan gempal. Snek Mamee di tangan Mujahid dirampas sambil ketawa riang. Dia menjeling ke arah rakan-rakannya yang sedang tersengih.

Mujahid sudah diam menikus. Pandangannya ditunduk ke bawah, memandang kasut yang sudah comot gara-gara dipijak Din dan Hamdan yang berbadan kurus runcing. Hatinya sudah berkira-kira mahu lari dari situ namun mereka terlebih dahulu mengepung tubuhnnya yang kecil.

“Janganlah.” Rengek Mujahid apabila tubuhnya ditolak secara bergilir-gilir. Pat dan rakan-rakannya ketawa geli hati.

“Dasar anak manja.” Sergah Din sambil menunjal kepala Mujahid.

Hamdan sudah terkekeh-kekeh ketawa. Di dalam hati, dia sudah berkira-kira mahu memulas telinga Mujahid namun niatnya terbantut apabila seseorang menyergahnya. Pat, Din dan Hamdan segera menoleh ke arah empunya badan yang berani menyergah mereka. Seketika kemudian tawa mereka meletus.

“Tak padan dengan perempuan, ada hati nak lawan kita.” Ujar Pat sambil mulutnya mengunyah snek yang dirampas dari Mujahid tadi. Sesekali dia menghulur bungkusan snek kepada Din dan Hamdan yang nampak kebulur.

Melihat murid-murid darjah empat itu tidak mengendahkannya, Dahlia segera menyinsing lengan baju. Langkahnya diatur ke arah mereka dengan wajah garang. Berani sungguh mereka membuli teman baik merangkap jiran sebelah rumahnya ini.

“Bak sini balik jajan kawan aku.” Tangan kanannya dihulur ke hadapan sambil sebelah kiri lagi sedang bercekak pinggang.

Pat, Din dan Hamdan saling berpandangan. Menghantar mesej dalam bentuk telepati barangkali. Bungkusan snek yang sudah kosong itu diletakkan di atas telapak tangan Dahlia sambil ketawa mengejek. Pat tersengih seraya tangannya menarik hujung tudung yang dipakai Dahlia. Tidak semena-mena Dahlia terdongak ke atas.

“Tak guna kau debab.” Marah Dahlia seraya melepaskan tendangan ke celah kangkang Pat. Terus wajah montel itu berkerut menahan sakit. Dahlia tidak menunggu lama, perut Pat kemudiannya menjadi sasaran tumbukan padu.

Din dan Hamdan yang menjadi saksi sudah ternganga. Bergegas mereka mendapatkan Pat.

“Kan aku dah cakap, jangan pergi mana-mana kalau aku tak ada.” Bebel Dahlia sambil memandang geram ke arah Mujahid yang sedang terkulat-kulat. Lengan lelaki itu ditarik seraya mereka meninggalkan kawasan kolam ikan yang lengang. Mereka sepatutnya berada di padang sekolah kerana acara sukan yang masih berlangsung. Sebelum mereka tertangkap oleh cikgu, lebih baik mereka cepat-cepat beredar.

Dahlia tersenyum sendiri. Di waktu usia sekitar lapan tahun dia sudah mula mempelajari seni mempertahankan diri. Semuanya gara-gara dia terbiasa dibesarkan dalam keluarga yang majoritinya terdiri dari lelaki, hanya dia dan ibunya sahaja perempuan yang ada dalam keluarga mereka. Perangainya sedikit sebanyak menjadi kasar dan lasak namun tidak hati dan pemakaiannya. Dia masih perempuan melayu sejati.

Ya, sejak dahulu lagi dia yang lebih matang daripada Mujahid, dia yang menjadi pelindung lelaki itu. Selamanya akan begitu.


“TAKKAN awak tak boleh arranged semua tu sayang? Awakkan setiausaha, just letak nama saya dalam list. Settle. Cikgu tak perasan punya.” Rengek Ain dengan suara yang sengaja dilunakkan. Tubuh Fahrin yang sedang memadam papan putih itu direnung bagai mahu tembus.

“Tak boleh. Cikgu yang arranged semua tu. Saya cuma buat apa yang patut sahaja.” Balas Fahrin dengan suara acuh tak acuh. Pemadam papan putih itu diletakkan di dalam laci. Dia kemudiannya memandang wajah Ain sambil tangannya disilangkan ke dada.

Wajah Ain yang putih itu ditatap. Kening gadis itu terletak elok dan agak runcing dihujungnya barangkali dicukur seperti yang dilakukan sesetengah perempuan walaupun mereka tahu ianya haram. Matanya cantik, tidak terlalu besar mahupun kecil dan dihiasi bulu mata yang lentik. Bibir pula sedang-sedang elok dan sentiasa merah kerana dioles gincu. Dia tidak nafikan yang Ain jauh lebih cantik berbanding Dahlia. Namun entah kenapa hatinya langsung tidak tertarik dengan gadis itu. Dahlia pula baginya sangat manis dengan senyumannya yang menawan dan mampu membuat orang mahu memandangnya dua tiga kali. Fahrin tersenyum sendiri apabila wajah tersenyum Dahlia melintas di benaknya.

Okay fine. But no worries sayang, babah boleh minta cikgu masukkan nama saya dalam list. Nanti kita akan luangkan masa bersama puas-puas dekat kem.” Balas Ain bersama senyum lebar. Melihat tubuh tegap lelaki itu sedang berpeluk tubuh bersama senyuman di bibir, hatinya sudah mencair bagai gula di dalam air mendidih sahaja.

Dia bangun dari kerusi. Kakinya dihayun ke arah pintu makmal yang tertutup. Sengaja dia menutup pintu kerana mahukan privasi. Sewaktu dia melihat Fahrin melangkah masuk ke dalam makmal, dia terus sahaja mengekori dari belakang. Perlahan-lahan tangannya memulas tombol pintu sambil memberi flying kiss buat Fahrin yang sedang melambai.

Sebaik sahaja Ain memboloskan diri keluar dari makmal, Fahrin melepaskan nafas lega. Terasa sesak nafasnya saat mereka berdua-duaan. Sungguh dia rimas dengan sikap Ain yang mengada dan manja mengalahkan budak tadika. Langsung tidak matang seperti Dahlia. Kalaulah Dahlia memilihnya, pasti dia tidak akan terikat dengan Ain.

“Sabar Fahrin, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.” Pesan Fahrin berkali-kali sambil menepuk dadanya.


MUJAHID tersenyum riang sambil tangannya memasukkan kertas kecil ke dalam poket seluar. Anak tangga ke tingkat atas didaki pantas. Selalunya Dahlia adalah raksasa ganas yang sentiasa menyelamatkannya apabila dia dibuli. Tapi hari ini tiba-tiba sahaja dia mendapat nota dari Dahlia, mengajaknya berjumpa di bilik rawatan di tingkat dua bangunan pentadbiran sekolah. Persoalan sejak bila Dahlia bertukar menjadi gadis romantik dia malas fikir buat masa sekarang. Yang dia tahu dia sangat gembira sekarang sementelah gadis itu sudah seminggu sibuk dengan urusan sekolah sehingga tiada masa untuknya.

Pintu bilik rawatan itu dipandang dari atas ke bawah. Kenapa ya Dahlia mahu berjumpa di sini? Kenapa tidak di kelas sahaja. Pelajar lain semua sudah pulang. Guru-guru pula sedang bermesyuarat di tingkat satu.

Perlahan-lahan tangannya menolak pintu. Matanya meliar memandang sekeliling. Terdapat dua buah katil di sebelah kanannya manakala sebuah kaunter di sebelah kiri. Dia melirik ke arah jam tangan, pukul 4.00 petang. Dia awal atau Dahlia yang lambat?

Surprise.” Jerit Ain seraya berdiri di sebalik kaunter. Kedua belah tangannya diangkat ke atas membuat bentuk hati seperti yang biasa dilihat didalam drama korea. Matanya segera mencari raut wajah lelaki di hadapannya.

“Kau?” jerit Mujahid dan Ain serentak sambil masing-masing sedang menundingkan jari telunjuk.

“Apa kau buat kat sini?” soal Mujahid dalam nada keras. Ain sudah menjulingkan mata. Sepatutnya dia yang bertanya.

“Aku datang sini sebab nak jumpa boyfriend aku. Kau tak payah sibuklah. Baik kau keluar sebelum Fahrin datang.” Matanya dijegil sambil tangan sudah bercekak pinggang.

Bukannya dia tidak tahu, Mujahid menaruh hati padanya. Rakan-rakannya sudah memaklumkan padanya bahawa Mujahid sekarang couple dengan Dahlia. Pasti mereka malu kerana cinta mereka ditolak. Yalah, Mujahid menaruh hati padanya sementara Dahlia menaruh hati pada Fahrin kesayangannya. Ain mengoyak senyum mengejek.

“Kau ingat aku nak sangat datang sini? Gedik.” Balas Mujahid acuh tak acuh. Tak kuasa dia mahu melayang minah kepoh ni.

Tubuhnya dipusing menghadap pintu. Laju tangannya mencapai tombol pintu. Belum sempat dia memulas tombol, pintu itu lebih dahulu dibuka dari luar. Tersembul wajah Cikgu Zaki yang merupakan cikgu disiplin. Mujahid menelan liur yang terasa kesat. Dia memanjangkan leher, mengintai gerangan sekutu Cikgu Zaki yang sedang berdiri dibelakang. Fahrin dengan muka serius memandang tepat ke matanya. Di sebelah Fahrin, Dahlia yang sedang memandangnya dengan pandangan kosong. Ya Allah, Dahlia!


“BERITAHU saya Muhammad Mujahid bin Mohd Jalil, apa yang awak buat di bilik rawatan tadi dengan Nurul Ain Aisyara bin Mohd Dahlan?” soal Cikgu Zaki dengan wajah serius. Rotan yang digenggam erat dilayangkan ke udara. Wajah Mujahid dan Ain yang pucat ditenung silih berganti.

Amboi, macam bapak-bapak pula Cikgu Zaki menyebut nama penuh dia. Mujahid menelan liur berkali-kali. Terasa kering pula anak tekaknya. Pasti Dahlia kecewa dengannya namun gadis itu masih baik hati menunggunnya di ruang lobi sekolah. Yang dia perasan, sewaktu dia berjalan menuju ke bilik disiplin, mata Dahlia berkaca-kaca saat pandangan mereka bertaut. Sungguh dia tidak tega untuk menyakiti gadis itu. Ya Tuhan, mudah-mudahan hati Cikgu Zaki lembut hari ini untuk memaafkannya.

“Kami tak buat apa-apa pun cikgu. Sumpah, saya tak tipu.” Tegas Mujahid sambil mengangkat kedua belah tangannya.

Misai Cikgu Zaki bergerak-gerak sambil sebelah tangan memicit kepala yang terasa berdenyut. Sedang memikirkan tindakan yang dia harus lakukan barangkali.

“Betul tu cikgu. Saya nak jumpa kawan kat situ tapi tiba-tiba aje Mujahid muncul. Kita orang just terserempak je. Lepas tengok saya ada kat situ, Mujahid terus bukak pintu, tapi tiba-tiba je cikgu sampai.” Terang Ain bersungguh-sungguh. Hilang terus keayuannya yang dijaja ke mana-mana sahaja dia pergi.

“Beginilah Ain, memandangkan awak anak pengetua sekolah ni, saya maafkan perbuatan awak. Tapi kalau saya tangkap kamu berdua-duaan lagi dengan si Mujahid ni, tahulah saya nak buat macam mana. Kes kita sampai kat sini sahaja, saya nak pergi hospital tengok orang rumah baru bersalin. Ingat, jangan beritahu sesiapa pun tentang perkara yang terjadi petang ni.” Putus Cikgu Zaki dengan amaran keras. Terjegil matanya menatap wajah kedua-dua anak muridnya. Sudahlah isterinya baru lepas bersalin, tiba-tiba pula anak murid buat hal. Haih, pening-pening.

Selepas meminta diri, Ain terus sahaja beredar tanpa menoleh ke belakang. Nasib baik juga orang yang berada bersamanya tadi adalah Ain, kalau bukan kerana Ain adalah anak pengetua sekolahnya pasti teruk hukuman yang mereka dapat.

“Mujahid, awak tunggu sekejap.” Mujahid yang sedang berdiri di muka pintu segera menoleh.


“SAKIT?” soal Dahlia sebaik sahaja melihat jalur merah di betis Mujahid gara-gara dirotan Cikgu Zaki.

“Mestilah sakit.” Berkerut dahinya menahan rasa pedih yang mencucuk-cucuk daging betisnya. Seluar yang diselak tadi dilurut ke bawah kembali. Matanya cuba mencari wajah Dahlia kalau-kalau gadis itu masih marahkannya. Kosong sahaja riak wajah Dahlia. Sukar untuk dia tebak perasaan gadis itu sekarang.

“Sukalah kau kan? Cinta lama kembali berputik.” Wajahnya sengaja diceriakan. Bibir pula mengoyak senyum gembira. Kalau bibirnya boleh sampai ke telinga pasti sudah lama di berbuat begitu. Sungguh dia sangat kecewa dengan Mujahid. Dia sangka dia sudah mengikat hati lelaki itu kuat-kuat namun telahannya nyata tersasar jauh. Mujahid masih mengharapkan Ain.

“Mana ada aku cintakan dia. Aku cintakan kau sorang aje.” Balas Mujahid dengan kening berkerut. Keliru sungguh dia dengan Dahlia. Muka bukan main gembira tapi cara bercakap macam marah sahaja.

“Tak payah malu-malu, mengaku sahaja dengan aku. Nanti aku tolong pasangkan kau dengan Ain.” Nada suaranya sudah berubah. Keras sahaja dia menuturkan kata.

Jalan kampung itu diselusuri dengan hati sebal. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia wrestling Mujahid diatas jalan tar yang muat-muat sebiji kereta sahaja. Biar lebam barang sebiji dua mata lelaki di sisinya ini. Mujahid yang sudah menghentikan langkah langsung tidak dihiraukan. Menonong sahaja Dahlia berjalan di hadapan.

“Lia, aku cintakan kau. Kau tak percayakan aku ke?” belakang badan Dahlia direnung. Dia mengharapkan gadis itu berpaling memandangnya namun Dahlia buat tidak tahu sahaja.

“Lia!” panggil Mujahid buat kesekian kali seraya berlari anak mengejar Dahlia yang semakin menjauh.

FAHRIN melempar beg sekolahnya ke atas katil. Dia kemudiannya berjalan mundar mandir di hadapan pintu biliknya yang terbuka. Rosak rancangannya mahu menyingkirkan Mujahid dari hati Dahlia dan list pelajar tingkatan empat yang akan menyertai kem Juara SPM.

Pada mulanya, rancangannya berjalan dengan baik. Dia menulis nota buat Mujahid dan Ain dalam tulisan berangkai supaya mereka tidak syak tentang pengirimnya. Ternyata sangat mudah untuk dia menipu mereka berdua. Di dalam nota tersebut, dia menulis agar mereka ke bilik rawatan pada pukul empat memandangkan mesyuarat ahli jawatan kuasa Kem Juara SPM berakhir pada pukul empat. Sekali lagi rancangannya berjaya apabila dia dapat melengahkan Cikgu Zaki dan Dahlia dengan bertanya beberapa soalan. Selepas itu, muncul rakan subahatnya Aiman, datang memaklumkan yang Mujahid dan Ain sedang berdua-duaan. Segalanya berjalan dengan lancar namun Cikgu Zaki pula yang telah merosakkan segalanya.

Dia terlupa akan hakikat bahawa Ain adalah anak pengetua dan sememangnya gadis itu sukar disentuh dengan peraturan sekolah. Nampaknya dia harus memikirkan rancangan lain, tapi apa? Dia sudah buntu.


SKRIN telefon yang gelap itu dipandang lama. Langsung tiada mesej dari Dahlia setelah apa yang berlaku siang tadi. Masih marahkah Dahlia padanya? Mujahid mengeluh perlahan. Dia tidak reti memujuk rasaksa kesayangannya itu. Dahlia terlalu sukar untuk ditebak emosinya.

Jarinya menaip mesej mengucapkan selamat malam. Beberapa minit dia menunggu namun tiada balasan dari rumah sebelah. Mujahid bingkas bangun. Jam dinding yang sudah menginjak ke angka 12.00 dikerling sekilas. Dia menuju ke dapur, setelah membasahkan tekak dengan segelas air, perlahan-lahan dia melangkah ke arah pintu dapur. Mujurlah pintu dapur itu tidak berkeriut seperti selalu. Alam sekelilingnya seperti faham-faham pula situasi resah gelisah yang dia hadapi sekarang.

Dia menyarung selipar jepun emaknya yang tidak cukup muat untuk mengalas kakinya. Lantaklah, dia sudah tidak kisah. Ini sahaja yang ada di muka pintu dapur rumahnya. Seperti ninja, Mujahid berlari pantas ke rumah sebelah. Setelah memastikan dia tidak tersalah bilik, dia menghantar mesej supaya Dahlia membuka jendela.

Beberapa minit menunggu, akhirnya jendela terbuka. Terjegul kepala Dahlia yang hanya beralas tuala. Mata gadis itu sembap sahaja. Menangiskah dia?

“Nak apa?” soal Dahlia dalam nada berbisik. Mujahid yang hanya berkain pelikat dan memakai singlet putih itu dipandang dari atas ke bawah. Macam orang tua, tak bergaya langsung. Kutuk Dahlia di dalam hati. Tapi yang tak bergaya ni juga yang kau berkenan. Tingkah suara hatinya.

“Aku nak kaulah.” Balas Mujahid bersama sengih kerang busuk. Habis berterabur ayat meminta maaf yang dia karang di dalam kepala sewaktu dalam perjalanan ke sini tadi. Sudahnya ayat mengusik juga yang keluar dari mulut.

“Tak payah nak merepek kat sinilah Muja. Karang kalau ada yang nampak, tak pasal-pasal nikah koboi. Tak kuasa aku.” Balas Dahlia dengan mata terjegil. Seboleh-bolehnya dia mahu menahan diri daripada tersenyum. Biarlah Mujahid fikir bahawa dia masih merajuk.

Tangannya disilang ke dada. Menambahkan rencah dalam lakonannya. Dia harus mengajar Mujahid untuk menjadi lebih matang dan kuat dalam bercinta. Banyak lagi ujian dan rintangan yang bakal mereka tempuhi di masa akan datang. Jadi mereka harus matang dan kuat demi mempertahankan hubungan mereka.

Please Lia. Maafkan aku pasal petang tadi. Sumpah aku tak buat apa-apa dengan Ain. Aku kena prank. Ada orang guna nama kau supaya aku kena tangkap basah dengan Ain.” Kedua tapak tangannya disatukan tanda meminta maaf. Berkerut-kerut dahi Mujahid memandang wajah Dahlia. Dia cuba membaca air muka gadis itu namun hampa.

“Aku maafkan kau. Sekarang pergi balik. Tak elok berembun tengah malam macam ni.” Tutur Dahlia, kali ini lebih lembut.

Mujahid mengangguk berkali-kali sambil matanya tidak lepas daripada memandang Dahlia. Dia mahu tatap wajah Dahlia puas-puas malam ini supaya dia dapat berjumpa gadis itu dalam mimpi pula. Ah, sudah. Mujahid yang selama ini berjiwa rock kapak sudah bertukar menjadi abang jambu.

Dahlia melambaikan tangannya seraya menutup jendela. Hai Mujahid, kalaulah mata kau boleh scan dinding rumah ni mesti kau nampak aku tengah tersenyum macam orang sewel.


SELIPAR jepun yang sudah terputus talinya itu diangkat tinggi. Matanya menilik teliti sepasang selipar yang sering digunakannya ketika meyapu sampah di luar rumah. Hairan sungguh. Rasanya dia baru membeli selipar jepun warna merah jambu ini di kedai runcit hujung kampung sebulan yang lepas. Takkan dah putus?

“Abahnya oi. Awak pakai selipar saya ya semalam?” suaminya yang sedang minum kopi di samping Mujahid disoal.

Hampir tersedak Mujahid dibuatnya. Mujurlah dia sempat menelan cepat-cepat air kopi yang terasa hangat dalam mulutnya. Beg sekolah yang diletakkan di kerusi sebelah dicapai sambil sebelah tangan lagi mengambil sebiji karipap yang masih suam-suam kuku. Hujung karipap digigit lantas dia mencapai tangan ayahnya kemudian mendapatkan maknya yang masih berdiri di muka pintu dapur. Mak dan abahnya hanya menggeleng.

“Tak adanya saya nak pakai selipar awak tu Imah. Sudahlah warna merah jambu. Tak maskulin langsung.” Bergerak-gerak misai Haji Kamal mengikuti rentak mulutnya yang sedang mengunyah karipap. Tubuh isterinya yang masih belum berganjak dari pintu itu dikerling sekilas. Biarlah Rahimah dengan selipar jepunnya. Tak usahlah dia menganggu. Bisik hati Haji Kamal sambil tersengih.


“SEPERTI yang kita sedia maklum, keputusan percubaan SPM beberapa minggu yang lepas sangat memberansangkan. Pelajar terbaik kita iaitu Fahrin dari kelas 5 Anggerik telah berjaya mendapat keputusan 5A+ 3A- dan 2B+. Berikan tepukan gemuruh buat Fahrin.” Suara lunak Cikgu Maria yang berusia 26 tahun itu menusuk masuk hingga ke hati beberapa orang pelajar lelaki yang masing-masing sedang tersengih. Bergema seketika bilik mesyuarat tersebut dengan tepukan para pelajar.

Dahlia yang sedang berdiri di sudut bilik mesyuarat meliarkan pandangannya. Matanya mencari kelibat Mujahid. Beberapa minit mencari barulah dia perasan, lelaki itu sedang duduk di hujung sekali dengan muka disembamkan ke atas meja. Tidurlah tu.

“Jadi sekolah telah merancang untuk mengadakan Kem Juara SPM selama tiga hari dua malam di Kem Perkhemahan Air Biru supaya awak semua dapat berehat sebelum kembali bertarung dengan pelajaran. Seramai 30 pelajar terbaik SPM dan 10 orang pelajar terbaik tingkatan empat akan menyertai kem ini. Senarai barang keperluan yang harus dibawa dan peraturan kem ada tertulis di dalam kertas yang Dahlia sedang edarkan. Jadi saya memohon kerjasama dari awak semua untuk behave yourself sepanjang berada di sana. Surat kebenaran ibu bapa mesti dihantar pada hari esok. Itu sahaja untuk hari ini. Boleh bersurai.” Terang Cikgu Maria panjang lebar bersama senyuman yang tidak lekang dari bibir sementara Dahlia sedang mengedarkan kertas makluman kepada para pelajar.


MULUT yang sedang menguap dikatup malas dengan belakang tangan. Mujurlah dia tidak membawa beg besar seperti pelajar perempuan kalau tidak pasti dia harus turut serta dalam acara tolak menolak semasa mahu menyimpan beg di dalam ruang khas. Bas sekolah yang berwarna kuning itu dijeling sekilas. Suara berdehem mengalihkan perhatian Mujahid.

“Tolong letakkan untuk I.” pinta Dahlia dengan suara yang sengaja dilunakkan. Matanya dikerdip berkali-kali sambil tangan menghulurkan beg pakaian.

“Baik adindaku. Biar kanda tolong adinda ya.” Wajah Dahlia yang seperti orang baru bangun tidur itu dijeling. Comel!

Beg pakaian Dahlia diangkat. Amboi, beratnya. Dekat lima minit juga dia berhimpit dengan pelajar yang lain barulah dia dapat menyumbat beg Dahlia yang berat macam anak gajah itu. Sudahlah kepalanya dua kali terhantuk pada badan bas sewaktu sibuk membongkok. Cepat-cepat Mujahid mendapatkan Dahlia yang sedang menantinya di hadapan pintu bas. Di dalam hati dia sudah memasang niat mahu duduk di sebelah Dahlia.

Penuh. Itu sahaja yang dapat dia simpulkan. Tempat kosong yang tinggal cuma di belakang sekali. Kalau boleh dia mahu berdiri sahaja sepanjang perjalanan daripada duduk di belakang sekali namun cikgu awal-awal lagi sudah menyuruh mereka mengambil sahaja tempat kosong yang tinggal.

Lengan baju Dahlia ditarik-tarik.

“Tak nak.” Rengek Mujahid dengan muka masam. Matanya melirik ke arah Fahrin yang sedang duduk di bahagian belakang sambil mendengar lagu dari headphone. Alamak, poyo betul mamat ni.

Dahlia mengeluh perlahan. Mahu tak mahu mereka duduk juga disitu. Dia di sebelah kanan, Mujahid di tengah dan Fahrin di sebelah kiri. Sepanjang perjalanan yang memakan masa setengah jam itu, dia hanya melayan Mujahid menyanyi beberapa buah lagu. Memang itu rutinnya sejak dulu. Di atas pangkin di belakang rumah itulah tempat dia melayan Mujahid menggoreng gitar dan menyanyi. Suara Mujahid lunak macam suara penyanyi kesukaannya, Hazama. Dahlia tersenyum sendiri.

Sampai sahaja di Kem Perkhemahan Air Biru, mereka terus sahaja mendirikan khemah serta menguruskan diri. Sekali sekala dapat berkhemah di pinggir hutan tenang sedikit otak daripada berselirat dengan pelajaran dan masalah. Pergerakan mereka juga tidak terlalu ketat dengan peraturan dan diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti masing-masing selagi tidak melanggar batas pergaulan.

Petang itu aktiviti yang diadakan adalah acara sukaneka. Untuk acara lempar telur, pasangan masing-masing telah diaturkan oleh cikgu. Masam mencuka wajah Mujahid apabila Dahlia dipasangkan dengan Fahrin manakala dia dipasangkan dengan rakan sekelasnya.

“Awak okey Dahlia?” soal Fahrin apabila telur yang dilempar tidak Berjaya disambut Dahlia. Dia segera mendapatkan Dahlia yang sudah jatuh terjelepok di atas rumput. Jelingan Mujahid yang sedang memerhati dibuat tidak endah.

Lengan Dahlia yang berlapik dengan lengan t-shirt dipegang kejap. Dia sedar gadis itu cuba melepaskan genggaman tangannya, namun sengaja dia mengemaskan lagi. Tubuh gadis itu ditarik supaya berdiri.

“Jangan kau berani sentuh aku lagi.” Bisik Dahlia sambil menjeling Fahrin yang menayang muka tak berperasaan. Tudungnya yang tersenget dibetulkan seraya dia meninggalkan Fahrin yang masih tidak berganjak. Dia mengambil posisi di sebelah pelajar lain yang sudah terkeluar dari permainan.

Papp!

“Sorry wei, aku tak sengaja.” Mujahid mengangkat tangan tanda minta maaf dengan muka yang serius. Puas hati dia dapat membaling telur ayam itu tepat ke kepala Fahrin. Wajah merah Fahrin dibuat tak endah sahaja lantas dia mendapatkan Dahlia.

“Seronok menggatal?” soal Mujahid dengan jelingan tajam.

“Mana ada aku menggatal.” Balas Dahlia. Namun Mujahid langsung tidak mengendahkannya.


DAHLIA terkocoh-kocoh berlari mengikuti langkah Lutfi. Selepas menikmati makan malam, mereka melepak berhampiran unggun api sambil bercerita dan menyanyi bersama-sama. Dahlia sudah tidak sedap hati apabila kelibat Mujahid dan Fahrin langsung tidak kelihatan. Tiba-tiba Lutfi datang membisikkan sesuatu padanya. Ternyata dugaan dia benar belaka.

Dari jauh Dahlia melihat Mujahid sudah mencekak kolar baju Fahrin. Langkahnya dipanjangkan sejauh mungkin. Kalau penumbuk Mujuhid mendarat di muka Fahrin, habislah mereka kena ceramah dengan cikgu-cikgu.

“Muja!” jerit Dahlia. Mujurlah tempat mereka berempat berdiri agak tersorok dari pandangan pelajar lain. Tambah pula pokok besar yang memayungi mereka bagai payung yang melindungi tubuh mereka dari dilihat orang.

Mujahid menoleh sekilas dengan wajah merah padam.

“Kau cakap dengan aku Lia. Mana kau lagi sayang. Aku ke Fahrin?” Fahrin yang sedang tersenyum sinis dipandang tajam dengan mata terjegil. Fahrin sudah melampau kali ini. Kalau setakat berjumpa dia masih boleh bersabar, tapi kalau sudah berani menyentuh Dahlia memang dia tak akan bertolak ansur.

Please Muja. Jangan buat macam ni.” Pujuk Dahlia lembut.

Melihat mata gadis itu sudah berkaca-kaca, perlahan-lahan Mujahid melepaskan kolar baju Fahrin. Belum sempat dia mendapatkan Dahlia, namun sebiji penumbuk lebih dahulu mendarat ke mukanya. Terkejut dengan serangan yang tidak disangka-sangka itu, tubuh Mujahid terus sahaja terdorong ke belakang sebelum jatuh ke tanah. Telinganya sempat mendengar jeritan kecil Dahlia.

Lutfi yang sedari tadi tercegat segera mengheret tubuh Fahrin agar berlalu pergi dari situ. Sedar akan tindakan luar kawalnya, Fahrin menunduk dan beredar bersama Lutfi.

“Apasal kau degil sangat Mujahid?” tanpa sedar jari jemarinya sudah menggenggam jemari Mujahid. Air mata sudah bercucuran di pipi. Seketika kemudian meletus tawa dari mulut Mujahid.

“Yang kau beria menangis ni kenapa? Aku kena tumbuk aje bukan kena tikam.” Ujar Mujahid selamba seraya membalas genggaman Dahlia. Sesaat kemudian dia segera melepaskan genggaman tangan mereka sebaik sahaja menyedari bahawa mereka bukan muhrim. Dahlia sudah menunduk malu. Sungguh dia tak sengaja terpegang tangan Mujahid.

“Aku risau tahu tak. Fahrin tu juara taekwando peringkat daerah, kau pula budak lelaki yang selalu dibuli. Kalau kau kena lenyek macam kentang putar macam mana? aku tak nak apa-apa jadi dekat kau. Aku sayang kau. Aku cinta kau.” Balas Dahlia sambil matanya kembali berani menatap wajah Mujahid. Dia semakin beremosi. Air mata bagai tidak mahu berhenti mengalir.

“Sorry sebab buat kau risau.” Mujahid mendesis perlahan saat luka pada pelipis kirinya disentuh. Terasa seperti sesuatu melekat pada wajahnya, jemari Mujahid segera menyentuh.

“Dari mana kau dapat plaster ni?”

“Aku sentiasa bawa plaster tiap kali bersama orang degil macam kau.” Dahlia tergelak kecil bersama air mata yang bersememeh di pipi. Mujahid yang masih berbaring turut tertawa.

“Hmm.. aku rasa macam nak kahwin cepat-cepat je dengan kau.” Mujahid bingkas bangun. Dia duduk bersila di hadapan Dahlia. Cahaya yang samar-samar dari lampu yang tergantung di sekitar kawasan itu terbias ke wajah Dahlia. Mujahid sudah jatuh hati sekali lagi. Entah buat ke berapa kali, dia tidak pasti.

“Apasal tetiba pulak? Hari tu suruh aku tunggu 6-7 tahun.” Kening Dahlia sudah berkerut. Tiba-tiba sahaja Mujahid bercakap soal kahwin malam ini.

“Sebab aku rasa macam nak peluk aje kau sekarang. aku tak suka sayang aku ni menangis.” Mujahid tayang sengih. Wajah Dahlia itu ditatap lagi. Dia Nampak jelas lekuk pada pipi gadis itu sebaik sahaja Dahlia tersenyum.

“Eeee.. Gatal!” cemuh Dahlia sambil tersengih.

“Eleh, padahal suka. Sukalah tu kita nak kahwin dengan dia. Sukalah tu kita panggil dia sayang.” Usik Mujahid bertubi-tubi.

Malas membiarkan dirinya dijadikan bahan ketawa, Dahlia segera bangun. Dia melangkah meninggalkan pokok besar yang menjadi saksi cintanya sambil tersenyum senang. Mujahid mengekori dari belakang bersama tawa yang belum habis. Indahnya cinta, seindah langit malam yang ditemani bintang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh