Home Cerpen Cinta CENDOL PULUT GULA MELAKA
CENDOL PULUT GULA MELAKA
Kamsiah Abu
26/1/2014 08:52:02
2,862
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Berjalan laju dari apartmentnya di First Avenue menuju ke sub-way station di Fifty One Street setiap pagi sudah menjadi kebiasaan Natasha. Melihat pelbagai ragam manusia yang sentiasa bergerak pantas kerana tidak mahu membuang masa merupakan satu phenomena yang lumrah di Bandar Metropolitan ini. Selama tiga tahun menetap di sini, Natasha juga telah menjadi salah seorang dari mereka, pantas di dalam segala gerak geri tertutama waktu musim salji.

“Along, kami di sini semua rindu sangat pada Along. Emak selalu menangis ketika menghadapi bulan puasa kerana terkenangkan Along. Ayah selalu beli air cendol untuk berbuka puasa kerana itu kegemaran Along. Emak dan ayah berharap sangat Along akan balik pada Hari Raya kali ini. Baliklah Along……. Adik tak ada kawan nak main bunga api…. Dan tak ada siapa nak tolong adik pasang langsir pada malam hari raya nanti.”

Surat yang dihantar oleh adik bungsunya yang masih belajar di tingkatan dua amat menyayukan hati Natasha. Setiap kali membaca surat itu, hati Natasha bagai terusik., lebih-lebih lagi apabila Natasha menerima e-mail dari sahabatnya “Isaac” dari Malaysia yang dikenalinya melalui “chat-room” di internet lebih kurang dua tahun lalu menyertakan gambar-gambar peniaga bazaar ramadhan di Kampong Baru telah bersiap sedia untuk menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi. Rindunya pada emak ayah dan adik-adik semakin membuak-buak. Kesedapan menghirup cendul pulut gula Melaka ketika berbuka puasa menyemarakkan lagi rindunya pada kampung halaman.

Ah!... bagaimana aku mahu menghadapi mereka semua??… keluh Natasha sedih. Malu Natasha pada semua kawan-kawannya dan juga orang kampung masih menebal.

“Encik Hassan, Puan Lijah… kami minta ma’af banyak-banyak kerana terpaksa membatalkan perjanjian kita pada hari ini. Saya tahu ianya terlalu suntuk tetapi apakan daya saya kerana itu adalah permohonan Fazlur. Dia tidak sanggup lagi bertemu dengan Natasha. Maka kami tiada jalan lain melainkan membatalkan perjanjian kita ini. Saya sekeluarga faham bahawa pihak kami yang bersalah di dalam perkara ini, tetapi apakan daya kami. Sudah ditakdirkan begini jadinya, maka kami terpaksa menerimanya dengan redha. Ma’afkanlah kami. Kami rela menerima apa sahaja tuntutan dari pihak Encik Hassan sekeluarga.”

Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Natasha suara bapa Fazlur yang merayu kepada ayah dan emaknya pada hari raya yang keempat iaitu tiga hari sebelum hari perkahwinan mereka tiga tahun lalu. Hancur luluh perasaan Natasha, hanya Allah yang mengetahui. Hari Raya yang disambut meriah pada awalnya bertukar menjadi hari yang paling sedih bagi Natasha.

Tidak sanggup rasanya Natasha bertemu mereka yang mengetahui majlis perkahwinannya dengan Fazlur, yang dijadualkan pada Hari Raya ke tujuh tiga tahun lalu terpaksa dibatalkan pada sa’at-sa’at akhir atas kehendak Fazlur. Segala persiapan bilik pengantin yang telah dihias rapi terbiar begitu sahaja. Kenduri perkahwinannya bertukar menjadi kenduri menyambut Hari Raya sahaja tanpa Raja Seharinya. Kesihan Natasha melihat emak ayahnya menanggung malu atas perbuatan Fazlur yang telah mengkhianati kesetiaannya. Sedih benar perasaan Natasha bila mengenangkan bahawa Fazlur di tangkap khalwat pada malam hari raya ketiga dengan gadis sepejabatnya ketika berduaan di rumah sewa gadis itu.

“Apakah dayaku untuk menolak takdir Allah. Aku redha dengan apa yang terjadi. Aku menganggap ada hikmah disebaliknya kerana aku dapat mengetahui kecurangan Fazlur sebelum aku sempat menjadi isterinya. Bayangkanlah betapa malangnya hidupku sekiranya aku hanya dapat mengetahui kecurangan Fazlur setelah aku menjadi isterinya dan setelah beranak pinak. Alangkah malangnya nanti nasib anak-anakku. Aku bersyukur kepada Allah yang menyelamatkan aku dari manusia khianat seperti Fazlur.” Natasha memujuk hatinya lagi. Cepat-cepat dia menyeka air yang mula bergenang di kelopak matanya. Khuatir kalau-kalau dilihat oleh rakan-rakan sepejabatnya.

Masih terbayang di mata Natasha bagaimana ibunya menangis berhari-hari kerana amat sedih apabila Natasha memberitahu bahawa dia akan ditugaskan bekerja di cawangan syarikatnya di Amerika selepas sebulan peristiwa pahit itu. Ibunya yang selama ini sentiasa sabar dan redha dengan kejadian yang berlaku tidak dapat menahan kesedihannya apabila mengetahui yang Natasha akan pergi jauh, kerana sebagai ibu dia tahu perasaan Natasha. Walaupun pada zahirnya Natasha tabah menerima dugaan itu tetapi kekecewaan dan kesedihan Natasha hanya ibunya yang dapat memahami. Ibunya faham bahawa Natasha pergi bukan kerana terpaksa bertugas di sana tetapi kerana membawa hati yang luka.

“Hei Tasha!... Mr. Robert panggil you di biliknya sekarang” terkejut Natsaha apabila kedengaran setiausaha Ketuanya memanggil.

Oh!... jauh sungguh lamunanku, keloh Natasha lalu bangun berjalan menuju ke bilik Ketuanya.

“Natasha, ini Encik Iskandar Pengurus Kewangan dari pejabat kita di Malaysia. Dia akan dipinjamkan di sini bagi mempelajari proses sistem kewangan kita yang baru supaya dapat diselarikan dengan pejabat di Malaysia. Jadi saya mahu awak bantu Encik Iskandar sepanjang dia bertugas di sini,” jelas Encik Robert sambil memperkenalkan lelaki yang duduk di hadapanya, sebaik sahaja Natasha masuk ke biliknya.

“Apa khabar Cik Natasha?” Iskandar bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Natasha. Bola mata mereka bertembong. Hati Natasha bergetar tidak karuan.

“Alhamdulillah. Berapa lama Encik Iskandar akan berada di sini?”

“Lebih kurang dua minggu kerana saya perlu siapkan repot tugasan ini sebelum orang-orang di Malaysia bercuti panjang kerana menyambut hari raya.”

“Hhhmmmm….” Natasha mengangguk-nganggukkan kepalanya sebagai tanda faham akan tugas yang perlu mereka selesaikan.

Natasha terpaksa balik agak lewat petang itu kerana membantu Iskandar di dalam tugas yang diarahkan oleh Ketuanya. Kesihan juga dia melihat Iskandar tercari-cari beberapa dokumen yang diperlukan tetapi tidak dapat dicari. Kebanyakan pekerja-pekerja lain terutamanya orang-orang tempatan negara tersebut agak keberatan untuk membantu.

“Alaah!… memang sikap mereka yang sentiasa ego dengan kebolehan mereka.“ Natasha memberitahu Iskandar ketika Iskandar menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap mereka.

“Habis tu, macam mana awak boleh berkerja dengan baik bersama mereka selama ini?”

“Dah terpaksa. Lagi pun saya tak mengharapkan sangat bantuan mereka. Saya ambil inisiatif sendiri bagi membuktikan bahawa saya juga boleh memberikan perkhidmatan yang baik walaupun tanpa bantuan mereka. Alhamdulillah, pihak pengurusan pun nampak akan usaha saya ini dan sekarang mereka telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya. Malahan Encik Robert selalu kata saya boleh buat lebih elok dari mereka” sambil tersenyum Natasha memberi semangat kepada Iskandar.

“Saya kagum dengan awak Natasha! Seorang gadis Melayu yang lemah lembut tetapi mempunyai hati yang kental untuk maju dalam kerjaya, lebih-lebih lagi di negara asing seperti di Amerika ini”

“Terima kasih. Jangan puji tinggi-tinggi sangat. Nanti kalau saya jatuh tiada siapa nak angkat!..” Natasha cuba bergurau.

Iskandar tergelak besar mendengar kata-kata Natasha itu. Hhmmm… manis sungguh gadis ini. Kenapa pula dia mahu bertugas di sini ya? Mungkinkah dia hendak bersama kekasihnya yang ada di sini ke? Bermacam-macam soalan yang menerjah ke fikiran Iskandar bila dia diberitahu bahawa Natasha telah bertugas di NYC in selama tiga tahun dan masih belum berkahwin.

“Hai… kat sini kan ramai Mat Saleh yang besar-besar tubuhnya. Kalau takat awak yang kecil molek tu, tentu tak jadi masaalah nak angkat. Lagi pun sekarang….. saya kan ada!.…” Iskandar membalas gurauan Natasha. Seronok benar dia dapat bersama orang sebangsa bila jauh di perantauan ini.

“Minta simpang Malaikat empat puluh empat!... Janganlah saya terpikat dengan Mat-Mat Saleh ni…” Natasha menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-seolah takut benar dia akan perkara itu.

“Awak tinggal di mana? Kalau awak sudi, saya nak belanja makan malam ni.” Iskandar mula berasa senang bersama Natasha.

“Di Fifty Four Street First Avenue, Mid Town. Saya jarang makan di luar. Saya lebih selesa masak sendiri. Tapi kalau Encik Iskandar nak belanja, you are most welcome!”

“Saya pun sewa hotel apartment di Mid Town. Jadi bolehlah awak tunjukkan kedai yang sesuai yang boleh kita pergi makan.”

Natasha dan Iskandar makan pizza di kedai yang diusahakan oleh seorang taukeh Arab di Lexington Avenue. Semua makanan di kedai itu memang halal dan ramai orang Islam di NYC makan di situ. Sungguh selera mereka makan sambil berbual dan berjenaka. Macam-macam perkara yang Natsaha tanya berkenaan tanah airnya yang telah lama ditinggalkannya. Natasha yang selama ini sentiasa diselubungi perasaan kekecewaan bagaikan terlupa kisah sedihnya ketika mendengar gurau senda dan jenaka Iskandar. Dia merasakan ada satu tarikan yang membuatkan hatinya berasa tenang dan gembira ketika bersama Iskandar.

Sampai di apartmentnya, Natasha terus membuka komputernya dan melayari ‘chat room’ cuba mencari Isaac yang selalu dihubungi di ‘chat room’. Tetapi Natasha hampa lagi. Telah hampir seminggu Isaac tidak menyambut chatting Natasha apabila dia mencarinya di ‘chat room’. Begitu juga e-mail yang dihantar Natsaha juga tidak berjawab. Rindu juga Natasha dibuatnya kerana selama ini hanya berinteraksi dengan Isaac sahajalah yang dapat menghiburkan hati Natasha yang kesunyian di perantauan ini. Memang sengaja Natasha tidak memberikan namanya yang sebenar dan mengatakan dia adalah rakyat Indonesia yang menetap di NYC ini. Natasha tidak mahu Isaac mengenalinya sebagai seorang gadis dari Malaysia. Dengan menggunakan alamat e-mail dot@hotmail, Natasha tahu Isaac tidak akan dapat mengesan siapa Natasha sebenarnya. Takut nanti Isaac akan mencarinya di Malaysia dan alangkah malunya sekiranya Isaac dapat mengetahui segala peristiwa malang yang telah menimpanya dulu.

“If you really care about me, please response! I missed you so much!” Natasha menuliskan nota dalam e-mail yang dihantar kepada Isaac sebelum Natasha menutup komputernya.

Sampai di pejabat pagi itu, Natasha melihat Iskandar telah pun menghadap komputer di mejanya dengan penuh khusyuk sekali. Natasha mencuri pandang apa yang terpampang di skrin komputer tersebut dan terlihat bahawa Iskandar sedang berinteraksi di dalam skrin e-mailnya. Natasha hanya tersenyum sambil melambaikan tangannya pada Iskandar sebagai tanda memahami situasi yang Iskandar tidak mahu diganggu masa itu.

“Hhmmmm… khusyuk sangat saya tengok Encik Iskandar menulis e-mail pagi tadi!…”

“Hantar message pada pejabat di KL. Bertanyakan khabar mereka. Lagi pun terasa rindu juga pada kampung halaman. Tambahan pula kita dah mula nak berpuasa. Jadi saya hantar message pada kakak saya untuk disampaikan pada emak. Saya kata di NYC ini saya tak dapat nak rasa cendol pulut gula Melaka yang selalu emak buat untuk buka puasa hari pertama nanti. Saya minta emak buatkan sebaik sahaja saya balik nanti.”

“Hhhmmm!…, Sudah dua tahun saya tidak merasa masakkan emak ketika berbuka puasa. Seronoknya ya kalau dapat berbuka puasa bersama keluarga. Menghirup cendol pulut gula Melaka. Alangkah enaknya!….” Tanpa Natasha sedari dia telah mengeloh sedih. Hatinya bagai digamit-gamit untuk balik ke Malaysia pada Hari Raya ini apabila mendengar Iskandar menyebut cendol pulut gula Melaka yang amat digemarinya.

“Natasha suka cendol pulut gula Melaka?.” Iskandar bertanya. Natasha segera mengangguk tanda setuju.

“Jadi… Kenapa Natasha tidak mahu balik berpuasa dan berhari raya di Malaysia?” tiba-tiba Iskandar bertanya. Cuba mengorek rahsia gadis di hadapannya sambil merenung wajah yang putih bersih itu.

“Entahlah!...” Keloh Natasha lagi sambil cepat-cepat mengalihkan pandanganya kerana tidak sanggup menentang renungan tajam Iskandar.

“Kenapa Natasha minta tukar kerja di NYC ni? Semasa Natasha di KL dulu, saya belum lagi bekerja di syarikat ini. Sebab tu saya tak kenal Natasha lagi!”.

Natasha terkedu mendengar soalan Iskandar lalu dia berpaling ke arah lain. Membelakangkan Iskandar bagi mengelakkan Iskandar terlihat air matanya yang mula bergenang. Iskandar memerhatikan gerak geri Natasha dengan penuh minat. Hatinya yang memang menyenangi kehadiran gadis itu terus tertanya-tanya mengapakah Natasha melarikan diri ke NYC ini semenjak tiga tahun lalu.

Petang itu Natasha pulang awal kerana Iskandar ada urusan di pejabat Kedutaan Malaysia dan kemudian menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan. Sampai sahaja di apartmentnya, Natasha terus melayari ‘chat room’ mencari Isaac tetapi hampa kerana tiada tindak balas. Kemudian Natasha membuka e-mailnya. ‘You have 3 new mails’ terpapar di skrin e-mailnya.

Nina, ma’af kerana lambat membalas e-mail mu sayang….. Isy terpaksa bekerja di luar negara dan ketika di dalam perjalanan Isy tidak dapat membaca e-mail Nina. Isy amat gembira bila mengetahui Nina missed me so much! Mengapa selama ini Nina tidak beritahu Isy? Isy lebih lagi… Kalau boleh Isy mahukan Nina sentiasa bersama Isy. Bilakah agaknya kita dapat bertemu? Love; Isaac.” Natasha membaca message pertama dalam e-mailnya yang telah diterima pada jam 8.25 pagi tadi.

Message e-mailnya yang kedua juga dari Isaac yang diterimanya pada jam 12.30 tengahari. “Nina, Isy tidak tahu mengapa hati ini sentiasa berdebar apabila mengenangkan mu sayang!.. Isy terasa seolah Nina sedang bersama Isy walaupun pada jasadnya kita berjauhan. Adakah ini cinta namanya sayang?” Berderau hati Natasha membacanya.

Natasha terus membuka message e-mailnya yang ketiga yang diterima pada pukul 2.30 petang. “Isy amat merindumu sayang… Isy pasti akan bertemu Nina dalam sedikit masa lagi. Isy juga pasti bahawa Nina adalah gadis yang menjadi idaman Isy selama ini. Sudikah Nina menjadi permaisuri hidup Isy?

Hati Natasha terus bergetar membaca e-mail Isaac itu. Ya Allah… Adakah ini realiti atau pun satu fantasi? Hati kecil Natasha bertanya sendirian. Natasha bagai tidak percaya dengan apa yang dibaca. Adakah ini yang dikatakan “Cinta Cyber”? Natasha masih sangsi. Memang di dalam mereka berhubungan selama ini banyak latar belakang dan personaliti masing-masing yang dibincangkan. Banyak seloka dan luahan perasaan yang dibayangkan. Hanya gambar rupa paras sahaja yang tidak mereka berikan kerana Natasha tidak mahu Isaac mengenali wajahnya. Maklumlah Malaysia bukannya besar sangat. Dan disebabkan Natasha tidak mahu memberi gambar wajahnya, maka Isaac juga tidak mahu memberikan gambarnya. Natasha selalu mengatakan bahawa rupa paras adalah sifat fisikal luaran yang tidak kekal dan tidak penting. Apa yang penting adalah hati dan perasaan yang jujur dan ikhlas, kerana itu akan kekal abadi. Tidak dapat Natasha nafikan bahawa dia dan Isaac banyak keserasian. Natasha dapat rasakan bahawa Isaac adalah seorang lelaki yang jujur, penyayang dan romantis. Alangkah bahgianya gadis yang menjadi kekasihnya. Apatah lagi kalau dapat menjadi isterinya. Teringin juga Natasha untuk bertemu dengan Isaac. Tetapi bila mengenangkan peristiwa pahit tiga tahun lalu, hati Natasha menjadi takut untuk jatuh cinta lagi. Malam itu Natasha membiarkan e-mail Isaac tanpa balasan.

Natasha tergamam ketika membuka pintu apartmentnya untuk keluar ke pejabat pagi itu. Iskandar yang berdiri di luar pintu apartment Natasha tersenyum lebar apabila melihat muka Natasha yang pucat lesi akibat kejutan itu.

“Encik Iskandar buat saya terkejut besar!… Anyway, kenapa datang pagi-pagi ni?”

“Sengaja nak kejutkan tuan puteri!..” jawab Iskandar sambil tersenyum nakal melihat gelagat Natasha yang terkejut dengan kehadirannya yang tidak diundang itu.

“Kenapa? Ada mimpi indah ke malam tadi?”

“Mimpi menghirup cendol pulut gula Melaka dengan Nina!….”

Bagai nak luruh jantung Natasha bila mendengar Iskandar menyebut nama “Nina” kerana itu adalah namanya yang diberikan kepada Isaac dan tiada siapa pun yang tahu dia menggunakan nama itu. Kakinya jadi lemah dan Natasha segera memberhentikan langkah kakinya. Memandang muka Iskandar dengan seribu pertanyaan. Iskandar tetap tersenyum sambil merenung wajah yang kebingungan itu. Bola mata mereka bertembung. Jantung berdegup, hati masing-masing terusik!

“Nurnina Natasha, gadis Indonesia yang sebenarnya gadis Malaysia yang merajuk membawa hati ke NYC!”

Lidah Natasha kelu untuk berkata. Kerongkongnya rasa tersumbat menyebabkan suaranya tidak keluar. Natasha menyandarkan tubuhnya ke dinding pintu apartmentnya kerana kakinya yang lemah bagaikan tidak tertampung lagi tubuhnya yang kecil molek itu. Segera Iskandar memegang kedua bahu Natasha sambil menarik tubuh itu rapat ke dadanya. Lalu memeloknya. Dibelainya rambut gadis yang dirinduinya selama ini dengan penuh kasih sayang. Air yang bertakung di kelopak mata Natasha sudah tidak dapat disekanya lagi. Lalu bercucuran membasahi pipi yang putih bersih itu. Natasha yang masih tergamam dan kebingungan itu membiarkan sahaja Iskandar memeloknya. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Hanya sedunya yang mula beralun.

“Maafkan Isy kerana membuatkan Nina kebingungan pagi ini!...” Iskandar mengangkat dagu Natasha supaya memandangnya setelah esakan Natasha berkurangan.

Iskandar mengambil sapu tangan dari poketnya lalu menyapu lembut air mata Natasha yang masih merebes. Ditenungnya mata Natasha. Dia nampak kesyahduan dan kesucian dalam mata gadis itu. Natasha menundukkan kepalanya lalu menarik tubuhnya dari pelokan Iskandar. Dia berundur dan duduk di atas sofa diruang tamu apartmentnya sambil menutup mukanya dengan kedua tapak tangannya. Terdengar Natasha mengeloh panjang. Tidak mahu menerima hakikat bahawa Iskandar yang berada di depannya sekarang adalah Isaac yang selama ini dikenalinya hanya melalui internet. Iskandar melabuhkan punggungnya di sebelah Natasha. Dipegangnya kedua tangan Natasha dengan lembut.

“Nina… maafkan Isy!... Isy tahu tentu Nina hairan macam mana Isy boleh mencari dan mengenali Nina. Dan Nina pasti masih tidak percaya bahawa Isy adalah Isaac bukan?”

Natasha terus membungkam. Memandang jauh keluar tingkap. Tidak mengendahkan Iskandar yang duduk di sebelahnya. Seolah-olah tidak mahu mendengar apa yang mahu diperkatakan oleh Iskandar.

“Bagaimana Encik Iskandar pasti bahawa saya adalah “Nina” dan bagaimana pula saya boleh percayakan bahawa Encik Iskandar ini ialah Isaac? Kita tidak pernah bertemu. Mungkin Encik Iskandar sajer nak perangkap saya!...” Akhirnya Natasha bertanya dengan nada yang agak keras. Melepaskan kesangsian yang terpendam di dalam pemikirannya.

“Pertama kali Isy melihat gambar gadis bernama Natasha di rumahnya semasa Isy mengikut emak dan ayah menziarahi sahabat lamanya dua tahun lalu, Isy jatuh cinta pandang pertama. Isy suarakan hasrat hati pada ayah dan emak. Tetapi bila ayah dan emak merisik keluarga Natasha, Isy diberitahu bahawa Natasha bekerja di NYC dan besar kemungkinan Natasha tidak akan balik dalam jangka masa terdekat.” Dengan suara perlahan Iskandar cuba menerangkan.

“Isy tidak berputus asa. Lalu Isy risik di mana Natasha bekerja. Mungkin sudah ditakdirkan Allah yang kita akan bertemu jua. Kebetulan Isy baru bertukar kerja di syarikat kita ini dan melalui rekod pekerja-pekerja, Isy dapati yang Natasha juga bekerja di syarikat ini tetapi di Ibu Pejabat di NYC. Isy cuba menghubungi Natasha melalui urusan kerja tetapi tiada jalan yang membolehkan kita berhubungan kerana bidang tugas kita berlainan. Dalam pada itu, Isy suka melayari ‘chat room’ di internet dengan harapan Natasha juga akan melayari ‘chat room’ kerana Nazwan, adik Natasha ada memberitahu yang Natasha suka melayari internet. Tambahan pula Natasha adalah seorang Juruanalisa Sistem. Kebetulan bila Isy bertemu gadis bernama Nina di ‘chat room’, hati Isy bagai ditarik untuk mengenali Nina dengan lebih rapat. Walaupun Nina mengatakan Nina dari Indonesia dan bekerja di NYC, tetapi dari bahasa Nina, Isy dapat merasakan bahawa Nina adalah gadis yang dibesarkan di Malaysia. Isy terus menghubungi Nina dengan harapan mungkin Nina akan dapat membantu Isy mencari Natasha di NYC ini. Tetapi bila Isy melihat biodata Natasha di pejabat dan mendapati nama penuh Natasha adalah Nurnina Natasha, hati Isy jadi tambah kuat mengatakan bahawa Nina adalah Natasha. Sebab itu Isy lebih suka berhubung melalui e-mail dari di ‘chat room’ kerana tidak mahu orang lain mengganggu interaksi kita.”

“Mengapa Isy…. Eerrr….. Encik Iskandar tidak menghubungi saya melalui alamat e-mail kita di pejabat sekiranya Encik Iskandar betul-betul ikhlas mencari Natasha dan mengapa pula menggunakan nama Isaac di dalam ‘chat room’ dan e-mail?”

“Nina, please!... No moreEncik Iskandar tetapi Isy sahaja…..” rayu Iskandar perlahan.

“Mengapa pula begitu? Saya mengenali awak sebagai Iskandar bukannya Isaac!.” bentak Natasha cuba melarikan diri dari kenyataan sambil menjeling tajam kepada Iskandar.

“Dari risikan emak, Isy mendapat tahu Natasha pernah putus tunang. Emak kata itu bukan salah Natasha tetapi Fazlur yang menolak tuah. Emak dan ayah amat setuju sekiranya Isy mahu melamar Natasha kerana mereka tahu benar siapakah gadis yang bernama Natasha itu. Tetapi apabila keluarga Isy menghantar rombongan meminang Natasha, ibu bapa Natasha tidak dapat membuat keputusan kerana kata mereka Natasha tidak mahu langsung perkara ini dibincangkan. Jadi Isy ambil keputusan untuk mengenali dulu Nina secara rahsia supaya Nina tidak akan melarikan diri dari Isy.” Dengan suara sayu Iskandar menceritakan.

Natasha menundukkan kepalanya. Tidak mahu Iskandar melihat akan kesedihan yang mungkin tergambar di wajahnya. Natasha masih ingat yang emaknya pernah menghubunginya, menyuruh dia balik kerana ada seorang sahabat baik ayahnya ketika sama-sama bertugas di Sarawak ingin melamar Natasha sebagai menantunya. Natasha menolak pinangan itu dan dia berkata sekiranya emak ayahnya terus mendesak, dia tidak akan balik langsung ke Malaysia. Semenjak dari itu, emak ayahnya tidak lagi memperkatakan soal perkahwinan Natasha. Setiap kali berhubungan, emaknya hanya merayu agar Natasha balik dan memulakan hidup baru di negara sendiri. Emaknya selalu berkata, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, elok lagi negeri sendiri kerana ada kaum keluarga yang membantu”.

“Nina, ingat tak semasa kita minum petang di Starbuck di Lexington Avenue semasa hari pertama saya bertugas di sini, Natasha ada memberitahu Isy bahawa Natasha selalu mengikuti perkembangan di Malaysia melalui sahabatnya yang selalu dihubungi melalui e-mail dan kadang-kadang di ‘chat room’. Isy juga pernah bertanya kepada Natasha adakah Natasha suka cendol pulut gula Melaka semasa Natasha mengusik Isy yang sedang khusyuk menjawab e-mail tempoh hari. Natasha mengatakan memang Natasha suka benar cendol pulut gula Melaka, malah Natasha amat rindu untuk menghirupnya ketika berbuka puasa!..” Iskandar bertanya seolah cuba mengingatkan Natasha.

Natasha hanya mengangguk, tanda mengiyakan semua perkara yang dinyatakan Iskandar.

“Di dalam e-mail Isy kepada “Nina” semasa bulan puasa tahun lepas, pernah Isy bertanya samada Nina pernah datang ke Malaysia dan apakah makanan Malaysia yang unik yang Nina paling suka. Nina memberitahu yang dia amat gemar cendol pulut gula Melaka. Semasa kami sekeluarga berbuka puasa di rumah Natasha, emak ayahnya pula ada memberitahu yang Natasha amat suka cendol pulut gula Melaka. Kedua-dua informasi yang mungkin dianggap secara kebetulan ini, menguatkan lagi kepercayaan Isy bahawa Nina adalah Natasha!...” Iskandar cuba menjelaskan.

Natasha terkedu. Tiada lagi hujjah yang dapat dikatakanya bagi menolak segala kebenaran yang dikatakan oleh Iskandar itu. Tiada lagi helah untuk Nurnina Natasha melarikan diri dari Isaac atau Iskandar!.

Iskandar memegang kedua tangan Natasha sambil cuba mengelos lembut jari jemari gadis itu. Namun Natasha segera menepis perbuatan Iskandar itu. Bukan kerana marah tetapi sebagai tanda dia amat menjaga tatasusila seorang muslimah walau pun ketika berada di Negara yang asing itu.

Iskandar yang bagaikan dapat membaca tindakan Natasha, segera melepaskan tangan gadis itu. Iskandar terus merenung Natasha dengan tenungan yang susah untuk dimengertikan.

“Nina, mengapa Nina tidak membalas e-mail Isy malam kelmarin? Semalam bila Isy menyemak e-mail, tidak ada sebarang pesanan dari Nina. Isy lihat Nina pula sentiasa termenung ketika di pejabat. Nampak fikiran Nina selalu melayang jauh. Isy tidak mahu mengganggu Nina ketika di pejabat. Malam tadi Isy ajak Nina pergi makan dengan tujuan untuk menjelaskan perkara ini tetapi Nina tak mahu. Semalaman Isy tidak dapat tidur mengenangkan Nina. Kenapa Nina buat Isy begini? ” dengan perlahan Iskandar terus bertanya sambil merenung wajah Natasha dengan penuh kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

“Entahlah!...” Natasha mengeluh lagi. Tidak berminat untuk memberikan jawapan.

“Nina!... Lusa kita akan berpuasa dan tak lama lagi kita akan berhari raya. Tak rindu ke Nina pada emak dan ayah di kampung? Marilah ikut Isy balik ke Malaysia minggu depan.” Iskandar cuba memujuk.

“Untuk apa Nina balik? Untuk menambah lagi luka dihati ini?... Nina malu untuk bertemu dengan orang-orang kampung dan kawan-kawan Nina. Hari Raya sudah tidak ada makna bagi Nina…” jawab Natasha spontan sambil mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Seolah tidak mahu memandang lagi wajah Iskandar.

“Mengapa Nina perlu malu? Sebab putus tunang? Sebab perkahwinan Nina perlu dibatalkan pada sa’at akhir kerana Fazlur telah ditangkap khalwat?.. Oohhh Nina!…..” Iskandar bertanya dengan nada suara yang agak tinggi sambil mengeloh panjang dan menggomol kepalanya sendiri seakan tidak faham dengan sikap Natasha.

“Nina….Nina….. Lebih elok perkahwinan Nina dibatalkan dari Nina terus menjadi isteri lelaki curang seperti Fazlur itu. Nina tidak perlu malu kerana ia bukan salah Nina. Semua orang faham dan semua simpati pada Nina. Percayalah Nina!.. Isy telah merisik semua kawan-kawan Nina di pejabat di KL, semuanya menyebelahi Nina dan mereka amat mengharapkan Nina akan balik dan membina hidup baru di Malaysia”.

“Bagaimana anggapan orang kampung? Nina anak gadis yang majlis perkahwinannya terpaksa dibatalkan kerana tunangnya lebih mencintai gadis lain. Nina anak dara yang kena reject!…” Natasha medengus lagi sambil menutup mukanya dengan kedua tapak tangannya. Air mata yang sudah mulai kering merebes kembali. Sedu yang sudah reda beralun lagi.

“Nina… Cuba lihat mata Isy!… “ Iskandar menarik dagu Natasha sambil memaksanya merenung wajahnya. Bola mata mereka bertemu.

“Nina…Nina…. Siapa kata Nina gadis kena reject?... Nina adalah gadis yang boleh membuatkan hati lelaki cair apabila melihat wajah dan kelembutannya. Tetapi ia pula bagaikan merpati, senang didekati tetapi susah untuk dimilikki. Isy tahu Razlan, bekas pengurus Nina di KL dulu bagai nak gila bila mengetahui Nina bertunang dengan Fazlur. Sampai sekarang dia masih mengharapkan cinta Nina. Isy tahu semua tu. Tapi Isy tak peduli. Isy yakin jodoh Isy adalah dengan Nina dan sebab itulah Isy suruh emak ayah melamar Nina walaupun Nina tidak ada di Malaysia. Isy berjanji pada emak dan ayah yang Isy tidak akan berkahwin dengan gadis lain selain Nina!...” Iskandar terus memujuk Natasha dengan harapan gadis itu tidak akan menolaknya lagi.

Natasha terus membisu. Ya Allah, berilah aku petunjukMU… Doa hati kecilnya. Bukan Natasha tidak sayang pada Iskandar tetapi dia takut. Malah pada pertama kali Natasha melihat wajah Iskandar semasa diperkenalkan oleh Encik Robert tempoh hari, hati Natasha bagaikan cair dari kedegilannya untuk bercinta lagi. Malah Natsaha juga dapat merasakan bahawa banyak persamaan antara Isaac dan Iskandar di sepanjang pergaulan mereka. Malah pernah Natasha berharap agar Iskandar adalah Isaac ketika Natasha membaca e-mail Isaac malam kelmarin. Natasha teringat kata-kata Isaac di dalam e-mailnya dulu bahawa “Cinta boleh datang berkali-kali, tetapi cinta sejati hanya datang sekali”. Adakah cinta Iskandar terhadapku cinta sejati?? Natasha terus menyoal di dalam hatinya. Direnungnya mata Iskandar. Terlihat keikhlasan dan kejujuran dalam mata itu. Kesyahduan wajah Iskandar yang penuh mengharap itu melemahkan hati Natasha.

“Maafkan Nina kerana berkasar dengan Isy tadi…” Akhirya Natasha berkata perlahan. Iskandar terlihat air mata menitis setitik demi setitik di pipi yang polos itu. Lantas disapunya air mata itu dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang. Bunga cintanya terhadap gadis itu terus berkembang.

*****

Kelihatan Mak Lijah sibuk mengacau rendang di dapur dan Nazwan sorang-sorangnya anak lelakinya terbongkok-bongkok meniup api membakar lemang di belakang rumah. Di ruang tamu kelihatan Nelly Hanani terkekeh-kekeh mentertawakan kak longnya terjingkit-jingkit menyangkut langsir pada tingkap yang agak tinggi. Pak Hassan yang baru sudah menyapu sampah dan duduk berehat di bawah pokok mangga di halaman rumah berasa amat seronok melihat semua anak-anaknya berkumpul untuk menyambut Hari Raya esok.

Pagi tadi Iskandar dan bapanya datang menyerahkan surat dari Pejabat Kadi yang meluluskan permohonan Iskandar untuk bernikah dengan Natasha. Keluarga Iskandar dan keluarga Natasha bersetuju supaya Iskandar dan Natasha dinikahkan pada Hari Raya Ketiga nanti. Tak perlu buat kenduri besar-besar memadailah dengan kehadiran kaum keluarga dan jiran-jiran terdekat sahaja. Itu pinta Natasha semasa mereka meminta persetujuannya tempoh hari.

Di radio kedengaran lagu-lagu selamat Hari Raya berkumandang. Setelah siap memasang langsir baru, Natasha turun ke dapur untuk menolong emaknya menyiapkan lauk-pauk untuk hidangan Hari Raya esok. Seronok benar Natasha dapat menjamu selera bersama keluarganya. Dua kali Natasha keseorangan tanpa gelak ketawa dan gurau senda kaum keluarga apatah lagi sahabat handai ketika menyambut Hari Raya di perantauan. Oh… alangkah bodohnya aku mengikut kata hati selama ini!… Hati kecil Natasha berbisik, kesal.

“Orang yang beriman akan sentiasa sabar dan menganggap segala musibah yang berlaku adalah qada’ dan qadar Tuhan. ALLAH marah hambaNYA yang cepat berputus asa kerana seolah ia tidak percaya kepada qada’ dan qadarNYA. Ingatlah, ALLAH menjadikan malam LailatulQadar untuk semua hambaNYA yang beriman mendapat ganjaran dariNYA”. Natasha tiba-tiba teringatkan kata-kata Iskandar yang berjaya menyejukkan hatinya untuk kembali ke Malaysia tempoh hari.

“Hello Sayang, sedang buat apa tu? Semenjak balik ke Malaysia ni tak teringin ke nak chatting dengan Isaac di chat room?. Tiap-tiap malam Isaac cari Nina di ‘chat room’ tetapi tiada response. I missed you so much!... Nina ke mana?” kedengaran suara Iskandar mengusik nakal bila Natasha mengangkat telefon yang berdering-dering di ruang tamu.

“Berdo’a dan bermunajad di malam LailatulQadar!”

“Itu sahaja? Apa yang Nina minta semasa malam LailatulQadar?”

“Suami yang jujur dan pengasih sepanjang hayat supaya kehidupan rumahtangga Nina sentiasa manis macam manisnya cendol pulut gula Melaka!…..”

“InsyaALLAH, wahai permaisuriku!..” Kedengaran Iskandar menjawab sambil tergelak dihujung talian. Natasha tersenyum sendirian penuh harapan.

- TAMAT -

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.