Home Cerpen Cinta Suri Hati Di Aidilfitri
Suri Hati Di Aidilfitri
Zhar Aruzi Hairi
10/7/2016 23:22:02
4,616
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Suri Hati Di Aidilfitri

Oleh : Zhar Aruzi Hairi

Suasana di stesyen bas ini seperti yang aku jangkakan. Bising, panas dan menyesakkan. Beberapa kali aku terpaksa menutup hidung, menahan debu-debu dan asap rokok dari meneroka rongga hidung. Aku tidak mahu menumpang sengsara mereka yang sedang menikmatinya. Biarlah sesedap manapun rasanya, aku tidak mahu paru-paru ini bekerja keras untuk memproses apa yang tidak perlu dalam tubuh. Setidak-tidaknya kalau paru-paru ini dibedah, masih berwarna merah, bukannya hitam berkeladak.

Kalau dihalakan pandangan keatas, memang tertera papan tanda dengan tanda silang bulat pada rokok dengan perkataan berwarna merah “ dilarang merokok”. Yang tidak dapat membacanya mungkin buta mata atau sememangnya buta hati. Bulan-bulan puasa ni pun ada yang masih terikut dengan perangai syaitan.

Di sebalik papan larangan yang ada, tetapi si penjual masih diberi kebenaran menjual barang larangan di situ. Natijahnya, bila dibeli, seharusnya dinikmati. Macam makanan-makanan yang lainnya juga. Mungkin ada imbuhan ekonomi di sini yang aku sendiri kurang pasti. Sakit juga kepala kalau mahu mengulas perkara yang macam ni.

Mata aku yang dilekapkan dengan kaca mata hitam, “Rayben” raya, giat membaca nombor platform yang ada satu persatu. Sebaik tertacap ke nombor 9, aku mengalihkan pandangan pada bas yang diletakkan di situ. Sebuah bas satu tingkat berwarna merah dengan cat yang masih berkilat. Nombor basnya sama dengan nombor yang ditulis pada tiket oleh petugas kaunter tadi. Alhamdulillah, jumpa jugak akhirnya!!!

Perkiraan di dalam kepalaku begini: Kalau bas baru, semuanya pasti baru. Perjalanan juga mungkin lebih lancar. Pemandu bas pun lega dengan bas yang sempurna serba serbinya ini. Insya Allah, tidak ada masalah besar hendaknya. Yang sedang bermain di dalam kepalaku sekarang adalah adanya kerusi empuk baru yang dapat melayan lenaku sepanjang perjalanan nanti.

Separuh dari penumpang sudah memenuhi perut bas. Ada yang berpusu-pusu masuk, termasuklah aku. Aku sempat memandang sepintas lalu. Ada yang tua, yang muda, budak-budak dan aku pasti yang berpakaian smart semacam tu warga bangla. Gaya rambut dan cara senyum pun aku dah boleh agak.

Mujur aku membawa sebuah beg yang sederhana besar, boleh disumbatkan ke platform diatas tempat duduk. Yang ada di dalamnya pun keperluan raya aku dan hadiah untuk mak dan abah. Adik-adik yang lain aku akan bagi duit sahaja nanti. Belilah apa yang diaorang nak.Kalau aku yang belikan nanti, ada sahaja komennnya. Kadangkala, sampai yang tukang beli pun boleh sakit hati.

Tiket dengan tulisan nombor tempat duduk aku pegang sepanjang laluan ke tempat duduk. Cebisan kecil ditepi tiket sudah dikoyak oleh pemandu bas sebentar tadi.

Sebaik sampai di tempat duduk, ada seseorang sudah menghuni di kerusi bersebelahan tingkap. ‘Port’ faveretaku kalau naik bas. Apa tidaknya, kalau bosan kelak, mata ini boleh menjamu pandangan luar bas dengan pelbagai situasi dan panorama. Dan seseorang yang menjadi jiran sementara aku ini belum dapat dipastikan jantinanya. Membungkang tidur dengan mukanya bertutup dengan “hood”baju yang disarungnya.

Kalau dah ada yang memulakan mukaddimah dengan acara lena diulit intan, aku dengan rela hati menumpang di sebelah. Cuma “rayben” raya masih aku pakai supaya tak nampak sangat yang aku kemaruk tidur. Bulan-bulan puasa ni, kalau ada kesempatan tidur, memang nikmat.

Entah bila bas bertolak pun aku tak sedar. Cuma bila paha aku berasa semut-semut menyebabkan aku terbangun. Mata yang terlindung dengan ryben raya melihat jari-jemari lentik sedang menyucuk-nyucuk paha kiri aku. Mungkin dia tak perasan yang aku sudah bangun kerana mata masih bertutup dengan cermin mata gelap.

“Ish..” Aku bersuara perlahan. Sedikit geli sebenarnya kalau dicucuk dengan jari begitu. Kenapa dia tidak bersuara aku tak tahu. Penyakit apa pulak cucuk-cucuk orang ni!!!

Sebaik diturunkan “hood” yang tersarung tadi, muncul wajah manis berambut perang separas bahu. Bibirnya mencuka memandang aku.

“Excuse me, saya nak keluar” Lembut suara itu meminta izin. Ada sedikit nada marah, Mungkin sebab dari tadi mencucuk paha agaknya.

Rupanya bas kami sudah berhenti di kawasan rehat. Dari tingkap bas dapat dilihat beberapa orang lelaki berteduh di tepi tandas yang sedang melepaskan gian merokok. Yang lainnya terus masuk ke tandas atau membeli makanan dari gerai lori yang ada.

Tubuh genit disebelah tadi terkocoh-kocoh keluar sebaik aku memberikan laluan. Mataku mengekor kelibatnya sehingga dia hilang memasuki pintu tandas.

Cadang aku mahu turun membeli apa yang patut. Tapi bila difikirkan bulan puasa, terus terpadam niat itu. Lelaki yang berada di kerusi hadapan, sedang lahap membaham roti berperisa strawberry. Diselang seli dengan menghirup air kotak oren. Roman muka nampak macam melayu asli. Islam ke tidak aku tak pasti. Yang pastinya dia berani makan depan kami semua. Aku mengambil jalan tengah. Kena bersangka baik. Kalau muslim, mungkin dia musafir yang sedang kelaparan.

Anak makcik di kerusi bertentangan pula turut memerhatikan dengan penuh nafsu. Mungkin dipaksa berpuasa memandangkan susuknya seperti pelajar bersekolah rendah. Sebaik perasan aku memerhatikannya, dia cepat-cepat mengalihkan pandangan ke depan. Surat khabar yang tadinya diletakkan pada jaring penyangkut di kerusi hadapan, dibuka semula untuk dibaca.

Belum sempat aku membaca kelibat manusia lain di dalam bas. Tubuh genit yang turun tadi kembali ke kerusi. Kali ni jaket yang dipakainya dibuka. Susuk tubuhnya lebih menonjol dengan padanan baju t merah dan seluar Jeans sendat. Kalau direnung, mahu tinggal separuh puasa aku hari ini. Lelaki tua dengan ketayap di kerusi hadapan dari tadi mengekor susuk tubuh itu semenjak dari menaiki tangga lagi. Mungkin makcik di sebelahnya tidak perasan.

Kali ini aku cepat-cepat mengiringkan kaki ke haluan tengah bas. Mudah untuk si rambut perang melangkah masuk ke kerusinya. Sebaik melihat gadis ini duduk disebelah aku, mata-mata yang memandang dari tadi kembali ke posisi asal. Andaian mereka mengagak dia ni girlfriend aku.

“Sorry, ganggu tidur awak tadi” Dia berkata sambil menyisir rambut ke belakang. Kemudiannya ditocangkan dengan getah berwarna biru. “Balik Alor Setar ke?”

“Tak. Nak ke Kodiang. Nanti ada orang ambik di Alor Setar” Aku menyambut. Rayben raya aku buka supaya selesa untuk berbual. Lagi jelas aku dapat melihat awek genit kerusi sebelah ni. Dia tak lokek senyum rupanya. Manis.

“Sorry jugak sebab tidur dari tadi. Jetlag tak habis lagi. Pening sikit” jelasnya tanpa aku minta.

“Nama siapa?” aku memang tak suka berbual kalau tak tahu nama.

“Panggil Reen jer. Abang ni nama siapa?” berbunga dalam hati aku bila dipanggil “abang”.

“ Panggil Mall jer?” Aku sendiri tak perasan bila aku menukar ke nama samaran baru. Kalau disebut “Jamal” nanti, rasa macam nama kampung pulak.

“Dari mana ni?” soal aku pula.

“Flight dari London. Turun KLIA. Ambil monorel, LRT then naik bas ni”

“Ada pula tiket bas”

“Semua dah booking online, sekarang ni dah senang” ujarnya.

Pemandu bas bergerak dari hadapan untuk mengira semua penumpang yang ada. Dia perlu memastikan semua yang ada cukup sebelum menyambung perjalanan. Tidak lama kemudian, enjin dibunyikan dan bas bergerak keluar semula ke lebuh raya.

“Kerja kat London ke ni?” Dia hanya mengangguk. Pandangannya dilemparkan ke luar jendela. Mungkin rindukan pemandangan di negara sendiri.

“Kenapa tak minta orang datang ambil?” aku mengorek cerita lagi. Kali ini dia berpaling.

“Reen tak nak susahkan orang. Lagipun seronok travel macam ni. Bebas. Lepas ni mungkin tak dapat dah buat semua ni”

“Kenapa pulak?”

“Raya ni dah nak kena nikah. Semuanya Famili dah uruskan”

“Boleh pulak macam tu” Aku memang seronok menyampuk. Tambahan pula topik macam ni senang ditokok tambah. Taklah bosan sangat kalau ada teman untuk diajak berbual.

“Nak buat macam mana? Kalau bulat-bulat dah serahkan hal ni pada keluarga. Lambat atau cepat je. Reen Cuma harap, bila dah selesai nanti, hati Mama dan Babah lebih tenang”

“Awak kenal bakal suami?”

“Tak. Cuma mama cakap, dia orang baik-baik. Boleh bimbing Reen” Dia semakin serius bercakap. Mungkin pertama kali dia meluahkan rasa pada orang lain.

“Kalau dia jumpa saya macam sekarang ni, mungkin terus reject kot” Katanya sambil tersenyum. Aku turut mengorak senyum.

Sekejap sahaja perjalanan rasanya kalau ada teman berbual. Kalau duduk berbual dengan awek, lagi cepat masa berlalu.

“Kenapa sampai jadi macam ni. Rambut kaler, seluar ketat. Maaf cakap, dah bukan macam orang sini” Dia merenung tajam sebelum mengendurkan pandangan.

“asalnya Reen bukan macam ni. Sama macam orang-orang kat sini.Tapi bila dah lama-lama belajar, pulak tu terus kerja kat tempat orang. Terikut ikut pulak dengan cara orang sana. Kawan-kawan yang ada pun semuanya lebih kurang macam ni.” Jelasnya.

“Kalau ikut hati, memang nak jadi macam dulu. Nak nampak macam perempuan melayu terakhir gitu.Tapi tak ada yang nak bimbing. Yang nak merosakkan orang… memang banyak. Tapi Life must go on kan” Kali ini dia berani merenung mata aku. Aku pulak yang tiba-tiba jadi berdebar-debar.

“Ni dah banyak cerita pasal Reen. Mall pulak macam mana? Kenapa naik bas? “ Dia mengalih soalan.

“Saya suka naik bas. Nak drive sorang-sorang sampai lima jam, memang bosan. Transportdah ada kat kampung. Sampai sana nanti confirm kena jadi driver Mak dan Ayah” Aku mengaku.

“Mesti ada someone special yang tunggu kat sana” dia tersenyum mengumpan aku. Soalan seakan sama dengan yang dia dah jawab tadi.

Someone tu jadi jadi wife orang lain. Empat tahun berkawan, last-last kahwin dengan kawan sendiri” Aku luah sambil tersenyum tawar. Tak adillah kalau aku tak bercerita. Dia dah luahkan kisahnya tadi.Sekurang-kurangnya kami seri sekarang.

“Kesian. Sekarang macam mana?”

“Sekarang dah boleh hadam. Tapi bila ternampak dia dan anak-anaknya lalu depan rumah, terasa sangat-sangat. Kena banyak-banyak istigfar dan pujuk hati ni balik. Ingatkan diri ni yang Jodoh tu ketentuan tuhan. Kalau dulu-dulu, memang tak akan balik raya kat kampung dah” Aku menyambung.

“Reen pun fikir macam tu. Semua tu rahsia tuhan” Sambungnya.

“Rambut raya ke tu?” aku cuba bergurau. Dia pun buat-buat pusing kepala macam iklan syampu.

“Hmmm…ni rambut orang London. Nanti nak kena la berhijab masa raya. Nak tengok calon laki lagi. Kenala nampak macam muslimah sejati. Sampai Alor Star nanti baru nak cari tudung dengan baju raya. Kat London semuanya mahal-mahal” Adu Reen. Tangannya membelek-belek telefon, membaca mesej-mesej whatappsnya.

“Rasa macam menipu pun ada. Tapi Reen memang dah janji, kalau bersuami nanti. Reen akan berhijrah. Jadi lebih muslimah dari sekarang. Sekarang ni belajar sikit-sikit dari internet” akui Reen. Sambil tangannya rancak menaip sesuatu di telefon.

“Saya doakan semoga awak berjaya” Jawapan familiar dari aku. Perkataan lain aku tak tahu nak ucap dah. Kalau dilihat dari cara bercakap, ada keikhlasan yang mahu Reen dizahirkan. Perjalanan ini mungkin langkah pertama Reen ke arah itu.

Rancangan awal aku untuk lena sepanjang perjalanan terpaksa ditukar. Dia pula diam dengan telefon di tangan. Tangan aku pun menyeluk poket mengeluarkan telefon bimbit. Mujur talian internet cemerlang sepanjang lebuhraya. Sekurang-kurangnya rasa bosan aku terubat dengan melayan facebook dan whatapps.

“Kat Mna Bro?” mesej whatapps menjengah sebaik talian phone aku dikesan aktif. Bob memang cepat kalau bab Whatapps ni.

“On d way balik kampung”

“Kat sblh tu sapa?” Aku mencari-cari kelibat yang mungkin aku kenal di dalam bas. Sah, sah ni serkap jarang. Silap haribulan, aku yang terkena.

“Sblh aku mkcik jual nasi lemak” Aku mengumpan.

“Takkan Mkck tu cuttng mcm Nora Danish”. Aku cuak memandang sekeliling sekali lagi. Jangan ada yang upload gambar Reen masuk bas tadi dah ler. Memang clear nampak muka aku. Aku cepat-cepat cari footage dalam facebook. Langsung tak ada.

“Takkan dh cuak” mesej yang seterusnya menurut. Mana si Bob ni dapat info. Memang aku menggelabah sebab info macam ni senang sangat sampai kat adik-adik aku. Nanti sepanjang Aidilfitri jadi bahan ketawa.

“Mna ko tahu”

“Ko klu tk tido dlm bas msti ada awek cun sblh” Dia menyambung.

Cepat-cepat aku padamkan internet. Kalau dilayan nanti banyak cerita-cerita lain yang akan keluar. Reen di sebelah yang tadinya rancak menaip sudah berhenti. Di telinganya terlekap earpiece dan dia kembali menyambung tidur.

Aku menurunkan sedikit bahagian belakang kerusi. Sekadar tidak menyempitkan ruang orang di belakang dan aku selesa untuk merebahkan badan. Lagipun pakcik di belakang aku pun sudah lama tidur. Siap dengan sound beatbox lagi. Patutlah Reen suapkan earpiece kat telinga. Aku berharap tidak berdengkur seteruk itu.

“Mall, dah sampai” suara manja sayup-sayup mencecah cuping telinga aku. Mimpi aku beraya sakan terganggu seketika. Semakin lama, semakin kuat suara awek rambut perang itu kedengaran. Akhirnya, Reen terpaksa menolak bahu aku bagi mengejutkan aku dari tidur.

“Dah mimpi raya ke?” dia memerli sebaik aku membuka mata. Macam tau-tau je aku mimpi beraya tadi.

“Tak..mimpi tidur sekatil dengan awak” aku membalas. Ayat pun dah mantap.

Reen terdiam sekejap melihatkan aku tersenyum. Jangan silap ayat dengan aku. Nanti aku pulangkan balik paku buah keras.

Setelah mengemas apa yang patut, aku bangun untuk keluar dari perut bas. Reen terus senyap selepas aku membalas kata-katanya tadi. Beg dan jaketnya diletakkan diatas riba, menanti aku keluar dahulu.Terfikir juga aku untuk beraya dengan dia atau ambil contact number ke. Tapi bila melihat dia monyok dengan melekatkan earpiece di telinga, aku menggalas beg keluar.

Kalau nak minta ayah aku datang pun masih awal lagi. Waktu sekarang mungkin dia masih di surau berjemaah Zohor. Lebih baik aku duduk sekejap sebelum balik dengan menaiki teksi sahaja. Sengaja aku duduk berhadapan dengan bas tadi supaya aku dapat melihat gelagat Reen yang baru turun. Nafsu aku di penghujung Ramadan ni masih belum terdidik lagi.

Sepuluh minit berlalu, Reen masih tercongok berdiri di tepi bas. Dua tiga orang pemandu teksi menghampirinya tadi bertanyakan hala tuju. Dan dia hanya menggeleng. Beberapa kali juga aku melihat dia cuba mendail seseorang dengan telefon.

Aku bangun sebaik melihat tiga orang pemuda bergerak mengelilingi Reen. Seorang yang berbaju biru tersengih-sengih bercakap sesuatu. Dua yang lain menyambut dengan tawa. Wajah Reen bertukar menjadi kemerah-merahan. Aku tidak mendengar dengan jelas apa yang dia tuturkan sebelum disambut dengan ketawa oleh tiga pemuda tersebut.

Aku sempat menyambut tangan Reen sebelum tapak tangannya menyinggah ke muka pemuda yang berbaju biru. Seraya menarik tubuhnya bergerak ke belakang aku. Tangannya aku genggam kemas.

“Apa ni Bro, bulan-bulan posa ni kacau awek orang?” Aku cuba meredakan suasana. Pemuda yang berbaju biru tadi seakan marah. Dua rakannya hanya berdiam.

“Hang ni sapa?” Soal lelaki berbaju biru itu. “Awek ni dari tadi kami tengok sorang-sorang ja”

“Aku mai ni nak ambik dia la. Tunang aku ni”

“Kalau tunang hang, mintak dia dressing sopan sikit. La ni kan bulan posa lagi.Kami mai tadi pun nak teguq hal tu je.” Balas lelaki itu sebelum berlalu dengan kawan-kawannya. Lepas agak jauh, mereka sambung ketawa beramai-ramai.

Aku menarik tangan Reen sehingga sampai ke kawasan kedai berhampiran. Lebih sepuluh minit kami berjalan beriringan tangan. Sengaja aku berbuat demikian kerana lelaki yang tiga orang tadi masih memerhati dari jauh. Reen pula tidak membantah. Mungkin dia juga sedar yang kami sedang diperhatikan.

Cepat-cepat aku jatuhkan tangan dia bila kami lepas dari pandangan lelaki bertiga tadi. Lembut tangannya masih berasa di hujung jemari aku.

“Sorry. Saya taknak tengok awak cari pasal dengan budak-budak tu” Aku berterus terang.

“Terima kasih sebab tolong” ucap Reen. Dia pun kelihatan serba salah.

“Tunggu sapa tadi?”

“Ingatkan nak jumpa kawan yang tinggal kat sini. Dari tadi call tak berangkat”

“Dah cari baju dan tudung” Dia menggeleng.

“Takut pulak nak berjalan sorang-sorang. Orang-orang tadi mesti masih ada kat kawasan ni”

“Jom shopping saya temankan” Aku menawarkan diri. Riak muka Reen berubah serta merta. Bibirnya menguntum senyum.

“Sebelum tu, cari baju dan seluar baru untuk pakai sekarang. Banyak sangat mata yang tertarik dengan fesyen awak ni” aku memberikan syarat. Dia senyum mengangguk.

Kami melangkah keluar dari kedai yang terakhir. Aku sempat menjeling jam yang berada di belakang kaunter kedai tadi. Lagi setengah jam sahaja untuk berbuka puasa.

“ jom, saya belanja” Reen mengajak aku ke kedai makan berhampiran. Tangan aku lenguh menjinjing beg-beg pakaian yang diborongnya tadi. Asalnya mahu sepasang, kini sudah berpasang-pasang. Mulanya untuk diri sendiri sahaja, bila bershopping, dia memborong untuk seluruh keluarga. Hati jantan aku terusik juga melihat riak gembira Reen membeli belah. Senyum memanjang. Semua yang melihat kami berdua menyangka yang kami ini sudah bernikah.

Reen memilih untuk makan secara berhidang masakan thai.mengidam katanya.

“Sempat lagi ke dik?” Aku bertanya kepada pelayan yang mengambil pesanan.

“Dan lagi bang. Kami masak sat ja. Ramai tukang masak kat belakang” Dia memberi jaminan. Ibu jarinya dinaikkan tanda bagus.

Reen sempat lagi menaip sesuatu di handphonenya. Kemudian dia mengambil gambar beg-beg pakaian yang diambilnya.

“Bagi nombor” Terpancul soalan dari Reen.

“Nombor apa?”

“Nombor awak” Reen sudah sedia untuk menaip nombor yang aku sebutkan nanti.

Aku menyebut nombor telefon satu persatu dan Reen menaipnya di telefon. Pelayan tadi datang menghantar minuman yang kami pesan tadi.

Sebaik Reen mendail, satu nombor terpancul di skrin telefon aku.

“Simpan nombor saya, Raya nanti boleh datang rumah” Ulas Reen.

“Raya ke berapa awak nikah?” soal aku, Cuma nak mengingatkan Reen tentang majlis penting dalam hidupnya.

“ Raya ke lima kot, Awak datang tau. Kami buat kenduri kecik-kecik je dulu. Mama suruh nikah gantung jer. Kenduri besar belum tahu bila” Reen menjelaskan. Nada suaranya tidak seriang tadi.

“Awak dah ada yang punya, tak baik saya ganggu tunang orang”

“Kita kan dah jadi kawan. Ada tunang ke tidak saya ni, saya sendiri pun tak pasti” Aku ketawa melihat gelagat gadis genit berambut perang ni. Kalau dia tak jadi kahwin, mau aku minta Mak dan ayah pergi masuk meminang pulak.

“Kat sini sahaja kita. Kawan saya dah sampai” Ucap Reen sebaik melihat kereta Honda Vios berhenti di hadapan kedai makan. Tergesa-gesa dia menjinjing beg-beg pakaiannya. Mungkin dia tidak mahu rakannya melihat kami makan semeja.

“apa-apa nanti wasap atau Call saya” pesannya sebelum berlalu. Seorang perempuan bertudung menyambut dia di kereta.

Sudah tiga hari aku berhari raya. Raya kali ini lebih meriah sebab Ayah dan Mak menerima seorang lagi cucu yang baru. Aku pula dikejutkan dengan berita pertunangan sendiri. Mak dan Ayah sudah aturkan semuanya sebelum aku balik. Patutlah adik aku ada cakap yang ada surprise untuk aku di Aidilfitri ni. Aku sendiri dah tak kisah bab jodoh ni. Ada, adalah, kalau tak ada, pun tak apa. Rasanya Mak dan Abah akan pilih yang terbaik untuk aku.

“Hang taknak tengok gambaq tunang hang ka?” Tanya mak sebaik aku berseorang dengan dia dia ruang tamu.

“Kalau mak pilih, Chek ikut je. Tak mau pilih-pilih”

“Ka, hang masih ingat kat Ain”

“Dak aih, dia dah bahagia dengan Aiman. Anak pun dah masuk tiga. Gila apa kalau Chek dok angau lagi kat dia” Aku tegas memberitahu. Mak tersenyum. Aku dah waras sekarang.

“Kalau hang teringat nak tengok rupa budak tu, gambaq tu ada ataih almari bilik hang” Pesan Mak sebelum ke dapur.

“Bila Chek kena menikah?” Aku menyoal agak kuat. Takut mak tak mendengar dari dapur.

“Dua hari lagi.” Mak pun menjawab agak kuat dari dapur.

Aku terlelap sebentar sebelum mesej masuk ke inbox whatapps.

“awk, bleh smbang” Nombor telefon Reen tertera pada skrin.

“Ok Jew. Tk tdo lagi”

“Tx. Stress sket. Baru lpas tngok gambr tunang”

“knape?”

“Ada jmbang, Pakai srban. Tak senym lgsung”

“Baguslh tu. Ustz boleh bimbng awak”

“Tkut tk serasi la. Dia msti nk isteri solehh”

“Awk blaja la jd solehh”

“Hu..hu..hu..tktau nk jawap macammna” Reen membalas. “Kjap lagi sya sent gmbr. Jgn gelak dh la”

“Maaak!!” aku menjerit sekuat hati sebelum semua ahli keluarga berlari ke ruang tamu. Bunyi macam aku terserempak dengan hantu raya.

“Hang ni awat?” Ayah aku yang berkain pelikat sahaja melaung dari tangga. Aku tak menjawab tapi terus berlari masuk ke bilik.

“Kenapa Mak bagi gambaq Chek masa kat pondok dulu kat tunang chek” aku menunjukkan skrin telefon kepada mak. Adik aku, Umair dan Airin cepat-cepat lari.

“Abang dah tau” Jerit Airin sambil ketawa. Aku dah boleh agak siapa yang bagi gambar tu. Masa tu jugak, aku dapat dengar ayah dan adik-adik yang lain gelak di bawah rumah.

“Kalau dah suka, gambaq mana pun tak pa aih” Mak membela mereka. Mujur hati aku cepat sejuk bila tengok gambar Reen. Walaupun macam gambar masa sekolah menengah dia.

“Hang kenai ka budak tu” Tanya mak pulak.

“Kenai jugak la..”

Cuma aku bersyukur sangat sebab Reen yang dijodohkan dengan aku. Patutlah hari tu aku berdebar semacam bila pegang tangan dia. Ada jugak jodoh antara kami berdua ni rupanya. Aku tak sabar nak tengok muka terkejut dia bila kami jumpa masa akad nanti.

“Mana pengantin lelaki ni?” Tanya Tok Kadi. Adik aku a.k.a pengapit tidak rasmi berlari mencari aku di kereta.

“Abang, Jom masuk. Turn abang sekarang” Panggil Umair. Sengaja aku menunggu di dalam kereta. Biar Reen terkejut bila tengok masa aku akad nanti. Memang aku nak tengok sangat reaksi dia masa tu.

Cuti Aidilfitri pun masih ramai yang buat majlis kahwin. Mungkin ambil kesempatan dari cuti hari raya dan sanak saudara dapat berkumpul bersama. Masjid yang bapa Reen pilih ni pun dah ada tiga pasangan yang akad nikah. Giliran aku paling akhir. Harap-harap tok Kadi tak menyoal yang pelik-pelik. Bukan apa, adik beradik aku bukannya yang pandai cover line langsung. Sah-sah aku kena gelak, lepas tu kalau diaorang rakam. Gerenti tiap-tiap tahun jadi bahan tatapan. Mak dengan ayah pun kadang-kadang tumpang sekaki jugak bab-bab ‘mengenakan’ orang ni.

Tiba-tiba sahaja aku jadi gementar. Jantung berdegup kencang. Peluh jantan memercik keluar sebaik melihat tok kadi dan orang-orang disekelilingnya. Sangka aku boleh maintain macho macam selalu, tapi perasaan gementar ni datang tiba-tiba. Orang nak nikah memang rasa macam ni ke?

Sempat juga aku menoleh pada pengantin perempuan. Dari tadi menunduk sahaja. Lagi gemuruh dari aku agaknya. Sempat juga aku melirik jari jemarinya yang berinai penuh berteleku diatas paha yang bersimpuh sopan. Kalau Reen mengangkat muka dan tersenyum, aku pulak yang tak boleh duduk diam depan tok kadi nanti.

Pertama kali jugak aku berhadapan dengan keluarga Reen. Babah dia berjanggut dan berjambang. Pasal tu kot diaorang tak complain sangat masa tengok gambar yang mak aku bagi. Mama dia lebih kurang dengan mak aku juga. Cuma nampak stylo sikit sebab pakai kurung moden kaler cerah. Silap pandang orang ingat akak sulung si Reen. Adik beradik dia yang lain aku tak dapat detect. Lebih kurang satu batalion kaum kerabat dia yang ikut sekali di masjid ni. Memang keturunan anak ramai dia ni.

Baru aku perasan yang Tok Kadi pun pakai jubah raya. Macam yang diiklankan dalam internet. Patutlah tadi dia mengepak semacam je. Dua orang saksi yang dibawa cuma berjubah putih dan berserban sahaja.

Degup jantung aku bertamban kencang sebaik bertentang mata dengan Tok Kadi. Mujur dia banyak tersenyum dan buat lawak-lawak agama yang aku sendiri boleh faham. Soalan-soalan yang ditanya pun dikias-kias semasa berbual. Aku santai menjawab semua soalan. Lepas tu dia ceritakan serba sedikit pasal akad nikah. Selebihnya dia akan sambung dalam khutbah nikah nanti. Tup tup sampai ke partjabat salam dan goncang tangan dengan Tok Kadi.

Lepas saksi cakap Sah! Je, aku rasa macam nak melompat. Nak peluk je Tok Kadi dengan saksi-saksi sekali. Tapi aku maintain je, sebab ayah aku dari tadi duduk depan-depan dan tajam je dia pandang kat aku. Dari awal tadi dia dah genggam buku lima.

Sedar-sedar je aku dah ada bini dan apa-apa surat yang tok kadi tu suruh sain, aku sain. Kalau surat jual tanah dia letak sekali pun, aku gerenti akan sain sekali. Tak ada masa aku nak baca satu persatu.

Aku kalih menengok ke arah suri hidup aku. Masih lagi menunduk dari tadi. Terfikir jugak aku, tak lenguh ke leher dia duduk macam tu!. Aku pun tak pasti dia menangis ke tidak. Selalu yang aku pernah nampak, pengantin perempuan akan menitiskan airmata sebaik akad selesai. Mungkin bini aku ni jenis yang keras hati agaknya.

Kaler baju kami memang sedondon sebab semalam jugak aku pergi ketuk kedai yang dia beli baju tu.Reen suka warna merah.Aku mintak beli baju yang sama dengan baju yang dia beli, yang boleh dipadankan bersama. Mujur kedai tu buka awal lepas cuti raya. Tak la nampak pakaian kami pelik sangat. Terfikir jugak aku nak try sarung jubah, macam dalam gambar, tapi last-last tak jadi. Kalau jadi, aku mungkin sedondon dengan Tok Kadi.

Lepas sujud syukur dan solat sunat akad, pihak perempuan memangil aku untuk sarungkan cincin. Part ni memang aku tunggu-tunggu. Kalau nak tengok muka surprise Reen, inilah masanya!!

“Assalamualaikum!” aku memulakan dengan salam dengan suara agak garau sebaik menyambut kotak cincin dari Umair.

“Waalaikumsalam” sayu sahaja bunyi suara yang masih menunduk. Mama Reen mengangkat tangannya yang berinai pekat dan dihulurkan kepada aku.

“Pemalu sungguh pengantin ni” ada suara yang terbit dari group rombongan aku.

Tangan Reen aku sambut dengan penuh kasih sayang. Masih selembut hari tu. Jari jemarinya aku bengkokan sedikit sebelum menyarungkan cincin dijari manisnya. Memang padan. Dia sedikitpun tidak menoleh. Adik aku Airin terkial-kial dari tadi mengambil gambar. Maklumlah jurugambar suku professional.


Selesai menyarung cincin, aku mahu segera keluar dari kelompok orang yang berkerumun ni. Umair sempat menarik hujung lengan baju aku.

“Cium dahi isteri dulu. Adab kami kat sini” Mama Reen mengingatkan aku. Renungan Mama Reen pun setajam Ayah jugak.

“Ye ke. Maaf. Tak biasa” Aku menjawab tersengih-sengih.

Pengantin yang menunduk malu tadi macam terkena renjatan elektrik. Mungkin dia dah cam suara aku. Serta merta dia mengangkat muka memandang aku. Terkesima seketika.

“Abang nak cium dahi ni” aku mendekatkan bibir pada dahinya. Syahdu juga perasaan masa pertama kali mengucup dari isteri ni.

Tiba-tiba aku berasa pedih di pangkal pusat. Rupa-rupanya jari-jemari lembut tadi sedang memulas kulit perut aku. Lepas tu ditarik-tarik beberapa kali.

“Adoi!!” Aku yang tak malu ni menjerit. Seorang pun tak perasan yang Reen mencubit aku dari bawah tadi. Semua kehairanan mendengar aku menjerit.

“Main-main macam ni. Reen tak suka la” suara Reen jelas kedengaran. Air mata mulai berjuraian dari tubir matanya. Mudah tersentuh juga rupanya si Reen ni. Sebelum habis air matanya, dia mulai senyum melihat aku menahan sakit dicubit.

Baru sekarang aku dapat melihat senyuman wajah isteri aku dengan sempurna. Memang kalah Nora Danish,,, dalam hati aku ni!!


Doakan kami bahagia hingga ke anak cucu.

Doakan anak-anak aku tak kaler rambut macam mak diaorang.

Aku pun akan doakan jugak kebahagiaan korang jugak.

Aminnn…..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.