Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
72,977
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 16

Tingkatan 4 dan 5

Tahun 1979 aku di dalam Tingkatan 4. Tahun 1980 aku tingkatan 5 dan mengambil peperiksaan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seperti yang aku tulis dalam bab terdahulu pelajaran tingkatan 4 dan 5 lebih mencabar. Rakan sedarjah pun ramai yang bijak. Maklumlah pada ketika itu Sekolah Tinggi Muar adalah sekolah yang menghimpunkan pelajar terbaik dari seluruh daerah Muar. Malahan ada juga pelajar yang dari luar daerah.Pada ketika itu tidak banyak sekolah berasrama penuh yang boleh  menempatkan pelajar cemerlang.

Proses pembelajaran bukan sahaja mencabar kepada kami pelajar-pelajar tetapi juga buat guru-guru yang mengajar kami. Kami adalah kelompok pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sepenuhnya di dalam Bahasa Malaysia.Sebelum itu  ada dua aliran, Bahasa Malaysia dan Inggeris.Pelajar aliran Melayu  akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) Pelajar Aliran Inggeris pula akan mengambil peperiksaan ‘ Malaysia Certificate of Education (MCE).Bermula dengan pelajar yang masuk darjah 1 tahun 1970 tidak ada lagi aliran Melayu dan Inggeris sejak kerajaan memperkenalkan Dasar Pelajaran Kebangsaan.Kesemuanya telah disatukan menjadi Sijil Pelajaran Malaysia sahaja

Guru-guru yang mengajar kami kebanyakannya guru-guru berpengalaman. Tetapi oleh kerana Sekolah Tinggi Muar dulunya adalah sekolah aliran Inggeris, guru-guru ini terpaksa mengajar kami menggunakan Bahasa Malaysia. Memang sukar untuk mereka menyesuaikan diri mengajar menggunakan Bahasa Malaysia terutamanya guru bangsa Cina. Mereka mencuba sebaik mungkin untuk mengajar menggunakan Bahasa Malaysia tetapi bukan sesuatu yang mudah terutama  bagi guru-guru veteran yang telah mengajar menggunakan Bahasa Inggeris selama berbelas atau berpuluh tahun.

Tempoh peralihan sememangnya mengambil masa terutama bagi guru-guru. Guru-guru menggunakan buku teks dwibahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris). Kami pelajar-pelajar menggunakan buku teks versi Bahasa Malaysia.

Banyak juga peristiwa lucu yang berlaku melibatkan guru-guru berbangsa Cina yang mengajar menggunakan Bahasa Malaysia buat kali pertama. Ada sekali tu guru biologi  berbangsa Cina (namnya aku dah lupa) mengajar sementara kami menyalin apa yang dia tuturkan. Dia menyebut ‘ Air itu terjebat’. Kami yang mendengar terpinga-pinga. Tak faham apa yang cikgu itu kata. Melihat kami yang dalam kebingungan cikgu lantas membaca versi Bahasa Inggeris ‘ The water evaporates’. Dalam bahasa Malaysia bermakna ‘ airt ersejat’. Kami semua gelak besar mendengar penerangan cikgu. Jauhnya lari perkataan tersejat menjadi terjebat.

Ada satu lagi peristiwa lucu melibatkan guru biologi juga. Sekolah Tinggi Muar adalah sebuah sekolah lama.Bangunan dibina pada tahun 1915, lama sebelum perang dunia ke 2 meletus. Bangunan sekolah yang menempatkan dewan dikatakan dijadikan sebagai pusat tahanan tawanan perang Jepun ketika perang dunia ke 2 dulu.

Pada satu hari ketika matapelajaran biologi cikgu mengajar tentang sesuatu berkaitan dengan rangka manusia.Dia telah mengeluarkan satu tengkorak manusia dan memberitahu kami yang itu adalah tengkorak betul, bukannya model yang diperbuat dari plastik. Cikgu memberitahu kami tengkorak manusia itu dijumpai di bawah dewan sekolah.Kemungkinan besar dari salah seorang tawanan perang Jepun yang dipancung dan ditanam di bawah dewan sekolah.Mendengar kata-kata cikgu, kami semua merasa gementar. Cikgu membenarkan kami memegang tengkorak itu secara bergilir-gilir.Kami memegang untuk beberapa saat setiap orang sebelum diberi kepada rakan sebelah dan begitulah seterusnya sehingga setiap orang telah memegang tengkorak itu. Sebaik sahaja tengkorak itu diserahkan semula kepada cikgu, ada salah seorang pelajar nakal yang telah menulis di atas tengkorak itu ‘ Kepala Jais’,merujuk kepada nama aku. Sehingga hari ini identiti penulis mesej nakal di tengkorak itu tidak diketahui.

Ada seorang cikgu wanita Cina  yang mengajar subjek kimia.Orangnya agak rendah. Ketika itu dia masih belum berkahwin. Ada di kalangan kami yang agak nakal yang selalu mengusik dia tetapi cikgu itu agak sporting. Dia tidak pernah marah kepada kami semua. Kalau ada di antara kami yang mengada-ngada meminta dia melayan kami kononnya nak kelas tambahan jawapan yang dia selalu ucapkan ‘tak masa’ .Aku rasa dia terjemahkan perkataan Bahasa Inggeris ‘no time’ secara literal, jadi ‘tak masa’.

Seorang lagi cikgu yang mengajaraku ialah Mr. Lye Hye Hye. Tentu pembaca hairan kenapa nama dia yang aku ingat diantara ramai guru yang mengajarku. Nama dia unik, mengingatkan aku kepada lagu nyanyian Izlyn bertajuk Hye Hye Bye Bye yang begitu popular satu ketika dulu.

Mr Lye Hye Hye seorang guru matematik yang berpengalaman. Teknik pengajarannya amat teratur. Ada satu peristiwa yang berkaitan dengan Mr. Lye Hye Hye yang aku tak boleh lupakan. Ada sekali tu aku tak sihat ketika kelas matematik Mr Lye Hye Hye. Aku tak boleh tumpukan perhatian kepada apa yang diajar kerana demam. Aku menekup mukaku beralas lengan  di meja seolah-olah tidur. Melihat keadaan aku yang seolah-olah sedang tidur menimbulkan kemarahan Mr. Lye Hye Hye. Dia membaling pemadam papan hitam di tangannya. Nyaris tidak kena kepala aku. Kalaulah kena mungkin benjol juga kepala aku. Selepas dimaklumkan oleh rakan sekelas yang aku demam barulah dia tidak lagi marah.Sejak dari itu aku dikenali oleh rakan sekelas sebagai ‘ Jais Demam’.

Pada tahun 70an dan awal 80 andulu tidak ramai guru siswazah dari aliran sains dari kalangan orang Melayu.Kesemua subjek sains aku termasuk Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik,Biologi dan Kimia diajar oleh guru berbangsa Cina. Guru-guru Melayu mengajar subjek Bahasa Malaysia, Geografi dan Pengetahuan Agama Islam sahaja. Ada juga matapelajaran sivik yang diajar oleh guru Melayu.Kami tidak begitu mengambil berat subjek sivik kerana ia tidak dimasukkan di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.