Home Alternatif Umum Tangan Yang Memberi
Tangan Yang Memberi
Zaf Zafirah
1/6/2016 15:39:38
3,289
Kategori: Alternatif
Genre: Umum
Senarai Bab

Tangan Yang Memberi

Tangan. Ada apa dengan tangan? Sekadar untuk makan, minum, menaip, memukul dan lain-lain sahajakah? Tidak, bahkan lebih daripada itu! Pernahkah kita terfikir bahawa dengan tangan, kita boleh menambah amal?

Seringkali kita mendengar ayat bahawa tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadisnya:

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah pemberi dan tangan di bawah adalah penerima.” (Riwayat Muslim)

Sedarkah kita bahawa kita mempunyai kuasa ke atas tangan kita untuk memberi jika mempunyai hati dan jiwa yang prihatin terhadap insan lain yang menderita? Dalam erti kata lain, jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membantu insan lain yang memerlukan, kita akan lebih mudah untuk menghulurkan sumbangan atau bantuan bukan sahaja dengan wang ringgit, tetapi juga dengan tenaga dan doa.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh World Food Programme (WFP), sebanyak 795 juta penduduk dunia (setiap satu daripada 9 orang) tidak mempunyai makanan yang cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup dan Asia mencatatkan angka tertinggi yang memiliki penduduk lapar. Lebih menyedihkan, kekurangan zat makanan telah menyebabkan 3.1 juta kanak-kanak bawah 5 tahun meninggal dunia setiap tahun manakala satu daripada enam kanak-kanak di negara membangun dikategorikan sebagai kurang berat badan.

Usah disalahkan ibu bapa yang tidak bekerja kerana untuk sesetengah negara, apa lagi peluang yang mereka ada untuk mencari sesuap makanan? Malawi misalnya, negara yang berada di bahagian selatan Afrika. Malawi disenaraikan sebagai negara termiskin di dunia pada tahun 2015 oleh Bank Dunia dengan pendapatan per kapita terendah di dunia iaitu tidak sampaiUS$ 300.Sebagai negara termiskin di dunia, lebih dari setengah penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada US$ 1 per hari.

Ini hanyalah satu daripada krisis kemanusiaan yang berlaku berbanding pelbagai lagi krisis seperti isu peperangan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Barangkali kita tertanya-tanya, bagaimana boleh kita membantu mereka? Ke mana harus sumbangan kita dihulurkan? Di sinilah kuasa tangan memainkan peranan. Kita boleh memilih untuk menyumbang atau mendiamkan diri sahaja membiarkan saudara-saudara kita kaku berdiri tanpa sebarang makanan dan perlindungan.

Di Malaysia sahaja, pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kemanusiaan ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana dan diserahkan kepada mereka yang memerlukan. Antara NGO yang aktif sehingga ke peringkat antarabangsa ialah Islamic Relief (IR) yang diasaskan di United Kingdom pada tahun 1984.IR diiktiraf dengan status perundingan khas sejak tahun 1993 oleh Majlis Ekonomi & Sosial PBB (UNECOSOC). Selama bertahun-tahun, IR telah mengembangkan mandatnya untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bidang termasuk bantuan kecemasan, pembangunan mampan sosial bersepadu (termasuk perubatan, pembangunan komuniti, pendidikan, kehidupan, tempat tinggal, psikososial) dan pengurangan risiko bencana.Sehingga kini, IR telah berkhidmat di lebih 40 buah negara.

Islamic Relief Malaysia (IRM) pula telah dilancarkan penubuhannya oleh YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2005, bertujuan meneruskan bantuan kemanusiaan IR di rantau Asia-Pasifik. Kini, IRM berperanan sebagai pejabat penjanaan dana (bagi projek antarabangsa & tempatan) dan pelaksana projek tempatan.

Jika kita tidak mampu untuk menyampaikan sendiri bantuan ke negara-negara seperti Syria, Palestin, Somalia, Bosnia & Herzegovina, Malawi dan lain-lain negara bergolak, mengapa tidak kita menghulurkan sumbangan melalui NGO seperti IRM? Fikir-fikirkan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.