Home Alternatif Travelog KEMBARA ANAK ESTET - Perjalanan Hidup Seorang Anak Penoreh Getah
KEMBARA ANAK ESTET - Perjalanan Hidup Seorang Anak Penoreh Getah
ZAMBERI Saidin
14/2/2016 10:07:39
8,238
Kategori: Alternatif
Genre: Travelog
Senarai Bab

BAB 1 : KEHIDUPAN DI ESTET GETAH

‘Cikri’ itulah panggilan yang saya dan adik beradik serta sepupu sepapat gunakan untuk memanggil Kolonel Hj. Zamberi Saidin (Bersara) iaitu bapa saudara kami. Untuk kisah seterusnya saya akan menggunakan gelaran ‘Cikri’ sebagai menggantikan nama sebenar beliau.

Cikri dilahirkan pada subuh 30 Mac 1952 jam 3 pagi di Sanglop Estet, Kota Bharu Perak. Anak ke 5 dari 7 orang adik beradik. Menurut cerita ibu saya yang Cikri panggil ‘Yong’ (‘Yong’ adalah panggilan untuk anak perempuan sulung bagi orang Perak)….nama Zamberi itu dicadangkan oleh bidan kampung yang menyambut kelahiran Cikri dan kebetulan pula opah saya suka akan nama itu.

Kata bidan…. “ Namakan Zamberi…dah besar nanti boleh jadi askar macam si anu tu”. Kebetulan ada saudara kami yang bernama Zamri dan dia bekerja sebagai askar. Alhamdulillah, dengan izin Allah masin mulut bidan berkenaan kerana memang Cikri memasuki tentera.

Semasa kecil Cikri banyak menghabiskan masa bermain sahaja kerana mak ayah iaitu atuk dan opah saya keluar bekerja sebagai penoreh getah. Maka anak-anak penoreh akan ditinggalkan di ‘kandang’. Sekarang kandang dipanggil TASKA, TADIKA, kinder garden dan sebagainya. Mengapa ianya dipanggil ‘kandang’? - kerana tempat asuhan ini sekadar berbumbungkan zink dan berdindingkan pagar papan sahaja seperti kandanglah layaknya. Daifnya TASKA di Sanglop Estet pada zaman itu.

Menurut cerita ibu saya lagi, arwah opah selalu balik setiap kali habis menoreh pokok getah dengan berjalan kaki dalam jarak yang agak jauh semata-mata hendak menyusukan anaknya. Cikri tidak mahu meminum susu pekat manis yang dimasak dengan air. Susu cap junjung itulah jenamanya. Zaman itu manalah ada susu tepung. Betapa bertuahnya anak-anak zaman sekarang pelbagai jenama susu tepung ada di pasaran. Pilih saja yang mana hendak asalkan ada duit. Kemewahan yang dimiliki anak-anak zaman sekarang membuatkan mereka tidak mengenal erti susah dan kurang bijak menghargai duit.

Selesai menyusukan Cikri, arwah opah akan pergi semula bekerja untuk mengutip susu getah pula. Begitulah rutin kehidupan arwah opah sekeluarga. Masa itu Cikri dalam lingkungan usia 1 ke 2 tahun.

Selain tinggal di kandang dan bermain-main, satu lagi aktiviti kebiasaan Cikri ialah mandi-manda di sungai. Malah sungai ini merupakan nadi orang-orang estet dan kanak-kanak di situ. Air sungai ini sangat jernih kecuali semasa hujan. Saya sendiri pernah mandi di sungai berkenaan di zaman kanak-kanak apabila setiap kali berkunjung rumah opah di Sanglop Estet itu. Airnya sejuk dan menyegarkan badan. Manakala suasana keindahan flora di sekitar sungai sangat menyejukkan mata memandang tetapi kini semuanya itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan yang tersimpan indah di ingatan saya dan apatah lagi buat Cikri yang membesar di Sanglop.

Ketika zaman itu, di estet hanya diduduki 10 keluarga Melayu, 2 keluarga Cina dan majoritinya keluarga India. Sungguhpun begitu hubungan kaum sesama mereka sangat baik dan akrab. Semuanya mengenali antara satu sama lain. Rutin harian semua ibubapa keluarga di estet ini ialah sibuk dengan kerja memburuh sebagai penoreh getah manakala anak-anak terbiar. Sudah menjadi kebiasaan anak-anak Melayu akan tinggal di kandang bersama anak-anak India. Dunia mereka hanyalah bermain sahaja kerana tiada sesiapa yang hendak mengajarkan ilmu 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Anak-anak melata tanpa bimbingan malah ada yang berbogel sahaja sepanjang hari. Cikri juga tidak kurang dengan sifat nakal dan lasaknya. Setiap hari Cikri pergi melastik burung. Tidak pasal-pasal burung mati kerana terkena batu lastik Cikri. Fuhh! nakalnya Cikri…

Pernah terjadi Cikri dengan tidak semena-mena tanpa tujuan telah membaling tin sardin kosong ke arah rumah dan tin sardin itu terkena kepala kakak Cikri iaitu ibu saudara saya, Rohyah namanya. Cikri memanggilnya ‘Nyah’ iaitu gelaran orang Perak untuk anak yang tengah dan saya memanggilnya ‘Wan Nyah’. Akibatnya kepala Wan Nyah berdarah dan membasahi bajunya. Heboh seketika opah dan jiran. Nasib baiklah luka di kepala Wan Nyah tu tidak dalam, hanya kulit kepalanya yang luka. Kejadian itu membuatkan Cikri kecut perut kerana kerisauan. Kena marah dengan opah sudahlah pasti. Begitulah nakal dan lasaknya Cikri ketika itu - almaklumlah zaman kanak-kanak apatah lagi dalam situasi hidup yang terbiar tanpa bimbingan.

Lebih memilukan lagi, kehidupan Cikri dan seluruh warga Sanglop penuh dengan keperitan dan kepayahan. Keperitan dan kepayahan yang saya sendiri tidak dapat gambarkan dengan untaian kata-kata. Segalanya serba tidak ada namun tidaklah sampai mereka kebuluran. Ketika zaman itu untuk berganti pakaian jauh sekali, yang ada seluar sekolah dipakai harian tanpa baju. Bila hendak ke sekolah barulah memakai baju. Begitulah daifnya masa itu, jauh berbeza dengan kehidupan saya semasa kecil. Sayu hati ini bila membayangkan kehidupan Cikri ketika itu. Sewajar ianya menjadi iktibar kepada kita khasnya anak-anak yang hidup zaman sekarang yang penuh dengan segala macam pembangunan dan kemajuan. Kemiskinan dan kedaifan membuat anak-anak estet jauh dari kemajuan minda.

Kembara Anak Estet......

Bertatih dalam cahaya kelam penuh sendu

Bersendirian tanpa bimbingan ayah ibu

Menyelusuri ranjau berliku

Ke manakah hala tuju…

Menurut cerita ibu saya, semasa Cikri berusia dalam lingkungan 3-4 tahun Cikri sering juga dibawa oleh ibu saya ke rumahnya. Antara tempatnya ialah rumah yang dipanggil 'rumah tuan panjang' yang terletak di jalan Gopeng di mana abang ipar Cikri yang dipanggil 'Yeop' bertugas sebagai SC (Special Constable). Apabila abang ipar Cikri mendapat demam panas dan di masukkan ke hospital Kampar selama 14 hari. Hari-harilah Cikri mengikut Yong melawat sehingga abang ipar Cikri meninggal dunia. Masa itu ibu sedang mengandungkan kakak sulung saya yang berlainan ayah, Azizah namanya.

Selepas abang ipar Cikri dikebumikan di kampung asalnya di Kuala Pilah Negeri Sembilan, ibu terpaksa balik semula tinggal dengan keluarga di Sanglop. Oleh kerana keakraban antara Cikri dengan ibu maka ke mana saja Yongnya pergi akan ikutinya. Malah pergi membasuh kain di Sungai Teman yang jaraknya agak jauh dari rumah pun Cikri tetap juga mahu ikut. Selalunya ketika hendak balik ke rumah, Cikri mulalah minta didukung. Bila Yongnya enggan, Cikri pun menangislah sepanjang jalanan. Kesihan Yongnya - mana nak mendukung Cikri, mana pula nak bawa kain basuhan lagi.

Hahaha....nakal betul Cikri sampai arwah opah marah. Malah Yongnya pernah menyebat Cikri kerana tidak tahan dengan kenakalan Cikri.

Namun dalam pada itu Cikri sering mengajak Yongnya balik ke rumah tuan panjang.

"Yong, mohlah balik rumah kita", rayu Cikri pada Yong.

Yong pun cuba memujuk Cikri, "Mana boleh balik rumah kita dah, yeop dah tak ada".

Mendengarkan kata-kata itu...Cikri pun diam tetapi hari-hari Cikri bermuram durja.

Lantaran kerana kesihan melihatkan keadaan Cikri begitu, akhirnya abang sulung Cikri, Halim dengan panggilan 'Yang' membawa Cikri tinggal di Cameron Highland kerana Yang bekerja sebagai SC di situ. Selepas tamat kerja SC, Yang sekeluarga termasuk Cikri balik semula tinggal di Sanglop Estet. Isteri Yang mula bekerja sebagai 'pengasuh' di kandang estet. Selepas itu Cik ri pun mula bersekolah.

Gambar Cikri bersama abangnya Sharin berdiri di hadapan rumah buruh estet.



BAB 2 : DARI KECIL SUDAH DIKENALI ADA DAYA MEMIMPIN

Cikri mula memasuki sekolah rendah pada tahun 1959 di Sekolah Kebangsaan Kota Bharu, Perak. Dahulu dipanggil Darjah 1 tetapi zaman sekarang dipanggil Tahun 1. Sistem pembelajaran dahulu dan sekarang sudah sangat jauh berbeza. Zaman sekarang murid-murid sebelum masuk tahun 1 sudah diajar 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira,. melalui pra sekolah ataupun kelas TADIKA., Tetapi zaman di estet dulu apa yang ada! -- Buku pun tiada hanya menggunakan papan batu untuk menulis. Justeru, darjah 1 Cikri berlalu tanpa tahu 3M -- malah mengenal huruf pun Cikri tidak tahu langsung. Selalunya Cikri hanya meniru kerja sekolah rakan perempuan iaitu anak kepada salah seorang anggota polis di Balai Polis Kota Bahru. Bila tiba ujian mengeja Cikri hanya tahu mengeja B.O.L.A sahaja, Manakala ejaan yang lain semuanya salah. Ha…ha..ha…maka pecah sudah rahsia bahawa selama ini Cikri tak tahu apa dan hanya meniru kawan.

Walaupun begitu, cikgu-cikgu masih memberikan kepercayaan kepada Cikri menjadi ketua darjah. Cikri menjadi ketua darjah dari darjah 1 sampailah darjah 6. Mungkin ketika itu cikgu-cikgu sudah mengesan bakat kepimpinan yang ada pada diri Cikri. Memang Cikri mempunyai bakat kepimpinan. “We proud of you”.

Di zaman persekolahan, Cikri sangat aktif dengan permainan bolasepak. Ya, kalau Cikri aktif dengan permainan bolasepak, saya pula aktif dengan bolajaring. Saya merupakan salah seorang daripada anak saudara Cikri yang aktif dengan sukan dan permainan. Semasa darjah 5 Cikri merupakan ‘top scorer’. Ketika dalam darjah 6 pula Cikri diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan bolasepak sekolah dan ditakdirkan juga saya pula pernah menjadi kapten pasukan bola jaring sekolah. Saya dapat rasakan bagaimana semangat kesukanan Cikri masa itu.

Atas terlalu minat kepada permainan bolasepak, Cikri dan kawan-kawan di Sanglop pernah berkongsi 5 sen seorang semata-mata mahu membeli bola getah. Itu pun mereka terpaksa menunggu ibubapa masing-masing dapat gaji. Dengan bola getah itulah Cikri dan kawan-kawannya bermain bolasepak sampai pecah rabak bola getah itu. Mendengarkan kisah ini, ada rasa lucu yang amat sangat di hati saya namun tidak dinafikan jauh di sudut hati saya ada juga terselit rasa sedih kerana itulah hakikat kedaifan hidup warga estet di zaman Cikri. Betapa bertuahnya kehidupan di zaman kanak-kanak saya. Kalau di zaman Cikri, mereka sangat menghargai apa yang ada. Anak-anak sekarang ada yang lupa diri dek kerana terleka dengan segala kemewahan dan kelesaan hidup yang tersedia ada. Hinggakan ada pula menjadi manusia yang tidak tahu bersyukur dan menghargai apa yang ada.

Mengimbas kembali di awal persekolahan, apa-apa pun Cikri tidak tahu. Membaca, menulis dan mengira bukan milik Cikri. Namun apabila memasuki darjah 3, Cikri mulai tahu membaca, itu pun kerana adanya peristiwa yang menyebabkan Cikri rasa segan dengan cikgu perempuan yang baru mengajar di sekolah. Apatah lagi cikgu berkenaan cantik dan manis orangnya serta selalu memberi kata-kata pujian umpama memotivasikan diri dan minda Cikri. Zaman dahulu manalah ada cikgu motivasi seperti sekarang.

Pada satu hari cikgu berkenaan telah memanggil Cikri tampil ke hadapan kelas untuk membaca buku secara kuat supaya murid-murid lain dapat mendengar. Aduhai malunya Cikri bukan kepalang kerana saat itu Cikri tidak boleh membaca. Apatah lagi selaku Ketua Darjah. Mujurlah cikgu berkenaan menyelamatkan keadaan dengan menolong bacakan dan Cikri mengikutinya. Ekoran dari peristiwa itu mulalah Cikri belajar mengeja dan membaca di rumah bersendirian tanpa bantuan sesiapa. Peristiwa itu jugalah menyebabkan Cikri sedar bahawa Cikri BOLEH pandai membaca kalau rajin berusaha. Malah peristiwa itu jugalah Cikri menyedari akan potensi diri untuk pandai. Seperti kata pepatah -- belakang parang pun kalau diasah lagikan tajam -- inikan pula manusia yang diberikan kudrat dan akal. Bukan kepalang gembiranya bila sudah pandai membaca. Alhamdulillah….

Menjelang cuti persekolahan, kebiasaannya Cikri akan menolong emak-ayahnya mengutip getah sekerap sama ada dengan berkayuh basikal atau berjalan kaki ke ladang getah. Di samping itu, Cikri turut mencari kayu api dari dahan-dahan mati pokok getah buat dijadikan bahan bakar untuk emaknya memasak. Masa itu tiada kuasa eletrik mahupun dapur gas. Dahan-dahan kayu dikerat 3 atau 4 kaki lalu diikat di ‘carrier’ basikal dan dibawa pulang ke rumah.

Pernah terjadi satu kemalangan semasa Cikri hendak menyeberang titi sungai di kebun getah dengan berbasikal yang sarat dengan dahan-dahan kayu. Lantaran keadaan titi yang agak kecil dan licin telah menyebabkan Cikri tergelincir. Cikri jatuh dahulu, basikal dan kayu-kayu menyusul kemudian dan hendak menimpa Cikri. Alhamdulillah…Allah nak panjangkan umur, Cikri sempat melompat mengelak dari ditimpa basikal, walaupun ketika itu Cikri sudah jatuh terlentang. Mujurlah sungai itu kecil dan cetek serta airnya tenang. Bila rasa terkejut dan cemas telah reda, Cikri pun bangun semula lalu membuka ikatan kayu api dan menaikkan basikal ke atas tebing sungai. Kemudian menyusun dan mengikat semula kayu api di ‘carrier’ basikal lalu terus pulang ke rumah. Kejadian ini terjadi ketika Cikri seorang diri dan ianya masih segar dalam ingatan Cikri hingga sekarang.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa sistem pembelajaran dahulu jauh berbeza dengan sistem pembelajaran sekarang. Sekarang sudah ada peperiksaan ujian persekolahan sekolah rendah iaitu bermula dengan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 dinaik taraf peperiksaan tahun 6 yang dipanggil UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah).

Dahulu di zaman Cikri cuma ada peperiksaan agama darjah 6 sahaja. Dalam peperiksaan agama itu Cikri telah lulus dengan baik dan mendapat tawaran masuk ke sekolah berasrama iaitu Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah di Ipoh Perak. Berita itu tersebar dengan cepat -- hebohlah satu estet akan berita seorang budak estet dapat masuk sekolah jauh dan berasrama. Tetapi kegembiraan Cikri tidak kekal lama lantaran emak-ayah tidak mampu untuk membeli baju Melayu, sampin, songkok, cadar, sarung bantal dan lain-lain keperluan untuk masuk ke sekolah berasrama. Dengan berat hati tawaran itu dilepaskan dan berakhirlah satu peluang baik bagi Cikri untuk memulakan satu langkah untuk maju ke hadapan. Kesihan Cikri.

Pun begitu, mendung kekecewaan tidak terus memayungi kehidupan Cikri kerana cahaya cerah datang menyinar. Di sekolah Cikri selalu mendapat perhatian dari cikgu-cikgu. Atas keyakinan seorang guru agama, Cikri diberi kesempatan untuk mewakili Sekolah Kebangsaan Kota Bharu dalam musabaqah al-Quran. Peringkat awal pertandingan ini diadakan di masjid Kampung Sungai Terap Batu Gajah. Manakala peringkat akhir diadakan di masjid Batu Gajah. Malangnya Cikri gagal untuk terus ke peringkat akhir kerana Cikri hanya menghafal surah al-Baqarah sedangkan tajwidnya entah ke mana. Lagi pun Ustaz berkenaan tidak pernah mengajarkan Cikri tentang ilmu tajwid. Ustaz hanya menyuruh Cikri menghafal sahaja dengan bertaranum. Sungguh pun begitu, sebelum pertandingan musabaqah itu, ustaz menyuruh Cikri membacakan surah itu di dalam kelas maka senyap sunyilah kesemua orang mendengarnya dan Ustaz berpuas hati dengan cara pembacaan Cikri.

Selain itu Cikri juga turut diberi kepercayaan oleh guru untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pengucapan umum dalam Bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Nah! Sekali lagi aku seperti mengikuti jejak langkah Cikri cuma bezanya aku mewakili sekolah dalam pertandingan bahas iaitu semasa aku di sekolah menengah. Untuk pertandingan ini, guru telah menuliskan skrip ucapan dan Cikri hanya perlu menghafalnya sahaja. Maka dengan susah hatinya Cikri berusaha menghafal skrip itu setiap pagi dan petang.

Apabila tiba malam pertandingan, Cikri pun berucaplah di atas pentas, malangnya di pertengahan ucapan tiba-tiba sahaja Cikri terlupa langsung skrip seterusnya. Cikri terdiam. Cikri cuba mengingati skrip ucapan, tapi semakin dicuba semakin lupa. Akhirnya masa pun tamat. Sekali lagi Cikri gagal untuk ke peringkat seterusnya. Pertandingan itu dimenangi oleh wakil dari Sekolah Kebangsaan Changkat Tualang. Apa yang boleh diambil iktibar dari kejadian ini ialah ilmu atau sesuatu itu tidak boleh hanya menghafal sahaja. Ianya mesti difahami dan mesti ada roh penghayatannya. Kita tidak boleh jadi seperti burung kakak tua yang mendengar dan menghafal tetapi ia tidak mengerti apa-apa pun.

Menjelang temasya sukan sekolah, cikgu telah melantik Cikri untuk menjadi ‘markman’ di hadapan murid-murid lain di dalam pertunjukan senaman kepada khalayak. Sedangkan ramai lagi murid-murid lain yang boleh dipilih, namun Cikri juga yang diberikan tanggungjawab untuk melakukannya. Wah! Hebat betul aura Cikri saya ni. Mungkin semua cikgu sudah menghidu akan kelebihan yang ada pada diri Cikri yang tidak ada pada murid-murid lain. Pepatah ada mengatakan, ‘Hanya jauhari mengenal manikam’.Hanya orang yang bijaksana mengenal kebolehan seseorang. Justeru, cikgu menyerlahkan bakat dan kebolehan yang ada pada diri Cikri satu persatu.

Berbalik kepada kehidupan seharian di estet -- untuk mendapatkan makanan nasi yang berlauk, selalunya emak-ayah Cikri (opah-atuk saya) serta tiga keluarga yang lain terpaksa pergi memancing setiap petang di paya-paya yang terdapat di dalam ladang getah. Hasilnya akan dibawa balik. Selalunya mereka dapat banyak ikan dan malamnya arwah opah akan masak sedap - ikan segar, bukan ikan di pasar yang sudah bundar matanya dan lebik dagingnya.

Dari sinilah Cikri mula mempelajari hidup berdikari mencari rezeki. Cikri mula memahami selok-belok memancing. Bermula dari menggali tanah lembab untuk mendapatkan umpan cacing - tahu pula bagaimana membuat kail dan memasang umpan serta seterusnya mengetahui kaedah untuk memancing agar ikan tersangkut di mata kail. Sememangnya aktiviti memancing sangat menyeronokkan kerana saya sendiri pun pernah memancing tetapi ikan yang saya dapat bukan untuk dibuat lauk. Hanya disimpan di dalam balang atau botol kaca yang mana akhirnya ikan itu mati kerana tidak diberi makan….ha…haa…haa…saya juga tak kurang nakalnya semasa kecil, ala ala tomboy perangai saya.

Biasanya Cikri akan pergi memancing bersama arwah opah meredah paya bakong untuk mencari lokasi yang sesuai untuk meletakkan pancing. Dalam pada itu arwah opah selalu mengingatkan agar Cikri berhati-hati takut-takut ada ular sawa. Kecut perut juga mendengarnya tetapi Alhamdulillah, sepanjang pergi memancing itu tidak pernah sekalipun terjumpa ular sawa.

Pasukan Bola Sepak SK Kota Bharu Perak. Cikri selaku Kapten duduk ditengah- belakang piala (Gambar tahun 1964)



BAB 3: LCE MENGHANTUI PEMIKIRAN

Tahun demi tahun berlalu, umur Cikri pun meningkat remaja. Tahun 1965 Cikri melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah -- Sekolah Idris Shah (SIS) Gopeng. Ketika itu usia saya baru setahun jagung. Tidak seperti kebanyakan murid Melayu, Cikri telah memilih untuk memasuki aliran Inggeris walaupun terpaksa membayar yuran bulanan sebanyak lima ringgit. Zaman sekarang nilai lima ringgit itu tidaklah sebesar mana, tetapi di zaman Cikri ia besar nilainya. Apatah dalam keadaan hidup keluarga yang miskin lagi serba kekurangan. Namun Cikri tetap bertekad memilih aliran Inggeris. Opah dan atuk tidak tahu malah mereka tidak ambil kesah disebabkan mereka tak faham apa-apa pun.

Semasa itu hanya 3 orang sahaja dari kelas Cikri yang memilih aliran Inggeris iaitu seorang murid perempuan dan 2 orang murid lelaki. Oleh kerana Cikri dan 2 lagi rakannya merupakan murid dari sekolah Melayu maka mereka bertiga terpaksa memasuki kelas peralihan (remove class) selama setahun. Justeru mereka telah rugi setahun, sepatutnya tahun itu sudah menduduki Form 1.

Dari tahun 1967 hingga 1969 Cikri berada di Form 1 hingga Form 3. Semasa ini Cikri aktif bersukan seperti bolasepak, badminton dan olahraga. Cikri pernah mewakili sekolah dalam acara larian berganti-ganti 4x100 meter dan 4x200 meter. Malah beliau merupakan pelari kedua terpantas dalam acara pecut 100 dan 200 meter. Cikri juga pernah menjadi johan lompat jauh. Bab berlari ini saya tabik spring pada Cikri sebab saya tidak pantas berlari. Saya sekadar pelari 100 meter dan 400 meter untuk rumah sukan sahaja.

Memenangi larian pecut 100meter dan 4x100 antara sekolah-sekolah

Dalam bidang akademik pula Cikri merupakan salah seorang pelajar Melayu yang dikira pandai. Majoriti pelajar SIS adalah dari keturunan Cina. Satu ketika, Cikri pernah mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan bagi matematik mengalahkan pelajar Cina yang paling pandai matematik. Untuk itu Cikri telah mendapat pujian dari cikgu matematik - Mr. Wong. Wah! Sungguh hebat pakcik saya ini malah dia selalu hebat di mata kami.

Semasa di Form 1 hingga 3 ini Cikri belajar secara sederhana sahaja. Hanya 3 bulan sebelum peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education) baharulah Cikri mula belajar bersungguh-sungguh -- hinggakan tidak keluar rumah kecuali ke sekolah atau membantu emak-ayahnya menoreh. Dapat saya bayangkan macam mana Cikri belajar ketika itu sebab saya juga memiliki penyakit belajar apabila peperiksaan menjelang tiba.

Alhamdulilah, akhirnya Cikri mendapat keputusan yang baik - Gred “A”. Ini membolehkan Cikri maju ke Form 4. Mereka yang gagal tidak boleh memasukki tingkatan 4. Pada masa itu keputusan LCE diberi grading A, B , C, D atau tamat tingkatan 3.

Sesungguhnya bagi Cikri bibit-bibit kesedaran untuk mengubah nasib hidup mula berputik ketika hendak mengambil peperiksaan LCE. Cikri sedar diri tentang kepayahan dan keperitan hidup sebagai anak buruh estet -- anak kepada seorang penoreh getah. Oleh kerana selalu memikir-mikirkan tentang keputusan peperiksaan tersebut membuatkan Cikri termimpi-mimpi dalam tidurnya. Hinggakan tahap menangis dalam tidur kerana bermimpi mendapat keputusan gagal dalam peperiksaan berkenaan.

Lantaran kehidupan yang susah, Cikri biasanya berbasikal pergi balik sekolah dan adalah sesekali menaiki bas. Biasanya Cikri akan berbasikal dua kali sehari ke sekolah kerana sebelah petangnya Cikri ada sukan, bola sepak dan aktiviti-aktiviti lain lagi. Jarak kayuhan Cikri dari Sanglop Estet ke SIS adalah sejauh 10 kilometer.

Kehidupan yang daif juga menyebabkan ada ketikanya yuran sekolah sebanyak 5 ringgit sebulan tergendala pembayarannya kerana tiada wang. Terpaksa meminta bantuan dari abang Cikri yang bernama Sharin, saya memanggil arwah Sharin sebagai Cek. Cek Sharin ketika itu masih bujang dan tinggal di pekan Kota Bharu. Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di kompeni Siamese Tin. Mengikut cerita Cikri, Cek Sharin ini tidak berapa mesra dengan adik-adiknya kerana cek bersifat agak pendiam. Kadangkala timbul rasa segan di hati Cikri untuk meminta wang, walaupun Cek Sharin akan membantu bila diminta.

Semasa form 1 iaitu ketika itu ibu saya mengandungkan kakak saya Rosnah. Kira-kira tiga bulan sebelum tarikh dijangka melahirkan, yong Cikri iaitu emak saya balik tinggal bersama keluarga di Sanglop Estet. Yeop Cikri (ayah saya) terpaksa berulang kerja dari Sanglop Estet ke Gopeng. Waktu itu kakak sulung saya yang kami panggil Zah bersekolah di pekan Gopeng. Zah ini adalah anak emak saya dengan suaminya terdahulu yang telah meninggal dunia.

Oleh kerana tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk menguruskan Zah -- maka Yong telah meminta Cikri menunggu di stesyen bas Gopeng bagi menentukan yang Zah menaiki bas yang betul ke Kota Bharu. Bila saja loceng tamat waktu sekolah berbunyi Cikri pun bergegas berbasikal ke pekan Gopeng kerana bimbangkan anak saudaranya.

Ada kalanya waktu bas terlalu lambat ini menyebabkan Cikri beberapa kali mengambil keputusan membawa Zah balik dengan menaiki basikal, sedangkan basikal Cikri tiada tempat duduk penumpang. Jadi Zah terpaksa duduk di palang besi basikal menyebabkan berbekas merah peha Zah. Apatah lagi dalam jarak yang jauh dari pekan Gopeng ke Sanglop Estet. Tindakan Cikri itu tidak disenangi oleh yong namun Cikri buat tidak tahu saja.

Menjelang cuti panjang sekolah, Cikri pernah bersama kawan-kawan estet pergi mendulang bijih di kawasan lombong tinggal. Sememangnya daerah Kinta terkenal dengan kegiatan melombong bijih. Masing-masing hendak mencari duit. Kerja mendulang ini sungguh memenatkan -- mereka perlu mengangkut tanah dan selepas itu perlu didulangi di dalam air lombong. Kerja ini dibuat berulang-ulang kali sehingga menyebabkan waktu malam Cikri merasa sakit di bahagian dada.

Namun kerana mahukan wang, aktiviti ini diteruskan hingga seminggu lamanya. Mereka berjaya mengumpul bijih sebanyak satu tin susu cap junjung. Kemudian Cikri dan kawan-kawannya membawa bijih itu ke pekan Kota Bharu untuk dijual. Tetapi alangkah terperanjat dan dukacitanya bila taukeh kedai menyatakan bukan bijih yang mereka dapat tapi hanya debu bijih yang tiada nilainya. Pada jangkaan Cikri dan kawan-kawannya, mereka boleh mendapat 20 ringgit seorang.

Mungkin atas rasa belas - taukeh kedai telah memberi seringgit seorang. Sedihnya…betapa hampanya hati mereka serta penat lelah selama seminggu hanya seringgit nilainya. Kesian…..

Selepas itu Cikri tidak mendulang lagi. Dari peristiwa itu, sedarlah Cikri bahawa mendapatkan duit bukanlah suatu pekerjaan yang mudah.....



BAB 4 : KESEDARAN UNTUK MEMBINA MASA DEPAN

Tahun 1969 -1970 iaitu zaman Form 4 hingga Form 5 merupakan fasa kehidupan yang sangat bermakna dan penuh dengan linangan airmata. Cikri sering menangis mengenangkan ke manakah nasib diri. Menangis seorang diri sambil berazam untuk mengubah nasib diri keluar daripada kepompong estet getah. Bermulalah Cikri memotivasikan diri sendiri dengan bercakap pada diri...

"Aku tak mahu jadi penoreh getah. Tak mahu menyembah (menoreh) pokok getah lagi!.."

Lantaran itu, Cikri banyak menyendiri sehingga menimbulkan perasaan rendah diri (inferiority complex) bila berhadapan dengan orang lain selain anak-anak estet.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan pula bersedih hati pada hal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Maksud Surah Ali-Imran 3:139)

Ketika inilah Cikri memiliki bilik belajar iaitu sebuah rumah kosong tiada penghuni yang berdekatan dengan rumah keluarga. Rumah kosong ini berkongsi dengan seorang kawan yang bernama Samsudin yang dipanggil Jotor. Jotor ini merupakan junior Cikri. Zaman form 4 dan form 5 inilah Cikri mula banyak membaca surat khabar ‘Mingguan Malaysia’ dan ‘ Sunday Times’ yang dibeli seminggu sekali secara berkongsi duit dengan Jotor. Waktu itu harga surat khabar berkenaan hanya 20 sen saja. Zaman sekarang ini jarang sekali kita dapat melihat pelajar khasnya pelajar Melayu yang mahu membaca surat khabar. Kalau ada pun hanya sebilangan kecil sahaja itupun bahagian yang biasa dibaca ialah bahagian hiburan dan sukan.

Disamping membaca surat khabar Cikri juga membaca novel-novel hasil karya penulis atau sasterawan seperti Shahnon Ahmad, Keris Emas, A Samad Said, Usman Awang (Tongkat Warrant) dan beberapa penulis lain. Novel-novel yang dibaca kebanyakannya berkisar tentang kehidupan nelayan dan petani atau pesawah yang menggambarkan kemiskinan dan pahit maung kehidupan mereka. Novel-novel ini biasanya Cikri pinjam kerana Cikri tiada wang untuk membelinya. Dari pembacaan novel inilah telah banyak mempengaruhi minda Cikri sehingga menyebabkan Cikri mampu berkarya sajak. Nanti saya akan titipkan sajak-sajak hasil ciptaan Cikri.

Minat membaca ini telah menyebabkan Cikri sanggup berkayuh basikal sebulan sekali mengikuti sepanjang jalan keretapi dari Kota Bharu ke Batu Gajah. Ianya bukanlah jarak yang dekat. Kesungguhan ini semata-mata hendak membeli majalah ‘Mastika’. Pada masa itu majalah Mastika banyak mendedahkan kisah tentang kehidupan masyarakat Melayu. Dewasa ini Mastika telah diisi dengan cerita-cerita tahyul yang kurang memberi manfaat kepada pembacanya. Untuk membeli majalah Mastika ini Cikri terpaksa mengumpul duit belanja sekolah. Ini bermakna waktu rehat Cikri tidak makan. Berbeza sungguh sikap Cikri dengan sikap pelajar zaman sekarang. Pelajar sekarang akan membelanjakan semua walaupun sudah ada yang membawa bekalan dari rumah. Kalau adapun pelajar yang mahu berjimat cermat mungkin dalam bilangan yang kecil sahaja.

Dalam pada sibuk belajar, membaca surat khabar, membaca novel dan majalah Mastika, Cikri masih aktif dalam pasukan bolasepak sekolah dan olahraga larian pecut mewakili sekolah. Disamping itu Cikri pernah memegang jawatan sebagai Presiden pertama Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Idris Shah. Melalui minat membaca khasnya novel sasterawan-satserawan yang terkemuka, maka tidak hairanlah minda Cikri diasuh dengan cara penulisan mereka. Cikri turut berkarya sajak dan hasil sajak itu masih disimpan hingga sekarang. Sajak-sajak Cikri menggambarkan bentuk pemikiran Cikri waktu itu. Malah Cikri pernah menghantar sajaknya ke Radio Malaysia siaran pelajar yang 'Bunga Bangsa' yang dikumandangkan pada setiap hari Sabtu jam 11.05 pagi selama 25 minit.

Rancangan 'Bunga Bangsa' ini diterbitkan oleh radio Malaysia pada tahun 1966 di bawah penerbitan Cik Zaitun binti Muhamad dan dikelolakan oleh encik Kamal Baharin. Penerbitan rancangan 'Bunga Bangsa' ini adalah satu projek bertujuan menggalakkan murid-murid Melayu mempelajari sains kerana murid-murid Melayu jauh ketinggalan dalam bidang ini berbanding dengan kaum lain. Rancangan ini juga bertujuan memberi pendidikan akhlak dan nasihat kepada para pelajar di samping memberi peluang kepada pelajar menunjukkan bakat mereka dalam bidang penulisan.

Cikri mengambil peluang itu dengan mengirim hasil penulisan sajaknya yang bertajuk 'Dialog Untuk Kawan'. Malang sekali sajak itu tiada dalam simpanan Cikri. Alahai ruginya...apalah agaknya bait-bait bahasa dalam sajak itu - hinggakan dipilih untuk dikumandangkan di radio. Sajak ini mambawa kepada satu fasa kehidupan yang baru dalam hidup Cikri hingga sekarang. Apakah kisahnya? - Tunggu, kemudian nanti saya akan ceritakan pada bab yang lain.

Pernah suatu hari sedang Cikri sibuk menyiapkan penulisan sajak yang berkaitan dengan perasaan emaknya di bilik belajar (rumah kosong) beliau. Tetiba datang seorang kawan dari Kampung Tengah, Kota Bharu masuk lalu terus merampas dan membaca kuat sajak tersebut. Lantas tidak semena-mena Cikri menangis tersedu-sedu mendengar bacaan sajak itu. Hal ini membuatkan kawan Cikri terperanjat dan berasa serba salah.

"Hei! Mengapa kau menangis? Kau marah aku ya....Ok, aku minta maaf kerana merampas dan membaca sajak kau. Maafkan aku ya". Rayu kawan Cikri.

Cikri tidak menjawab, hanya sedu genangan air mata sahaja yang berkata-kata.

Sebenarnya sajak itu amat terkesan di jiwa Cikri kerana ianya menggambarkan harapan seorang emak kepada anaknya untuk mengubah nasib keluarga. Sedangkan ketika itu Cikri tidak tahu bagaimanakah perjalanan hidup masa depannya. Bagi Cikri, biarpun arwah opah saya tidak pernah menyuarakan harapannya pada Cikri, namun melihatkan dari raut wajah emaknya dan tindakannya yang tidak jemu-jemu membangunkan Cikri yang tidur di rumah kosong tempat belajar setiap dini pagi agar bersiap untuk ke sekolah -- itu sudah cukup menunjukkan betapa besarnya harapan emak pada anak lelakinya. Sajak itu masih tersimpan dengan baik dan ianya berbunyi....

Suara Emak

“mengapa mu mesti kalah ?

setelah mereka tumpas semua !

ya ! mereka itu geliga

namun jangan mu turuti

mereka yang kalah

kau adalah kandil ku

gelap kau , gelitalah daku “ (30.3.1970)

Selain itu Cikri pernah juga pernah menghantar sajak Cikri ke Utusan Pelajar (tidak disiarkan) dan sajaknya berbunyi....

Kerana Mu Manusia Berkaih

Penoreh getah, buruh estet adalah teman-teman ku

Tanpa mereka mundar-mandirlah perjalanan

Perjalanan yang konkrit dalam hati muda ini,

Ini perjalanan pasti ku perjuangkan

Walau teman-teman ku terkepil-kepil memangku

Kerna aku mahu ke perhujungan

Bersama mereka bertemankan tangan-tangan kendur nan lembut itu

Penoreh getah, buruh estet pangkulah aku

Aku ingin benar ke perhujungan

Tangisan bercucuran merinduinya

Siang di impian , malam dimimpikan,

Keringat mu aku jasai pasti.

Setelah perjalanan dipertengahan

Kau berdua ngak bisa lagi memangku ku

Ini aku tidak kesal

Kerna kau manusia berkais

Biarlah aku berperasaan pedih-sendu

Namun perjalanan ini pasti ku perhujungkan

Walau tidak se konkrit dulu

(6 pagi 5.9.1970)

Atas kesedaran yang mendalam sewaktu form 5, Cikri banyak memberi penumpuan pada mentelaah pelajaran dan membuat praktikal matematik. Disamping itu setiap kali cuti sekolah Cikri akan menolong emak-ayahnya menoreh getah. Setiap hari Jumaat, Cikri dari sekolah berbasikal terus ke ladang getah semata-mata hendak menolong emak-ayah mengutip susu getah menyebabkan seluar sekolah Cikri terkena percikan susu getah. Masa itu di dalam fikiran Cikri berkata-kata...”macamana nak mengubah nasib emak-ayah !”

Oleh kerana itu lahirlah beberapa sajak hasil dari apa yang Cikri rasai sepanjang tahun 1970 itu...

ABC Keladi Kangkung

Dipersisiran hidup penoreh getah

Nyenyamuk sahabat mereka

Getah beku masaman

Jadi air wangi hiduan

Rona-rona inilah dunia mereka

Baik pagi jua petang

Getah masaman mendakap sentiasa

nyenyamuk mencucuk jua…..

anak-anak manusia penoreh

tidak kenal ABC

hanya bisa melolong…

“ABC keladi kangkung , babi mati kamu dukung”

pekik terlolong sana sini

bikin ketawa ramai-ramai

tanpa ngerti maksud makna

lagu ini bernafas terus

selagi besok tetap menjelma

“ABC keladi kangkong, babi mati kamu dukung”

bikin tawa ramai-ramai……

(9.1.1970)

*****

Saudara !

Semalam datang penoreh tua

Berkaki ayam tegang berurat

Pantalun hitam percik getah

Kemeja usang tanpa kutang

Dadanya membilang tulang

Merendah suaranya terketar berkata:

“anak pakcik yang kecik

sudah dua hari tak bersusu

hujan tak renti-renti, pokok sentiasa basah

tak dapat di toreh !” renti seketika…

cahaya matanya menjamah mukaku, katanya lagi:

“kalau kasihan anak pak cik,

pinjamkan ku wang sekolah mu

anakku merengek susu !”

Penoreh tua terus bercerita….

Cerita basahan masyarakat ku.

Tapi bagi saudara

Semalam itu penuh romantisnya

Dikamar sepi seorang diri

Secarik surat cinta

- sebatang pena berkilau

- sehelai sapu tangan dara

- mungkin dara tersenyum potret di muka

Ah ! indahnya masyarakat saudara ! wahai saudara yang mulia

tolehlah kehidupan masyarakat ku

Jangan leka bersurat cinta.

(Sanglop Estet Kota Bahru - 22 Okt 1970 jam6.54 senja)

Ah!.. Terlalu puitis dan simboliknya bait-bait sajak Cikri sehingga saya sendiri agak sukar untuk mentafsirkannya dengan jelas. Namun secara umum saya dapat menggambarkan apa yang Cikri rasa dan lalui ketika itu. Lantas saya teringat Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Allah tidak memberati seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya". (Al-Baqarah 2 : 286)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.