Home Alternatif Alternatif Musuh Ketat dalam Diri
Musuh Ketat dalam Diri
Snfirdaus Azman Nor Azman
9/2/2017 15:59:38
4,545
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Senarai Bab
Bab

Dengan nama Allah, aku berlindung daripada segala kecelaan. Berikan aku kekuatan untuk terus menghapus kelemahan, dan keberanian untuk menangkis segala ketakutan.

Syukur aku masih teguh berdiri. Menunaikan segala yang dihajati.

Tika mulut tidak putus meratib Asma’ yang Esa, jari ralit menari menyusun aksara. Tika jasad merasa lelahnya penat, jiwa terus teguh merangkul erat. Tika fikiran melayang di awangan, aku terus tolaknya kejauhan dan toleh pada impian.

Ya! Impian.

Impian aku ini bukan lah sebarang impian yang akan hanya tinggal kenangan. Bukan juga impian serupa mainan. Aku telah lakarkannya di atas sebuah permaidani hijau yang tenang, untuk direalisasikan bersama kebahagiaan dan bukannya dihancuri oleh kejahilan.

“Wahai diri yang lemah! Kenapa impian kau tinggi sangat? Kapal terbang yang disangka besar dan kuat macam MH370 itu pun boleh hilang tanpa alamat. Inikan pula diri kau yang serupa macam lalang. Ringan dan tak tentu hala gelabahnya bila angin serang. Kuat ke nak capai impian ekstrem kau tu? Hahaha!”

Wahai ‘musuh rapat’ yang paling aku hormati. Dengar apa yang aku nak bicarakan. Aku bina impian ini bukan atas dasar nafsu semata, tapi aku bina atas dasar aku sebagai hamba-Nya. Aku cipta impian ini bukan sekadar menjadi tempelan sahaja, tapi akulah yang akan menjadi watak utamanya. Aku bukan sekadar mengikat impian aku di kaki kayu yang reput, tapi aku berpaksikan pada Pencipta agar ikatannya terus kekal berpaut.

Terjeda lama…

Kuatkah aku? Mampukah aku?

Aku pejamkan bebola mata aku serapat-rapatnya. Sehingga aku terasa hangatnya mengalir manik jernih cuba untuk terus memahami. Aku rasa gelap segelapnya. Terus cuba untuk mencari cahaya. Lalu satu suara datang mengetuk gegendang telingaku, satu tangan halus mulus menggenggam erat tanganku. "Mengapa engkau menangis wahai diri?" Sepenuh hati aku adukan. "Aku mahu berjalan, tapi sepertinya aku tidak kuat, tidak ada cahaya sudi suluhkan."

Lalu tangan itu terus erat menggenggamku lembut lalu berkata, "Bagaimana cahaya boleh menerangkan, jika mata kau pejamkan.” Lantas aku tersedar dari jeda yang lama. Kelopak mataku basah entah bila ia merembes keluar. Allah… sungguh ia bukan semudah yang disangka. Tapi aku yakin aku kuat untuk lalui sehingga berjaya. Gelap itu aku rasa, bukan kerana hilangnya cahaya, rupanya aku yang terlupa membuka mata, tidak merasai dengan sepenuh jiwa.

Syukur...senyum panjang.

Terima kasih wahai semangat kerana engkau teguh kuat melawan ‘musuh rapat’. Ternyata musuh rapat itu adalah bayangan diri engkau sendiri. Musuh yang paling ketat dalam diri.

Jangan sesekali berpaling dari Tuhan, meski engkau banyak melupakan.

Tinggalkan segala ketakutan, teruskan berjalan menuju impian.

Dengan disaksikan Tuhan, Pemilik sebenar impian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Snfirdaus Azman Nor Azman