Home Novel Thriller/Aksi Hello, Abang Bodyguard!
Bab 19b

"Johari," jawab Rayyan sepatah.

Dr. Maria menunduk pilu. Dia kenal Johari rakan sekerja suaminya itu. Seorang yang baik hati dan selalu tolong orang dalam kesusahan.

"Apa lagi kamu nampak, Rayyan?" tanya Dr. Maria pilu.

"Ian rasa kepala Ian dipukul dengan batang paip besi, tukul besi dan Ian ditikam dengan pisau belati," jawab Rayyan perlahan.

Ngilu dan nyeri dirasakan pada kepala dan perutnya sekarang ni. Giginya diketap rapat dan sedaya upaya riak wajah sakitnya disembunyikan dari pandangan Dr. Maria yang sedang mengesat tubir matanya. Menangis mungkin.

Seketika, Dr. Maria mengangkat muka dan memandang Rayyan penuh sayu.

"Boleh saya minta tolong Rayyan?" tanya Dr. Maria.

Rayyan mengangguk.

Dr. Maria mengambil tas tangannya dan menarik sekeping gambar lalu menghulurkannya kepada Rayyan. Rayyan menyambut huluran gambar itu dan memerhatikannya dengan penuh rasa terkejut. Wajahnya dipandang kepada Dr. Maria.

"Itulah gambar arwah Inspektor Khalid, suami saya dan juga ayah Hana," kata Dr. Maria.

Rayyan memejam mata dan menjelma imej pak cik berlumuran darah di dalam mimpinya tadi. Jadi, pak cik di hutan tu... Inspektor Khalid? Ya Allah...kenapa teruk sangat keadaan pak cik tu?

"Apa yang terjadi pada Inspektor Khalid sebenarnya?" tanya Rayyan.

"Masa pihak polis jumpa dia di tepi gaung, dia masih hidup. Kepalanya berdarah teruk seakan dipukul dengan objek tumpul dan perutnya ada kesan tikaman sedalam 2 inci. Sebab pendarahan teruk di kepala, suami saya disahkan kematian otak (brain dead) keesokan harinya," Dr. Maria berjeda.

"Pada hari suami saya disahkan kematian otak tu juga, kamu selamatkan Kayla dari kemalangan. Kayla mengalami amnesia disebabkan terhantuk pada pembahagi jalan jadi dia tak ingat yang kamu selamatkan dia, Rayyan," ujarnya lagi.

"Kenapa Dr. tak bagitahu Hana?" tanya Rayyan.

"Macam mana saya nak bagitahu dia yang saya sendiri benarkan jantung dan kornea ayah dia diberi kepada kamu dengan sebab kamu selamatkan dia?" tekan Dr. Maria.

"Dia akan merasa bersalah seumur hidup, Rayyan. Kamu cedera teruk kerana selamatkan dia. Jantung kamu tembus dan mata kamu takde harapan untuk melihat semula disebabkan kemalangan tu. Jadi, saya sebagai seorang ibu yang terhutang budi dengan kamu, saya membenarkan organ suami saya didermakan kepada kamu," kata Dr. Maria dengan suara sebak.

Rayyan termati kata. Jadi selama ni, dia hidup atas jasa pengorbanan Inspektor Khalid? Sungguh, berita itu amat berat untuknya terima dan hadam dengan baik.

"Dr. Maria..." katanya terputus.

"Suami saya memang penderma organ yang berdaftar jadi saya beri kebenaran pada pihak hospital untuk mendermakan organ suami saya kepada sesiapa yang memerlukan," Dr. Maria menunduk.

"Jadi..." Rayyan termati kata.

"Saya nak minta tolong Rayyan cari pembunuh suami saya," Dr. Maria memandang tepat ke anak mata Rayyan.

"Tapi...macam mana?" tanya Rayyan dengan perlahan. Pandangan matanya bersabung dengan mata Dr. Maria.

Dr. Maria mengeluarkan telefonnya dari poket kot lalu mendail nombor seseorang. Sekali deringan, panggilan berangkat.

"Reen, masuk sekarang," ujarnya.

Kreakk!

Pintu bilik wad terbuka dan masuk seorang wanita lengkap beruniform rasmi polis bersama Hana di sisi.

"Mami..." ujar Rayyan dengan suara bergetar.

"Rayyan, sudi tak pinjamkan kebolehan istimewa kau kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes pembunuhan arwah Inspektor Khalid?" tanya Mami Reen dengan raut wajah tenang.

"Mami..." Rayyan mati kata.

Pandangannya dihalakan silih berganti kepada tiga orang wanita di hadapannya. Hana, anak arwah Inspektor Khalid. Dr. Maria, isteri arwah dan ASP Haireen Jamilah, adik arwah.

Ketiga-tiga wanita ini mempunyai sebab yang kukuh untuk menangkap pembunuh arwah dan kunci utama untuk menyelesaikan kes ini ada padanya.

Rayyan menunduk seraya memandang cadar serta selimut putih yang membaluti separuh tubuhnya. Matanya dilirikkan lagi ke kura tangan kirinya yang dipasang dengan branula IV drip untuk memasukkan cecair ubat ke dalam badannya.

Sungguh, keadaan itu sangat membuatkannya sakit dan dia mahu segera lari dari keadaan itu. Kes ini perlu ditamatkan dan penjenayah harus diadili dengan hukuman sewajarnya.

Dengan lafaz bismillah di dalam hati, Rayyan memandang Hana, Dr. Maria dan Mami Reen seorang demi seorang.

"Baiklah, Rayyan akan bantu pihak polis selesaikan kes ni. InsyaAllah," Rayyan melafazkan ayat itu dengan yakin.

"Terima kasih, Rayyan," ujar Mami Reen. Ucapan syukur ke hadrat Ilahi dipanjatkan di dalam hatinya.

"Jadi, apa rancangan kita seterusnya?" tanya Rayyan.

Mami Reen dan Hana saling berpandangan lalu tersenyum penuh makna.


> bersambung


P/s:
- Karya ini juga boleh dibaca di Wattpad: ID: Angel_k20
- Jika ada salah silap mohon dikomen agar Angel dapat memperbaiki lagi mutu penulisan.
- Kata-kata semangat amatlah Angel alu-alukan.

Terima kasih.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel