Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Thriller/Aksi Moonroura
Moonroura
Azlin Liana
6/7/2018 20:40:42
1,110
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4

      "Biru. Bunga mawar tu biru," ujar wanita itu lagi sebelum berjalan mendekati kaunter penyambut tetamu semula.

      Bunga mawar yang tadinya bewarna putih bertukar kepada warna biru. Aku mengeluh panjang. Lega kerana dia bercakap tentang bunga dan bukannya api bewarna biru yang aku lihat menolak naik pasu bunga itu.

      "Cik Ery dengar tak?"

      Ouh! Aku terlupa Lily masih lagi di talian. Entah apa yang dibebelkan gadis ini. Aku langsung tidak mendengar tadi.

      "Cik Ery...! Macam mana saya nak siapkan tempahan kalau bunga tak sampai lagi? Kejap lagi pelanggan nak datang ambil," terang Lily bersungguh-sungguh.

      "Call Encik Emir. Mintak dia tolong hantarkan. Saya tak sempat nak pergi ambil," putusku sebelum mematikan talian.

      Soal api biru masih lagi tidak lepas dari belengu fikiran. Aku memerhati sekeliling. Tiada manusia lain yang berdekatan kaunter penyambut tetamu kecuali aku, wanita di awal 30-an dan wanita yang tidak sengaja menolak pasu bunga yang berisi lima kuntum mawar putih sewaktu ingin mencapai sebatang pen.

      Manusia lain mungkin tidak perasan apa yang telah berlaku kecuali kami bertiga. Mungkin? Aku memusingkan kepala ke kiri dan kanan sekali lagi bagi memastikan benar-benar tiada orang lain selain kami bertiga. Lalu, jika tiada orang lain, siapakah yang telah menyelamatkan pasu bunga mahal itu daripada jatuh? Siapakah pemilik api biru itu?

      Aku diserang rasa cuak tiba-tiba. Adakah abang? Tak, aku tahu bukan abang kerana abang adalah pemilik api putih. Juga, jelas sekali bukan aku kerana aku tidak melakukan apa-apa. Tambahan lagi, aku adalah pemilik api ungu. Lalu, siapa? Adakah dia tahu identiti sebenar aku dan abang? Adakah kami berada dalam situasi yang bahaya?

      "Kau nampak kan tadi?" Aku menarik sengih mendengarkan pertanyaan wanita yang tertolak pasu bunga itu tadi. Pasti dia sangat-sangat terkejut sehinggakan sudah lebih tiga kali dia bertanyakan soalan yang sama. Pucat benar mukanya. Tumpah pula rasa kasihan bila melihatnya begitu. Kalau lah aku ada kuasa sekarang ni, pasti aku akan memadamkan ingatan mereka terhadap insiden itu.

      "Cik Ery!" Panggil wanita 30-an tadi, separuh menjerit.

      "Cik Ery nampak kan apa yang saya dan Nina nampak tadi kan?" Soalnya meminta kepastian. Aku memandangnya lama sebelum bersuara.

      "Nampak apa?" Soalku, pura-pura tidak tahu. Sengaja.

      "Pasu ni terbang," kali ini wanita yang tertolak pasu bunga, Nina pula bersuara.

      "Terbang? Dia ada sayap ke?" Tanyaku lagi seolah-olah tidak mengerti apa-apa.

      "Tak ada sayap! Tapi dia boleh terbang. Tengok ni! Bunga pun jadi warna biru." Terselit nada kagum di hujung ayatnya. Aku mahu tergelak bila dia menyentuh takut bunga mawar itu.

      "Bukan bunga tu memang warna biru ke?" Cuba menimbulkan keraguan, mungkin?

      "Eh, tak! Bunga ni warna putih sejak semalam. Kan, Maria? Kan?" Wajah Nina seperti mahu menangis dan aku gigih menahan gelak. Bimbang mereka tidak percaya dengan penipuanku.

      "Are you sure?" Aku masih lagi cuba menimbulkan keraguan kepada mereka.

      "Sure!" Jawab mereka serentak dan aku terasa semakin lemah daripada menahan gelak.

      "Siapa yang letak bunga tu kat situ?" Tanyaku lagi.

      "Eh? Bukan Cik Ery ke yang letak dua hari lepas?" Maria meminta kepastian.

      "So, bunga tu memang warna birulah sebab saya yang letak." Muka yakin lagi pasti aku pamerkan. Motif? Untuk membuatkan mereka berhenti berfikir tentang perkara yang sudah terang-terangan tidak logik di akal mereka.

      "Dahlah! Baik awak dua pergi sambung kerja," nasihatku.

      Aku memasukkan Vivo V9 ke dalam tas tangan hitamku dan berdiri. Lenguh pula duduk lama-lama. Beberapa tapak melangkah. Tiba-tiba aku merasa jantungku berdegup kencang. Aku berhenti melangkah. Takkanlah?

      Rasa sakit yang menjalar perlahan mula terasa pada dada. Takkanlah?

      "Kenapa Cik Ery?" Tanya Nina yang melihat aku memegang dada menahan kesakitan. Aku menggeleng.

      "Tak. Tak ada apa-apa."

      Aku mengheret kaki untuk keluar dari sini. Aku benar-benar perlu keluar sekarang. Bimbang aku akan mencederakan mereka dengan kuasaku. Sebaik sahaja menapak keluar dari hotel abang, aku mendongak memandang langit. Awan kelabu berarak. Menenggelamkan awan putih di dada langit. Patutlah aku rasa sakit pada dada. Sepertinya hari akan hujan. Patutlah aku merasai kesakitan ini.

      Rasa sakit menyerang lagi. Kali ini lebih sakit daripada tadi. Aku berlari selaju mungkin ke kereta Mercedes-Benz hitam yang aku pandu ke sini tadi. Menguak pintu kereta di bahagian belakang dan melompat masuk. Aku perlu pergi jauh daripada sini. Aku mungkin mencederakan mereka tanpa sengaja seperti doktor yang pernah merawat aku enam bulan lepas. Malangnya, aku tidak berdaya untuk memandu. Moga tiada manusia yang berdekatan denganku tika ini kerana aku risau kuasaku yang telah lama hilang akan muncul tiba-tiba dan aku secara tidak sengaja mencederakan mereka.

      Rintik-rintik hujan mula menyinggah cermin kereta. Aku memandang dengan satu perasaan. Perasaan sebak yang teramat. Sebak kerana apa? Aku menggelongsor turun ke bawah. Memeluk kedua-dua paha, menyembamkan wajah dan memejamkan mata. Semakin sakit. Tolonglah berhenti duhai hujan. Aku tak sanggup.

      "Abang. Where are you? I need you."

      Awan kelam memuntahkan hujan dan aku meraung membuang sebak bersama bunyi hujan lebat menyimbah bumi. Kenapa kesakitan yang perit ini muncul setiap kali hujan membasahi Bumi? Adakah kerana aku tidak diterima di Bumi? Tetapi, kenapa?

     

    

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.