Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri OPHELIA
OPHELIA
S.Kausari
16/7/2018 13:07:04
1,807
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 5

NIK dan Ella tiba di kawasan dengan lif yang sudah tidak berfungsi lagi. Di sebelahnya tangga menuju ke kawasan parkir di basement.

Setelah sekian lama Ella bersama Nik dengan kumpulan Xtreme Parahunters,mereka menghabiskan banyak masa bersama di lokasi memantau gajet dan kelengkapan audio video. Jarang mereka dapat peluang merayau di sesebuah lokasi seperti ini.

Bersama dengan Nik dalam keadaan seperti itu menyebabkan dia terkenang kisah silam. Kisah yang merubah kehidupan pingitannya dan bertemu dengan Nik.

Dia akui kisah hidupnya bukan seperti gadis biasa. Bermula dengan kes dicabul rakan sekolah, dia terpaksa menjalani hidup yang baru. Keluarganya sendiri menyingkirnya. Cemuhan, tohmahan dan fitnah menjadi asam garam hidupnya.

Akhirnya dia membawa diri di ibu kota. Dia cuba mencari kerja, tetapi tiada yang sesuai dengan kelulusannya.

Dalam keadaan terdesak dia meminta bantuan di sebuah bengkel motosikal.

“Abang tahu kalau ada kerja kosong kat mana-mana?” tanya Ella.

Dua orang pemuda di kedai itu saling berpandangan, seolah-olah berkomunikasi dengan maksud yang tidak Ella fahami.

“Adik ni nama siapa?” tanya lelaki berbaju hijau dengan lambang Castrol.

“Suhaila,” jawab Ella.

“Nama abang Fad. Yang ini abang Zul.” Lelaki berbaju Castrol hijau memperkenalkan diri dan lelaki memakai baju T putih dengan tulisan Valvoline.

“Err… abang rasa macam inilah. Kalau nak kerja, nanti esok baru abang tolong carikan. Kalau Suhaila nak, boleh tinggal semalam kat kedai ni dulu. Boleh?” kata Fad.

Ella serba salah. Dia terfikir tentang wang yang sudah kehabisan kerana mencari kerja tadi.

Mungkin kerana cara penampilan dan berpakaian dengan baju kurung yang sudah nampak lusuh dan ketinggalan zaman ini yang membuatkan dia sukar diterima. Mungkin juga cara dia berkomunikasi semasa temuduga yang menjadi penghalang. Dia tidak terdedah kepada kehidupan di kota dan tiada orang yang boleh dijadikan bahan rujukan.

Namun ada juga yang ingin mengambil dia bekerja berpandukan susuk tubuhnya. Memang tidak dinafikan Ella memiliki kontor tubuh yang bisa menarik ramai lelaki. Sekali pandang, mungkin seseorang tidak mampu mengalihnya lagi kerana terpikat dengan susuk tubuh Ella.

Tapi Ella ada pendirian sendiri. Dia ingin mencari rezeki yang halal. Bukan dengan memperdagang atau memperagakan tubuh untuk lelaki lain.

Namun hasrat murni itu menyebabkan dia sudah kehabisan sumber untuk meneruskan niat mencari kerja.

Kini Ella dalam dilema. Jika dia menolak, ke mana dia hendak pergi? Tapi jika dia menerima pelawaan itu, mungkin itu satu perangkap.

Ah! Aku yakin mereka ni orang baik-baik. Lagipun apa pilihan yang aku ada. Fikir Ella.

“Okey,” jawab Ella sambil mengangguk.

Malam itu Ella bermalam di bilik bertilam yang biasa menjadi tempat rehat pekerja bengkel motosikal. Bilik itu lengkap dengan cerek letrik, peket minuman segera dan mi segera Maggi.

Di dinding ada poster model lelaki dengan motosikal Kawasaki Ninja berwarna merah. Dia memakai jeket dan seluar kulit hitam dengan garisan merah di bahu dan seluar.

Di sebelah poster itu ada poster pin up seorang gadis MX Girls memakai bikini yang kelihatan begitu seksi berlatar belakang pelbagai motosikal.

Ella terasa geli melihat gadis tidak bermaruah yang memakai pakaian tidak senonoh macam itu.

Kenapa orang sanggup buat macam tu? Perempuan sepatutnya menjaga kehormatan mereka sendiri. Kalau aku, memang aku takkan buat macam tu. Huh! Jenis perempuan murahan. Hati Ella membebel dengan rasa jelek.

Ella tidur nyenyak malam itu dengan rasa keletihan. Seharian mencari kerja dengan berjalan kaki memang memenatkan. Tambahan pula dengan tambang teksi yang begitu mahal baginya.

Malam itu dia terdengar pintu kedai dibuka dalam keadaan gelap. Dia terdengar beberapa orang manusia masuk menuju ke biliknya. Dalam kegelapan dia nampak beberapa susuk tubuh menghampirinya. Dia menjerit tetapi tiada yang mendengar rintihannya.

Apa yang berlaku selepas itu tidak sanggup Ella ingat lagi. Dia hanya mampu melampias tangisan kerana sudah terlanjur.

Semenjak itu Ella mula bekerja di kedai itu sebagai kerani. Pada waktu malam dia akan menyertai Fad dan Zul untuk aktiviti merempit. Ella gadis suci dari kampung kini sudah menjadi seorang bohsia.

Dalam satu perlumbaan, dia berkenalan dengan pemuda bernama Nik. Seperti ada tarikan di antara mereka berdua. Hanya mata yang mampu berbicara apa yang tersurat di hati.

Dia benar-benar berharap Nik akan menang malam itu. Hasratnya tercapai. Pada malam itu dia menyerahkan tubuhnya kepada Nik.

Mereka semakin intim selepas itu. Ella berhenti bekerja di bengkel dan tinggal dengan Nik. Sehinggalah mereka ternampak iklan Zahed tentang aktiviti memburu entiti paranormal. Minat yang dikongsi mereka berdua itu menjadi kenyataan.

Teori mereka iaitu perbuatan sumbang mereka di lokasi memburu entiti paranormal dapat menarik aktiviti ganjil supaya dapat dirakam di kamera video belum dapat dibuktikan dengan pasti. Namun setakat ini teori itu memang terbukti.

Cuma malam ini perbuatan mereka mungkin telah menyebabkan kemarahan melampau entiti tersebut. Zahed telah hilang dan mereka tidak dapat mengagak apa yang akan berlaku selepas ini.

Nik dapat rasakan sesuatu yang tidak menyenangkan di situ. Tiba-tiba dia terbau sesuatu yang amat kuat hingga menusuk hidung. Bau busuk seperti bangkai mereput. Mungkin mayat yang telah dibiarkan begitu lama tidak ditanam.

Dia memerhatikan reaksi Ella, kalau-kalau Ella juga terbau benda yang sama. Mungkin juga Ella sama sepertinya, enggan menegur tentang bau itu. Bermulut celupar dalam keadaan seperti itu mungkin akan menjemput bala.

Mereka tiba di kawasan parkir yang sudah begitu lama tidak digunakan.Kawasan lengang yang gelap dan lapang itu terasa begitu menyeramkan. Seolah-olah ada sesuatu yang bersembunyi di situ dan memerhatikan merekaberdua.

“Zahed!” Nik memberanikan diri memanggil nama rakannya itu.

Ella hanya berdiam diri, cuba menyembunyikan rasa takut yang bersarang.

Bau menusuk itu hadir lagi. Kali ini terlalu kuat hingga terasa ditekak.

Dengan tiba-tiba Ella terasa sesuatu merentap tubuhnya hingga terseret jauh ke dalam kegelapan malam.

“Ella!” Nik mula panik.

Jeritan Ella semakin sayup hingga hilang dalam kegelapan di kawasan itu.

“Ellaaaaa!” Nik menjerit dengan fikiran celaru ditinggalkan dalam keadaan berseorangan di situ.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.