Home Novel Seram/Misteri SUMPAHAN LING CHI
SUMPAHAN LING CHI
S.Kausari
16/7/2018 12:52:16
12,981
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 6

Setahun Yang Lalu...

 

SESI taklimat operasi di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini cukup hangat.

"Kita telah dapat maklumat terbaru tentang pergerakan sindiket Naga Hitam. Kita dapat daripada sumber yang boleh dipercayai." Anggota polis yang mengendalikan kes itu memberi ucapan. Namanya Inspektor Sabirin.

"Kali ni betul-betul boleh percaya ke tuan? Dah berapa kali operasi kita gagal. Dah berpuluh mesej ugutan kita dapat. Sampai ugutan bunuh anggota keluarga pun ada.Tuan tak rasa ini semua adalah ancaman pada pasukan kita?" Lelaki Melayu bertubuh sasa dengan kulit hitam manis bersuara. Namanya Shahrom.

Sabirin terdiam sebentar sebelum menjawab. "Naga Hitam mungkin adalah sindiket yang paling besar pernah kita tangani. Kita sememangnya perlu berhati-hati dalam semua aspek. Tapi itu tidak bermaksud kita terpaksa mengalah dengan ancaman mereka."

"Sampai bila tuan? Sampai ada anggota pasukan kita yang jadi mangsa? Saya tak kisah kalau saya yang terkorban. Tapi bukan anggota keluarga kita. Saya pasti ramai yang setuju dengan saya." Kata Shahrom.

Sememangnya Sabirin akui kebenaran kata-kata Shahrom. Namun pada masa yang sama dia mula mencurigai kesetiaan Shahrom dalam pasukan.

"Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang?" Sabirin menguji.

"Kita hentikan operasi buat seketika. Kita mulakan semula setelah keadaan reda." Jawab Shahrom.

"Shahrom, saya akui kehebatan awak. Awak adalah antara polis yang paling lama berkhidmat dalam pasukan. Tapi akhir-akhir ini fokus awak nampaknya dah lari. Kenapa?" Sabirin menduga.

"Sebab saya tahuk emampuan Naga Hitam. Sindiket ini ada kaki di negara jiran yang lain. Kelompoknya besar. Kita perlukan kerjasama interpol, bukan bergerak sendiri." Jawab Shahrom.

"Benarkah itu sebabnya atau... awak sebenarnya termakan ancaman Naga Hitam? Awak takut keluarga awak jadi mangsa." Tebak Sabirin.

Shahrom terdiam. Dia meneguk liur.

"Baiklah. Kalau itulah apa yang awak risaukan, saya lepaskan awak daripada pasukan ini. Awak ditukarkan ke bahagian lain."

"Tapi tuan..." Shahrom cuba berdalih.

"Saya perlukan orang yang hebat seperti awak dalam pasukan ini, tapi saya juga tidak mahu orang yang sanggup berkompromi dalam urusan mempertahankan kebenaran dan keamanan. Awak boleh pergi." Jawapan tegas Sabirin.

Shahrom menggetap bibir. Riak wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.

Setelah Shahrom pergi, Sabirin meneruskan taklimat. "Kita dapat maklumat terkini daripada seorang yang pernah berkhidmat dengan Naga Hitam. Dia sekarang dalam tahanan ketat polis. Maklumat yang diberikan adalah satu-satunya lead yang kita ada. Operasi kali ini adalah berani mati. Kalau ada sesiapa yang tak setuju dengan saya seperti Shahrom boleh beritahu saya sebelum operasi dimulakan."

Sabirin melihat satu demi satu wajah di bilik itu. Dia menunggu tapi tiada sesiapa yang bersuara.

"Baiklah. Kalau tiada sesiapa lagi yang nak tinggalkan pasukan ini, kita akan mulakan operasi malam esok. Sasaran kita adalah sebuah gudang haram di kawasan kampung nelayan. Menurut pemberi maklumat, di situlah kegiatan menyembunyikan bekalan dadah dijalankan sebelum dihantar ke merata tempat untuk dipasarkan. Dalam dan luar negara."

Anggota pasukannya mendengar dengan teliti.

"Kalau kitaberjaya, kita akan dapat menghantar mesej yang jelas pada Naga Hitam. Bahawa pasukan polis tidak akan teragak-agak untuk meneruskan operasi walaupun ugutan demi ugutan mereka berikan. Kalau kita gagal, sekurang-kurangnya kesetiaan kita pada pasukan ini terbukti. Bukan menyerah kalah bulat-bulat tanpa sebarang usaha."

Anggota pasukannya saling berpandangan. Mungkin memikirkan nasib yang bakal menimpa mereka.

 

SABIRIN baru saja berjaya melelapkan mata apabila isterinya Normah mengejutkannya.

"Bang...bang," Normah menggoncang lembut bahu Sabirin.

"Hmm..."Sabirin kecewa kerana kantuknya sudah hilang.

"Bang, bangunlah.Saya ada benda nak cakap ni." Normah inginkan kepastian yang Sabirin sudah terjaga.

Sabirin berkalih dan mengadap Normah. Riak wajah wanita itu menampakkan keresahan.

"Ada apa? Cakaplah." Sabirin masih memejamkan mata.

"Hish abang ni! Orang nak cakap ni, tapi dia masih nak tidur lagi."

"Cakaplah, abang dengar ni." Nada Sabirin seperti terganggu dengan kata-kata Normah.

"Bang, siang tadi saya ke pasar. Saya tak sedap hatilah bang. Saya rasa macam ada orang mengekori saya. Sebab masa Mah ke mana-mana lelaki tu ada."

Sabirin membuka mata."Mah cam muka dia?"

"Tak, sebab dia pakai topi dengan cermin mata hitam. Mah cam baju dengan rupa dia je."

Sabirin diam, cuba memproses maklumat yang baru dia dengar.

"Bang, Mah risaulah bang. Akhir-akhir ni pun Mah asyik berdebar-debar je bang. Kalau berlaku apa-apa yang tak baik nanti macam mana bang?"

Sabirin terfikir mungkin ini semua ada kaitan dengan ancaman Geng Naga Hitam. Namun dia enggan membiarkan keluarganya terkesan dengan ancaman itu.

"Mah jangan risau. Mah ikut je apa yang abang pesan dulu. Elakkan berjalan seorang diri di kawasan lengang. Kalau ada apa-apa, call abang terus." Sabirin cuba menyedapkan hati Normah.

Namun Normah masih belum berpuas hati. "Bang, naluri Mah kuat merasakan ada sesuatu yang tak elok akan berlaku bang."

Sabirin yang sedang berbaring segera bangun dan duduk bersandar di katil. "Mah, kerjaya abang memang banyak melibatkan orang jahat. Tapi percayalah Mah, abang akan pastikan keluarga kita selamat. Tak ada sesiapa yang dapat apa-apakan Mah dan anak-anak kita." Sabirin mengusap lembut belakang isterinya.

"Itulah yang buat Mah bertambah bertambah risau bang. Suraya dan Muiz balik sekolah berjalan kaki. Mah risau kalau ada orang culik..."

"Mah... jangan fikir yang bukan-bukan. Abang pasti tak ada apa-apa yang akan berlaku.Percayalah." Sabirin bersungguh-sungguh cuba menenangkan Normah.

Akhirnya Normah diam dan berbaring semula. Namun dia sukar melelapkan matanya malam itu. Begitu juga dengan Sabirin.

 

 

 

GUDANG yang dimaksudkan hanyalah sebuah rumah kayu buruk yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai. Dalam samar cahaya bulan, kelihatan beberapa orang sedang memunggah bungkusan kotak dari situ ke sebuah bot yang sedang menunggu di gigi pantai.

Setelah memastikan bilangan mereka yang terlibat, Inspektor Sabirin mengatur langkah. Dia mengarahkan anak-anak buahnya mengambil posisi masing-masing sebelum serangan dibuat. Dia dan dua orang lagi anggota polis bersamanya menghampiri bangunan buruk itu.

Setelah mendapat isyarat, mereka bertindak. Kelima-lima lelaki yang terlibat berjaya diberkas. Tiga sedang memunggah bungkusan di gudang dan dua lagi sedang menunggu di bot.

Kotak-kotak itu dibuka. Bungkusan serbuk putih disusun rapi dan padan di dalam kotak-kotak dengan gambar barangan runcit di luarnya. Kotak sabun, minyak masak, susu pekat dan makanan tin adalah barang-barang yang digunakan.

Salah seorang anggota polis membocorkan satu pek serbuk putih. Dengan hujung lidah dia memastikan yang serbuk itu adalah kokain yang diseludup.

Inspektor Sabirin puas hati. Akhirnya misi mereka untuk menumpaskan sindiket Geng Naga Hitam membuahkan hasil.

Setelah operasi mereka selesai malam itu, Sabirin dan anggota pasukannya bersedia untuk meninggalkan tempat itu. Dia menerima panggilan dari orang yang tidak dikenali.

"Kau memang degil! Aku dah kata jangan campur tangan dalam urusan Naga Hitam. Sekarang kau terima akibatnya." Suara garau di talian.

"Helo. Kau siapa?" Sabirin melayan panggilan itu.

"Siapa aku tak penting. Apa yang penting adalah siapa yang akan menjadi mangsa kedegilan kau!"

"Apa maksudkau?"

Kedengaran bunyi tembakan malam itu. Seorang demi seorang anggota pasukan Sabirin tumbang. Terkulai di tanah berlumuran darah. Akhirnya hanya tinggal Sabirin saja yang masih bernyawa.

"Helo! Kau kat mana setan? Kalau berani tunjukkanlah muka kau!" Peluh dingin memercik di dahi dan tubuh Sabirin dalam gelap pekat kawasan terlindung pokok-pokok itu. Hanya samar-samar kelihatan dek cahaya rembulan.

Suara itu ketawa seolah-olah sedang melihat keadaan Sabirin yang tidak tentu arah.

Tiba-tiba cahaya muncul dari dalam sebuah van beberapa meter di tepi jalan. Sabirin cuba mengamati wajah-wajah insan yang tidak bergerak di dalamnya. Ketiga-tiganya berikat kain di bahagian mulut.

"Normah...Suraya... Muiz!" Tubuh Sabirin menggigil dingin. Seluruh anggota keluarganya kini dalam tahanan Geng Naga Hitam.

"Bangsat! Lepaskan mereka!" Sabirin beremosi sambil berlari anak menuju van.

"Hep hep... aku takkan buat begitu kalau aku jadi kau." Suara itu menyebabkan Sabirin terhenti.

"Van itu terpasang dengan bom yang bakal meledak bila-bila masa... kalau kau tersilap langkah."

Rasa cemas yang tidak mampu digambarkan menguasai Sabirin. "Lepaskan mereka! Kau nak aku kan? Bunuhlah aku!"

Sabirin sedar dia sedang mempertaruhkan nyawa dengan manusia yang tidak berperikemanusiaan ketikaitu.

"Hehehe...sekarang baru kau tahu takut. Sebelum ni nak tunjuk handal. Tapi sayang...semuanya sudah terlambat. Kau sepatutnya jangan ambil ringan amaran kami sebelum ini."

"Kau nak aku buatapa sekarang?" Suara Sabirin tercungap-cungap menahan rasa cemas.

"Tak ada apa-apa. Cuma menonton persembahan yang gilang-gemilang. Melihat anak bini kau rentung di depan mata kau sendiri." Suara itu menyerang psikologi Sabirin dengan begitu sadis.

"Jahanam kau!"

"Aku masih berperikemanusiaan lagi. Aku beri kau masa kiraan tiga puluh untuk selamatkan mereka. Bermula dari sekarang. Tiga puluh..."

Sabirin memecut sekuat hati.

"Dua puluh sembilan.. Dua puluh lapan... Dua puluh tujuh..."

Sabirin tidak memikirkan dirinya lagi. Dia hanya ingin memastikan ketiga-tiga insan di dalam van itu selamat.

"Limabelas..."

"Celaka kau!" Sabirin sedar permainan lelaki yang sedang bercakap di telefon.

"Dua... satu...kosong."

Ledakan kuat dengan cahaya terang dari van memekakkan telinga Sabirin dan menyilaukan pandangannya. Sabirin tercampak hingga beberapa meter ke belakang. Rasa pedih dan hangat terasa di seluruh tubuhnya.

"Normah...Suraya... Mu...iz," suara Sabirin dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Dia terlantar tidak bermaya. Dia sudah tidak mampu bergerak lagi. Hanya terkulai di tanah melihat cairan pekat hangat meleleh keluar dari tubuhnya.

Api semakin marak menjulang. Dua orang lelaki muncul. Seorang lelaki Cina berkepala botak dan seorang lagi lelaki Melayu yang amat dia kenal.

"Kau habiskan riwayat dia Romeo." Kata lelaki Cina.

"Hish... tak payah bos. Dia dah nak mampus tu. Biar dia habiskan nyawa dia dengan rasa menyesal tengok anak bini dia jadi barbeku." Sinis kata-kata lelaki itu.

"Shah...rom..." bisik Sabirin. Segala-galanya seperti teka-teki yang berjaya diselesaikan. Kegagalan pasukannya menumpaskan Naga Hitam adalah kerana kehadiran orang dalam. Dia adalah Shahrom atau Romeo.

Bunyi tembakan kedengaran. Lelaki Cina botak tumbang diikuti oleh Shahrom. Shahrom tumbang betul-betul di depan muka Sabirin. Mata lelaki itu terbeliak dengan darah mengalir dari dahinya di tempat peluru menembusi hingga ke otak.

Sabirin tidak mampu berfikir lagi. Kepalanya terasa berat. Dia cuba sedaya upaya untuk terus membuka mata. Dia lihat beberapa orang anggota polis ada di situ.

"Sabirin," suara memanggilnya didengar bergema dan sayup-sayup.

"Sabirin."

Kepalanya terasa amat berat.

"Sabi..."

Dia sudah tidak sedarkan diri lagi. 

 

SABIRIN dikunjungi bayangan yang menyesakkan fikiran ketika dia tidak sedarkan diri. Imbasan peristiwa ketika dia berada di dalam van ambulan yang menuju ke hospital. Juga ketika dia berada di bilik pembedahan, dikerumuni kru pembedahan ketika dia terlantar melihat cahaya yang menyilaukan.

Ketika koma dia dikunjungi satu mimpi yang amat menyayat hati.

Angin pantai berhembus dengan irama desiran ombak dan gemerisik dedaun nyiur yang bergeseran. Normah sedang berjalan ke arahnya dengan lenggok yang mengingatkan detik-detik kali pertama dia bertemu dengan wanita itu. Lemah gemalai dan amat menyenangkan perasaannya.

Suraya dan Muiz sedang bermain pasir. Istana pasir mereka bina begitu hampir dengan ombak yang memecah. Hanya menunggu masa dimusnahkan tanpa belas. Mereka berdua melambai ke arah Sabirin dan dibalas dengan senyuman.

Normah memperbetulkan rambut yang terkeluar dari balik selendang putih. Selendang itu dirapikan dan terserlah keayuan wajah yang memang telah lama dipuja oleh Sabirin.

Normah menyambut tangan Sabirin dengan kehalusan jemarinya mulus. Dapat Sabirin rasakan listrik kucupan bibir Normah yang lembut di tangan. Rasa syahdu tiba-tiba menguasai dirinya.

"Mah pergi dulu ya bang. Nampaknya hanya setakat ini kita dapat bersama." Suara lunak Normah melunturkan kebekuan jiwa Sabirin.

Mata Sabirin terasa hangat. Hanya menunggu masa untuk air melimpah di tubirnya. Sabirin ingin bersuara, tetapi tiada yang keluar dari rongga tenggoroknya. Hanya rasa sebak yang tidak mampu dizahirkan.

"Abang jaga diri baik-baik."

Nanti Mah. Abang belum puas berbual dengan Mah lagi. Panggil anak-anak kita. Abang nak jumpa mereka. Abang nak peluk mereka.' Hati Sabirin meronta dengan suara yang tidak terzahir.

"Mah pergi dulu bang." Normah mengukir senyuman manis delima merekah. Selendang diperbetulkan setelah ditampar angin.

Sabirin hanya mampu melihat Normah berlalu dengan lenggang-lenggok yang lemah gemalai. Setelah dia ada bersama Suraya dan Muiz, mereka memandang Sabirin buat seketika dan terus berlalu. Menghilang dalam keadaan berkabus di tepi pantai itu.

Ketika Sabirin membuka mata, dia berada di sebuah wad. Kepalanya berbalut. Tangan dan kakinya bersimen.

"Kau dah sedar," suara lelaki di sebelahnya. Rakan setugasnya yang bernama Shamsul.

Sabirin tidak menjawab. Mindanya hanya memainkan rakaman peristiwa demi peristiwa yang mampu dia ingat. Misi di gudang kayu di tepi pantai. Van meletup. Wajah Shahrom yang tidak bernyawa di depan matanya.

"Normah...Suraya... Muiz..." bisik Sabirin lirih dengan mata yang terasa begitu hangat.

"Sabarlah Sabirin," Shamsul seolah-olah dapat membaca apa yang bermain di fikiran rakannya.

Sabirin dapat rasakan sebak yang sukar dikawal. Dadanya terasa sempit terhimpit.

"Tuhan lebih sayangkan mereka Sabirin." Shamsul cuba memujuk.

Dalam ledakan emosi itu, Sabirin cuba mengawal perasaan. "Naga Hitam?"

"Akhirnya mereka tumpas. Rancangan kau benar-benar berkesan. Ramai anggota kumpulan tu dapat diberkas dengan telefon Ramon Chin dan Shahrom. Dia rupa-rupanya anggota Geng Naga Hitam dengan nama Romeo."

Sabirin hanya mendengar penerangan Shamsul yang telah dia ketahui sebelum dia tidak sedarkan diri dulu. Pada hari dia kehilangan Normah, Suraya dan Muiz.

"Pengorbanan kau tak sia-sia Sabirin."

"Semua dah tak ada makna Sham. Aku dah hilang segala-galanya. Keluarga aku. Dah tak ada siapa yang tinggal." Sabirin beremosi.

"Kau kehilangan mereka bertiga. Tapi kau dah selamatkan berpuluh, malah beribu daripada menjadi mangsa sindiket Naga Hitam. Kau patut bersyukur pemergian mereka tidak sia-sia Sabirin. Dan kau masih bernafas lagi selepas keadaan kau yang berada di ambang maut. Segalanya ada hikmahnya Sabirin, walaupun kau masih belum mengerti."

Sabirin diam. Entah mengapa jauh di lubuk hatinya ada rasa kesal dengan segala yang berlaku. Dia menyalahkan takdir. Jika tidak, sudah tentu Normah, Suraya dan Muiz masih ada lagi di sisinya. Dia tidak setuju dengan kata-kata Shamsul, tapi dia malas bertelagah ketika ini.

Perasaan itu dibiarkan berbuku hingga berkematu di hatinya.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.