Home Novel Seram/Misteri pocong balik rumah
pocong balik rumah
30/9/2014 07:54:23
8,654
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
prolog
Pocong balik rumah

Prolog

Udara malam berpuput lembut memenuhi setiap ruang. Bintang kelihatan bertaburan didada langit. Bulan sabit pula mengintai disebalik awan yang tebal. Dedauan pokok ditepi rumah bersiul mengiringi rentak angin yang bertandang. Suara cengkerik dan unggas malam terus bersimfoni menghiasi malam yang mula dingin. Namun itu semua tidak mampu menarik perhatian seorang remaja yang sedang tekun dengan buku dan nota diatas meja diberanda rumah. Sejak dari tadi dia berkeadaan begitu. Asyik benar. Seolah – olah tidak terganggu dengan bunyi deruan motor anak – anak kampung yang sesekali melintas didepan laman rumah. Tidak termakan dengan bujukan kedinginan malam yang semakin terasa. Seolah – olah buku dan notanya lebih penting dari yang lain – lain.

Diruang dapur pula kelihatan seorang wanita lingkungan lewat tiga puluhan sedang sibuk menyiapkan hidangan malam untuk anaknya. Tidak ada orang lain lagi selain dari mereka berdua. Sejak kematian suaminya sepuluh tahun dulu, Linda tidak pernah berkeinginan untuk mendirikan rumahtangga lagi. Baginya dia sudah bertekad untuk membesarkan anaknya sedaya yang mungkin. Bukan tidak ada lelaki yang mahu menyuntingnya. Namun semua itu ditolaknya dengan baik. Baginya Adi sudah cukup membuat dia bahagia. Melihat Adi membesar didepan matanya itu sudah memadai. Bahagia Adi, maka bahagialah dia. Sengsara Adi bermakna dia turut sama merasa kesengsaraannya. Bagi Linda, Adi adalah segala – galanya didunia ini.

Pun begitu dia tetap manusia biasa. Sesekali godaan datang dan menghimpit hati dan perasaan wanitanya. Tatkala itu dia merasa bimbang. Tidak sedikit dia dijamah dengan rasa was – was. Disaat itu kegelisahan menjadi penemannya. Kebinggungan menjadi rakannya. Ketika itu dia sedar dia sedang berdiri disebuah persimpangan. Dan seperti selalu, persimpangan itu menjadikan dia takut dan keliru. Dia terperangkap diantara janji dan keinginannya. Ya! sebagai seorang wanita dia perlukan perlindungan dari seorang lelaki yang bergelar suami. Linda akui ada waktu – waktunya dia bagaikan tidak berdaya untuk mengharung semua cabaran dan godaan dunia ini. Pujuk rayu dunia ini adakalanya terlalu sukar untuk dielakkan. Ada masa – masanya dia didesak dengan nafsunya sendiri. Itulah yang dibimbanginya selama ini. Rupanya bukan muda menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal. Terlalu banyak godaan dan cabarannya.

Seringkali dia merasa berdosa tatkala memikirkan tentang anaknya nan seorang itu,Adi. Dia akui yang dia pernah berjanji untuk menjaga Adi sebaik mungkin selepas kematian suaminya. Janji itu tetap dipeliharannya sebaik mungkin. Dia ingin melihat Adi membesar didepan matanya. Sebagai seorang ibu dia ingin melihat Adi berjaya didalam hidupnya. Tidak sepertinya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekurang – kurangnya dia mahu melihat Adi berjaya lebih dari apa yang diperolehi dari arwah suaminya. Dan dia tahu bukan mudah untuk membesarkan seorang anak. Lebih – lebih lagi anak lelaki. Melihat keadaan beberapa orang anak muda dikampungnya membuatkan dia kecut perut. Bukan sedikit terlibat dengan dadah. Pecah rumah dan bermacam – macam lagi. Belum lagi cerita tentang anak – anak muda yang gemar merempit disekeliling kampung. Bukan tidak ada yang terjongkang masuk parit dan sebat tiang lampu. Namun tidak pernah ada seriknya. Memikirkan tentang itu, hati Linda sering digayut dengan rasa takut dan cemas. Janganlah Adi ikut seperti itu, fikirnya lagi. Yang sudah tu, sudahlah. Jangan Adi terjebak sama.

Asam pedas ikan gelama diletakkan diatas meja. Kemudian Linda memanjangkan lehernya kearah depan. Cuba mengintai kelibat anak lelakinya, namun gagal.

“ Adi!” suaranya memecah keheningan malam.

Tidak ada balasan dari panggilannya. Linda melangkah lagi. Mengambil kendi lalu diisikan dengan air disingki.

“ Adi! Meh makan,” sekali lagi nama anak lelakinya dilaungkan.

Pun begitu tidak ada jawapan dari seruannya itu. Linda mengeluh. Entah apa yang dibuat oleh Adi, hatinya merungut sendiri.

“ Adi! Meh makan!” kali ini suaranya dikuatkan. Matanya terus dihalakan kearah muka pintu depan yang terbuka luas. Dia pasti benar yang anaknya sedang duduk diberanda rumah. Jarang anaknya keluar rumah. Lebih – lebih lagi diwaktu malam. Memang sengaja dia menyekat kebebasan anaknya. Meski pun begitu dia tidak pula terlalu mengongkong aktiviti Adi. Hanya apabila perlu saja dia akan membenarkan Adi keluar. Dengan adanya Adi dirumah, sekurang – kurangnya keselamatannya agak terjamin.

“ Adi!” suara Linda makin kuat. Beberapa saat dia menunggu lagi.

“ Ada apa mak?” bayang Adi tidak kelihatan. Yang terdengar cuma suaranya saja.

“ Adi buat apa kat luar tu. Meh makan,” ajak Linda. Lauk yang terhidang diatas meja diperhatikan lagi. Seleranya mula terangsang.

Adi menutup buku notanya. Pen diletakkan diatas meja. Perlahan – lahan dia bangun dan melangkah masuk. Linda menarik kerusi tatkala Adi berdiri disisi meja.

“ Mak masak apa malam ni?”

“ Alah.... yang biasa – biasa aje. Dahlah.... jom makan,” arah Linda. Adi lantas melabuhkan punggung diatas kerusi. Gelama asam pedas yang terhidang diatas meja benar – benar membuka selera anak muda itu. Dia mula terkecur sendiri. Linda menghulurkan kendi pada Adi dan pantas anak muda itu menyambut. Sesuap demi suap Adi menyorongkan nasi kedalam mulutnya. Sesekali tangannya mencubit sambal belacan diatas piring. Linda tersengih melihat anaknya makan dengan penuh selera.

“ Adi nak dengar cerita tak Di?” dengan tidak semena – mena Linda bersuara. Memecahkan keheningan yang berlabuh dimeja makan malam itu.

Adi mendongak. Cepat – cepat nasi didalam mulutnya ditelan. “ Cerita apa mak?” anak muda berambut lebat itu bertanya. Ada sesuatu bermain didalam mindanya ketika itu.

Seperti ada yang lucu, Linda ketawa kecil. Menjadikan Adi semakin tidak faham. Kenapa ibunya harus ketawa begitu? Apa yang lucunya?

“ Kenapa mak?”

Linda hanya menggeleng – gelengkan kepalanya. “ Tak ada apa – apa Di.”

“ Dah tu.... mak ketawa tak pasal – pasal,” perilaku ibunya menarik perhatian Adi. Nasi yang berada ditangannya tidak jadi disuap.

“ Nak dengar cerita tak?” soal Linda yang langsung tidak menghiraukan akan pertanyaan anaknya itu. Adi diam sebentar. Fikirannya berputar – putar lagi.

“ Cerita apa mak?”

“ Cerita hantu,” pendek Linda menjawap.

“ Hish.... mak ni mengarut aje,” cebik Adi dengan tiba – tiba. Sejenak dia menjeling kearah tingkap dapur yang masih lagi terbuka. Diluar gelap malam membuatkan perasaannya jadi tidak keruan dengan tidak semena – mena. Desir daun – daun pokok kedengaran sesekali mencecah cuping telinganya. Entah kenapa dia merasakan ada mata ghaib sedang merenung kearahnya. Bulu roma dipangkal tengkuknya berdiri tegak. Sendi – sendinya terasa lemah.

“ Ya Di. Nak dengar tak cerita hantu ni?” ujar Linda. Adi terasa pelik. Kenapa ibunya harus tersenyum begitu tatkala ingin menyampaikan cerita seram padanya? Ternyata pertanyaan yang membenih dalam mindanya tidak mampu untuk dijawap.

“ Mak ni mengarut ajelah,” sahut Adi dengan rasa kurang senang.

Linda meledakkan ketawanya. Adi makin diterkam dengan perasaannya sendiri.

“ Betul Di. Mak tak bohong,” ujar Linda setelah ketawanya reda sedikit. Adi tidak menjawap. Nasi yang sudah berada didalam mulutnya dikunyah perlahan – lahan.

“ Mak Timah ada datang siang tadi,” sambung Linda lagi. Adi mendongak memerhatikan raut wajah ibunya. Dia kenal benar dengan wanita yang disebut oleh ibunya tadi. Siapa yang tidak kenal dengan perempuan itu? Serasanya satu kampung kenal. Mak Timah sering berkunjung kerumah orang kampung untuk menjual kain dan baju. Sejak dia dari kecil lagi dia selalu nampak Mak Timah mejinjing dua buah beg besar. Kehulu dan kehilir kampung menjaja baju dan kain.

“ Apa kena mengena Mak Timah dengan cerita yang mak nak cakapkan ni? Mak Timah dah jadi hantu ke?” nakal saja mulut Adi meluncurkan kata – katanya itu. Linda merenung wajah anak kesayangannya. Sambil tersenyum dia menggelengkan kepalanya.

“ Bukan macam tu.”

“ Habis tu?” kening Adi terjungkit.

“ Masa dia datang tadi dia ada bagitau mak cerita hantu ni,” ulas Linda.

“ Ohh....,” Adi melopongkan mulutnya, besar.

“ Adi percaya tak ada orang jumpa pocong siang – siang hari?” sengaja Linda menduga anak lelakinya itu. Adi terhenti lagi menyuap nasi. Kali ini dia merenung wajah ibunya yang bulat itu lama – lama. Padanya ada sesuatu yang aneh pada percakapan ibunya.

“ Mak ni asyik nak mengarut aje. Mana ada orang jumpa pocong siang – siang hari,” akhirnya Adi tersengih. Dia mula tidak percaya dengan cerita ibunya. Memang ada sesuatu yang tidak kena pada fikirannya dikala itu.

“ Betul Di. Mak tak bohong. Memang ada orang jumpa pocong siang – siang buta,” Linda cuba menyakinkan anak tunggalnya.

Adi tidak berkutik walau sedikit pun. Yang dia mampu lakukan cuma merenung roman ibunya lama – lama.

“ Adi dengarlah cerita mak ni,” lanjut Linda lagi. Bersedia untuk menceritakan apa yang disampaikan oleh rakannya, Mak Timah siang tadi.

Bab 1

KAMPUNG LONG MAMAT

Hidungnya menangkap bau sesuatu digoreng didapur. Lantas dia membuka kelopak matanya. Memandang kerarah siling rumah yang sudah kekuningan akibat sudah lama tidak dibersihkan. Paling akhirnya dia menyapu sawang disiling ketika seminggu lagi hendak menyambut hari raya. Itu pun tahun lepas punya cerita. Tahun ini haram sekali pun dia tidak pernah membersihkannya.

Kelopak matanya masih lagi terkebil – kebil memandang siling. Seolah – olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya sedang melekap disiling tersebut. Nafasnya dihela dengan perlahan. Dadanya yang agak kempis itu kelihatan turun naik dengan lembut. Selimut yang sudah pun mengelusur kepinggangnya ditarik kembali hingga kebawah dagu. Udara sejuk yang menerobos masuk melalui celahan dinding kayu rumah menjadikan tubuhnya merasa sejuk.

Begitulah rutinnya dikampung. Diwaktu pagi sejuknya memang terasa. Enak kalau terus berselubung disebalik gebar tebal sambil kepala dialas dengan bantal empuk. Lalu kelopak mata menjadi kuyu. Minda akan menarik kembali mimpi agar berbunga semula menyerikan tidur sambil ditemani dengan kedinginan diwaktu pagi. Suara ayam berkokok ditepi rumah sering kali diabaikan. Adakalannya suara anak – anak kampung melintas didepan rumah juga tidak mampu memadamkan mimpi yang bertandang. Yang boleh menghalau semua itu ialah suara isterinya. Ya! hanya suara Bedah boleh merentap mimpi indahnya. Dan sememangnya itulah yang sering dia alaminya selama ini. Sejak dia mendirikan rumahtangga bersama wanita yang dicintainya itu, sejak itulah dia sering dijerkah oleh Bedah. Hampir saban hari. Sejak sebelum beranak hingga kini mereka dikurniakan dengan tiga cahaya mata sebagai penyeri rumahtangga mereka. Dua putera dan seorang puteri. Selama ini juga suara Bedah menjadi ‘jam loceng’ yang mengejut dia hampir setiap hari.

Usin mengerekot. Membengkokkan tubuhnya laksana udang dibakar. Membiarkan sejuk meratah tubuhnya yang hanya bersinglet nipis dan berkain pelikat disebalik selimut. Enak benar saat itu bagi Usin. Kelopak matanya yang terbuka tadi kini kembali menjadi layu sedikit demi sedikit. Cuma pagi ini keenakannya seperti terganggu. Ya! terganggu dengan bau yang muncul dari arah dapur. Perlahan – lahan Usin mengangkat kepalanya. Memandang kearah pintu yang separuh terbuka. Apa saja yang dimasak oleh Bedah pagi – pagi buta ni, rungutnya didalam hati.

Usin mengaku yang seleranya mula terangsang dengan bau yang sedang mengasak dan mengoda lubang hidungnya ketika itu. Kelopak matanya gagal untuk dikatup kembali. Diwaktu yang sama lubang hidungnya terus kembang kempis mengiringi bau yang kian mencucuk.

Selimut mula dilemparkan hingga kehujung kaki. Sejenak dia menoleh kearah jam kecil disebelah katil. Usin mengeluh. Baru dia teringat yang pagi ini dia ada program bersama dengan anak – anak muda dikampung itu. Kembali dia terlentang mengadap siling. Memikirkan sesuatu namun dirasakan sia – sia saja. Bayangan – bayangan yang melintas dimindanya dibiarkan berlalu pergi tanpa mahu dianalisisnya seperti selalu. Usin mengerakkan kaki dan sepasang tangannya. Mengendurkan urat yang dirasakan tegang. Tidak pasti apakah kerana tidur malam tadi atau pun sejuk pagi itu yang membuatkan urat – urat dianggota berkenaan terasa tegang dan sakit. Mungkin kedua – duanya sekali. Usin tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Tidak penting baginya.

Yang penting ialah tentang program dia bersama anak – anak muda lain yang dipersetujui olehnya sendiri. Sedetik kemudian dia menyumpah dirinya semula. Gatal – gatal pergi setuju, siapa yang suruh? Bagaikan ada suara asing menerjah masuk melalui cuping telinga hingga hinggap keotaknya pagi itu. Dalam keadaan masih terlentang Usin mengeluh lagi. Air mukanya bertukar keruh. Diburukkan lagi dengan keadaan rambutnya yang kusut masai. Pelbagai bentuk ‘peta’ yang melekat disarung bantal tidak dihiraukan. Baunya juga bagaikan tidak menganggu ketenteraman hidungnya. Sudah mangli kata orang. Tanpa disedarinya bau kuat yang datang dari arah dapur tidak lagi menjadi perhatiannya. Kini tumpuannya dihalakan pada program yang dia perlu hadir. Usin memuncungkan bibirnya jauh kedepan. Kalau hendak diikutkan hatinya memang dia malas hendak turut serta. Kalau diupah dengan duit ringgit pun belum tentu dia mahu lagi. Dia memang malas. Sesekali rasa macam tidak ada keperluannya pun. Tapi....

Usin mengeluh lagi. Mukanya bertangkup. Suram dan tidak bersemangat. Tanpa dipaksa dia mula tercari – cari akan akal untuk melepaskan dirinya. Program itu biarlah berjalan seperti biasa cuma bezanya dia tidak ada disitu. Pendek kata dia tidak perlu berada disitu. Lagi pun entah bila habisnya program tersebut dia tidak pasti. Memang leceh punya kerja, hati mudanya berbisik sendiri. Kedua belah tangannya dilipatkan kebelakang. Masih lagi memandang kearah siling. Fikirannya terus diputar – putarkan. Semakin lama semakin ligat.

Cakap saja engkau sakit perut, kan senang. Seperti tadi ada suara asing merasuk fikirannya agar menipu. Seketika kemudian Usin menjuihkan bibirnya. Alasan seperti itu biasa sangat. Carilah alasan lain. Yang nampak ada kelainannya sikit, hatinya memberontak sendiri.

“ Dah bangun dah bang?”

Usin terkejut dan menoleh kearah pintu bilik. Bedah sudah tercegat disitu. Merenung tajam kearahnya. Usin menjuihkan lagi bibirnya.

Beza benar Bedah yang sedang berdiri dimuka pintu dengan Bedah yang dikenalinya hampir lima belas tahun dulu. Dulu Bedah lawa. Badannya pun solid. Pendek kata Bedah semasa anak daranya dulu memang ada rupa. Ada kormesilnya kata orang kampung. Muka pun boleh jual. Kalau berlenggang dikeliling kampung dia dan beberapa orang anak muda kampung pasti akan menoleh. Selalunya dia bersiul dan mengusik nakal. Cari peluang untuk bertemu mata dan menunggu senyuman dari Bedah. Dan kalau Bedah menghadiahkan senyumnya ketika itu, pasti senyuman itu akan dibawa tidur bersama. Dikenduri –kenduri kahwin yang diadakan dikampung pasti dia tidak ketinggalan. Bukan kerana dia tergolong dalam kategori pemuda rajin. Tidak sama sekali. Kehadirannya semata – mata kerana Bedah dan Anita. Ya! Kedua – dua gadis pingitan itu memang menjadi idamannya sejak dulu lagi. Baginya Anita lebih cantik kalau hendak dibandingkan dengan Bedah. Anita menjadi pilihan utamanya. Bukan Bedah. Namun entah kenapa nasibnya tidak baik. Mungkin sudah bukan rezekinya, fikir Usin. Anita terlepas ketangan orang lain. Anita dijodohkan dengan seorang lelaki yang ada jawatan dari bandar. Dan khabarnya hidupnya pun kini sudah bahagia.

Pun begitu Usin redha dengan ketentuan dari Illahi. Memang rezekinya. Akhirnya dia dijodohkan dengan Bedah. Bahagianya tidak terkira. Hampir saja dia melompat melepasi bumbung rumah tatkala menerima berita yang pinangannya diterima oleh keluarga Bedah. Sejak hari itu dia merasakan dunia ini indah belaka. Apa saja yang dia lakukan, apa saja yang keluar dari mulutnya, semuanya terasa indah. Hari – hari yang dilaluinya dirasakan cukup bahagia dan bermakna. Tapi itu lima belas tahun yang dulu.

Kini kebahagian itu tidak lagi dirasainya. Atau mungkin saja dia sudah merasa jelak dan bosan. Entah Usin tidak pasti. Mungkin apa yang dia rasakan sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang normal. Mungkin juga pasangan – pasangan lain diatas muka bumi ini mengalami perkara yang sama. Mungkin juga, hatinya bersetuju dengan tiba – tiba.

Usin menjeling lagi kearah pintu kamar. Ya! Bedah masih lagi tercegat macam tadi. Sedang memerhatikan kearahnya. Ada lagi dia kat situ, sumpah Usin didalam hati.

“ Awal pulak abang bangun pagi ni,” tegur Bedah lagi. Usin tidak menjawap. Sebaliknya dia sekadar memerhatikan kearah Bedah yang melangkah masuk. Kamar itu terasa bergoyang sedikit. Ya! Bedah sudah tidak seramping dulu lagi. Ukur lilit pinggangnya sudah berganda – ganda saiznya. Lemak juga sudah banyak menumpang ditubuhnya. Kalau ada sesiapa yang mencarinya diwaktu yang tidak kena, mudah untuk dia bersembunyi disebalik tubuh isterinya yang besar itu. Kalau hendak main sorok – sorok itulah tempat persembunyian yang paling strategik sekali.

Bedah menguak tingkap agar udara pagi masuk kedalam. Usin tidak membantah walau pun hatinya mahu menyanggah laku Bedah pagi itu.

“ Awak ada nak kemana ke?” Bedah menjeling dan bertanya.

“ Nak keluar kejap,” sahut Usin dengan suara malas. Tangannya mengosok – gosok kepala.

“ Kemana?” ternyata Bedah berminat untuk tahu.

“ Uuhh....,” Usin menepuk – nepuk pula belakang tengkuknya. Kalau diikutkan hati memang dia malas hendak menjawap pertanyaan isterinya itu.

“ Ada kerja sikitlah Dah.”

Bedah melangkah mendekati suaminya. “ Kerja apa pulak ni bang. Awak ada ikut Leman bertukang lagi ke?”

Secepat kilat Usin mendongak. Tiba – tiba lehernya terasa sakit. “ Mana ada kerja? Dah berapa lama Leman tak ada projek.”

Sejak berhenti dari kerja kilang, Usin hanya mampu buat kerja – kerja kampung saja. Mujur juga dia tahu serba sedikit membuat rumah. Ada juga Lema tukang memanggil dia untuk membantu. Selebihnya dia akan mencari ikhtiar lain untuk menambahkan pendapatan. Orang kampung sepertinya, sudahlah tidak berpelajaran tinggi. Memang susah hendak melamar kerja. Apa yang ada sapu sajalah. Jangan tunggu lama – lama. Nanti tak berasap dapur!

“ Habis tu. Pagi – pagi buta awak dah bangun,” ujar Bedah. Ada nada kecewa dari nada suaranya itu.

“ Abang ada kerja sikit pagi ni.”

“ Yelah.... kerja apa?” Bedah berpaling lagi. Riak tidak puashati terzahir diromannya ketika itu. Tidak pasti pula kenapa suaminya mahu berahsia dengannya pagi ini. Selalunya tidak.

Usin mengeluh. Melunjurkan kakinya ditepi katil. Urat – urat disitu masih lagi terasa tegang. Ada rasa bisa menjalar. Perlahan – lahan dia mendongak. Memerhatikan raut wajah Bedah yang nampak mencuka.

“ Hal orang lelakilah, awak peduli apa?” bukan dia mahu berahsia. Cuma dia merasakan program pagi ini tidak ada kena mengenanya dengan Bedah. Baik dia tutup mulut saja. Apa yang dia tahu selesai program pagi ini dia tidak mendapat apa – apa. Duit? Jauh sekali. Mungkin yang dia dapat cumalah penat. Mengenangkan itu Usin mengeluh lagi. Rasa malasnya makin menjadi – jadi pula.

Bedah berlalu. Tidak kuasa dia hendak melayan suaminya itu. Kalau sudah memang Usin mahu berahsia dengannya, dia tidak punya pilihan lain. Kalau didesak nanti, mungkin pertengkaran yang akan terjadi. Buka sehari dua dia hidup dengan lelaki itu. Sudah hampir lima belas tahun. Dia cukup masak dengan perangai Usin. Daripada dia berdiri tercegat disitu, ada baik nya dia turun semula kedapur dan membereskan kerja – kerja yang masih lagi terbengkalai.

Melihat Bedah keluar, Usin bangun perlahan – lahan. Seperti kelaziman dia mengeliat kekiri dan kekanan. Mulutnya terbuka luas menyanggap. Membiarkan tubuhnya yang agak kering itu dipanah cahaya matahari pagi. Kepalanya digosok – gosok lagi dengan tangan.

Tuala dipenyidai dicapai lalu dia meninggalkan kamar tidur. Melangkah perlahan – lahan menuju kedapur. Bunyi Bedah mengoreng sesuatu cukup jelas menampar cuping telinganya. Aroma jemput – jemput pisang makin kuat mengasak lubang hidungnya. Segera seleranya terangsang. Pun begitu dia harus mandi dulu.

Usai mandi dia berebut – rebut memakai baju. Jemput – jemput pisang yang mungkin sudah terhidang diatas meja sudah tidak sabar – sabar lagi utuk dijamah. Memang perutnya berkeroncong kelaparan.

“ Budak – budak dah pergi sekolah ke?’ soalnya sebaik saja mencecahkan punggungnya diatas kerusi. Bedah menuangkan teh panas kedalam cawan.

“ Dah.”

“ Nan dah bangun belum?”Usin merujuk pada anak bongsunya yang kini belajar didalam tingkatan satu. Anaknya itu bersekolah disebelah petang.

“ Belum. Nan, bukan awak tak tahu?” cebik Bedah. Turut melabuhkan punggung bersebelahan dengan Usin. “ Macam awak jugak, payah nak bangun pagi,” sambung Bedah lagi. Usin diam. Sekadar menjeling. Tidak pasti apakah isterinya itu masih marah kerana dia enggan menjawap pertanyaannya dibilik tidur tadi. Gasaklah, bukan penting sangat pun, keegoan membuatkan hatinya berkata begitu.

Jemput – jemput pisang disogokkan kedalam mulut. Mengunyah perlahan – lahan sebelum menelannya. Sesekali anak matanya dihalakan pada Bedah.

“ Tengahari karang saya balik.”

Giliran Bedah memandangnya. “ Tau,” ucap Bedah seperti tidak bersemangat.

“Nita dah mintak duit buku bang,” celah Bedah tidak lama kemudian. Usin terhenti menyuap jemput – jemput.

“ Buku apa lagi?” keningnya terjungkit dan dahinya berkerut. Menanti penjelasan dari Bedah.

“ Ntah.... katanya buku latihan. Cikgu dia suruh beli.”

Usin mengeluh. Cawan dicapai dan teh yang sudah mula suam dihirupnya sedikit. “ Budak ni macam – macamlah. Nak buku apa lagi. Tak cukup ke buku yang ada – ada tu?”

Bedah mencebik seraya menjungkitkan bahunya. “ Manalah saya tau bang. Bukan saya yang bersekolah. Tanyalah Nita bila dia balik nanti.” Usin tersandar. Melurutkan rambutnya yang masih lagi lembab. Tidak habis – habis dengan masalah, fikir Usin runsing. Lepas satu, satu. Tidak ada sudahnya. Muka Usin bertangkup.

“ Tak sudah – sudah dengan buku. Kejap buku itu, kejap buku ini. Pandainya tak jugak,” Usin mula membebel sendiri. Bedah cuma menjeling.

“ Dalam bilik dia tu dah bersepah dengan buku. Nak buku apa lagi?” Usin membeliakkan matanya.

“ Manalah saya tau? Kan saya cakap tadi bukan saya yang bersekolah. Abang ni pun,” Bedah mula lemas. Telinganya memang sakit setiap kali mendengar bebelan suaminya. “ Budak – budak sekarang bang. Jangan abang tak tau. Bukan macam zaman kita sekolah dulu.”

Usin memasamkan mukanya. Putus terus seleranya untuk menjamah penganan pagi itu. Sudahnya jemput – jemput pisang sekadar dilihat saja dengan mata. Boleh botak kepala aku dibuatnya, rungut Usin lagi didalam hati. Fikirannya mula merusuh.

Kalaulah dia boleh bujang, tentu dia akan membujang semula. Tiba – tiba dia merasa seronok hidup membujang macam dulu. Dia boleh bebas sebebas bebasnya. Tidak ada siapa yang peduli dengan apa yang dia buat. Hendak bangun sampai matahari tegak diumbun – umbun kepala pun tiada siapa yang marah. Paling kuat ibunya sekadar berleter saja. Ayahnya pula cuma mampu menjeling tajam saja. Tidak lebih dari itu. Tidak pening – pening kepala seperti sekarang. Semua benda dia kena fikirkan. Semua benda dia kena ambil tahu. Berasap ke tidak dapur rumahnya? Cukup ke tidak makan anak beranaknya? Bersalin ke tidak pakaian mereka? Semuanya tertampuk atas kepalanya selaku seorang suami dan seorang ayah. Bil setiap bulan yang tergantung diruang tamu perlu juga dijenguk – jenguk. Jangan sampai eletrik dan air dirumahnya kena potong. Susahnya jadi laki orang, hatinya merungut lagi.

Dia masih ingat lagi, sesekali dia terpaksa juga menebalkan mukanya ‘mengadap’ muka emak dan ayahnya. Meminta duit untuk menyambung penghidupan mereka sekeluarga. Beras habis, gula tinggal sedikit. Anak nak beli buku. Bil elektrik tertunggak dan sebagainya. Bukan kehidupan seperti ini yang dia impikan. Namun sudah ditakdirkan begini, dia harus terima. Benar kata orang. Biar pun pahit, jadam kehidupan ini harus ditelan jua. Dia tidak punya banyak pilihan.

“ Duit bantuan seratus yang dia dapat tu ada lagi?” Usin teringatkan akan wang bantuan yang diterima oleh anak – anaknya.

Bedah menjeling meluat. “ Duit tu yang abang nak harapkan? Dah habis dah bang oiii. Tak nampak ke kat tangan dia orang tu apa?” bulat mata Bedah memandang Usin.

“ Apa?”

“ Tu.... handset. Tu yang dibelinya bang oiii. Tak sempat nak suruh simpan sikit,” sela Bedah lagi. Sebiji jemput – jemput pisang disuapkan kedalam mulut. Usin mengeluh panjang. Memang tak boleh diharapkan betullah budak – budak ni, sumpahnya didalam hati. Kulit mukanya bertukar merah menahan geram.

“ Budak – budak ni pun satu. Dah tau payah nak carik duit, buat apa membazir,” keras suara Usin pagi itu. Mengejutkan ‘tompok’ kucing hitam berbelang putih yang sedang leka menjilat bulu sendiri dipintu dapur. Tercangak – cangak ia memerhatikan Usin yang mula naik angin.

“ Saya dah cakap dah dengan dia orang. Dia balas balik. Membazir apa katanya. Itu keperluan. Senang kalau ada apa – apa,” sahut Bedah. Usin mengelengkan kepalanya tanda kesal. Mati hujahnya kali ini.

Bunyi hon motorsikal diluar mengejutkan kedua laki bini itu. Masing – masing memanjangkan leher kearah pintu dapur yang terdedah luas. Seketika kemudian muncul seorang lelaki bertubuh sederhana. Berkemeja agak lusuh. Seluar jeansnya juga kelihatan seperti tidak dibasuh dua tiga hari. Tersengih – sengih dimuka pintu.

“ Dah siap ke Sin?’ tegur Alang tanpa mengucapkan salam seperti kelazimannya. Sejak dari dulu lagi dia mulutnya memang berat hendak memberi salam.

“ Dah,” sahut Usin sepatah. “ Eh.... kau tunggu kejap Lang, aku nak ambik beg duit,” Usin bangun dan berlalu semula ketingkat atas. Bedah berdiri.

“ Nak kemana pagi – pagi buta ni Alang,” dikesempatan itu Bedah mengambil peluang untuk mencungkil rahsia suaminya.

“ Ada kerja sikit Dah. Usin tak cakap ke?” macam tadi juga, lelaki berkumis nipis itu masih lagi tersengih – sengih.

“ Dia pun macam kau jugak. Bila ditanya, cakap ada kerja. Ntah kerja apa , aku pun tak tau,” panjang bibir Bedah terjuih kedepan. Nampak hodoh benar.

“ Tok Penghulu panggil ke?” cepat – cepat Bedah bersuara lagi. Kalau Usin sudah datang tidak ada peluang untuk dia bertanya lagi. Alang hanya menganggukkan kepalanya.

“ Dah dekat pilihanraya agaknya?” soal Bedah lagi. Lazimnya begitulah. Jika musim pilihanraya tiba, suaminya sibuk lebih dari biasa. Kadang kala hendak melihat kelibat dirumah pun payah. Sibuk mengalahkan Pak Menteri. Sekejap kehulu, sekejap kehilir. Usung poster kesana sini. Tampal sana, tampal sini. Gantung sana, gantung sini. Andai hendak berjumpa dengannya jangan cari dirumah. Nescaya hampa. Pergi saja kebalairaya yang dijadikan ‘bilik gerakan’parti secara percuma. Pasti dia ada disitu. Dan dia jugaklah antara ‘muka – muka’ yang selalu perabihkan makanan yang disediakan.

“ Mana ada kak Bedah,” sahut Alang yang selalu memanggil Bedah dengan panggilan ‘kakak’.

“ Dah tu.... sibuk benar pagi ni?”

Alang tersengih lagi. “ Tok penghulu pangggil sebab pagi ni ada program kat kampung seberang sana.”

“ Program apa?” belum pun sempat Alang menjawap, Usin sudah muncul semula didapur. “ Dah Lang, jom kita pergi.”

Usin dan Alang terus menuju kearah motor buruk Alang didepan rumah. Bedah sekadar mampu melihat saja. Sebaik saja kedua bayang lelaki itu hilang dipandangan matanya, dia mengeluh kecil. Entah program apa yang disertai oleh suaminya pagi itu tidak pula dia ketahui. Tiga empat hari sebelum ini pun suaminya tidak ada kata apa – apa pun. Senyap saja. Mungkin dia boleh bertanya pada Timah jiran sebelah rumahnya. Mungkin suaminya juga turut terlibat sama, fikir wanita itu lagi. Bedah masuk semula kedalam dan menutup pintu dapur.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.