TANGANsebelah
kiri memegang dua cucuk sosej bakar. Begitu juga tangan sebelah kanan. Dengan
mulut yang penuh dan bersememeh dengan sos, Aini mengetawakan sahabat karibnya.
“Itulah kau.
Aku sudah beritahu awal-awal. Shahaikal tak mungkin akan menerima kau sebagai
pekerja.” Kunyahannya itu ditelan. Sosej bakar digigit lagi.
“Tapi kenapa?”
Nelydia membentak. “Aku cantik, badan aku langsing, kulit aku mulus…” tangan
naik menyentuh pipi. “Aku bijak, dan aku juga seorang yang berkarisma.” Nelydia
berkata dengan bersungguh-sungguh. Seakan-akan apa yang dicakapkannya itu
menepati ciri-ciri yang ada pada dirinya.
Terus terlepas
makanan yang ada di tangan Aini. Ternganga dalam keadaan sosej penuh di dalam
mulut.
“Eh, kenapa
dengan kau ni?” Nelydia kehairanan. Aini kelihatan begitu terkejut dengan
statement yang dikeluarkannya itu. Mata Aini terbeliak luas bagaikan ingin
terkeluar dari soketnya pada bila-bila masa sahaja. Hampir semiint juga Aini
tidak berkelip. Tubuhnya keras kejung. Sehingga akhirnya Aini tersedak dengan
kuat.
“Macam mana kau
boleh begitu yakin dengan apa yang kau cakapkan tu?!” Aini bertanya dengan
hairan. Selama ini Nelydia tidak begitu. Nelydia seorang yang sangat sedar akan
kekurangan diri. Namun tidak kali ini, entah setan apa yang telah merasuk minda
Nelydia.
“Kenapa? Salah
ke apa yang aku cakap ni? Kenapa kau macam terkejut je?” Hujung tudungnya yang
lusuh itu dipintal-pintal. Eh, mengapa pula aku pintal hujung tudung aku macam
perempuan pemalu pula ni? Hujung tudung dilepaskan. Lalu pertanyaan yang sama
diulang dengan nada yang agak serius.
“Kenapa? Salah
ke apa yang aku cakap ni? Kenapa kau macam terkejut je?” Atau kau cemburu? Sela
Nelydia di dalam hati.
“Memang aku
terkejut. Sebab, apa yang kau cakapkan tu salah. Siapa yang dah meracuni
fikiran kau ni Neli? Cuba kau cakap pada aku.” Aini mengesat mulutnya yang
bersememeh dengan sos itu menggunakan tudung. Tangan Nelydia dipegang. Dibawa
gadis itu menuju ke tandas awam. Selepas membayar harga 50 sen setiap seorang,
mereka berkira-kira untuk masuk. Kedua-duanya mengerling pada dinding tandas.
Minggu lepas harga penggunaan tandas hanya 30 sen sahaja. Semenjak barang naik
harga, cas penggunaan tandas awam juga dinaikkan. Kencing 50 sen, berak 70 sen.
Terpampang ditulis pada dinding tandas bahagian luar. Puih! Aini yang brutal
itu meludah. Benci dengan kenaikan taraf hidup yang semakin membebankan rakyat.
“Cik,” bahu
Aini ditepuk dari belakang. Segera dia menoleh. Di sebelahnya berdiri seorang
mak cik berusia 50 tahun. Gemuk gedempol macam aku jugak mak cik ni. Kutuk
Aini.
“Cik kena tambah 50 sen lagi.” Mak cik itu menghulurkan tangan
ke arah Aini. Jari-jemarinya digerakkan. Meminta duit.
“Kenapa pulak? Bukan ke saya sudah bayar tadi.” Aini mendakap
kemas handbagnya. Mahu menjaga sekeping syiling 50 sen yang kebetulan memang
ada di dalam handbagnya. . Eii, senang-senang je mintak tambah.
“Tu.” Jari telunjuk mak cik itu menuding pada kesan ludahan Aini
pada dinding tandas.
Aini dan Nelydia ikut menoleh. Kesan ludah itu tepat berada di
atas tulisan harga pada dinding.
“Kamu
tahu tak berapa banyak kos yang mak cik terpaksa tanggung untuk bersihkan ludah
kamu tu. Kos sabun, kos air, dan kos berus. Sekarang ni semua perkara kena
ambil kira. Kos sara hidup sudah naik. Barang mahal.” Jelas mak cik itu.
“Bayarlah,
apa tunggu lagi.” Jerkah makcik itu.
Dengan muka masam mencuka,
Aini membayar 50 sen kepada mak cik itu. Sudahlah aku tengah sesak tak ada duit
sekarang ni. Adoi. Kerja pun susah nak dapat. Sesudah itu Aini dan Nelydia
melangkah masuk ke dalam tandas. Nelydia ketawa mengekeh dengan nasib yang
menimpa sahabatnya itu. Itulah kau, brutal tak kena tempat.
“Tujuan aku membazirkan duit aku bawa masuk kau ke dalam tandas
ni, bukan nak suruh kau tengok mangkuk jamban tu,” Aini menampar kasar bahu
Nelydia apabila gadis itu dilihat sedang memandang ke arah mangkuk tandas.
Seperti ada yang menarik di situ. “Aku bawa kau masuk ke sini sebab aku nak sedarkan
kau. Aku nak fahamkan kau, bahawa apa yang kau cakapkan tadi tu tak betul.”
Aini memegang kedua-dua belah bahu sahabatnya itu.
“Maksud kau?” kening Nelydia terjungkit.
Terus Aini memusingkan tubuh Nelydia menghadap cermin.
“Kau nampak tak apa yang terpantul dari cermin besar tu?” tanya
Aini. Belum sempat Nelydia menjawab, Aini terlebih dahulu memberikan jawapan.
“Itu adalah dua orang bluehippo.” Aini tanpa segan silu turut mengakui dirinya
adalah bluehippo.
“Cuba kau tengok diri kau betul-betul dalam cermin tu.”
Nelydia akur.
“Kau rasa kau cantik?” Tanya Aini.
Nelydia meneliti seluruh tubuhnya. Nelydia tiba-tiba berasa
sangat sedih.
“Tak.”
“Langsing atau gemuk tubuh kau tu?”
Bibir Nelydia menggigil. Sukar sekali untuk berkata-kata.
“Gemuk.”
“Kulit kau mulus atau berkerutu macam katak puru?”
Tangan Nelydia naik menyentuh pipinya. Terasa sedikit sakit
lantaran tersentuh jerawat yang hebat bernanah. Ditahan kesakitan itu.
“Berkerutu macam katak puru.”
“Kau bijak atau kau paling bodoh di dalam kelas kita dulu.”
Isu bijak bodoh ni sudah melampau. Aku tumbuh karang. Nelydia
menjeling sahabat karibnya itu. Lembam biji mata tu nanti. Kocik besor kocik
besor dah cek menengok pompuan ni!
“Ya, aku bodoh. Tapi kau jangan lupa. Dalam kelas dulu, kita
berdua memang selalu bertukar tempat duduk pencapaian paling teruk. Ada masanya
aku dapat tempat kedua terbodoh jugak tau. Kau ambil tempat pertama.” Nelydia
mengingatkan sabahatnya itu.
“Ok, aku faham. Sekurang-kurangnya aku tak pernah mengaku aku
cerdik.” Aini menaikkan kedua-dua tangannya dengan lembut pada bahu sambil
matanya dijulingkan ke atas siling.
“Sambung semula. Kau rasa kau berkarisma?” Aini bertanya lagi.
Nelydia menggelengkan kepalanya. Sifat dan penampilan yang ada
pada dirinya jauh dari karisma. Entah kenapa Nelydia berasa sungguh sebak tidak
terhingga. Berjujuran air matanya jatuh membasahi pipi. Nelydia teringatkan
kata-katanya pada Wan Muhammad Shahaikal pagi tadi. Bagaimana Nelydia sanggup
mengeluarkan penyataan seperti itu sedangkan dirinya jauh daripada yang
diperkatakan. Ya ALLAH. Malunya aku! Nelydia menekup muka.
Aini memegang kedua-dua tangan Nelydia. Dilarikan pada wajah
gadis itu. Kepala Nelydia ditarik pada bahunya. Aini juga tidak cantik seperti
Nelydia. Gemuk dan berjerawat. Cuma Aini sekurang-kurangnya tidaklah jongang
seperti Nelydia.
“Cuba kau beritahu aku, siapa yang suntik keyakinan yang begitu
hebat dalam diri kau ni. Sehingga kau sanggup menemui Shahaikal. Sedangkan
selama ini kau hanya mampu memandang dia dari kejauhan saja.” Aini
mengosok-gosok belakang badan Nelydia. Cuba memujuk sahabat yang kini sedang
dihurung kesedihan. Anak mata Nelydia sedikit bergenang. Aini faham perasaan Nelydia.
“Syikin.” Beritahu Nelydia.
“Hah? Syikin? Kau biar betul.” Aini menolak Nelydia daripada
bahunya. Dengan kuat. Sehingga tersandar tubuh Nelydia pada dinding tandas.
“Tak guna punya Syikin, sanggup kau perdajal sahabat karib kau sendiri. Si
kurus keding tu memang nak kena.” Tangannya digenggam membentuk penumbuk.
Diangkat. Bersedih untuk menumbuk cermin tandas awam itu.
Bahu Aini ditepuk dua kali dari belakang. Tindakannya terhenti.
Seinci sahaja lagi penumbuknya ingin mengenai cermin. Aini menoleh dengan
berang. Siapalah yang berani menepuk bahunya dikala kemarahan sedang menggunung
tinggi. Ibarat lahar gunung berapi yang sudah bersedia menghamburkan muntahnya
pada bila-bila masa sahaja.
“Cik sudah bersedia nak bayar harga cermin ni pulak ke? Mak cik tak
kisah kalau cik nak pecahkan sekali pun. Kat tangan mak cik ni sudah ada
kalkulator untuk kira kos-kos yang terpaksa cik bayar.” Mak cik tersebut
menayang-nayangkan kalkulator di hadapan mata Aini.
“Hah?” Aini terlopong. Otaknya ligat membuat kira-kira. Harga
cermin mungkin RM 30 hingga RM100. Atau mungkin lebih mahal. Kos penyapu yang
bakal digunakan untuk menyapu deraian cermin mungkin RM5. Dan siapa tahu mak
cik itu menambah kos-kos lain pula. “Eh, mana ada saya nak pecahkan cermin ni.
Saya nak lap cermin ni.” Dengan menggunakan hujung tudungnya cermin itu dilap
dengan bersungguh-sungguh. Mak cik penjaga tandas terus keluar dengan mimik
muka curiga.
Nelydia dihampiri.
“Selama ini aku tak pernah halang kau dari menyukai Shahaikal.
Tapi untuk kali ini aku nak kau hapuskan angan-angan kau untuk hidup bersama
dia. Hidup kau dan dia jauh perbezaan. Dia tak mungkin membalas cinta kau. Kini
ni orang miskin Neli. Tiada rupa pula. Shahaikal tu sudahlah punyai rupa,
pemilik harta kekayaan keluarga dia pulak. Anak tunggul katakan.” Anak tunggal
disebut anak tunggul oleh Aini tanpa disedari. “Aku tahu perkara ni klise. Hero
seorang yang kaya. Heroin pula miskin papa kedana. Dalam drama mahupun novel,
hero kaya dan heroin miskin akan bersama. Bahagia selamanya. Tapi itu drama dan
novel. Ini kehidupan realiti Neli. Tak mungkin jadi macam tu.”
“Tapi…” betapa hatinya sangat berdukacita detik itu. “Tapi…”
bibirnya menggigil. Senang bagi Aini menasihati. Sedang hatinya tidak pernah
mampu melupakan lelaki yang sangat istimewa itu. “Tapi aku sungguh-sungguh
mencintai dia Aini. Aku betul-betul sayangkan dia. Aku rela begini sampai
bila-bila.”
“Ya, ya, aku tahu. Sudah satu
juta lima ratus satu kali kau cakap pada aku perkara yang sama. Sikit-sikit
cinta. Tapi kau jangan ingat aku tak tahu, kau juga minat pada rupa paras dia
yang kacak, kekayaan dia, dan gaya hidup dia yang hebat. Kalau dia tu hodoh
macam kau, miskin macam kau, gaya hidup tunggang terbalik macam kau, sumpah kau
tak nak kan?”
Nelydia mengangguk.
“Yang tu kau betul. Antara faktor aku mencintai dia kerana dia
kacak, kaya dan gaya hidupnya sungguh hebat. Entahlah, aku tak tahu nak cakap
apa lagi. Yang pasti, aku memang sukakan Shahaikal.” Nelydia menundukkan wajah
memandang selipar jepunnya. Pada ketika itu barulah Nelydia tersedar, dia telah
mengenakan selipar jepun yang berbeza warna.
“Entah-entah, Shahaikal tak ingat pun yang kau ni pernah sekelas
dengan dia masa kau jumpa dia tadi?”
“Memang dia tak ingat langsung Aini.” Ujar Nelydia dengan lemah.
“Nampak sangat yang kau ni, tak pernah sekalipun ada di dalam
minda dia selama ini. Sudahlah, baik kita gerak keluar. Tapi sebelum tu kita
kena guna dulu tandas ni. Supaya duit yang kita bayar tak hangus macam tu je.”
Aini masuk ke dalam tandas dan menghempas pintu dengan kuatnya.
Nelydia melepaskan nafas dengan kuat. Melangkah masuk ke dalam
tandas. Buat rugi je jika buang air kecil sahaja. Baik buang air besar terus.
Mak cik tu bukannya tahu pun. Sekurang-kurangnya jimat 70 sen. Duhai mak cik,
manalah orang yang nak buang air besar sanggup mengaku bahawa dia nak buang air
besar dan bayar 70 sen pada mak cik. Huhuhu…