Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU 120 KG
ISTERIKU 120 KG
SITI NUR DHUHA
29/12/2014 20:46:49
28,412
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
BAB 1

FAIL setebal setengah inci dipeluk rapat ke dada. Matanya dipejam. Serapat yang mungkin. Nelydia berdoa di dalam hati. Ya Tuhan, mudah-mudahan aku mendapat pekerjaan ini. Amin. Nelydia membuka matanya kembali. Menanti dengan sabar pintu lif terbuka. Di hadapannya terdapat seorang lelaki berkemeja putih. Turut menunggu lif. Nelydia tidak kenal siapa lelaki itu. Malah tidak berminat untuk mengenalinya.

Wajah tampan pengurus besar Setia Holdings terbayang ditubir mata. Lelaki itulah yang bakal menemuduga dirinya nanti sebagai pembantu peribadi. Nelydia sangat berharap. Pengurus Setia Holdings yang kacak, hebat, gentleman, dan berkarisma itu akan memandang dirinya. Lantas mengambilnya bekerja. Pastinya waktu yang ada akan dimanfaatkan untuk menawan hati Wan Muhammad Shahaikal, pengurus besar Setia Holdings tersebut. Secara tidak langsung Nelydia akan menjadi permaisuri di dalam mahligai indah milik lelaki terhangat di pasaran itu. Wanita manakah di atas dunia ini mampu menolak lelaki sehebat itu. Tambahan pula, Wan Muhammad Shahaikal adalah anak kepada pemilik syarikat itu. Aduhai… bertuahnya diriku sekiranya berjaya memilikinya.

Tidak semena-mena Nelydia tersipu-sipu malu membayangkan Wan Muhammad Shahaikal tergila-gilakannya. Kedua-dua tangan Nelydia bertaut rapat. Bahunya digoyang-goyangkan. Kerana leka melayan kegedikan diri sendiri, Nelydia langsung tidak sedar pintu lif telah terbuka. Lelaki berkemeja putih itu memasuki lif. Setelah itu pintu lif tertutup kembali. Sempat lagi lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Geli hati melihat tingkah laku wanita yang disangkakan kurang siuman itu.

Goyangan pada bahunya terhenti apabila menyedari pintu lif telah tertutup.

“Alamak!” Nelydia menepuk dahinya. Lalu menerkam ke arah lif. Diketuk-ketuk pintu lif berharap terbuka kembali. Sayangnya sudah terlambat. Jam pada tangan dilihat. Sudah pukul 8.55 pagi. Hanya ada lima minit sahaja lagi sebelum pukul 9.00 pagi. Nelydia cemas.

Tak mungkin!

Tak mungkin!

Aku tak boleh terlepas waktu temuduga. Aku tak boleh kehilangan jawatan itu.

Mahu atau tidak, Nelydia memutuskan untuk mendaki tangga ke tingkat sepuluh. Singkatnya waktu membuatkan Nelydia gagal berfikir secara rasional. Tangga didaki satu persatu dengan laju. Sekejap sahaja tubuhnya sudah berpeluh-peluh. Meskipun kelelahan, Nelydia abaikan perasaan itu.

“Wan Muhammad Shahaikal, mu tunggu aku datang…” Nelydia menjerit dengan kuat untuk memberikan semangat kepada dirinya. Sengaja Nelydia meniru tagline filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang. Sebuah filem komedi yang menampilkan Ustaz Azhar Idrus sebagai watak istimewa.

Entah nasib apa yang menimpa. Tanpa disengajakan Nelydia telah berlanggar dengan seorang lelaki yang kebetulan turun dengan laju dari tangga tingkat atas. Pertembungan yang cukup hebat itu menyebabkan Nelydia jatuh terguling-guling bagaikan sebiji bola dari anak tangga atas sehingga ke bawah. Disudahi dengan keadaan yang cukup memilukan dan juga memalukan. Di mana kedua-dua belah kaki, betis, dan paha Nelydia berada di atas. Tersandar pada dinding. Sedangkan kepala berada pada bahagian bawah. Syukurlah Nelydia mengenakan seluar legging. Jika tidak pasti auratnya akan terdedah. Auw! Tak sanggup rasanya.

“Aduh…” Nelydia merengek kesakitan. Berpinar-pinar matanya. Naik pusing kepalanya. Dalam keadaan yang cukup mendukacitakan itu, Nelydia tidak tahu bagaimana cara untuk menurunkan kakinya. Silap hari bulan boleh patah lehernya menampung berat badan.

Nasib lelaki yang terlibat dalam perlanggaran itu lebih baik kerana dia tidak jatuh tersungkur seperti Nelydia. Dia sempat berpegang pada palang besi yang menghiasi sisi tangga. Fuh! Nasib baik. Dadanya diurut.

“To…tolong…”kedengaran suara halus meminta pertolongan. Lelaki itu tercari-cari dari manakah suara itu datang sebelum matanya jatuh pada satu susuk tubuh yang berdiri secara terbalik tersandar di tepi dinding di hujung tangga. Lelaki itu terlopong melihatnya. Bahagian kaki di atas. Manakala bahagian kepalanya di bawah. Sayangnya lelaki itu tidak dapat melihat wajah wanita itu kerana telah tertutup oleh kain kurungnya yang melurut ke bawah. Hanya dua batang betis berseluar legging sahaja kelihatan.

“Hahaha…” Ketawa meletus dari mulut lelaki itu. Kelakarnya keadaan yang menimpa perempuan ni. Bisik hatinya. Tangan jatuh menekan perut. Secara tidak langsung dia jatuh terduduk di atas tangga. Lucu sungguh. Sampai begitu sekali keadaan yang menimpanya.

“Sakitnya,” kedengaran lagi keluh kesah dari Nelydia.

Dengan sisa ketawa yang ada, lelaki itu bangun dari duduknya. Menuruni tangga. Mahu menolong wanita yang bernasib malang itu. Belum pun tangannya naik untuk menurunkan kaki Nelydia, tanpa di duga tubuh wanita itu menghempap dirinya.

“Aduhai, leganya. Bukan main seksa lagi sewaktu kaki ada kat atas tadi. Nasib baik aku berjaya turunkan tubuh aku yang kecil molek macam sang kancil ni.” Nelydia berkata. Nelydia yang memiliki berat badan 120kg itu langsung tidak perasan bahawa tubuhnya telah menindih seorang manusia.

“Woi, lepaskan aku. Kau tak sedar ke tubuh sang kancil milik kau tu menimpa aku.” Lelaki itu menjerkah Nelydia. Dia tidak mungkin mampu melepaskan diri. Tubuh Nelydia terlalu berat dan berlemak. Hidungnya terkembang-kembang mengesan bau busuk yang bukan kepalang. Setelah diamati barulah dia sedar bahawa wajahnya kini betul-betul berada di bawah ketiak Nelydia. Uwek! Lelaki itu tidak mampu menahan rasa jijik. Hampir sahaja terkeluar segala isi di dalam perutnya.

Nelydia tersentak. Alamak, ada orang di bawah aku rupanya.

“Sorry awak, sorry…” dengan rasa bersalah Nelydia bangun berdiri. Dia membetulkan baju kurung bersaiz triple XL miliknya itu.

Lelaki itu turut bangun berdiri.Tangannya naik menekan perut. Tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Segala isi di dalam perutnya dihampurkan keluar. Aura ketiak wanita itu bagaikan berlegar-legar di rongga hidungnya. Sungguh busuk! Macam telur buruk. Tak pakai ubat ketiak ke perempuan ni?

“Saya betul-betul minta maaf awak. Saya tak sengaja.” Nelydia menyelongkar beg tangannya. Mencari tisu. Untuk diberikan kepada lelaki yang sedang muntah itu. Setelah menjumpainya. Tisu itu dihulurkan.

Lelaki tersebut menyambut huluran tisu itu dengan kasar. Sekilas dilemparkan jelingan tajam ke arah Nelydia. Sempat mata lelakinya menangkap empat batang gigi Nelydia yang jongang ke depan. Fuh! Nasib baik muka aku tidak dihempap dengan empat batang gigi kapak yang mengerikan tu. Eii, tak boleh nak dibayangkan jika perkara tu berlaku.

Nelydia turut mengamati wajah lelaki yang berada di hadapannya itu.

Eh, bukan ke ini Wan Muhammad Shahaikal?!

Tersentak.

Mata gadis itu membulat besar.

Nelydia berasa sungguh beruntung kerana bertembung dengan lelaki yang dipuja di dalam diam selama ini. Nelydia teringatkan peristiwa yang baru sahaja berlaku tadi. Ah, kenapa mesti lelaki yang kucintai ini yang menjadi mangsa dihempap oleh ketiakku. Kasihannya dia. Sepatutnya pertemuan di antara kami berlaku dalam suasana yang cukup romantik. Di mana mata kami bertentangan. Dia mula terpegun akan keayuan diriku dan aku pula melemparkan jelingan manja. Lalu Wan Muhammad Shahaikal jatuh hati kepadaku. Indahnya. Namun keadaan yang berlaku tidak seperti yang diharapkan

Nelydia memerhati dengan asyik wajah masam mencuka milik Shahaikal. Tidak banyak yang berubah. Sama segaknya seperti zaman persekolahan dahulu. Tidak ingatkah Shahaikal bahawa mereka berdua pernah sekelas suatu ketika dahulu? Tidak ingatkah Shahaikal bahawa dialah gadis ayu yang sering memberikan hadiah buatnya? Malah tidak ingatkah Shahaikal bahawa dirinyalah yang paling handsome di dalam kelas itu, sedangkan aku yang paling… err… Monolog di dalam hati Nelydia terhenti. Sukar untuk menghabiskan ayat yang terakhir. Yalah-yalah, aku mengaku bahawa akulah yang paling hodoh di dalam kelas itu! Full-stop!

Nelydia seperti terkena kejutan elektrik apabila melihat Shahaikal sudah bersedia untuk mengelap bibirnya dengan menggunakan tisu yang baru sahaja diberikan. Nelydia baru ingat. Tisu itu bukan tisu yang bersih. Pagi tadi sewaktu di dalam perut teksi. Nelydia telah menggunakan tisu itu untuk menghembuskan hingusnya. Tidak! Aku tidak rela bakal suami aku menggunakan tisu yang diselaputi oleh jeli semula jadi yang sudah kering itu.

Secara drastik Nelydia merampas tisu itu daripada tangan Shahaikal. Sikit sahaja lagi tisu itu bakal mengenai bibir merah milik lelaki itu.

“Jangan guna tisu ni. Kotor. Pagi tadi saya guna tisu ni untuk hembus hingus. Saya terlupa, sebab itu saya bagi awak tadi.” Nelydia mencampakkan tisu ke ke bawah. Dipijak-pijak tisu itu dengan ganas. Lagaknya seperti kingkong yang sedang mengamuk.

“Hah?!” Shahaikal terbeliak. Hampir terkeluar kedua-dua biji mata. Menggigil-gigil bibirnya. Bayangkan jika dia menggunakan tisu itu tadi.

Shahaikal mengetap bibir. Dia berasa sungguh terhina dan telah dihinakan oleh gadis di hadapannya itu. Sepanjang hidupnya, tidak pernah dia dimalukan dengan sedemikian rupa. Bermula dengan insiden ketiak busuk gadis itu yang menghempap wajah, kini gadis itu memberikan tisu yang ada hingus kepadanya. Memang betul-betul kurang ajar kelakuan gadis ini.

Shahaikal menyeluk tangan ke dalam kot yang dikenakannya. Dikeluarkan sapu tangan. Bibirnya disapu. Rasanya tiada apa yang perlu diperkatakan. Buang masa sahaja jika waktu yang ada digunakan untuk berbicara dengan gadis gemuk gedempol di hadapannya ini. Tiada kata maaf yang perlu Shahaikal ucapkan. Tiada juga kata maaf yang diperlukan dari gadis itu. Eloklah sekiranya Shahaikal segera pergi sebelum gigi kapak yang jongang itu membahamnya. Siapa tahu jika gadis itu bertindak ganas.

Lantas kakinya menuruni tangga satu persatu dengan laju. Meninggalkan Nelydia. Shahaikal perlu cepat. Dia perlu berjumpa dengan seseorang. Kerana seseorang itulah dia tidak turun menggunakan lif. Entah kenapa dirasakan penggunaan lif hanya melambatkannya sahaja. Sedangkan seseorang itu terlalu berharga bagi dirinya.

“Encik Shahaikal, tunggu dulu.” Nelydia mengejar lelaki itu dari belakang. Namun sayangnya, lelaki itu tidak menghiraukannya.

Nelydia menuruni tangga semakin laju. Ini sahaja peluang yang aku ada. Aku perlu tunjukkan sijil-sijil akademik dan kokurikulum aku kepadanya. Shahaikal perlu tahu bahawa aku seorang yang cemerlang dalam akedemik dan kokurikulum. Aku layak menjadi pembantu peribadinya. Aku punyai pakej yang lengkap. Aku cantik, badan aku langsing, wajah aku licin umpama lantai shopping complex yang baru sahaja selesai dimop, dan gigi aku putih tersusun rapi, pastinya hari-hari Shahaikal akan berseri dihiasi oleh senyuman menawan seorang pembantu peribadi terhebat seperti aku. Kau tidak akan menyesal sayang. Tak akan. Percayalah.

Nelydia mengejar Shahaikal sehinggalah ke ruang legar Setia Holdings. Tidak diendahkan rasa sakit pada tubuh akibat terjatuh tangga sebentar tadi. Nelydia semakin hampir. Malah kini Nelydia sudah berdiri di hadapan Shahaikal. Memaksa Shahaikal menghentikan langkahnya. Gadis yang sedang tunduk memegang lutut akibat kelelahan itu hampir sahaja membuatkan Shahaikal hilang kawalan diri.

Nelydia menegakkan tubuhnya. Keletihan sudah berkurangan.

“Encik Shahaikal…”

“Panggil Tuan Shahaikal,” Shahaikal membetulkan panggilan Nelydia.

Tuan? Nelydia tercengang-cengang. Ah, bagaimana aku boleh terlupa bahawa lelaki di hadapan aku ini adalah pemilik sah Setia Holdings. Salah satu syarikat yang cukup gah di Malaysia. Panggilan Encik Shahaikal itu terlalu rendah baginya. Tuan Shahaikal adalah panggilan yang selayaknya.

“Apa awak nak sebenarnya ni?” Pertanyaan dari Shahaikal itu menyapa deria dengar Nelydia.

“Macam ni Tuan Shahaikal. Saya sebenarnya datang ke Setia Holdings ini untuk menjalani sesi temuduga sebagai pembantu peribadi kepada tuan. Saya seorang yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, saya yakin saya yang paling layak menyandang jawatan itu.” Sejurus selepas itu Nelydia mengeluarkan sijil-sijil yang telah difotostat olehnya. Dihulurkan kepada Shahaikal bersama wajah yang cukup manis. Namun wajah yang manis pada anggapannya itu, sangat menakutkan di mata Shahaikal.

Meskipun begitu, Shahaikal tetap mengambil sijil-sijil yang dihulurkan itu. Kesungguhan Nelydia memberitahu tentang kecemerlangan dirinya menarik sedikit minat Shahaikal. Matanya meneliti sijil yang ada di tangannya. Nama Siti Neli Dia binti Fakrudin. Mengambil Kursus Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah. HPNM untuk keseluruhan pointer 1.44. Terus terbeliak biji mata Shahaikal. Ini yang dikatakan cermelang dalam bidang akedemik? Jauh panggang dari api. Sijil kokurikulum pula diteliti. Hanya ada satu sijil sahaja. Iaitu sijil menjalani latihan khidmat negera iaitu PLKN. Itu sahaja. Shahaikal mengangkat wajahnya yang sedari tadi meneliti sijil-sijil tersebut. Pandangan jatuh pada seraup wajah yang tersengih memanjang. Seakan bangga dengan percapaian dirinya. Jika tidak difikirkan makhluk di hadapannya itu seorang perempuan, pasti sudah ditumbuk pada mukanya. Cemerlang apa macam ni!

“Saya juga seorang yang educated, berkarisma, bercita-cita, berwawasan tinggi, dan sangat rupawan…” tangan Nelydia naik menyentuh pipi. Gayanya seperti sangat yakin bahawa dirinya seperti yang diperkatakan.

Hampir tercekik Shahaikal mendengar perkataan rupawan itu.

Uuwweekk! Loya yang tiba-tiba hadir pada tekak ditahan agar tidak terhambur keluar.

“Saya seorang yang menepati masa, bijak, dan paling penting saya ada rupa. Bukan apa Encik Shahaikal… eh, silap, Tuan Shahaikal, rupa paras yang comel memainkan peranan yang penting. Cuba Tuan Shahaikal tengok perempuan kat luar sana tu, mana ada cantik macam saya. Pendek kata, sayalah calon yang paling sesuai untuk menyandang jawatan itu.” Sambung Nelydia lagi. Memuji dirinya sendiri.

Masya-ALLAH. Perasannya perempuan ni. Yang paling penting saya ada rupa? Perempuan kat luar sana mana ada rupa macam saya? Tergiang-giang bait-bait ini di telinga Shahaikal. Secara automatik anak mata Shahaikal meneliti wajah Nelydia. Terdapat sembilan biji jerawat batu di atas dahi. Tujuh biji di sebelah pipi kiri dan lima biji di sebelah pipi kanan. Sebiji di dagu. Di hidung? Tiada jerawat. Cuma hidungnya sedikit mancung, tetapi sayangnya lubang hidungnya pula sesekali mengembang sesekali mengempis. Mungkin teruja kerana insan istimewa seperti aku sanggup mendengar celotehnya yang entah apa-apa itu.

Tudung berwarna putih yang dikenakan oleh Nelydia di teliti. Ada kesan-kesan gulai pada tudung. Mungkin sebelum datang ke Setia Holdings, Nelydia sudah menghentam sebungkus nasi. Mungkin sahaja berbungkus-bungkus nasi memandangkan gadis itu seorang yang gempal. Duga Shahaikal. Baju kurung Nelydia yang berwarna coklot pula diperhatikan. Ada tiga lubang pada pakaiannya itu. Seperti kesan terkena puting rokok. Kini pandangan Shahaikal beralih pada kaki Nelydia pula. Kali ini Shahaikal terbeliak. Hah? Gerahamnya jatuh. Datang temuduga pakai selipar jepun. Sebelah kiri hitam, sebelah kanan merah. Ini yang dikatakan ada rupa? Cantik? Dengan giginya yang jongang? Dengan tubuhnya yang gemuk begitu? Tergamak sungguh perempuan ini membuat pengakuan yang cukup mengarut dan bertentangan dari kenyataan yang sebenar.

“Tak masuk akal langung!” Shahaikal tersenyum sinis. “Macam ni nak jadi pembantu peribadi aku?” Sijil yang ada di tangannya itu dikoyak dua. Dicampakkan betul-betul di hadapan wajah Nelydia.

“Pengawal!” Shahaikal memanggil pengawal keselamatan. “Halau perempuan tak siuman ni keluar daripada Setia Holdings.”

Dalam sekelip mata kedua-dua lengan Nelydia telah dipegang oleh dua orang pengawal keselamatan. Kedua-duanya wanita. Mereka berdua berusaha menarik Nelydia keluar daripada bangunan itu. Tetapi sukar sekali apabila Nelydia mengeraskan tubuhnya. Enggan untuk keluar. Nelydia sangat berharap dirinya diterima sebagai warga Setia Holdings.

“Tuan Shahaikal, tolonglah terima saya sebagai pekerja. Saya perlukan wang. Saya juga perlu mendekati Tuan Shahaikal. Saya dapat rasakan yang kita berdua ni ada jodoh. Saya… hmm…hmm…” mulut Nelydia telah ditekup oleh salah seorang pengawal keselamatan itu. Segala isi hati yang ingin diluahkan tidak kedengaran lagi. Seorang lagi pengawal keselamatan datang menolong. Dengan kekuatan tiga manusia barulah Nelydia berjaya dicampak keluar daripada Setia Holdings.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA