Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,536
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 20

"KENAPANur Aqilah Najwa?"

"Kenapa apa?" Aku sudah mula melarikan anak mata. Mengelak dari menentang anak mata Zafril. Aku hanya memandang pada wajah Airin yang seakan serba-salah. Terperangkap di antara aku dan Zafril. Zafril yang muncul tiba-tiba, di kampus. Duduk di hadapan aku dan Airin.

"Err ... saya minta diri ke tandas dulu, ya?" Airin bersuara.

Tangan Airin aku pegang. Aku tahu itu hanya alasan dia nak ke tandas. Nak tinggalkan aku berdua dengan Zafril. Dulu, masa dengan Ashfar dia takut untuk tinggalkan aku berdua. Tetapi kenapa sekarang bila aku dengan Zafril, dengan mudah dia ingin pergi? Zafril juga lelaki. Tiada beza. Dan, syaitan juga tetap ada tidak kiralah dia lelaki sealim mana.

Airin kembali duduk.

"Kenapa awak tolak hasrat hati saya?" Zafril terus bertanya. Tiada desakan. Soalannya dalam nada tenang. Wajahnya juga manis dengan senyuman. Yang dulu pernah kuibaratkan seperti iklan ubat gigi.

"Tergesa sangat. Lagipun kita tak kenal rapat." Aku memberi alasan.

Dia terus tersenyum.

"Kita boleh kenal lepas nikah."

"Lepas nikah baru nak kenal? Tak takut menyesal?"

"Inshaallah. Saya percaya pada Allah."

"Semudah itu? Kalau kita tak serasi macam mana? Kalau awak tak tahan dengan perangai saya, macam mana?" Aku menduga.

Dia ketawa kecil. "Tiada 'kalau' dalam Islam. Semuanya sudah diatur Tuhan. Apa sahaja yang berlaku, inshaallah pasti ada hikmah. Selepas ijab dan kabul, awak akan jadi tanggungjawab saya. Dosa awak tanggungan saya. Jadi, saya perlu menjalankan tanggungjawab saya membimbing awak, inshaallah."

Terkebil-kebil mata Airin mendengar bicara Zafril. Aku pula sudah merah muka. Aku muda lagi untuk membincangkan perkara ini. Aku malu, dan tidak bersedia.

"Aqilah. Boleh beritahu saya kenapa? Ada yang kurang ke pada diri saya?"

Ya Allah. Tiada yang kurang pada diri kau, Zafril. Serba sempurna. Aku ni yang kurang.

Aku menggeleng. "Tak ada yang kurang pada pandangan mata saya. Kekurangan itu hanya ada pada saya. Kurang segala-galanya. Tapi kan ..."

Dia menanti dengan tenang. Dengan senyuman tak lekang.

" ... awak tak pernah pun kata yang awak suka kat saya. Kenapa tiba-tiba ajak saya kahwin?"

Dia ketawa.

Aku tarik muka.

"Awak ni mudah lupa. Saya pernah katalah, yang saya nak kat awak. Tak ingat?"

Berkerut mukaku. "Eh, ada ke? Bila?"

"Sewaktu saya kejar awak. Nak pulangkan diari awak. Masa tu awak tanya saya, 'nak apa'. Saya jawab, 'saya nak awak'."

Aku pandang muka dia yang tak habis senyum dengan wajah masih berkerut. "Bukan ke masa tu awak cuma main-mainkan saya?"

"Tak. Saya mungkin suka main-mainkan awak, tapi tidak pernah dan tidak akan main-mainkan perasaan sendiri. Jadi? Tak boleh ke awak beri peluang pada saya? Saya faham ... terlalu awal. Tetapi saya tak boleh tunggu. Saya nak bercinta dengan awak dengan cara halal. Boleh awak beri peluang kedua pada saya? Kita nikah, ya?"

Bertambah merah muka aku. Tidak cukup dia berterus-terang depan ayah, umi dan abang Am, kini dia berani pula berterus-terang depan aku dan Airin. Siap buat luahan perasaan dan pujukan. Hish, si mata sepet ni memang menguji perasaan sungguhlah!

"Awak tak kerja ke hari ni?" Aku membuat lencongan. Malu untuk meneruskan perbincangan berkait dengan perasaan.

"Saya kan nak ke Mesir. Jadi saya sudah letak jawatan. Tempoh hari hanya kerja sementara sahaja. Saya perlukan masa untuk buat persediaan. Dan, kalau awak sudi terima saya, bolehlah ..."

"Zafril. Saya minta maaf. Saya bukan tak nak terima awak. Buat masa ini, saya tak nak jauh dari keluarga. Awak pernah baca diari saya, kan? Dah tahu bagaimana hubungan saya dengan ayah? Dan, sekarang ni saya baru nak bina semula hubungan yang berserakan. Yang saya pernah hilang. Saya ..." Kata-kataku putus.

Zafril terdiam. Tertunduk. Memaparkan kekecewaan yang sedang bersarang di dalam dirinya. Senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya juga hilang. Waktu-waktu inilah aku berani mengangkat muka memandang pada dia. Si mamat sepet yang selamba ajak aku kahwin.

"Saya terima apa yang awak katakan. Cuma ..." Dia menarik nafas dalam dan menghelanya perlahan. " ... saya ada satu soalan. Agak peribadi. Tapi kalau awak sudi jawab dengan jujur, saya akan berpuas hati."

Terpinga-pinga aku. Apalah yang nak ditanya oleh si mamat mata sepet ni.

"Saya ... saya nak tahu tentang hubungan awak dengan Ashfar."

Ah, sudah! Aku hampir terlupa tentang itu. Tentulah si mamat mata sepet ini tahu. Dia dah baca diari aku! Aku telan liur. Kutarik nafas dalam-dalam. Hati dah berdegup kencang. Tentu dia juga ada cerita pada abang Am. Habislah aku ...

"Saya dan dia hanya kawan. Dah tak ada apa-apa hubungan istimewa. Saya dah putus dengan dia sebaik saya masuk ke dunia baru saya."

Dia mengangguk-angguk.

"Aqilah, jika suatu hari dia ingin memiliki awak kembali secara halal, adakah awak akan memilih dia berbanding saya?"

Aku tersenyum.

Dia juga.

"Itu urusan Allah. Saya bukan peramal masa depan."

Bertambah lebar senyumannya.

"Terima kasih sebab jujur dengan saya, Aqilah. Semoga suatu hari nanti kita berjodoh berdua. Doakan saya. Saya nak pergi jauh menuntut ilmu dan mencari rezeki."

"Inshaallah. Saya tak mahu berjanji. Dan, saya harap awak tidak menanti. Apa yang hilang hari ini, belum tentu kita jumpa ia pada hari esok. Jika jumpa, mungkin tidak sama tetapi Allah selalu menjanjikan sesuatu yang lebih baik sebagai gantinya."

Dia tersenyum. Hilang terus mata dia.

"Saya faham. Saya simpan kata-kata Aqilah. Tetapi ingat juga kata-kata saya, jika inginkan sesuatu, doa. Letak harapan setinggi langit. Percaya yang Allah akan beri jika niat kita murni. Inshaallah, saya tak akan putus berdoa. Aqilah jaga diri. Jaga aurat dan jaga solat. Assalammualaikum."

"Waalaikumsalam."

Aku melihat dia melangkah pergi. Tubuh dan wajah Zafril hilang dari pandangan. Diganti pula wajah Airin yang masam.

"Kenapa?" tanyaku bila dia macam tak berpuas hati.

"Kau ... ish, apalah kau ni Qilah!"

"Apa? Yang kau nak marah-marah aku ni kenapa?"

"Mestilah marah. Satu, sebab kau tak cerita pun dia dah masuk meminang kau. Dua, kenapa kau lepaskan dia?"

"Satu, dia tak masuk meminang lagi Cik Airin oii! Dia hanya berterus-terang tentang hasrat hati dia pada ayah, umi dan abang Am aku. Dua, aku ada alasan aku sendiri. Kalau betul dia jodoh aku, inshaallah kami akan bersatu. Tapi kalau bukan, buatlah macam mana pun ... berjanjilah, bersumpah dengan sepenuh hati pun tetap tidak akan menjadi."

"Bukan sebab Ashfar?"

Aku menggeleng.

"Kau ... boleh pulak tak cair dengan ayat mamat mata sepet tu, kan?" Airin bertanya tiba-tiba selepas diam beberapa saat.

"Kenapa? Kau dah cair ke?"

"Err ... sikit."

Aku ketawa.

"Abang kau ... sama perangai macam si mamat mata sepet tu, tak?" Airin tersenyum sambil merapatkan mukanya ke muka aku.

"Hmm ... sama, kot. Diaorang tu kawan baik dan dah macam kembar. Memang banyak persamaan. Cuma dia tu susah nak senyum. Tak macam si mata sepet ni. Tak lekang dengan senyuman."

"Kau ... tak ada nak jemput aku datang rumah kau ke?" Airin tersengih sambil jarinya sudah mencuit-cuit tangan aku.

"Dah jangan nak menggedik. Abang Am bukan suka."

"Dia suka yang macam mana?"

"Hmm ... entah. Tak tahulah. Dia tu macam tak ada perasaan je."

"Gay? OMG! Biar betul!"

"Wei, janganlah! Abang Am aku tu macho. Dia normal, cuma tak pernah nampak dia teruja dengan perempuan. Tapi tak tahulah. Aku tak pernah nampak dia berdepan dengan perempuan selain daripada aku dan umi."

"Jadi ... apa kata aku jadi perempuan pertama itu?"

"Hmm ... tengoklah. Nanti kalau ada apa-apa majlis, aku jemput kau."

"Hah, macam tulah kawan!" Airin bertepuk tangan.

"Mungkin majlis pertunangan abang Am, ke ... tak pun majlis kahwin dia." Aku menyungging senyum.

"Jahat!" Airin tampar belakang badan aku. Aku mengelak. Lantas ketawa. Airin, Airin. Yang kau berkenan sangat dengan Amsyar ni kenapa? Tengok pun tak pernah. Hmm ...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin