Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
282
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 10

HARI yang baru dengan Nur Aqilah Najwa yang baru. Hari ini aku dibenarkan keluar wad. Aku masih tidak nampak kelibat ayah datang melawat aku sepanjang dua hari aku di dalam wad. Hati sudah mula retak. Aku sebenarnya rindukan ayah. Aku faham tugas ayah, tetapi sedikit sebanyak hati disapa juga dengan rasa kecewa. Retak, walau tidak banyak!

Amsyar dan umi yang menemani aku sepanjang aku terlantar di hospital. Umi datang bawa makanan yang semuanya sedap. Walaupun aku tidak bersembang rancak dengan umi, tetapi aku sudah mula belajar untuk menghormatinya dengan membalas sepatah dua kata setiap kali dia bertanya.

"Qilah, ok ke sup ayam ni? Masin sangat atau tawar?" Umi bertanya pada hari pertama aku di wad dan baru celik mata. Hari yang sama sewaktu Amsyar membawakan aku tudung labuh untuk kupakai.

"Ok," balas aku sepatah sambil menghirup sup ayam dengan kentang yang empuk. Aku sebenarnya ingin sekali mengatakan pada umi yang sup ini adalah sup yang paling enak, yang pernah aku makan. Tetapi ego dan rasa malu masih menebal.

Rasanya sudah cukup hanya dengan 'ok' ditambah dengan senyuman. Dan, aku lihat umi pun senang dengan perubahan aku. Senyuman aku menjadi jambatan yang mula menghubungkan aku dengan umi. Umi Amsyar. Bukan umi aku. Aku tidak ada umi. Aku hanya ada mama. Tetapi sama seperti tiada. Mama tidak pernah muncul lagi sejak berpisah dengan ayah. Mama tidak pernah bertanya khabar aku sejak itu walaupun mama tahu aku selalu masuk wad bila menangis berlebihan.

Entahkan mama masih ingat tentang kewujudan aku sebagai seorang anak, entahkan tidak. Dan jika ya, adakah dia masih ingat yang aku ini mudah pengsan? Hospital adalah rumah keduaku? Tidak risaukah mama padaku lagi? Tidak takutkah mama yang dia mungkin tidak akan bertemu dengan aku lagi selamanya?

Hati mula membina rasa dendam. Mungkin mama sudah benar-benar membuang aku. Kalau tidak, mengapa langsung tidak berhubungan? Teknologi semakin canggih. Dunia semakin mengecil. Perhubungan jarak jauh bukan alasan untuk tidak bertanya khabar hatta hanya sebaris 'hai'. Tetapi entah mengapa seakan sukar bagi mama untuk menjejak aku. Begitu juga aku. Hatiku sudah mulai tawar pada seorang wanita bernama mama.

Kereta yang dipandu Amsyar mula memasuki perkarangan rumah. Sejak masuk ke kereta aku memang tidak berbicara dengan keduanya. Aku nampak mata Amsyar sesekali mengerling pada aku dari dalam cermin pandang belakang.

Dan, umi juga sesekali membawa kepalanya ke belakang menjengah aku yang kesunyian. Tetapi aku berpura-pura tidak melihat mereka. Aku masih malu bila mengenangkan sikap aku yang menolak kemesraan dan kebaikan yang ditunjukkan. Aku masih punya curiga bila perkataan 'tiri' itu kukenang-kenangkan.

"Jom, Qilah. Kita masuk ke rumah."

Aku tersentak. Pintu kereta dibuka umi dari luar. Bahuku disentuh lembut sebelum dia menghulur tangan untuk aku berpaut. Dia masih anggap aku ini seorang pesakit yang lemah. Ya, aku sedang lemah. Bukan sebagai pesakit, tetapi seorang muslimah. Aku perlukan sokongan dan orang untuk menjadi tempat rujukan. Dan, aku rasa ... umi adalah antara orangnya, selain Ashikin.

Amsyar menanti di tepi kereta. Menunggu sehingga kakiku mencecah lantai dan berjalan di sebelah umi. Dia tutupkan pintu kereta yang ternganga dan bunyi alat kawalan jauh kereta ditekan. Berdecit bunyinya.

"Qilah naik atas, mandi-mandi ... nanti umi siapkan minuman petang. Kita minum sama-sama."

Aku merenung ke dalam sepasang mata milik wanita bernama Ameena yang menjadi ibu tiriku ini. Wajahnya lembut, selembut perwatakannya sebagai seorang ibu. Dia melayan aku seperti aku ini anak kandungnya. Anak yang keluar dari rahimnya.

"Boleh saya tolong umi?"

"Err ... Qilah ok ke? Tak nak rehat dulu? Kalau rasa lemah lagi, pergilah rehat. Tak apa. Umi dah biasa buat kerja seorang diri."

Suara risau Ameena menerjah ke rongga telinga. Masuk terus ke hati. Menekan butang rasa terharu. Ya Allah, inikah yang dikatakan nikmat hidup? Bertemu dengan seseorang yang bergelar ibu tetapi bukan yang melahirkan aku? Air jernih di kolam mata kutahan.

Nafas kutarik dalam dan kulepas perlahan dalam diam. Aku cuba mengukir senyum.

"Saya dah sihat."

Dan, aku nampak kening Amsyar bertaut. Dahinya berkerut. Dia masuk mendahului kami dengan beg baju aku yang baru dikeluarkannya dari bonet belakang kereta.

Mata Ameena kulihat bercahaya. Bahuku dipaut lalu kami melangkah masuk terus ke dapur.

***

"APA yang saya boleh tolong?" Tanyaku bila kulihat Ameena sibuk mengeluarkan barang-barang basah dari peti sejuk.

Terhenti pergerakannya. Dia tersenyum memandang pada aku yang masih berdiri di muka pintu. Aku sendiri sebenarnya tidak pasti apa yang boleh kubantu kerana kerja di dapur tidak pernah aku buat.

"Boleh Qilah tolong ambilkan tikar mengkuang di belakang pintu sana dan bentangkan di hadapan kabinet dapur?"

Aku memandang ke arah yang ditunjukkan Ameena. Segulung tikar mengkuang berwarna-warni berdiri tegak, diikat rapi. Aku mengangguk lalu terus bergerak mencapai dan memeluk gulungan tikar. Kubentang di ruang yang ditunjukkan Ameena.

Ameena menghulur beberapa bekas empat segi jernih ke tanganku.

"Duduklah Qilah. Bahan-bahan ni letak atas tikar. Petang ini kita buat popia goreng. Qilah pernah buat popia goreng?"

Aku menggeleng.

"Oh, tak apa. Nanti umi ajarkan." Muka Ameena nampak sedikit terkejut. Tetapi dikawalnya sebaik mungkin. Mungkin tidak mahu aku berkecil hati. Ya, aku tidak pernah langsung cuba memasak makanan sendiri. Hidupku semuanya diurus sama ada oleh orang gaji atau jika memasak pun hanyalah makanan segera.

"Abang pun boleh ajarkan."

Ahmad Amsyar yang tiba-tiba muncul, bersuara. Aku lihat dia tersenyum. Entah ia satu sindiran atau benar-benar ikhlas menunjukkan kemesraaan. Dia terus duduk berhadapan dengan aku. Sebelum itu, sempat dia mencapai dulang dan kain lap yang berlipat di dalam laci di tepi pintu dapur.

"Umi nak buat popia goreng ya?" Tanyanya mesra.

"Yalah, Am. Am dengan Qilah tolong gulung popia, umi nak siapkan kuah pencicahnya."

"Nah." Amsyar hulur pada aku sebahagian kepingan kulit popia. Dan satu sudu kecil juga di hulurkan.

"Ini pinggan untuk alas, dan ini loyang untuk letakkan popia yang sudah siap digulung nanti." Terangnya satu persatu. Aku hanya mengangguk.

"Tengok abang buat." Amsyar mula menarik helaian kulit popia lalu dibentangkan di atas piring rata di hadapannya. Diceduknya sesudu kecil campuran inti popia dari hirisan sengkuang, lobak merah, udang kering dan kacang, lalu diletak di atas bentangan kulit popia. Cekap tangannya melipat dan menggulung kulit popia. Kemas gulungannya. Sedikit cecair likat berwarna putih dilekatkan pada hujung lipatan kulit popia.

Nampak mudah.

"Itu apa?" Tanyaku pada Amsyar. Jariku menunjuk lurus pada cecair likat berwarna putih yang berfungsi melekatkan kulit popia agar gulungannya tidak terbuka.

"Tepung gandum. Bancuh sikit dengan air," balasnya bersahaja.

Aku lihat ibu tiriku yang sedang mengacau kuah pencicah popia menoleh sesekali ke arah kami lalu tersenyum.

"Cubalah ..." Amsyar mengarah padaku. Dia sendiri sudah mula menarik sehelai lagi kulit popia dan diulangnya langkah seperti tadi.

Aku juga cuba menarik helaian kulit popia dari pinggan di hadapanku. Nampak mudah sekali ketika Amsyar menariknya, tetapi kenapa bila aku cuba rasa payah dan ...

Ah, sudah! Kulit popia aku terkoyak. Terbelah dua. Aku jadi serba-salah. Tangan lelaki Amsyar berjadi menariknya tanpa koyak. Elok cantik sahaja. Tetapi kenapa tarikan tangan wanita seperti aku yang sepatutnya lebih lembut jadi sebaliknya? Cepat aku sorokkan yang terkoyak itu.

Aku cuba tarik sehelai lagi. Lebih berhati-hati. Aku lihat popia yang digulung Amsyar sudah bertambah. Cepat betul dia buat. Sudah dapat lima. Sedangkan aku ... satu pun tidak lepas lagi. Nak menarik kulit popia pun masih terkial-kial.

"Ok tak?" Tiba-tiba suara Amsyar membuat aku tersentak. Dia sedang memerhatikan aku yang begitu berhati-hati menarik kulit popia.

"Err ... tak. Tak boleh nak tarik. Lembut sangat." Dan, pada ketika itu aku rasa menyesal memberikan alasan 'lembut sangat.' Amsyar boleh je buat. Lembut pun bukan masalah pada dia, kenapa aku beralasan sedemikan?

"Tak apa. Biar abang tolong sediakan kulit, Qilah tolong masukkan inti dan gulung. Ok?"

Aku mengangguk. Itu lebih baik. Dan, Amsyar mula menarik sehelai demi sehelai kulit popia untuk diserahkan padaku. Mudah sangat nampaknya. Aku menarik nafas. Tidak puas hati dengan kecekapan tangan lelaki Amsyar yang berjaya melakukannya dengan ... sempurna.

Aku mula meletakkan inti popia mengikut sukatan camca. Lalu kugulung sebagaimana yang dilakukan Amsyar tadi. Berhati-hati. Ya, berjaya! Aku tersenyum. Lalu kuangkat popia pertama itu lalu kuletakkan sekali bersama popia Amsyar.

Besar mataku!

Kenapa dia punya cantik dan sama besar? Aku punya? Pendek dan ... comot! Bancuhan tepung yang kucalit sangat tidak kemas. Aku termangu. Rasa sudah hilang rasa teruja untuk meneruskan kerja ini. Aku malu dengan Amsyar.

"Qilah? Kenapa berhenti?" Ditegur Amsyar. Dia sudah berhenti menyediakan kulit popia. Kini tangannya kembali mengisi inti dan menggulung. Banyak yang sudah siap.

"Saya ... tak pandai. Tak jadi sangat." Balas aku teragak-agak. Malu dengan kekurangan diri. Ego yang selama ini meninggi sudah turun berada di hujung jari kaki.

"Ala ... biasalah tu. Abang dulu pun mula-mula buat lagi teruk daripada Qilah. Kalau tak percaya, tanya umi. Habis berterabur isi popia. Tapi abang tak putus asa. Abang buat je. Umi kata tak apa. Tak cantik gulungannya pun asalkan kita mencuba. Lagipun bukan untuk meniaga. Kita-kita sahaja yang akan makan."

"Ya, Qilah." Umi sudah mula duduk di sebelah aku. Api di dapur sudah dimatikan. Sudah siap agaknya kuah pencicah popia, fikirku.

"Abang Am dulu memang tak senonoh gulungannya. Qilah punya lebih cantik lagi. Ada bentuk juga walaupun tidak sama saiz. Dia punya dulu ..." Umi ketawa. Amsyar juga sudah melarik senyum. " ... teruk ya amat. Penyek sana sini. Terburai segala isi."

Aku juga tersenyum. Cerita Amsyar dan umi buat aku rasa lebih selesa. Hilang rasa malu dan janggal. Tidak jadi hendak berhenti membantu. Aku capai sehelai lagi kulit popia kosong lalu kuisi intinya.

Aku nampak Amsyar tersenyum. Umi juga. Kami bersama-sama menyiapkan popia untuk minum petang. Petang yang memberikan aku satu ruang baru di rumah ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin