Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Yen's Love Story
Yen's Love Story
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
6,116
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Tiga mata. Malang sungguh, aku memang dilahirkan bernasib malang. Mansiz tidak berlengah, terus meletakkan buah itu ke angka 30 dengan petak hukuman menantiku.

 Pada petak itu tercatat tulisan berdarah ‘Berikan anak perempuanku patungnya’ disusuli suara tangisan bergema dari sayup-sayup menjadi lebih bingit yang menyakitkan telinga. Mataku bulat memandang Mansiz.

“Anak patungnya?” Mansiz bertanya kepadaku.

Tiba-tiba suara ketukan mengejutkan dari balik dinding, semakin kuat hinggakan dinding kayu di kiriku kelihatan bergegar seakan-akan ada suatu makhluk yang ingin keluar dari situ. Aku berlari ke belakang Mansiz kerana ketakutan akan sesuatu yang dahsyat dari dalam dinding itu. Suara tangisan kanak-kanak bergema lebih kuat dengan jeritan kesakitan yang terlalu meresahkan. Suara jeritan itu bagai sedang diseksa sehingga airmataku bergenang mendengarnya. Dalam ketakutan yang menusuk dadaku aku teringat patung hello kitty dari bilik kedua di dalam almari. Pantas aku berlari, menolak pintu Room 2, membuka pintu almarinya yang hampir reput dan terus menggapai patung Hello Kitty dan bergegas semula ke bilik ketiga. Mansiz menunggu di depan pintu.

“Bagi patung ni…” aku menyuruh Mansiz mengambilnya dari tanganku.

Bunyi ketukan lebih kasar dan kedengaran suatu derakan dan rentapan dari papan-papan dinding itu. Aku mula membayangkan hantu menyeramkan, berkuku panjang dan rambut menghurai keluar merayap menerkamku. “Mansizzz cepat!” desakku dan menolaknya ke depan sikit sementara aku bersembunyi di belakang Mansiz yang teragak-agak meletakkan patung Hello Kitty tadi di tepi dinding yang bergegar kuat. 

Kemudian tiba-tiba senyap, tiada lagi suara tangisan dan jeritan dari dalam bilik itu. Aku menghela nafas lega sambil menutup mulutku memandang Mansiz yang mengangkat ibu jarinya kepadaku.

Aku tersenyum tawar.

Kami kembali semula ke meja dan menyambung permainan. Aku tak sabar mahu menghabiskannya cepat. Aku hampir tak sanggup. Kedinginan terus mencengkam, tapak tanganku macam nak kebas tetapi tidakku pedulikan. Sesekali aku mengerling petak hukuman angka 47 dengan catatan ‘isteriku hendak berjumpa kamu berdua’

Catatan yang terakhir segera mengingatkan aku sewaktu mula-mula kami masuk ke dalam bilik ketiga. Aku berpaling ke belakang melihat frame gambar tadi. Perasaan tertanya-tanyaku terjawab. Aku dah faham, setiap pintu yang kami lalui sebenarnya sebuah rumah yang dihuni oleh empat beranak yang telah mati dan kononnya ada hantu mereka masih berada dalam bilik itu. Tentu keluarga yang sama dalam gambar tadi. Jadi kami perlu menurut segala arahan mereka supaya kami berjaya keluar dari bilik menyeramkan ini yang juga merupakan bilik yang terakhir. 

Mansiz meneruskan giliran, sebelum membaling dadunya dia menoleh kepadaku dan berkata perlahan, “kita kena selesaikan cepat.” 

Aku mengangguk. Kemudian dia mendapat lima mata untuk berada di petak 35. Lawan kami berjaya mengejar kedudukan kami dan berada di petak ke 36. 

Sedikit lagi permainan akan tamat tetapi kami perlu menang. Aku tak tahu apa akan jadi kalau lawan kami yang menang barangkali semua hantunya akan keluar membaham aku dan Mansiz. Begitu dahsyat sekali bayangan yang menjengah benakku. Asyik dengan fikiran ke lain, Mansiz telahpun menggerakkan buah ke petak 45 sementara lawan kami mendapat mata seterusnya dengan buahnya dihukum terlepas satu pusingan kerana masuk ke dalam petak 47.

“Padan muka!” desisku geram sambil melambung dadu dengan harapan aku meraih lebih dari dua mata pun sudah cukup.

Namun sebaik dadu itu berhenti begolek, aku mengeluh dengan bahuku turut melorot lemah. Satu mata sahaja. Petak 46. Boleh tak menangis? Aku rasa betul-betul nak menangis. Bagaimanapun perasaan itu sekelip mata berubah bila aku sedar kami ada satu pusingan lagi. Mansiz akan melambung dadu seterusnya kerana lawan kami ditahan satu pusingan.

“Jangan risau, kita akan dapat lepas petak 47,” dia cuba meyakinkan aku dan terus melambung dadunya ke udara. Mata dan kepala kami berdua serentak bergerak mengikut pergerakan dadu sehingga jatuh. Ia bergolek laju dalam sesaat sebelum lebih perlahan dan akhirnya berhenti… menunjukkan mata.

SATU!

Mansiz kedengaran mengeluh lalu mengangkat kedua belah tangannya dan menyandar belakang kepalanya dengan kedua-dua tangan itu. Riaknya begitu kecewa. Dia menoleh kepadaku seolah-olah ingin meminta maaf. Aku pula merapat ke sebelahnya kerana takut. Sebaik Mansiz meletakkan buah kepunyaan kami ke petak 47. Kedudukan kami kini sama dengan lawan.

Tiba-tiba…begitu jelas, terlalu drastik, tidak dinantikan dan betul-betul di hadapan kami berdua yang belum siap sedia bila sekujur lembaga berambut panjang mengerikan jatuh dari atas siling dengan bunyi guruh dan kilat menyambar dari luar tingkap. Lembaga berupa mayat itu tergantung-gantung dan berayun lemah. Mansiz terundur ke belakang kerana turut terkejut. 

“Arhh…!!” aku melolong sekuat hati dan menangis sebelum Mansiz menarikku ke dalam dakapan, menutup mataku dengan sebelah tangannya. Benarlah ‘isteri lelaki itu mahu bertemu kami berdua’ kenapalah ngeri sangat. Aku langsung…tak sangka, sudah tentu bukan begini, bukan begini keadaannya yang aku bayangkan. 

Rasa gemuruh menyusup ke seluruh tubuhku. Sejuk. Aku macam nak demam.

Ketika Mansiz membebaskan tangannya dari wajahku, mayat tergantung tadi telah menghilang. Entah bagaimana keadaan Gita dan Farhana berhadapan dengan situasi menyeramkan itu, aku saja teringin hendak pengsan dan dibawa keluar. Pedulikanlah dengan kemenangan. Aku tahu kami kalah. Mungkin sudah lebih sejam kami berdua di dalam. Emosi yang meranap hatiku terbawa-bawa dalam kelesuan. Tiba-tiba lenganku dicuit. 

Aku tersentak lagi dan hampir menjerit, Mansiz menyebut namaku perlahan. “Giliran awak Yen.”

Aku melihat ke papan permainan dengan takut-takut. Lawan kami juga hanya mendapat dua mata pada petak ke 49. Kami memerlukan tiga mata untuk menang! Dan dadu itu kerap menjadi batu penghalang. Bayangkan kalau aku dapat enam mata, aduh! Aku tak sanggup bayangkan keadaan seterusnya. Dengan perasaan yang tidak enak, terdesak dan keinginan hendak keluar cepat aku mengambil juga dadu dari tangan Mansiz. Sebelum membaling dadu, aku menarik nafas panjang sambil berdoa ini lambungan dadu yang terakhir.   

“Yen, apa pun keputusannya, awak tak boleh mengalah.” Mansiz terus meniup semangat untuk aku meneruskan permainan. Kedua-dua tangannya memegang bingkai meja dengan airmuka yang tetap tegar tidak mahu mengalah.

Dadu yang kulambung terapung sesaat di udara dan jatuh dalam keadaan dramatik, kalau rancangan itu disiarkan dalam televisyen aku yakin krew editing akan membuatnya dalam bentuk perlahan untuk menambah debaran penonton seperti dadaku yang berdebar dan mula menggigil dalam kedinginan pendingin hawa. Dadu yang kuletakkan setinggi harapan pun berhenti bergolek lalu mendedahkan sejuta kata-kata yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.

TIGA mata.

“Yes!” aku ketawa gembira dan begitu lega.

Begitu juga Mansiz meraikannya dengan menepuk bahuku dengan kemenangan kami dalam permainan dadu. Tiba-tiba sebuah laci dari tepi meja terbuka dengan sendirinya, aku melompat cuba menjauh dan melihat sahaja Mansiz mengeluarkan cawan dan minuman kopi 3 in 1 dari dalam laci tersebut. 

“Awak tahu untuk apa ni?” tanya Mansiz dengan riak tidak percaya.

Aku rasa dia mahu menyebut perkataan mengarut melalui wajahnya yang cemberut. Macam nak gila kami dibuatnya, klunya cuma cawan dan minuman segera tanpa nota arahan.

“Saya tahu untuk apa.” 

Lincah pergerakanku menuju ke dapur masak di mana ada sebuah cerek di atas dapurnya dan juga sejug air yang kubawa dari bilik kedua tadi. Dapur yang terletak berhampiran dengan tingkap belum aku pastikan sangat kepentingannya tetapi ketika aku melihat ke tingkap… dari pandangan luarnya, ada sebuah lagi lukisan dua buah pasu tergeletak cantik di tingkap luar. Aku seperti pernah melihat pasu itu.

“Mansiz, mana lukisan pasu tadi?” aku memanggilnya.

Pantas Mansiz berlari ke bilik kedua dan kembali secepat mungkin lalu menghulurkan kepadaku gambar lukisan pasu, ada tiga pasu semuanya mengikut susunan dari tinggi ke rendah. Bagaimanapun yang di luar tingkap cuma ada dua buah pasu sahaja, bahagian tengahnya kosong.

“Ada pasu yang hilang, mungkin kena lukis semula,” kata Mansiz yakin. “Tapi, markerpen tadi dah hilang.”

“Hilang?” aku turut pelik. Maksudnya ada cara lain hendak melukis pasu itu semula. 

Aku berdiri semula di depan dapur, jari-jariku mengetuk dapur gas dengan nyali yang tidak disengajakan kerana leka berfikir ketika merenung cerek dan sejug air. Juga cawan dan kopi segera. Kemudian aku berpaling pada patung yang terus bergoyang santai di atas kerusi. Tanpa berfikir panjang aku menghidupkan api dapur, menuang sejug air dalam cerek kemudian menjerangnya di atas dapur dengan api yang kuat dan sabar menunggu airnya mendidih. Mansiz hanya memerhatikan kerjaku.

Sebaik mendidih, bunyi bingit dari cerek dengan wap tebal merebak ke udara lalu menyebabkan kabus pada keseluruhan tingkap, aku biarkan sahaja cerek itu terus berlagu nyaring disaat fikiranku berubah sepantas wap yang terus merebak. Dapur aku matikan dan seperti kanak-kanak yang selalu teruja dengan kaca yang berkabus disebabkan oleh wap aku pun melukis gambar pasu dengan jari telunjukku sama seperti saiz dalam lukisan tadi. Lukisan tangan yang teruk seperti tulisan cakar ayamku… tapi membuatku tenang melihatnya sejenak…. sebelum sekilas bayang hitam menerjah tingkap.

“Arhhhhh!” jeritku kuat.

Satu lembaga hitam muncul mengejut di luar tingkap, aku hampir terpelanting dibuatnya mujur Mansiz sempat menahanku dari belakang. Oh Tuhan, jantungku bagai diserang bertubi-tubi. Lagu lullaby kembali dimainkan. Patung yang duduk itu tiba-tiba bergegar kuat, menambah suasana lebih suspen, lembaga hitam yang berdiri di tingkap tadi menghilang. Dalam ketakutan dan terdesak aku cepat-cepat mengoyak minuman kopi segera dan terus menuang ke dalam gelas lalu mengisi air panas ke dalamnya. Dengan tangan terketar-ketar aku menghulurkan secawan kopi kepada patung hidup itu. 

Kemudian cepat-cepat aku berselindung di belakang Mansiz yang mahu kujadikan penghadang.  Patung hodoh itupun berdiri selepas minum kopi. Bagai situasi yang dipenuh kegilaan, hantu bodoh yang bersembunyi di mana-mana menyergah ketakutan, menyirap urat darah dingin dan meresahkan aku melihat patung itu bergerak, berjalan terhuyung-hayang ke pintu yang tertulis END. Perutku memulas tidak selesa tetapi berasa lega bila dia membuka pintu menyuruh kami keluar. 

Tanpa mempedulikan Mansiz di belakangku, aku berlari keluar. Nafasku yang tersekat beberapa minit yang lalu bagai mendapat bekalan oksigen yang mencukupi sebaik aku memandang peserta lain menyambut ketibaan kami kerana berjaya keluar. Kakiku sepantasnya menjadi lemah dan terus melorot ke lantai. Krew kamera yang merakam keadaan tidakku pedulikan, aku mahu berehat di lantai itu menikmati betapa indahnya kehidupan di luar.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann