Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
10,547
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

SUASANA di rumah itu lebih sunyi berbanding hari sebelumnya. Penghuninya sibuk dengan hal masing-masing. Megdelina melayan perasaan di dalam biliknya. Dengan sebuah almari dua pintu dan katil bujang, bilik itu sudah cukup selesa untuknya.

Sambil meniarap di atas katil bujang, dia menonton YouTube berkenaan kolam hiasan. Kakinya yang senang menyabung digoyang ke kiri dan kanan. Tangannya sibuk menulis di atas nota beberapa tip penting yang dipelajari dari video yang dimuat naik ke YouTube itu. Itulah kerja yang dilakukannya sejak petang tadi dan selepas maghrib dia menyambung semula menonton beberapa klip video yang berlainan.

Manakala di ruang tamu, Roza bersandar di sofa sambil sebelah tangan memegang telefon bimbit dan sebelah lagi memintal-mintal hujung rambutnya yang ikal mayang. Begitu asyik berbual dengan tunangannya yang jarang bersua kerana terlalu sibuk dengan pengambaran.

Sementara Netty pula resah ke hulu dan ke hilir. Rambutnya yang pendek paras bahu tersisir rapi. Tubuhnya wangi disimbah bedak talkum Johnson’s Baby. Dadanya berdebar-debar menanti seseorang.

Akhirnya jam sudah pun 8.30 malam, kedengaran suara orang memberi salam. Dia pantas menerjah ke pintu.

“Waalaikumussalam!” Dia menyambut ceria.

Jejaka itu terkejut bila pintu terbuka dengan begitu pantas. “Cepat awak buka pintu?”

Matanya segera dilarikan sedikit agar tidak begitu tertumpu pada Netty yang tidak berhijab. Janggal dirasakannya untuk melihat wanita yang asalkanya berhijab namun pada malam itu sebaliknya.

Netty tersenyum manis merenung pemuda yang berwajah bersih dengan rambut yang basah disuak ke belakang. Santai dengan baju teluk belanga dan kain pelikat. Hatinya berdegup pantas mengagumi kesempurnaan ciptaan Ilahi di depan matanya.

“Dah agak dah awak mesti datang. Pagi tadi awak kan dah janji nak masak untuk makan malam?”

Syafil pantas mengangguk. “Orang bersalah, mestilah kena denda, kan?

Pantas Netty menyahut mesra. “Memang pun. Denda tiap-tiap hari kena hantar makan malam!”

“Aduh, matilah saya!” balas Syafil tertawa sebelum segera bertanya. “Err....Megdelina ada?”

Senyuman Netty terus tawar lalu menjawab dingin. “Entah... ada kut kat dalam bilik. Nak panggil ke?”

“Tak apalah. Ni éclairs yang dia pesan hari tu. Tolong bagi dia ya?” ujar Syafil seraya menghulurkan satu kotak berwarna merah jambu kepada Netty sebelum menghulurkan satu lagi bekas. “Err... untuk awak semua ni ada nasi ayam!”

“Oh, ada juga untuk saya. Ingatkan untuk Meg seorang aje tadi,” ujar Netty sekadar menguji.

“Eh, taklah. Saya dah janji, mestilah saya tunaikan.”

“Manalah tahu… awak terlupa ke... tapi kalau dengan Megdelina awak mesti tak pernah lupa, kan?”

Syafil tersenyum kelat. Dia terasa yang Netty sengaja menyindirnya. Memang dia sukakan Megdelina tetapi dia tidaklah terlalu terdesak hingga sengaja mengumpan cintanya melalui makanan. Lagipun hubungan mereka masih terlalu awal untuk difikirkan secara serius.

“Nasi ayam tu lebih shooting tadi. Tak tahulah sedap ke tidak. Cubalah rasa. Kalau ada nak komen apa-apa, lagi bagus. Saya suka orang yang berterus terang.”

Gadis itu tersenyum sinis. “Saya pun sama, tak suka berselindung. Terima kasih ya nasi ayam ni.”

Syafil mengangguk lalu memberi salam sebelum berpaling tetapi langkahnya terhenti. Dia kembali memandang Netty. “Pasal baju awak yang rosak tu, cakap saja berapa, saya sanggup bayar. Campur sekali tambang teksi tengah hari tadi.”

“Syy…” Netty segera mengangkat jarinya ke bibir sambil menjenguk ke arah Roza yang masih lagi bergayut di telefon. “Pasal baju tu jangan beritahu sesiapa. Nanti awak ikut saya ke Jakel. Kita cari kain yang sama tapi awak bayar.”

“Kenapa saya kena pergi sekali? Bayar terus tak boleh ke?” soal Syafil mula rasa terperangkap.

“Tak boleh… saya takut awak tak percaya nanti harganya. Lebih baik awak bayar sendiri. Esok pukul sebelas awak bawa saya ke Jakel.”

Syafil mengangguk perlahan. Biarpun keliru tetapi dia tidak mahu berbantah lagi. Baginya hutang perlu dilangsaikan segera. Jika itu cara penyelesaian yang terbaik dia akur.

“Esok awak tak sekolah ke?” soal Syafil dalam fikiran yang masih galau.

“Esok kan Sabtu? Takkan hari pun dah tak ingat kut?”

“Oh ya lupa pula saya,” balas Syafil sambil menepuk dahi. Dia memang lupa tentang itu. “Okeylah saya balik dulu.” Dia terus mengatur langkah menuju ke rumahnya.

Netty meleretkan senyuman sebelum menutup pintu dan menuju ke dapur. Kotak yang mengandungi éclairs dan bekas nasi ayam diletakkan di atas meja. Pantas tangannya menyusun pinggan dan menyediakan hidangan sebelum melaungkan nama Megdelina dan Roza agar makan sekali.

Roza yang baru selesai bergayut di telefon segera menuju ke arah meja makan. Hidungnya kembang kempis menghidu bau. “Wah, nasi ayam! Sedapnya…”

“Bertuah kan kita dapat berjiran dengan orang yang rajin macam ni?” ujar Netty.

“Lagi bertuah kalau dapat kahwin dengan dia!” tambah Roza diiringi dengan tawa nakal. Matanya tertancap pada kotak empat segi di atas meja. “Ni kotak apa?”

“Meg tempah éclairs. Syafil hantar dengan nasi ayam tadi,” balas Netty perlahan sambil menghirup sup yang masih berwap. Lega hatinya kerana Roza tidak mendengar butir bicaranya dengan Syafil di muka pintu tadi.

Pantas Roza membuka kotak tersebut dan matanya bulat memandang puff bersaiz oblong berinti kastad vanila manis dengan lingkaran coklat di atasnya. Nampak sungguh menyelerakan. Roza menelan air liur.

“Meg! Marilah makan. Abang kau hantar nasi ayam ni! Kau punya éclairs pun ada!” laung Roza dengan nada bersahaja sambil mengerling ke arah Netty.

Kata-kata itu memang benar-benar menusuk gegendang telinga Netty hingga menembusi jantung. Hatinya bagaikan dihiris-hiris sembilu. Pedih! Nyilu!

Seketika, Megdelina muncul. Dia cuba berhati-hati. Tidak mahu tersilap kata kerana takut Netty akan berkecil hati. Kejadian Netty mengamuk marahkan dia terlanggar Syafil dulu benar-benarnya membuatkan dia trauma dengan reaksi Netty.

“Err... éclairs tu kalau kau nak makan ambillah sikit. Aku nak bawa ke nurseri esok. Ada birthday staf kat situ,” kata Megdelina dengan suara mendatar.

“Terima kasih, aku ambil satu ya?” ujar Roza sambil mencapai sebiji puff berbentuk bujur itu lalu dikunyahnya dengan penuh berselera. “Nasi ayam ni kau tak nak ke?”

“Tak naklah, aku kenyang,” balas Megdelina sambil menahan selera.

“Huh… kenyang konon. Bukan ke selalunya kau orang pertama yang akan belasah dulu apa sahaja yang Syafil hantar?” kata Roza dengan mulut sebu, penuh dengan kuih Inggeris yang lembut dan kekuning-kuningan itu.

Bulat mata Megdelina memandang Roza lalu tangannya pantas mencubit paha gadis kecil molek itu. Namun, tindakannya sedikit pun tidak membantutkan usikan Roza sebaliknya semakin galak.

“Aku rasa memang baik kau layan aje si Syafil tu. Kau untung, kami pun untung juga.”

“Hish, sudahlah! Kau ni tak habis-habis nak kenakan aku. Mana tahu sebenarnya dia syok kat Netty ke?” Megdelina segera menyangkal. Dia tidak suka Roza menggiatnya dengan Syafil di depan Netty.

Roza terdiam. Dia memandang Megdelina dan kemudian Netty yang sedang memuncung pura-pura tidak mengendahkan perbualan mereka. Adakah Megdelina sudah tahu? Kemudian matanya kembali pada Megdelina untuk mendapatkan kepastian.

Tanpa mengetahui apa yang berada di dalam benak Roza, Megdelina mengangguk lalu memberi isyarat mata pada Roza agar menarik perhatian Netty.

Roza bijak menduga lalu menyinggung lengan Netty. “Kalau Meg tak nak, kau ajelah usyar dia! Manalah tahu terbuka hati dia suka pada kau.”

Kata-kata Roza telah berjaya mencuit hati Netty. “Kenapa? Kau ingat aku tak mampu nak pikat dia? Aku ni buruk sangat ke?” sinisnya.

Kedua-dua temannya terkejut. Roza mula panas hati lalu segera membalas, “Eh, aku tak cakap okey. Kau yang cakap sendiri!”

“Roza!” Pantas Megdelina menegur sikap rakannya itu yang segaja mahu membakar perasaan Netty.

“Netty, kau pun suka masak, kan? Cubalah kau masakkan untuk dia pula! Mesti dia suka. Orang kata kalau nak memikat hati lelaki, kenalah masak untuk dia,” cadang Megdelina lalu menghirup sup ke mulutnya.

Roza terus tergelak. Pantas dia mendapat idea nakal. “Hmm… bagus juga. Tapi pada firasat akulah… lebih baik kalau kau orang bermadu. Kalau Meg tak ada, Netty ada. Jadi hari-hari dia kena hantar makanan. Hari-hari aku dapat tumpang makan free.”

Netty menceber.

Megdelina segera mencubit paha Roza. “Amboi, sedapnya mulut kau bercakap. Nasiblah kau dah bertunang. Kalau tidak dengan kau sekali boleh jadi ahli kelab madu tiga!”

“Netty tak suka aku jadi madu dia tapi kalau kau mesti dia sanggup pinangkan.” Roza makin galak mengusik.

“Kau ni kenapa? Dah sewel ke?!” Netty menempelak dengan wajah merah memandang Roza. Sejak tadi dia memang bengang dengan rakannya itu.

Tanpa mempedulikan kemarahan Netty, Roza terus menyanyi dengan meniru gaya nyanyian P Ramlee. “Hai senangnya dalam hati... bila beristeri dua...”

Netty terus bangun. Merah padam mukanya menahan rasa bengang kerana dipersendakan sebegitu. “Eh, tak mainlah kongsi laki. Tak tahulah aku kalau ada yang dah kemaruk sangat nak berlaki!” Dia menempelak.

Roza pantas menjeling Netty. “Alah, gurau aje kut.”

“Bergurau? Jangan main-mainlah pasal benda macam ni. Nanti jadi betul-betul, baru padan muka kau orang!” tempelak Netty lagi.

“Hmm… sudahlah tu. Jangan ambil hati. Maafkan kami. Duduklah balik. Tak baik tinggalkan makanan dalam pinggan.” Megdelina segera mencelah untuk meredakan keadaan.

“Huh, bosannya! Semua benda nak ambil serius. Formal sangat, tahulah kau tu cikgu,” celah Roza masih belum berpuas hati.

Roza! Stop it, okay? Betullah apa yang Netty cakap. Kata-kata itu kan doa?” Megdelina berusaha mematikan rasa kurang senang rakan-rakannya. Serta-merta keadaan jadi sepi hingga ketikan jarum saat pada jam dinding boleh didengari oleh mereka.

Seketika kemudian Netty yang sudah duduk semula terus bersuara dengan nada bergetar, “Bagilah aku peluang pikat Syafil. Aku memang suka dia sebab dia pandai masak. Meg, kau cantik, senang nak cari lelaki. Syafil tu kau bagi aku ya?”

Megdelina terus ketawa mengilai sebelum bersuara dengan nada gurauan. “Aku tak ada hal tapi tak tahulah kalau Roza ni. Takut dalam diam, dia pun ada hati kat Syafil?”

“Amboi, tak sayang mulut! Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” balas Roza sambil mencebir, cuba menyorok rasa lucu di hatinya. Hakikatnya dia berasa sangat lega apabila mendengar pengakuan daripada Megdelina.

Dia mahu memastikan sama ada benar Megdelina tidak ada hati pada Syafil kerana adegan Syafil menghantar Netty ke sekolah tempoh hari benar-benar merisaukannya. Dia tidak mahu Megdelina kecewa kerana dipermainkan oleh lelaki. Bahkan dia tidak mahu melihat rakan-rakan serumahnya bercakaran kerana berebutkan lelaki.

“Betullah. Berapa kali aku nak cakap yang aku memang tak ada hati kat dia,” ujar Megdelina spontan.

Usai mendengar luahan ikhlas rakannya itu, Netty terus tunduk berteleku. Dia tidak pernah menyukai lelaki seperti dia menyukai Syafil. Jadi, sebelum Syafil terlepas ke tangan orang lain, lebih baik dia berterus terang. Dia tidak mahu menggigit jari. Itulah prinsipnya.

“Kau orang kena tolong aku usyar Syafil tu, ya?” rayunya dengan mata bercahaya penuh mengharap tatkala memandang kedua-dua sahabatnya.

Roza dan Megdelina terpempan lalu saling berpandangan sebelum menjerit hampir serentak. “Kau serius ke Netty?!”

Netty pantas mengangguk. “Mestilah serius. Takkan nak main-main pula? Aku suka dia. Aku nak dia jadi suami aku!”

Megdelina melepaskan keluhan. Berat masalah kawannya itu, fikirnya sendiri. Risau hatinya kalau cinta Netty tidak berbalas yang akhirnya akan menyebabkan rasa kecewa yang bukan sedikit. Dia memandang Netty penuh simpati. Bukan dia tidak yakin tapi dia tahu Syafil tidak mungkin berminat pada Netty. Dia faham cita rasa Syafil. Apatah lagi cinta tak boleh dipaksa. Cinta perlu datang sendiri.

Sempat dia mengerling ke arah Roza yang merah muka menahan lucu. Dia tahu yang Roza sendiri tidak yakin Netty akan dapat mempersuamikan Syafil. Namun, jauh di sudut hatinya, dia tetap berdoa semoga Netty akan berjaya. Atau yang lebih baik daripada Syafil.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh