Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
19,892
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

EMBUN turun membasahi bumi pada dinihari itu. Sekujur tubuh bergelut di atas katil antara kesejukan natural dengan kebekuan penghawa dingin. Tidurnya resah. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Tiba-tiba dia tersentak lalu terjaga dari tidur. Dia duduk di birai katil. Memandang jam dinding yang jarum pendeknya menunjukkan pukul 3.00 pagi.

“Yusoffe! Kenapa, nak?” sapa wanita separuh abad yang terjengul di muka pintu.

Yusoffe beristighfar. Ah, dia bermimpi tadi dan mimpinya itu bagaikan pernah berlaku dulu. Lantas dia berkata, “Mengigau agaknya, ibu.”

“Sampai menjerit? Dah solat isyak ke? Kalau belum, pergi sembahyang. Kalau sudah, ambil wuduk dan sembahyang sunat dulu. Lepas tu baru tidur semula,” pesan si ibu sebelum menutup semula pintu.

Yusoffe menguap lalu bangkit dan menuju ke bilik air. Dia mendapatkan singki hitam bersegi empat diperbuat daripada batu granit. Kemas rekaannya tanda cita rasa mewah pemilik. Kilatnya silau mata memandang. Dia membasuh muka. Kemudian dia menatap cermin lalu cuba mengingatkan mimpi itu. Tetapi tidak banyak yang melekat. Fikirannya terimbau satu peristiwa ngeri sewaktu dia kecil dulu. Cuma dia nampak sekujur tangan tergapai-gapai meminta tolong daripada kepulan asap yang bukat. Kemudian bayangan itu hilang.

Dia segera mengambil wuduk lalu sembahyang dua rakaat. Dia sudah isyak dalam perjalanan pulang ke rumah tadi. Kebetulan dia lalu di sebuah masjid tatkala azan berkumandang. Jadi, dia terus singgah.

Selesai solat, dia ke meja kerjanya. Dia membuka laptop. Dia mula menaip. Mula-mula perlahan tetapi lama-kelamaan pantas. Ideanya sedang datang mencurah-curah. Dia cuba membuat sinopsis cerita yang ada kaitan dengan mimpi itu.

Seorang lelaki dan dua kanak-kanak di depan sebuah rumah yang sedang terbakar. Terdengar suara jeritan wanita dari dalam kepulan asap. Kelihatan dua tangan terkapai-kapai meminta tolong tetapi tiada siapa pun yang berani membantu. Sekelip mata, rumah itu ranap menjadi abu bersama sekujur tubuh seorang wanita yang tidak dapat diselamatkan.

Jari-jemari Yusoffe terhenti. Dia merenung skrin komputer. Setahunya dia jarang bermimpi apatah lagi mimpikan peristiwa yang mirip peristiwa lalu. Dalam minggu ini sahaja sudah dua kali dia bermimpi sebegitu. Tengkuknya digaru. Berfikir-fikir mengapa mimpi yang sama mengganggu dirinya. Apa petunjuk yang hendak diberi?

Dia mencongak-congak di minda. Dia melarikan mata lalu terpandang pokok lidah jin di atas meja sisi katil. Senyuman terus terukir kerana yang dilihatnya bukan pokok tetapi si gadis penjual pokok itu - Megdelina. Cuma sayang dia sudah terlambat. Terpandang pula wajah lelaki yang mesra di sisi gadis itu. Dia melepaskan keluhan berat.

Matanya ditumpukan semula pada skrin komputer. Kalaulah Megdelina yang berada di dalam kebakaran tersebut, tentu dia akan segera pergi menyelamatkannya. Dia cuba menyambung cerita tersebut dengan memasukkan watak Megdelina di dalamnya. Mana tahu kalau ceritanya bagus boleh dijadikan telemovie untuk diterbitkan di stesen televisyen.

Selain mengarah drama, dia boleh menulis skrip dengan baik. Cuma untuk lebih fokus biasanya, dia tidak akan menulis skrip ceritanya. Dia lebih suka menyerahkan tugas itu kepada penulis skrip supaya idea yang lebih mantap dapat dihasilkan dan yang paling penting bukan syok sendiri.

Siap satu muka proposal, dia menggeliat. Jam sudah 5.30 pagi. Pantas dia mencapai tuala lalu masuk ke bilik mandi. Dia mahu menjadi orang terawal ke masjid untuk solat subuh hari ini. Membantu membuka kipas dan lampu merupakan tugas yang amat digemarinya sejak kecil. Kadang-kadang dia disergah imam yang sengaja mahu berseloroh dengannya. Mungkin sifat rajin dan berani itu telah membina jati dirinya kini. Dia tidak pernah culas dalam tugas mahu pun solatnya.

Sayangnya, kini kerana kesibukan tugas dia jarang dapat bangun awal untuk berjemaah di masjid lantaran sering tidur lambat. Biasanya jam 6.30 pagi baru dia bangkit dan subuhnya hanya sempat di rumah. Tetapi subuh ini entah kenapa jiwanya berkobar-kobar. Langsung tidak dilayan perasaan mengantuk dan letih. Pantas sahaja dia bersiap.

Jubah putih disarung ke tubuh. Haruman daripada Al-Quds dicalit ke tubuhnya. Serta-merta bau ‘malaikat subuh’ menerpa ke hidung. Rambut disisir rapi dan kopiah kelabu disungkup ke kepala. Kain serban diselempang merentasi bahu kiri dan kanan. Lagaknya mengalahkan imam Masjidil Haram.

Matanya memandang ke cermin lalu menjongket bahu kiri dan kanan. Dia berkerising. Malu untuk tampil dengan gaya lengkap Arab. Lalu dicapai kain serban dan disimpan semula ke dalam almari. Cukup jubah polos dan kopiah sahaja. Seterusnya, dia mencapai kunci kereta lalu turun. Dia nampak bilik ibunya terang tetapi sengaja dia tidak menyapa. Lalu dia terus membuka pintu pagar.

Saat itu, seseorang sedang melintas di depan rumahnya. Lelaki itu berpaling lalu tersenyum dan memberi salam.

Yusoffe membalas salam itu. Lelaki itu terus menghampirinya.

“Lama tak nampak Yusoffe. Sibuk ke?” sapa lelaki itu yang dikenali sebagai Datuk Nazim Al-Bajuri sebaik Yusoffe menghulurkan salam.

“Macam tulah, pak cik. Hari ni ada lega sikit,” balas Yusoffe.

Lantas mereka berjalan beriringan menuju ke masjid. Kemunculan lelaki itu menyebabkan Yusoffe terpaksa membenamkan sahaja hasratnya untuk berkereta. Datuk Nizam memang gemar berjalan kaki biarpun jarak masjid sekitar 200 meter dari situ. Lebih sihat dan afdal berjalan kaki katanya.

“Hidup kita ni jangan terlalu sibukkan hal dunia. Sedangkan akhirat itu yang pasti. Kenalah kita jaga ibadah kita,” ujar Datuk Nazim sambil melangkah deras. Lagaknya seperti askar hendak melangkah ke medan perang.

“Insya-ALLAH. Setakat ni saya tak abaikan tanggungjawab saya,” balas Yusoffe sedikit lelah. Dia memang jarang berjalan kaki pada jarak yang agak jauh.

“Itu fardu ain. Fardu kifayahnya bagaimana? Tanggungjawab pada masyarakat pun perlu kita ambil berat,” kata Datuk Nizam lagi. Lelaki ini bukan calang-calang orang. Selain menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kayangan, dia merupakan pengerusi sebuah syarikat telco terkemuka di Malaysia.

Bukan sahaja kaya-raya tetapi warak dan dermawan. Malah sangat merendah diri dalam percakapannya. Masih tegap dan segak walaupun sudah berusia 65 tahun. Sangat gemar berbicara panjang dengan Yusoffe jika mendapat peluang. Kadang-kala berjam-jam lamanya.

Namun bukan itu yang menjadi masalah pada Yusoffe. Ada satu sebab yang lebih besar yang membuatkan Yusoffe sering mengelak.

“Gotong-royong di masjid nanti saya datang, insya-ALLAH,” balasnya. Kebetulan dia teringat ibunya bercerita tentang acara tersebut sewaktu minum pagi semalam.

“Baguslah tu. Aziyana pun ada balik. Nanti lepas gotong-royong, datanglah ke rumah.”

Entah kenapa tiba-tiba Yusoffe terus terbatuk tatkala terdengar nama perempuan yang disebut oleh Datuk Nizam.

“Saya dengar Aziyana nak bertunang. Betul ke, pak cik?”

Giliran Datuk Nizam pula yang terbatuk. Kakinya terhenti dan dia seolah-olah berfikir seketika sebelum menyambung langkahnya, “Mana kamu tahu?”

“Mak Cik Dila yang beritahu ibu,” jawab Yusoffe dalam nada yang senang.

Datuk Nizam mengangguk berat. Wajahnya muram. Jelas dia tidak gembira dengan perkembangan itu. Langkahnya makin deras. Langsung tidak berbual lagi seperti tadi. Terkial-kial Yusoffe memanjangkan langkahnya mengekori lelaki yang tinggi lampai itu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh