Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Salju Cinta Anna
Salju Cinta Anna
Aida Adriani
12/6/2015 21:33:44
6,428
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3
Hud senyum saja mendengar cadangan mudah Taufiq itu. Ah, Taufiq! Dia ingat nak jatuh cinta seperti nak pilih bunga di kedai ke? Tidak terlintas di fikiran untuk jatuh cinta dengan si gadis berambut perang, apatah lagi untuk memilikinya sebagai isteri. Lainlah Taufiq yang sedari awal sudah mula memasang angan hendak beristerikan gadis bermata biru.

“Kamu tak suka gadis Finland yang berambut perang itu? Mereka persis boneka hidup yang jelita,” sambung Taufiq lagi tanpa menunggu Hud membalas.

Sekali lagi Hud tersenyum. Memanglah tidak dinafikan gadis-gadis Finland tidak ubah seperti patung, bertubuh langsing dengan hidung mancung terbentuk, ditambah lagi dengan kulitnya yang putih melepak. Subhanallah, Maha Suci TUHAN yang menjadikan makhluk-NYA indah-indah belaka!

“Wanita adalah makhluk cantik ciptaan TUHAN yang patut kita hargai. Aku tak nafikan gadis Finn cantik-cantik tapi gadis bermata biru dan berambut perang macam tu tak pernah tersenarai dalam gadis idaman aku, Fiq. Aku lebih suka gadis timur yang lemah lembut dan menghormati aku sebagai seorang lelaki atau lebih tepat sebagai suami. Kau pun tahu, wanita barat tak sudah-sudah memperjuangkan persamaan hak dengan lelaki. Mereka mahu lebih dalam segala hal. Aku tak suka wanita yang bersifat menentang dan memerintah.”

Waduh! Waduh! Kata-kata kamu itu bisa mencetus perang dengan gadis-gadis di sini! Aku kira, kamu perlu lebih fleksibel dalam soal memilih calon isteri kerana perempuan mempunyai sifat yang sangat unik. Dia mungkin seorang yang keras atau tegas, namun kamu harus tahu dia juga punya sifat manja dan ingin dilindungi. Seharusnya kamu lebih romantik dan melindungi, bukan autokratik, Hud! Mereka hanya mahu disayangi.”

Hud ketawa besar mendengar komen Taufiq. Dia akui, dia bukanlah seorang yang romantik tetapi bukan pula autokratik. Yang pasti, dia mempunyai sifat pelindung dan penyayang. Sudah cukuplah kriteria untuk seorang perempuan, kan? Ah, macam bagus! Hud tersenyum dalam menilai diri sendiri.

“Aku bukanlah autokratik seperti yang kau fikir. Aku cuma tak suka perempuan yang bersifat memerintah dan pantang benar kalau yang suka melawan dan menengking. Mungkin benar kata kau, dalam ketegasan seorang wanita, terselit kelembutan dan sifat manja. Kerana itu adalah fitrah semula jadi mereka. Cuma, gadis barat ini kadangkala tak dapat terima hakikat bahawa lelaki adalah ketua keluarga, tidak seperti gadis timur. Gadis bangsa kita masih ada sifat tunduk dan patuh.”

“Semoga, kamu bertemu dengan gadis idamanmu, Hud! Tapi, kamu jangan terlalu yakin dehkamu takkan jatuh cinta sama gadis Finn! Mungkin kamu akan bertemu dengan gadis di sini yang mempunyai ciri-ciri pilihan hati. Dalam seratus, mungkin ada satu permata yang kamu cari. Cinta itu anugerah, yang dititipkan ALLAH ke dalam hati kita. Bila mana ALLAH meletakkan rasa cinta itu pada hati, maka kita tidak mampu mengalihnya walau satu milimeter. Begitu juga sebaliknya.” Panjang lebar Taufiq berhujah.

“Ya, aku tahu... takdir TUHAN tiada siapa yang boleh melawan. Jodoh itu ketentuan DIA. Kalau ditakdirkan ALLAH letakkan rasa cinta aku pada gadis Finland, aku tak dapat hendak menolak. Tapi, rasanya tak mungkin aku jatuh cinta pada mana-mana anak mat salih atau sesiapa saja dalam masa terdekat ni. Aku dah serik, Fiq! Susah aku nak pulihkan kepercayaanku pada perempuan,” balas Hud yang masih terasa-rasa keperitan apabila dikhianati.

“Aku mengerti perasaan kamu apabila gadis yang dicintai meninggalkan kamu dan menikah dengan lelaki lain. Tapi tak guna kau fikirkan semua tu.”

“Aku dah terima hakikat tu, Fiq. Tapi nak kembali mencari cinta, mungkin susah sikit. Bukan sekejap aku kenal dia. Empat tahun, Fiq! Tapi sekelip mata saja dia musnahkan kepercayaan dan kesetiaan aku.”

Sepi seketika. Taufiq membiarkan Hud melayan perasaannya. “Siapa tahu, suatu hari nanti dia jadi milik kau semula,” ujar Taufiq seketika kemudian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aida Adriani