Home Novel Cinta Salju Cinta Anna
Salju Cinta Anna
Aida Adriani
12/6/2015 21:33:44
17,971
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

KETIKA Anna mendaki jalan ke Kampus Kumpula pagi itu, terlihat kuntuman crocus ungu muncul di celah-celah salji yang mula mencair. Kembang crocus menandakan musim bunga sudah tiba dan musim salji sedang mengucapkan selamat tinggal. Helsinki yang diselimuti salji lebih empat bulan yang lalu akan kembali ceria dengan warna-warni bunga yang berkembangan.

Hatinya juga bak kembang crocus, mekar dan segar. Berita yang diterima seawal pagi daripada Mikael itu benar-benar membuatkan dia tersenyum bahagia. Hujung minggu nanti Mikael akan mengadakan persembahan sempena pelancaran album solo pertamanya. Dan yang paling menggembirakan, dia dijemput meraikan majlis itu sebagai tetamu istimewa!

Bertahun dia dan Mikael menunggu saat-saat bahagia itu. Bertahun mereka berusaha gigih untuk merealisasikan impian bersama itu. Persembahan bersempena pelancaran album solonya itu adalah kemuncak segala kegembiraan dan merupakan hadiah istimewa untuk susah payah mereka selama ini.

Ya, kejayaan Mikael adalah kejayannya juga! Dia tidak pernah berputus asa bagi memastikan Mikael dapat menghasilkan sebuah album solo kerana itulah cita-cita Mikael selama ini. Dan dia sangat berbangga kerana hasil usaha mereka selama beberapa tahun itu tidak berakhir dengan kekecewaan.

Moi! Huomenta...” ucapnya ceria.

Tuija dan Jenni yang sudah menunggu di bilik rehat mahasiswa itu berpaling sambil membalas ucapan selamat pagi itu. Mereka sedang membuat ulang kaji sementara menunggu kuliah pertama pada pagi itu yang akan bermula setengah jam lagi.

“Hai, Anna! Berseri-seri hari ni. Macam ada sesuatu yang menggembirakan. Tentu ada yang kau nak kongsi dengan kami, kan?” sapa Tuija yang sedang menulis sesuatu pada buku notanya.

Tanpa menjawab pertanyaan Tuija, Anna melabuhkan pungung di sisi sahabatnya itu. Jenni yang sedang menyiapkan tugasan tutorial tidak jauh dari situ mengangkat kepala, turut tertarik dengan kehadiran Anna yang kelihatan sudah tidak sabar-sabar hendak berkongsi cerita.

“Cuba tengok ni. Kau orang tentu gembira!” Anna menghulurkan telefonnya kepada Tuija. Mesej Mikael tertera di skrin.

Jenni yang mendengar kata-kata Anna, terus bangun dan segera menghampiri mereka. Mana boleh dia ketinggalan dengan cerita-cerita sensasi begitu. Apa saja cerita, baik suka mahupun duka pastinya mereka akan kongsikan bersama. Mereka bersahabat sejak di bangku sekolah lagi. Jadi, hubungan mereka tidak ubah seperti adik-beradik.

“Wow, pelancaran album Mikael! Dan kita jadi tetamu istimewa! Oh, seronoknya!” jerit Tuija sambil bertepuk tangan selepas membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Mikael kepada Anna. Dia yang berketurunan Rusia begitu fasih berbahasa Finland kerana sejak dilahirkan sudah menetap dan menjadi warganegara Finland.

Mujurlah hanya mereka bertiga sahaja yang berada dalam bilik itu. Kalau tidak, pasti mereka telah mengganggu pelajar lain.

“Eh, macam tak percayalah!” ujar Jenni.

“Ismo dan Federik pun dijemput. Aku dah tak sabar nak pergi. Kita mesti cari baju yang sesuai untuk malam istimewa tu!” sambung Jenni yang sangat meminati fesyen dan amat mengambil berat tentang penampilan diri. Rambutnya yang perang dan panjang sampai ke pinggang itu sering saja bertukar fesyen. Dia bercita-cita untuk terkenal sebagai model antarabangsa suatu hari nanti. Kerana minatnya itu, Jenni sering menjadi penasihat kepada teman-temannya itu dalam berpakaian dan penjagaan kecantikan.

Suatu ketika dahulu, rambutnya dikerintingkan dan pernah juga diwarnakan merah. Pendek kata, macam-macam fesyen dan warna rambut yang pernah dibuat dan dicuba. Belum lagi cerita tentang pakaian, beg tangan dan kasut. Jenni adalah juara fesyen antara mereka bertiga. Pantang ada fesyen terbaharu, pasti dia akan mendapatkannya. Di rumahnya, ada empat buah almari penuh dengan segala macam pakaian dan aksesori, manakala sebuah almari besar dikhaskan untuk kasutnya sahaja!

Ketiga-tiga gadis Finland yang berambut perang itu mula memasang angan-angan. Anna sedang membayangkan saat-saat Mikael menyanyi sambil melirik mesra padanya. Dia terbuai-buai dengan anganan sendiri. Tuija pula membayangkan saat manis bersama Ismo di pulau tinggalan sejarah itu. Manakala Jenni pula sedang memikirkan baju dan kasut yang akan dikenakan pada malam istimewa itu agar tampil menawan dan bergaya.

“Aku pun dah tak sabar nak tunggu malam minggu nanti. Aku rasa malam tu sangat istimewa dan akan jadi kenangan sepanjang hidup aku. Walaupun majlis tu majlis Mikael dan kejayaan itu adalah kejayaannya, tapi aku anggap majlis tu sebagai meraikan impian kami berdua. Sekurang-kurangnya aku ada menyumbang sesuatu untuk kejayaan Mikael,” kata Anna yang tidak lekang dengan senyuman.

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aida Adriani