Home Cerpen Travelog Tanah Subur Yang Mewangi
Tanah Subur Yang Mewangi
Zaf Zafirah
20/9/2016 12:48:54
5,225
Kategori: Cerpen
Genre: Travelog

Warna-warni, itulah kesimpulan yang bermain di minda tentang sebuah negara bernama Bangladesh! Perasaan itu hanya dirasai ketika saya berada di perkampungan di Rangpur, negeri di utara Bangladesh. Dihiasi tumbuhan yang hijau merimbun, ditambah dengan kawasan sekitar yang bersih, menjadikan suasana begitu damai dan harmoni. Diafragma tenang menghirup dan menghembuskan udara segar. Terpesona saya dengan keindahan alam yang dikurniakan kepada masyarakat Bangladesh di sebalik kesempitan hidup yang dialami.

Saya bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang anggota Misi Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) ke Bangladesh pada pertengahan tahun 2015. Tujuan utama kami ke sana ialah untuk memantau projek “Eye-Sight Rehabilitation” yang dikendalikan oleh Islamic Relief Bangladesh (IRB) dengan kerjasama Deep Eye Care Foundation (DECF). Turut menyertai misi itu adalah wakil daripada Kengkawan Project yang merupakan penyumbang dana untuk projek tersebut dan wakil daripada TV AlHijrah selaku rakan media IRM.

Sebenarnya projek tersebut telah lama dijalankan oleh IRB-DECF. Takdir Allah telah menemukan IRM dengan Kengkawan Project yang berminat dengan projek itu. Lantas, perbincangan lanjut diadakan berulang kali dan akhirnya terjadilah misi ini di mana Kengkawan Project bersetuju untuk menaja 100 orang pesakit katarak.

Bangladesh merupakan antara negara termiskin di dunia. Kemelut politik yang melanda negara tersebut menjadikan rakyatnya menjadi mangsa keadaan. Rata-rata rakyat Bangladesh hidup di bawah paras kemiskinan. Jangankan kawasan luar bandar, Dhaka, ibu negara Bangladesh juga turut mendapat tempiasnya. Kebanyakan rakyatnya bekerja di bawah sektor pertanian dan tekstil. Sejak saya menjejakkan ke Bangladesh, hati mula memahami mengapa begitu ramai rakyat Bangladesh yang keluar mencari rezeki di negara lain.

Sebaik tiba di Hazrat Shahjalal International Airport, Dhaka, hari sudah menginjak senja. Kami terus dibawa oleh kakitangan IRB ke pejabat IRB di Dhaka. Mereka ditugaskan untuk bersama kami sepanjang kami di sana. Walaupun hari tersebut merupakan hari cuti, namun pengorbanan dan layanan baik yang diterima daripada mereka membuatkan kami berasa sedikit selesa di dalam kelelahan. Kami diberi penerangan tentang keseluruhan operasi IRB sebelum kami dihantar ke hotel penginapan. Malam itu kami bermalam di Dhaka dan akan bertolak ke Rangpur awal pagi esoknya.

Perjalanan dari Dhaka ke Rangpur mengambil masa kira-kira 10 jam menggunakan jalan darat. Hiruk pikuk bandar Dhaka dihadapi dengan kerisauan. Mana tidaknya, keadaan di sana sangat berbeza dengan negara aman Malaysia. Di jalan raya, baik yang berjalan kaki, menaiki basikal, motor, beca, kereta, bas dan lain-lain semua berebut-rebut hendak bergerak menuju destinasi masing-masing. Bersimpang-siur mereka merentasi jalan. Keadaan sangat berbahaya, itulah yang mengganggu fikiran kami. Walaupun kami kelihatan takut dan bimbang sekiranya terjadi apa-apa yang tidak diingini, tetapi pemandu-pemandu kami tenang memandu arah kenderaan ke tempat yang ingin dituju. Mungkin inilah cara hidup rakyat Bangladesh. Mereka sudah biasa!

Semakin jauh meninggalkan kota Dhaka, keadaan kembali tenang apabila melewati jalan-jalan kampung. Banyak benda-benda menarik yang saya dapati sepanjang perjalanan itu. Antaranya ialah banyak didapati tempat pembakaran batu bata dengan corong asap yang besar. Selain itu, saya dapati tidak ada satu tanah pun di sana yang dibiarkan kosong. Ada sahaja aktiviti pertanian yang menghiasi pemandangan. Bendi, cili, jagung, padi, laici, mangga dan banyak lagi sedang meliuk lentok melambai-lambai kami. Di mana-mana juga terdapat pohon nangka kerana nangka merupakan buah kebangsaan negara Bangladesh. Begitu juga dengan pohon mangga, pokok kebangsaan Bangladesh.

Apa yang lebih menarik perhatian kami, saat kami merentasi Sungai Jamuna, antara sungai utama di Bangladesh. Begitu lebar dan panjang. Pada mulanya kami menyangka bahawa itu adalah laut tetapi setelah diterangkan oleh pegawai IRB yang bersama kami ketika itu, barulah kami tahu bahawa ia merupakan sebuah sungai. Di tepian jalan, terdapat sebuah kolam yang sederhana besar. Dua tiga orang kanak-kanak kelihatan bermain di kolam itu. Riang gembira. Mereka menikmati kebahagiaan hidup dengan cara mereka sendiri. Andai dapat saya potretkan situasi itu, pasti ia menjadi memori terindah dalam hidup saya.

Panorama indah sekali lagi dirakamkan apabila melihat keadaan warga Bangladesh yang berebut-berut menaiki bas. Waktu itu kami sedang berhenti makan di sebuah restoran milik seorang pemuda yang pernah mencari makan di Malaysia. Alhamdulillah, beliau pulang ke negara asal dengan tekad yang jitu dan berjaya mengubah kehidupannya. Bas di Bangladesh mempunyai dua tingkat. Walaubagaimanapun, ia tidaklah seperti bas dua tingkat di Malaysia. Bahagian atasnya adalah sebuah ruang kosong tanpa kerusi dan hanya berbumbungkan langit biru. Untuk menaikinya, perlu memanjat tangga halus yang berada di luar bas. Kita biasa melihatnya jika kita ialah peminat cerita-cerita Hindustan. Kami berasa hairan, mengapa mereka berebut-rebut untuk naik ke atas sedangkan ruang di bawah masih banyak kekosongan? Jawapan yang diterima membuatkan kami terdiam. Harga tiket untuk bahagian atas adalah separuh daripada bahagian bawah! Jadi, tidak hairanlah mengapa mereka sanggup memilih duduk di atas yang risikonya jauh lebih bahaya. Dengan pemanduan yang laju dan jalan yang tidak rata, bila-bila masa sahaja mereka boleh terjatuh. Semoga Allah menyelamatkan mereka.

Kami tiba di Rangpur kira-kira jam 3 lebih waktu Bangladesh. Kami terus dibawa ke Cataract Patient Screening Campbertempat diHoly Child Pre-Cadet School di Daerah Upazila. Di sini merupakan tempat pemilihan pesakit-pesakit katarak yang layak untuk dibawa ke DECF dan menjalani pembedahan membuang katarak. Rata-rata merupakan warga emas tidak kira lelaki atau perempuan. Pelbagai gelagat dapat dilihat di sini. Yang terpilih, bersyukur kegembiraan. Yang tidak terpilih, termenung panjang memikirkan takdir hidup. Mereka perlu menunggu untuk waktu pemilihan yang seterusnya. Hari itu, daripada 450 pesakit yang mendaftar, hanya 40 pesakit sahaja yang terpilih. Kos pembedahan katarak di Bangladesh sangat jauh berbeza dengan negara kita. Hanya RM400, mereka seolah-olah bakal mendapat kehidupan baru. Masalah nutrisi yang melanda menyebabkan ramai rakyat Bangladesh menderita penyakit katarak.

Petang itu juga kami menemani mereka ke DECF. Mereka akan bermalam di sana sebelum dibedah keesokan harinya. Apa yang meruntun hati kami ialah kemiskinan yang dipaparkan dalam kehidupan mereka. Apa yang mereka pakai sewaktu hari pemilihan, itulah yang mereka bawa ke hospital. Tiada bekalan pakaian apatah lagi makanan, tiada ahli keluarga yang menemani. Segala-galanya hanyalah diri sendiri dan tawakal kepada Allah SWT. Mereka sunyi, sesunyi mata mereka yang kabur. Malam itu, mereka resah memikirkan tentang hari esok. Ada debaran yang menyinggah. Mengharapkan damai dalam dakapan malam, moga hari esok lebih menenangkan.

Selama lima hari empat malam kami menikmati bumi Bangladesh, pelbagai kisah suka duka yang dicoretkan bersama. Selain daripada melawat projek pemulihan mata tersebut, kami juga menziarahi penduduk kampung di kawasan sekitar untuk perjumpaan ibu-ibu tunggal, menziarahi penerima manfaat di bawah Projek Penajaan Al-Yateem, perjumpaan ahli-ahli Islamic MicroFinance(IMF) dan juga ziarah pesakit katarak yang telah berjaya sebelum ini. Di sinilah saya temui ketenangan di sebalik warna warni kehidupan. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, mereka sangat memuliakan tetamu. Kami diraikan bagaikan perwira. Keluar sahaja dari kenderaan, pasti ada sahaja kanak-kanak dan penduduk kampung mengekori perjalanan kami. Kadangkala menggerunkan, acapkali merimaskan. Tetapi itulah mereka. Mereka yang bersih hatinya. Mereka yang bersyukur dengan apa yang diberi. Mereka menikmati hari-hari mereka dengan bahagia yang dicipta oleh mereka sendiri. Dan Allah memberi apa yang mereka usahakan.

Kehadiran kami memberi seribu erti buat mereka. Luahan demi luahan yang dicurahkan kepada kami. Kami mendengar dengan penuh rasa insaf. Ternyata, hidup di Malaysia jauh lebih mewah berbanding mereka di Bangladesh ini. Kesemuanya berterima kasih kepada Islamic Relief atas bantuan-bantuan yang diberikan. Sedikit demi sedikit, bantuan itu membangunkan diri dan jiwa mereka seterusnya membangunkan komuniti. Mereka masyarakat yang tidak pernah berputus asa. Kudrat yang diberi, digunakan sepenuhnya. Tidak hairanlah baik lelaki atau wanita, tua atau muda, mereka memiliki tubuh yang kekar. Mereka rajin berusaha. Kehidupan mereka bermula seawal pagi. Kesibukan mereka bekerja dapat dilihat di mana-mana. Teringat saya akan Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Ra’d : 11)

In Shaa Allah, saya pasti Allah akan mengurniakan mereka sesuatu yang tidak kita ketahui berkat daripada kegigihan mereka. Kami kembali semula ke Dhaka setelah selesai segala urusan kami di Rangpur. Tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk menjejakkan kaki ke negara Bangladesh. Tidak pernah! Tetapi itulah yang terbaik buat saya dan rakan-rakan. Alhamdulillah, kami pulang ke Malaysia dengan satu semangat baru untuk lebih berusaha keras walau apapun yang kami lakukan. Segala memori masih terpahat segar di ingatan kami.

Semoga ada sinar buat bumi Bangladesh. Wallahua’lam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.