Home Novelet Thriller/Aksi Exotika : Haru Biru
Exotika : Haru Biru
Syafiqah Kadir
2/4/2021 18:42:17
26,374
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

"Puan janganlah risau. Kalau puan risau, saya lagilah risau," kata En. Azri berseloroh. Dia berada di ruang tamu rumah Puan Zu, yang terletak di dalam kawasan kolej. Maklumlah, Puan Zu merupakan felo untuk asrama perempuan Kediaman Semarak Api (KSA) - asrama pelajar yang terletak di dalam kawasan kampus KST, berbeza dengan KBJ yang kedudukannya terletak agak jauh dari blok kampus hingga perlu menaiki bas untuk ke kelas. Padahal kedua-dua asrama itu masih di dalam kawasan KST.


Tiba-tiba sahaja Puan Zu menjemput pensyarah muda nan satu itu makan malam di rumahnya. Tidak pernah sekali pun Puan Zu, yang mengajar sejak zaman En. Azri mengambil Diploma itu, menjemputnya datang ke rumah. Rupa-rupanya jemputannya itu ada kaitan dengan salah seorang dari pelajar mereka juga.


"Manalah saya tak risau. Kamu tahu kan, apa jadi kalau dia hilang kawalan lagi. Dia tu mana sedar apa yang dia buat bila personalitinya bertukar," kata Puan Zu.


En. Azri mengangguk. Dia mengerti akan kerisauan Puan Zu itu. Sudahlah tidak ramai di KST yang mengetahui akan situasi sebenar Andi itu. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu, kebanyakannya merupakan staf kolej, melalui rekod kesihatan. Ada juga yang tahu secara tidak sengaja, dan mereka turut merahsiakannya dari pengetahuan orang lain.


"Macam ni, Puan. Saya ada baca sikit-sikit berkenaan masalah Andi tu. Saya juga ada rujuk doktor psikologi yang merawat dia. Jadi, puan tak perlulah risau. Saya boleh tengokkan dia," kata En. Azri, yakin. "Saya tahu apa nak buat kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku. Lagipun, site visit kali ni takkan bagi dia stress punyalah. InsyaALLAH, dia boleh kawal diri."


Puan Zu mengangguk sambil hela nafas lemah. "Oh ya, boleh saya tahu jadual programnya bagaimana? Saya tahu mereka gerak ke lokasi site visit pagi esok dan balik semula ke sini Isnin nanti, tapi saya tidak tahu apa yang dibuat sepanjang tempoh site visit itu."


"Sekejap," kata En. Azri, mengeluarkan telefon bimbitnya, membuka aplikasi WPS Office dan mencari sesuatu. Selepas itu, telefon itu dihulurkan kepada Puan Zu. Puan Zu meneliti tentatif yang terpapar di skrin kecil itu. Dahinya berkerut seketika sebelum membetulkan kedudukan cermin matanya.


"Siapa yang buat tentatif ni?" Puan Zu terus bertanya.


"Er... Alif. Dia yang lead site visit ni. Kenapa, Puan?"


"Saya nak tolak 5 markah. Perginya berhari-hari, tapak lawatannya satu je," bebel Puan Zu. En. Azri hanya mampu sengih.


(...)


Nazmi duduk menghadap tingkap, merenung bulan yang main sembunyi-sembunyi di celah-celah awan. Dia kemudian pandang Naufal yang sedang bersiap-siap. Dahinya berkerut apabila menyedari abangnya itu memakai pakaian serba hitam, jaket berhud dikenakan dan dinaikkan melindungi wajah.


"Abang nak ke mana, pakai serba hitam ni?" Nazmi bertanya, kehairanan. Belum pernah lagi mereka tidak keluar bersama. Lagipun, dia sendiri diberitahu bahawa Tuan Azazil sudah mengarahkan mereka mengurangkan 'aktiviti' mereka buat masa ini.


"Abang nak keluar kejap. Nak uruskan sesuatu," kata Naufal.


"Ni... Sebab Ainulkah?"


Naufal hanya diam.


"Abang jangan lupa, kita nak ke hospital esok," pesan Nazmi.


Naufal sekadar mengangguk lalu keluar dari bilik itu. Nazmi kembali merenung ke arah bulan.


"Kenapa rasa macam ada sesuatu yang akan berlaku?"


(...)


Ainul tergesa-gesa berlari menuju ke arah surau - yang terletak dalam 50 meter dari bangunan asrama perempuan. Nafasnya termengah-mengah dek berlari dari biliknya di tingkat tiga. Tiada orang lain kelihatan di luar kawasan asrama itu.


"Mesti Kak Hajar dah lama tunggu. Macam manalah boleh tertidur tadi?" Ainul merungut perlahan.


Sesekali bibirnya terkumat-kamit, mengulang hafazan ayat suci Al-Quran. Dia ada tempoh seminggu lagi untuk menghafal surah sebelum penilaian di sekolahnya, namun tajwidnya masih tunggang terbalik. Sebab itulah dia minta bantuan Kak Hajar, kakak senior yang cemerlang dalam subjek Tilawah dan Tajwid, untuk betulkan hafazannya.


Lampu koridor tiba-tiba terpadam semuanya. Suasana terus jadi gelap gelita. Serentak dengan itu juga, Ainul diserkup sesuatu seakan guni... 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.