Home Novelet Cinta Dia Bukan Arissa 'Raya'
Dia Bukan Arissa 'Raya'
Syaida Ilmuna Ismail
18/7/2014 22:10:11
43,242
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
PART 10

10

SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah, hati Adam tidak senang memikirkan keadaan Arlisa. Terluka banyakkah dia? Sakit sungguhkah hatinya? Mampukah aku ubati semua kedukaan di hatinya? Ya ALLAH, terlalu banyak salahku. Dia bukan Arissa. Dia adalah dia. Dia Arlisa. Dan aku harus berhenti melabel dia sebagai Arissa dan mempunyai sikap seperti arwah isteriku itu.

Kaki Adam berlari tak cukup tanah masuk ke dalam rumah setelah memakir kenderaannya di hadapan pagar rumah. Kelibat Arlisa dicarinya di ruang tamu. Namun apa yang dia temui adalah sesuatu yang memeranjatkan. Mak Cik Sue dan Nida datang tanpa memberitahunya terlebih dahulu! Atas hal apa Mak Cik Sue dan Nida datang secara mengejut begini?

“Adam…” tegur Mak Cik Sue ramah. Nida yang berada di sebelahnya hanya tersenyum manis.

“Mak Cik Sue? Kenapa datang tak beritahu Adam?” Adam pantas menyalami Mak Cik Sue yang sudah dianggap ibu baginya.

“Eh…” Mak Cik Sue mengerling ke arah Nida. “Takkan Adam tak tahu yang mak cik nak datang. Lisa yang panggilkan mak cik datang ke sini. Katanya dia rindu mak cik dan Nida. Dia cakap… dia nak balik beraya di Penang.”

“Haa?” Berpeluh-peluh sekejap tengkuk Adam mendengarnya. Balik Pulau Pinang? Apa yang Lisa sedang fikirkan ni?

“Mak Sue, Lisa dah siapkan barang-barang…”

Suara Arlisa membuatkan Adam berpaling seraya mata mereka saling bertentangan. Arlisa tidak tahu bagaimana dia harus berhadapan dengan Adam pada saat ini. Anissa yang berada di pangkuannya pula tiba-tiba saja mulai merengek apabila terlihat keberadaan Adam di ruang tamu itu.

“You nak ke mana ni?” Adam datang mendekati Arlisa. Anissa diambil dari pegangan Arlisa.

Arlisa menundukkan wajah. Hatinya terseksa. Pedih perasaannya untuk menyatakan sesuatu yang dia tahu Adam pasti tidak akan menyetujuinya.

“Lisa?” Adam menolak dagu Arlisa ke atas. Mata mereka sekali lagi bertautan. Kali ini mata Arlisa sudah berkaca.

“I nak… nak balik Penang. You izinkan kan?” kata Arlisa dengan berat hati.

Sebak hati Adam mendengarkan keputusan Arlisa. Arlisa jauh hati dengannya. Dia tahu! Oleh sebab itulah Arlisa mengambil keputusan sedrastik itu.

“Jom ikut I…” Tangan Arlisa ditarik Adam lembut. Dia membawa Arlisa ke patio yang berhadapan dengan kolam renang.

Anissa yang berada di pangkuan Adam sudah diam dari tangisan. Kini, Adam pula yang sebak tidak tertahan air matanya. Jejari Arlisa digenggamnya erat.

“Maafkan I. Tolong jangan tinggalkan I, Lisa. I cintakan you…” kata Adam dengan penuh ketulusan. Hatinya terasa bagai nak luruh menahan perasaan bersalah yang teramat.

“Kenapa? Kenapa you tiba-tiba… minta maaf ni?” Arlisa juga sebak melihat Adam yang sudah berlinangan air mata. Apa sebenarnya telah terjadi? Bukankah Adam membencinya?

“I dah tahu perkara sebenar. Semuanya Kamal punya angkara. Tadi dia dah diberkas polis. Thanks to Fida and Zufri…

Arlisa tersenyum lega. Alhamdulillah! Ya ALLAH, akhirnya kebenaran terbukti. “Syukurlah… Adam… maafkan I juga ya. I pun bersalah dengan you.”

“Dahlah… kita sama-sama bersalah. I terlalu ikut sangat perasaan ego dan amarah ni. Sebenarnya I tak bermaksud pun nak cakap benda-benda tu semua pada you, Lisa. I cintakan you. I tak boleh… tak boleh hidup tanpa you dan anak-anak,” ucap Adam sambil mengucup jejari Arlisa. TUHAN, betapa dia tidak sanggup kehilangan Arlisa. Betapa bodohnya dia mengabaikan Arlisa sebelum ini.

“Ya… I pun cintakan you,” kata Arlisa sambil memeluk tubuh Adam erat. Air matanya semakin berderai laju. Dugaan terberat yang pernah dia lalui sepanjang Ramadan ini. Ya ALLAH, jadikanlah dugaan yang mereka lalui ini sebagai kekuatan yang menguatkan cinta mereka.

“Lisa…” Adam meleraikan pelukan mereka. Wajah Arlisa diangkat menatap ke wajahnya. “I was wrong about the angel thing. Actually there is an angel in this earth. That angel is actually… you!”

“Adam!” Arlisa menepuk dada suaminya. Oh Adam, Adam, Adam! Pandai dia memujuk hati Arlisa yang sedang dilanda duka ini.

“And… you’re my prince charming!” bisik Arlisa ke telinga Adam manja.

***

Hari ini tamatlah 30 hari berpuasa. Keesokkannya, mereka akan menyambut lebaran yang dinanti-nanti terutamanya bagi Adam dan Arlisa. Kali pertama beraya bersama sebagai suami dan isteri. Kali pertama juga bagi Arlisa beraya bersama anaknya, Anissa.

Pada malam raya ini, Puan Murni telah mengadakan sedikit jamuan buat ahli masjid yang bertandang dari rumah ke rumah untuk bertakbir. Antara juadah istimewa yang disediakan ialah sate dan kuah kacang khas dari restoran Sate Haji Samuri. Jiran tetangga juga turut dijemput hadir untuk memeriahkan malam raya tersebut.

Mak Cik Sue dan Nida sudah lima hari di rumah Puan Murni. Perancangan asalnya adalah untuk datang sehari dan bawa pulang Arlisa ke Pulau Pinang. Namun setelah Arlisa berbaik-baik semula dengan Adam, perancangan itu hanya tinggal perancangan. Puan Murni mempelawa Mak Cik Sue dan Nida untuk tinggal di rumahnya dan beraya di Kuala Lumpur. Nanti pada raya ketiga atau keempat, Puan Murni sekeluarga termasuklah Fida dan Dr Zufri bercadangan nak bercuti di Pulau Pinang. Bolehlah mereka tumpang di banglo baru Mak Cik Sue nanti. Almaklumlah, Mak Cik Sue kini tauke kedai kek terkenal di Pulau Pinang!

Arlisa yang mengenakan jubah moden berwarna coklat sibuk menguruskan Ameera dan Anissa di kamarnya. Manakala Adam pula mengenakan jubah sedondon warnanya dengan Arlisa berada di tingkat bawah melayani tetamu-tetamu yang hadir. Sedang Adam sibuk bersembang dengan salah seorang tetamu, bahunya terasa dicuit. Adam seraya berpaling dan kelihatan Sofea tersengih-sengih manja di belakang.

“Sofea? Buat apa datang sini?” Hairan. Adam tidak pula menjemput Sofea ke majlis pada malam ini. Macam mana dia boleh tahu yang mama buat majlis makan-makan pada malam raya? Walhal mereka berdua sudah lima hari tidak ketemu kerana Adam tidak ke tempat kerja.

“Kenapa? I memang tak boleh datang ke?” tanya Sofea lugu.

Adam dihambat perasaan bersalah. Antara perasaan benci dengan kehadiran Sofea pada malam itu dan sikap memuliakan tetamu, Adam terpaksa beralah. Dia perlu melayani Sofea walaupun hanya beberapa minit saja demi memastikan Sofea tidak terasa.

“Boleh… datang dengan siapa?”

“Seorang aje. Mana Lisa? Mana anak you tu? I teringin nak jumpa dia orang,” luah Sofea dengan mata bercahaya.

Kali ini Sofea tampak jujur pada pandangan mata Adam. Mungkin dia sudah mengerti yang Adam tidak mungkin akan bersama dengannya. Syukurlah!

“Oh kejap ya… you tunggu sini, Sofea. I panggilkan Lisa dan suruh dia bawa Anissa turun sekali,” kata Adam gembira. Dia seterusnya bergegas naik ke atas kamarnya untuk memanggil si isteri.

Sofea tersenyum melihat gelagat Adam. Bersungguh-sungguh dia jikalau bab mengenai Arlisa dan anaknya. Tetapi… apa akan terjadi jikalau dia kehilangan salah satu darinya? Bibir Sofea menyeringai sinis. Di dalam kepalanya hanya ada satu misi. Adam harus dimilikinya!

***

“LISA…” Adam menguak kamarnya buka. Arlisa yang sedang sibuk mendandan rambut Ameera didekatinya.

“You dah selesai uruskan budak-budak ni ke? Kalau dah jom ikut I ke bawah kejap. Bawa Anissa sekali,” ajak Adam.

Arlisa menghabiskan ikatan rambut Ameera. Setelah itu baju kurung Ameera yang sedikit terperonyok itu dibetulkannya supaya kelihatan kemas.

“Kenapa? Ada yang nak jumpa I ke? Mama tak bagi I turun. Dia suruh I berehat kat bilik je.” Arlisa mengalihkan pandangannya ke Adam. Tangan suaminya digenggam erat.

“Oh…” Adam melepaskan keluhan kecil. “Kejap pun tak boleh?” pujuknya.

“Boleh kut… mama tak marahlah. Kenapa? You nampak serius je.”

“Sofea datang. Dia cakap nak jumpa dengan you dan Anissa. Dia nak tengok Anissa,” jawab Adam beriya-iya. Memang dia mahu hubungan Arlisa dan Sofea baik dan tiada jurang dendam atau cemburu menyelubungi mereka berdua. Sofea sudah dianggap kawan rapat dan Arlisa pula isterinya. Mereka harus saling menerima satu sama lain.

Arlisa mengetap bibirnya kuat. Sofea? Adam nak temukan dia dengan Sofea? “Emm… kenapa dia tiba-tiba datang? I tak kisah Adam. As long as dia faham batas-batas dia dengan you dan jangan buat hati I ni cemburu.”

“Tak adalah! I janji… kalau dia melebih-lebih, I suruh dia balik jam-jam tu jugak. Tapi kali ini I rasa lain… dia nak berbaik-baik dengan you,” kata Adam menyebelahi Sofea.

Perasaan Arlisa terasa berat sekali kali ini. Entah mengapa. Selalunya dia mudah redha dengan sesuatu hal tetapi kali ini dia terasa seperti perilaku Sofea terlalu berbeza dari kebiasaan. Tak pernah selalu nak datang berkunjung ke rumah, ini tiba-tiba pula datang tak diundang. Walhal dia tahu benar yang mama memang benci teramat dengannya.

“Iyalah, kalau you dah cakap macam tu… I turun,” turut Arlisa akan kata-kata Adam.

***

SOFEA mengambil dua gelas minuman sirap dari meja katering di hadapan perkarangan rumah. Minuman tersebut dibawa ke meja tetamu yang terceruk sekali, iaitu di hujung perkarangan rumah.

Gelas-gelas itu diletakkan ke atas meja. Beg tangannya yang tersauk di bahu digeledah. Sebuah botol kecil yang berisi cecair berwarna kuning dibawa keluar. Dia menitiskan cecair dari botol itu beberapa titik ke salah satu gelas minuman tersebut. Manakala gelas minuman yang tidak tercemar dijarakkan dari gelas tadi.

Sofea menyimpan semula botol kecil itu. Bibirnya mengulum senyuman penuh pengharapan. Biar malam ini jadi saksi pengakhiran hidup Arlisa. Adam akan dia dapatkan juga dalam apa cara sekalipun.

Setelah selesai urusannya, kedua-dua gelas itu dibawa masuk ke ruang tamu rumah. Dari kejauhan Sofea terlihat kelibat Adam dan Arlisa saling jalan beriringan turun ke tingkat bawah bersama anak mereka, Anissa.

Sofea meletakkan gelas-gelas minuman itu di ats meja kopi berhampiran. Tangannya pantas menggamit ke arah Adam dan Arlisa. “Adam! Lisa! Sini!” panggilnya.

Adam dan Arlisa berjalan masuk ke ruang tamu yang sudah dipenuhi beberapa orang tetamu. Mereka mendekati Sofea yang sedang menyandarkan tubuhnya ke meja kopi bersebelahan dengan sofa.

“Assalamualaikum Sofea! Apa khabar?” ucap Arlisa sambil bersalam semut dengan Sofea.

“Waalaikumussalam. Baik-baik aje. Hey is this your baby? Comelnya…” Sofea pantas menghulurkan tangannya ke Adam yang sedang mendukungi Anissa. Anissa bertukar tangan ke Sofea. Rambut anak kecil itu diusap-usapnya lembut walaupun di dalam hatinya mahu saja dia tonyoh-tonyoh kepala budak itu ke lantai.

“Anissa nama dia. So you datang seorang, Sofea?” tanya Arlisa. Dia cuba memainkan lakonan diri untuk bertenang walaupun di hatinya dia terasa resah. Arlisa tidak tahu apa sebabnya yang membuatkan dia berfikiran yang Sofea hanya berpura-pura dengan pertemuan ini.

“Yes…” Anissa mulai merengek. Budak kecil itu tidak selesa di pangkuan Sofea. Oleh kerana Sofea juga tidak begitu selesa dengan Anissa, dia pantas menyerahkan kanak-kanak itu ke Arlisa.

“Dia tak suka I,” kata Sofea lagi. Hatinya kembali berbisik. Kalau aku jadi mak tiri kau… dah lama dah aku buang kau kat tepi jalan!

“Dia tak biasa dengan orang baru,” celah Adam. “You guys bersembanglah… I nak ke luar rumah kejap tengok tetamu,” sambung Adam untuk meminta diri. Sebelum pergi dia sempat mencium dahi Arlisa dan Anissa.

Perlakuan Adam membuatkan hati Sofea bertambah parah. Senang saja mereka bermesra-mesraan di hadapannya! Macam dia ini patung yang tidak bernyawa! Tak apa Adam… ambillah masa ini puas-puas untuk bermesra dan berkucup bagai dengan isteri kau tu. Esok-esok dia dah tak ada!

“Emm Sofea… you dah makan ke?” soal Arlisa lagi untuk meneruskan perbualan mereka yang terhenti tadi.

“Oh belum. Anyway…” Sofea berpaling. Gelas-gelas minuman yang diambilnya tadi diangkat. Salah satu darinya diserahkan ke Arlisa. “Minumlah. I ambil untuk you.”

Tangan Arlisa yang penuh akibat mendukung Anissa jadi teragak-agak untuk mengambil minuman tersebut dari tangan Sofea. Namun akibat tidak mahu mengecewakan gadis itu, Arlisa menerima pelawaan Sofea dengan sopan. Tak baik pula menolak silaturrahim. Orang nak berbaik-baik, takkanlah kita menghalang niat murninya.

“Minumlah.” Sofea meneguk airnya rakus. Matanya memicing tajam ke arah minuman yang berada di tangan Arlisa.

Arlisa tersenyum hambar. “Bismillahirahmanirahim…” ucapnya berbisik. Air sirap itu diteguk sekali. Kemudian kali kedua dan kali ketiga sehingga habis.

Sofea tersenyum lega. Diteguk airnya juga sehingga habis. Puas hatinya. Sekarang ini dia hanya harus menunggu detik kematian Arlisa. Air yang dicampur racun tikus itu dapat mematikan seseorang dengan serta merta!

“I harap… kita dah takkan bermusuh lagi selepas ni,” ujar Sofea berkias. Bibirnya tersenyum sinis pada Arlisa.

“I pun Sofea. I nak minta maaf pada hari baik, bulan baik ni… kalau I ada terkasar bahasa ataupun buat hati you terluka sepanjang perkenalan kita. Hopefully you akan berjumpa dengan seorang lelaki yang betul-betul menyayangi you dan dapat menjagai you dengan baik nanti,” kata Arlisa pula.

“Ya… I dah berjumpa pun dengan lelaki tu.” Sekali lagi Sofea tersenyum sinis. Matanya menilik tubuh Arlisa dari atas hingga ke bawah. Asalnya perempuan ini gadis kampungan. Datang sini terus bergaya macam Arissa. Apalah yang Adam nampak pada Arlisa? Bukankah dia lagi cantik dan menawan dari wanita ini?!

“Alhamdulillah…” Arlisa tersenyum. Akhirnya Sofea takkan ganggu lagi hidup dia dan Adam. “Emm Sofea, Lisa kena naik atas dulu ni. Mama tak bagi Lisa duduk lama-lama kat bawah ni. Lagipun, Anissa dah merengek ni.”

“Oh okay… silakanlah. I pun nak pergi menjamu selera ni.”

Arlisa berjalan perlahan-lahan keluar dari ruang tamu menuju ke tangga utama. Kepalanya tak semena-mena terasa berpinar-pinar. Kaki Arlisa tak jadi nak mendaki naik ke anak tangga. Arlisa menahan tangannya ke rel tangga. Pegangannya terhadap Anissa diperkemaskan. Takut-takut tangannya terlepas dari memegang anaknya.

Nida yang pelik melihat tingkah laku Arlisa mendekati sahabatnya. “Lisa? Kau okay tak ni? Kenapa aku tengok kau macam nak tumbang je?”

Arlisa menekan-nekan kepalanya yang sakit. “Tak tahulah. Aku pening sangat ni. Kau tolong pegangkan Nisa kat aku kejap.”

Nida menyambut Anissa dari tangan Arlisa. Pada masa yang sama tangannya erat memegang tangan Arlisa juga. Bimbang rakannya tumbang ke lantai.

“Ya ALLAH… peningnya.” Arlisa menekup bahagian dahi dan matanya. Pandangannya jadi berpusing-pusing. Seakan-akan keadaan sekeliling berada di awang-awangan. Kemudian, keadaan jadi gelap dan sekejap-sekejap jadi putih.

“Eh Lisa… kau nak pitam ni! Kejap aku panggil Adamlah,” putus Nida yang sudah kerisauan. Namun tak sempat kakinya melangkah, Arlisa tumbang dahulu ke lantai.

“Lisa!” Nida terjerit kecil.

Adam yang kebetulan berada di hadapan pintu rumah terdengar akan jeritan itu. Dia pantas berlari mendapatkan Nida dan kemudian memangku tubuh Arlisa yang kelihatan pucat tidak berdarah.

“Kenapa ni Nida? Kenapa dengan Lisa ni?” soal Adam cemas.

“I tak tahu Adam. Lisa mengadu dia pening, lepas tu dia suruh Nida pegangkan Anissa. Tiba-tiba dah pengsan,” jelas Nida ringkas.

Jantung Adam berdetak kencang. Arlisa! Ya ALLAH, isterinya… Perasaan Adam jadi tak menentu seketika. Bimbang jikalau ada perkara yang buruk menimpa si isteri.

“Adam, kenapa ni?” tegur Dr. Zufri. Arman, Fida dan juga Paty datang mendekat. Mak Cik Sue dan Puan Murni pula terkocoh-kocoh turun dari tangga tingkat atas.

“Tak tahu… you tolong tengokkan Zuf,” kata Adam.

Dr. Zufri pantas mengambil tangan kiri Arlisa untuk diperiksa. Nadi Arlisa berdetak lebih lemah dari kebiasaan. Dia tidak dapat membuat sebarang diagnosis melainkan Arlisa perlu dibawa ke hospital dengan secepat yang mungkin.

“Fida, call ambulans sekarang,” arah Dr Zufri.

***

SEBAIK sahaja ambulans tiba, Arlisa yang masih tidak sedarkan dibawa naik ke kenderaan tersebut dengan kadar yang segera.

Puan Murni dan Mak Cik Sue masing-masing dalam keadaan terkejut dan berharap tiada apa-apa yang buruk berlaku ke atas Arlisa. Itulah satu-satunya permata hati mereka. Tanpa Arlisa, lebaran tahun ini pasti tidak akan bermakna!

Dalam pada itu, Sofea yang asyik memerhati drama keluarga besar Puan Murni dari ruang tamu rumah hanya mampu ketawa di dalam hati. Itu dia penamat cerita yang paling baik. Pastinya Ramadan dan Aidilfitri kali ini akan menjadi sebuah titik hitam di dalam hidup keluarga ini.

Namun begitu, tanpa Sofea sedari badannya tiba-tiba terasa lemah. Tekaknya pula terasa perit dari biasa setelah meneguk air sirap tadi. Entah mengapa bibirnya terasa kering dan kini kepalanya pula yang berpinar-pinar. Apa yang sedang terjadi kepada dirinya? Entah-entah…

Buk! Sofea pula tumbang. Arman yang kebetulan berdiri berdekatan dengan Sofea mendukung wanita itu naik ke atas ambulans bersama Arlisa.

Melihatkan satu persatu perkara yang menimpa, Puan Murni terasa sesak dada. Tangan Mak Cik Sue digenggamnya erat. “Sue, apa yang sebenarnya terjadi ni?”

“Kita doa ajelah yang baik-baik ya, Puan Murni,” kata Mak Cik Sue sambil mengusap-ngusap belakang Puan Murni.

***

Previous: PART 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail