Home Novelet Cinta Dia Bukan Arissa 'Raya'
Dia Bukan Arissa 'Raya'
Syaida Ilmuna Ismail
18/7/2014 22:10:11
43,248
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
PART 7

7

ADAM memeriksa beberapa kertas kerja yang tersusun rapi di atas meja. Salah satu darinya adalah fail perjanjian kerjasama bersama AA Design milik Puan Jelita dan Encik Asfahan Redza. Perancangannya adalah untuk membawa pakaian-pakaian hasil rekaan Fashionista ke antarabangsa dengan bantuan syarikat besar seperti AA Design. Seperti yang Adam sedia maklum, pasangan suami isteri itu sudahpun memiliki sebuah anak syarikat yang bernama Empressive Design di sana. Oleh itu, Adam merasakan syarikat ini sudah cukup berpengalaman dalam menguruskan syarikat fashion di luar negara.

Sedang Adam sibuk memeriksa fail-failnya yang bertimbun, Vivian masuk membawa sekeping envelop A4 coklat buatnya. Tanpa memikirkan apa isi dalaman envelop tersebut, Adam dengan pantas mengoyakkannya dan isinya diburaikan.

Empat keping gambar bersaiz 4R keluar dari envelop tersebut. Salah satu gambarnya jelas menunjukkan Kamal sedang menyentuh lengan Arlisa erat di bawah tiang lampu belakang rumahnya. Gambar tersebut diangkat Adam terketar-ketar. Pandangannya tiba-tiba jadi nanar. Jantungnya pula berdegup kencang daripada biasa.

Adam terduduk di kerusi malasnya bingung sambil menatap gambar itu tak berkedip. Beberapa gambar lagi yang menunjukkan Kamal menyentuh kepala Arlisa dan bahu Arlisa juga ditatapnya. Mata Adam mula berkaca. Arlisa? Hatinya bagai tidak percaya. Arlisakah itu? Benarkah Arlisa berkelakuan begitu?

“Ya ALLAH…” lirih Adam. Sakit dadanya melihat gambar-gambar tersebut. Ngilu hatinya melihat isteri yang tersayang tergamak mendustainya! Baru semalam mereka berbicara mengenai janji dan cinta. Hari ini dia mendapat gambar-gambar sebegini rupa. Ya ALLAH apa dugaan yang sedang menimpanya ini? Arlisa dan Arissa tiada bezanya! Mereka sama sahaja.

Tok! Tok! Pintu pejabat Adam diketuk kuat dari luar. Adam tergesa-gesa menyimpan gambar-gambar kotor itu semua ke dalam laci mejanya.

“Masuk.”

Arman menjengah ke kamar pejabat. Wajahnya seperti biasa tersenyum hingga ke telinga. Almaklumlah orang sudah punya anak sekarang ni.

“Adam, malam ni kau tak ke mana-manakan?” soal Arman.

Adam menggeleng-geleng. Mulutnya bagai terkunci dari kata-kata.

“Aku ingat nak bawa Paty dan Fariz datang berbuka… Bolehlah Paty melawat Arlisa sekali sebab dia belum lagi jumpa dengan Lisa sejak pulang dari hospital hari tu. Lepas tu kami nak tengok jugak baby kau yang comel tu,” kata Arman tanpa dapat mengesan sedikitpun duka di wajah Adam.

“Hmm… datanglah.”

“Okay… dalam pukul 5.30 macam kami datang tau. Jangan beritahu mama, it’s a surprise!” kata Arman lagi sebelum keluar dari kamar Adam.

‘It’s a surprise huh?’ hati Adam berdesis kasar. ‘Let’s see surprise mana lagi mengejutkan!’

***

“ALAHAI… comelnya dia.” Perasaan berbunga-bunga di hati Arman saat dia mendukung Anissa di ruang tamu rumah Puan Murni. Teringin pula nak anak perempuan!

“Paty… I tengok Arman tu dah seronok sangat dah dukung Anissa tu. Petandalah tu…” usik Arlisa yang duduk di sofa bersebelahan dengan Paty.

Paty yang bertudung hitam labuh hanya tersenyum kecil. Wajah putihnya memerah saat dia diusik Arlisa. “Petanda nak tambah lagi satu ya, Lisa? Fariz tu kecil lagilah…”

“Eh dia dah setahun setengah dah kan? Okaylah tu kalau you dan Arman nak tambah anak perempuan pulak,” bicara Arlisa.

Arman yang sibuk mengacah-ngacah Anissa mengangkat kepalanya ke Arlisa dan Paty. Teruja pula dia nak mencelah masuk dalam perbualan mereka berdua.

“I okay aje, Lisa. Tengok anak you ni pun I dah rasa macam tak sabar nak anak perempuan. Paty ni aje takut kami berdua tak dapat nak tumpukan perhatian sepenuhnya kepada Fariz. Tapi bagi I, Fariz tu lagi seronok kalau ada adikkan?” Arman mengenyitkan matanya ke Paty. Namun kenyitannya itu berbalas jelingan manja dari isterinya. Malulah tu!

“Yelah… kalau nak tambah anak, you kena rajin bangun malam tau. Jangan macam dulu… tertidur sampai tak dengar Fariz menangis. I juga yang kena bangun!” Paty mengerdip-ngerdipkan matanya ke Arlisa. Sengaja dia ingin mengusik si suami. Berani atau tak nak bangun malam lagi tengokkan anak menangis, buatkan susu atau tukarkan lampin?

“Amboi… mengadu kat Arlisa nampak. Entah-entah Adam lagi teruk dari I tak?” seloroh Arman.

No! Adam tu baguslah Arman… Selalu berjaga malam. Cuma sesekali je bila Lisa tengok dia penat, Lisa jagakan Anissa. Kadang-kadang kesian dengan dia sebab tak cukup tidur…” Mengenangkan Adam membuatkan hati Arlisa rasa penuh. Ah, Adam… bertuah sangat dia memiliki lelaki sebaik Adam. Penyayang, bertanggungjawab dan…

“Eh bercakap tentang Adam, kenapa dia tak sampai rumah lagi ya?” tanya Arman tiba-tiba.

Pernyataan Arman membuatkan Arlisa tersentak seketika. Ya tak ya juga. Dah pukul 6.30 petang. Mana suaminya pergi?

“Bukan dia keluar sama dengan you ke Arman?” soal Arlisa curiga.

Nope. I yang balik dulu sebab takut terlambat nak sampai ke sini.”

“Apa kata you telefon dia, Lisa. Tanya dia kat mana. Takkanlah kat office lagi kan?” saran Paty yang juga mula rasa tidak sedap hati.

Arlisa mencapai telefon pintarnya. Nombor telefon Adam didail pantas.

***

TELEFON yang berada di tangan Adam berdering. Namun deringan tersebut tidak diendahkannya. Dibiarkan ia berdering beberapa kali sehingga terhenti. Nama Arlisa yang tertera di skrin telefon membuatkan hati Adam bertambah sakit!

“You memang tak nak angkat telefon tu ke?” tegur Sofea yang baru mengambil tempat duduk. Bergegas dia datang dari rumah ke Sakura Setia City Mall kerana diajak Adam untuk berbuka bersama-sama. Ternyata perancangannya berjaya!

“Biarkan jelah. Biar dia berdering sampai esok,” keluh Adam. Matanya kembali menilik menu makanan.

“Jawab je lain kali. Cakap dengan isteri suci you tu, you berbuka dengan I. Kan senang. Gerenti dia tak kacau you lagi.” Sofea perlahan-lahan memasukkan jarum-jarum benci ke hati Adam. Biar Arlisa terseksa. Suami yang dia sayangi kini akan meninggalkan dia dan bersama dengan aku. Dan hari ini adalah titik permulaannya.

Kring! Kring!

Adam mengangkat wajahnya. Keningnya diangkit-angkit sebagai tanda pertanyaan kepada Sofea tentang apa yang perlu dia lakukan. Jawab atau tidak?

“Angkatlah… say what I say to you just now!” cucuk Sofea.

Adam menekan butang hijau pada skrinnya. “Hello!”

“Assalamualaikum, Adam… you kat mana?” suara lembut Arlisa bergema dari corong telefon pintar.

“Waalaikumussalam. I.. I tak balik berbuka,” jawab Adam ringkas. Suara Arlisa membuatkan dadanya sesak.

“Tak balik? You kat mana ni? You berbuka dengan siapa?” soal Arlisa bertubi-tubi.

Adam menelan air liurnya kesat. Matanya melirik pada Sofea yang menjegil supaya Adam pantas menamatkan perbualan.

“I berbuka dengan Sofea. Cakap dengan Arman, I’m sorry. Bye!” Klik! Telefon dimatikan pantas. Adam menekur wajahnya rapat. Oh TUHAN. Kenapa perkara harus jadi sesulit ini?

***

TERGAMAM seketika Arlisa mendengar bicara Adam dari corong telefon. Berbuka dengan Sofea? Kenapa tak beritahu dia dulu? Bukankah dia berjanji dengan Arman nak berbuka bersama? Kenapa tiba-tiba…

“Arlisa, you okay ke ni?” Paty mulai risau melihat wajah Arlisa yang berkerut dalam.

“Okay…” jawab Arlisa lemah. Matanya beralih pada Arman yang sedang mendukungi Anissa. “Adam minta maaf dengan you, Arman. Dia cakap…”

Arman duduk di sisi Arlisa sambil memangku Anissa ke dada. Hatinya tiba-tiba rasa tidak selesa. Seperti ada perkara yang telah berlaku di antara Arlisa dan Adam.

“Dia cakap apa? Dia kat mana sekarang ni? Why isn’t he’s home yet? Nanti mama bisinglah kalau dia tak ada,” ujar Arman prihatin.

“Dia berbuka dengan Sofea.” Mata Arlisa dipenuhi air. Hatinya sebak menahan duka. Sampai hati Adam buat dia begini.

“Kenapa dia keluar dengan Sofea? Kan dia dah janji dengan I nak berbuka sama-sama kat rumah? Oh god, Adam!” rungut Arman. Saat matanya beralih ke ruang makan, kelihatan Puan Murni sedang bercekak pinggang. Ternyata mamanya itu seorang penyiasat yang terhebat. Mesti dari tadi mama pasang telinga mendengar bicara dia dan Paty dengan Arlisa.

Puan Murni menggeleng-geleng dan mendekati menantunya, Arlisa. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia maki hamun Adam di telefon. Namun kerana mengenangkan situasi Arlisa yang kurang stabil, Puan Murni mengambil keputusan untuk bersabar. Tunggu Adam balik, baru dia sembur habis-habisan!

“Lisa… sabarlah. Adam tu memang nak kena basuh dengan mama. Nanti mama cakap dengan dia dan tanya kenapa dia buat macam ni dengan Lisa. Jangan nangis ya, sayang?” pujuk Puan Murni sambil mengusap-ngusap rambut Arlisa.

Arlisa mengangguk. Anissa yang berada di pangkuan Arman diambil. Tanpa berbicara sepatahpun, Arlisa bangun dan naik ke atas kamarnya. Arman, Paty dan Puan Murni ditinggalkan begitu sahaja.

***

Previous: PART 6
Next: PART 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.