Home Novelet Cinta Dia Bukan Arissa 'Raya'
Dia Bukan Arissa 'Raya'
Syaida Ilmuna Ismail
18/7/2014 22:10:11
43,236
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
PART 6

6

MULUT Anissa yang menguap kecil ditutup dengan jari telunjuk Arlisa. Nyenyak anaknya tidur di katil kecil yang terletak di sudut bilik itu. Melihat wajah Anissa membuatkan hati Arlisa yang sedikit tegang tadi jadi tenang semula. Benarlah kata orang, melihat wajah anak-anak kecil mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau berduka.

Arlisa berpaling ke jendela biliknya. Kelihatan kenderaan Adam, Mercedes SLS mula memasuki perkarangan rumah. Suaminya yang keluar dari pagi tadi bersama Arman, baru pulang ke rumah. Entah apalah berita yang dibawanya. Entah hati si Adam itu masih lagi berbahang amarah ataupun sudah sejuk semula. Walau bagaimanapun, hati Arlisa masih lagi terluka. Dia memalingkan wajahnya dari menatap jendela dan kembali merenung wajah Anissa.

Adam pantas mendaki tangga naik ke tingkat atas. Kakinya berjalan laju menuju ke kamarnya sendiri. Namun sebelum dia memulas tombol pintu, matanya beralih pada kamar dia dan Arlisa yang sedikit renggang. Hati Adam tiba-tiba rasa sayu. Benarkah tindakannya memarahi Arlisa tadi? Ya ALLAH… Arlisa mesti terluka!

“Lisa…” Adam menguak pintu bilik yang renggang itu buka. Kelihatan Arlisa yang sedang berdiri di tepi katil kecil Anissa berpaling. Wajah Arlisa masam kelat.

“Anissa dah tidur ke?” tegur Adam sekadar berbasa-basi. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menangkup semula hati Arlisa yang terluka. Dari raut wajah isterinya, Adam tahu Arlisa tidak mahu berbicara dengannya.

Arlisa yang berjubah merah jambu berjalan ke birai katil. Dia duduk memalingkan wajah dari Adam. Nak memujuklah tu! Tak apa… kita kena jual mahal sikit!

“Marahkan I lagi?” Adam duduk di sebelah Arlisa. Bahu isterinya ditepuk perlahan.

Arlisa diam. Air matanya bergenang di kolam mata. Sakit hatinya apabila orang yang dia cintai langsung tidak mengendahkannya tadi. Sekarang ni tiba-tiba pula nak berbaik-baik. Hmm!

“I minta maaf. I tahu… I salah. I marah you. I memang tak boleh nak kawal kemarahan I sebab I risaukan you dan anak-anak. Maafkan I ya?” ujar Adam tulus.

“Tak apalah… I dah maafkan.” Arlisa bersuara sebak. Air matanya yang mula meleleh ke lurah pipi dilap pantas. Egonya tadi perlahan-lahan mengecil.

Adam yang menyedari isterinya menangis cepat-cepat turun dari katil dan duduk melutut di hadapan Arlisa. Ibu jarinya pantas mengesat air mata Arlisa.

Don’t cry… Rasa bersalah I makin bertambah kalau you menangis.” Tangan Arlisa dicapai Adam lalu dia menyambung bicaranya. “I love you. How could I hate you if I couldn’t live without you, Lisa? You adalah suatu perkara yang terindah dalam hidup I. I am sorry because…I tak boleh jadi seorang suami yang sempurna untuk you. I ni pemarah, ego tinggi…”

“Hmm…” Arlisa tersedu-sedan. Segala kata-katanya tersekat di hujung lidah. Air mata masih membasahi pipi.

“Tak nak menangis lagi please? You lagi kuat menangis dari Anissa!” gurau Adam.

“Mana ada!” Arlisa menepuk lengan Adam. Ish! Sempat aje dia perli aku tau. “You janji jangan marah I lagi?”

“I janji sayang. I tak marah you lagi. Tapi you kena janji dengan I juga.”

“Apa dia?” Arlisa mengerutkan wajah. Hujung tangan jubahnya diangkat untuk menyeka air mata yang hampir kering.

“Jangan buat sesuatu perkara tanpa pengetahuan I. Lain kali beritahu I… Insya-ALLAH, kita boleh selesaikan semua masalah dengan cara yang baik dan tenang,” pesan Adam serius.

Arlisa mengangguk-angguk laju tanda akur dengan arahan Adam. “Dahlah… dekat 7.30 dah. Pergilah turun untuk berbuka.”

“Okay. I turun dulu tau. You jaga Anissa elok-elok,” ucap Adam yang bangun dari simpuhannya. Dia kemudian mencuit hidung Arlisa lembut.

***

ARLISA yang sedang nyenyak tidur terjaga apabila telefon pintarnya berdering. Dikalihkan kepalanya melihat Adam yang sedang tidur lena di sisi. Siapa pula yang telefon malam-malam begini?

Arlisa turun dari katilnya dan mencapai telefon pintar di meja kopi. Nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefonnya. Tanpa teragak-agak, Arlisa menjawab panggilan tersebut.

“Hello?” ucap Arlisa berbisik.

“Lisa. Aku nak jumpa kau sekarang.”

Suara parau itu amat dikenali Arlisa. Apa yang dia nak lagi? Berani dia telefon aku malam-malam begini!

“Nak apa lagi ni, Kamal?” soal Arlisa perlahan namun dalam nada yang tegas.

“Jumpalah sekejap. Aku nak beritahu kau sesuatu perkara yang penting mengenai duit yang aku minta tu,” pujuk Kamal.

Arlisa tidak membalas kata-kata Kamal. Matanya dipicingkan ke arah Adam yang kuat berdengkur. Hatinya jadi berbelah bahagi. Nak kejut Adam atau tidak?

“Lisa? Kau dengar tak ni? Aku tunggu kau dekat belakang pagar rumah kau tu. Cepat! Aku beri masa sepuluh minit aje! Kalau lambat… kau tahulah apa yang aku nak buat nanti!” Kamal mula menggertak Arlisa. Degil! Bukan mudah nak meyakinkan si Arlisa ni.

“Okay… tapi sekejap je. Aku tak boleh nak jumpa kau lama-lama. Kalau ikutkan hati aku dah lama aku telefon polis tau,” kata Arlisa resah. Ya ALLAH, aku terpaksa tipu Adam lagi! Kalaulah dia tahu ni… matilah aku!

“Jangan berani-berani nak telefon polis. Kalau kau nak Adam dan baby kau tu selamat… baik kau dengar aje cakap aku!”

“Lagi seminit aku turun…” Arlisa pantas mematikan telefon. Kakinya menjengket ke almari dan mengeluarkan sehelai kot hitam tebal paras lutut. Perlahan-lahan pintu kamar dibuka dan Arlisa berjalan keluar ke koridor.

Sebaik sahaja Arlisa keluar dari pintu belakang rumah, cuaca sejuk mulai menggigit badannya. Astaghfirullah, boleh sakit badan kalau tak jaga diri betul-betul ni! Namun kakinya digagahkan jua melangkah. Kelihatan kelibat Kamal berdiri di tepi tiang lampu berhadapan dengan jalan belakang rumahnya.

“Datang juga kau ye…” Kamal tersengih-sengih. Arlisa sudah masuk perangkap!

“Kau nak apa? Kan ada lagi dua hari sebelum suami aku beri duit tu,” ujar Arlisa tanpa memandang ke wajah Kamal.

Kamal masih lagi tersengih. Tangan kanannya merayap pada bahu Arlisa.

“Eh? Apa ni?” Arlisa pantas menepis tangan gatal Kamal. Matanya menjegil marah. Apa yang dia nak malam-malam macam ni?

“Alah… nak sentuh sikitpun tak boleh…” Tangan Kamal galak bergerak. Kini ke rambut Arlisa dan lengan wanita itu.

Arlisa bergerak dua tapak jauh dari Kamal. Dia tidak sedap hati. Ada yang pelik dengan sikap Kamal. Kenapa dia bertindak begitu kepadanya? Ya ALLAH, apa yang aku dah buat ni?

“Kamal! Kau dengar sini baik-baik ya… Kalau kau tak ada benda nak cakap dengan aku, baik kau pergi je dari sini! Aku takkan teragak-agak untuk call polis sekarang juga dan tangkap kau.” Arlisa memberi amaran. Tangannya sudah bersedia dengan kepal tumbukan. Berpantang tak berpantang! Kalau Kamal cuba buat yang tak elok kepadanya, kepal tumbukan ini akan menyinggah ke muka lelaki durjana ini.

“Relaks Arlisa… aku datang ni cuma nak beritahu yang… aku dah tak nak ugut kau lagi. Aku dah dapat job yang lumayan dan lebih baik dari ugut-mengugut ni. So, I’m here to say goodbyedan selamatlah dalam kehidupan berumah tangga,” bicara Kamal dalam nada menyindir.

Entah mengapa Arlisa kurang percaya dengan kata-kata Kamal walaupun hatinya terasa sedikit lega. Mengapa tiba-tiba berubah fikiran? Seperti ada yang tidak kena di mana-mana…

So apa lagi yang kau tercegat Lisa? Balik masuk rumahlah ye… mak aku dulu cakap tak baik perempuan tengah berpantang keluar malam-malam macam ni,” sindir Kamal lagi kepada Arlisa. Hatinya tidak tahan menahan tawa. Mudah benar Arlisa yang lugu ini ditipu olehnya.

Arlisa merenung Kamal tajam. Hatinya panas bagai disalai. Apa sebenarnya muslihat dia?

“Semoga kau akan tertangkap nanti, Kamal. TUHAN tu Maha Adil. Kau takkan terlepas!” Arlisa perlahan-lahan berundur ke belakang dan masuk semula ke dalam pagar rumahnya. Kelibat Kamal yang mula berlari-lari anak menuju ke motosikal yang diparkirnya di hujung jalan itu ditenung lama sehingga hilang dari pandangan. Apabila hatinya sudah lega, barulah Arlisa masuk semula ke dalam rumah.

***

Previous: PART 5
Next: PART 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.