Semua
warga Villa Mawar Putih sudah berkumpul sejak pagi tadi. Mak Siti sudah
beberapa kali mengesat air matanya yang merembes tatkala terkenangkan nasib
malang yang menimpa Irdina. Sungguh mereka tidak tahu menahu ke mana Irdina
menghilangkan diri. Sejak malam tadi tidak pulang-pulang. Telefon bimbitnya
juga tidak dapat dihubungi. Faris pula dari tadi asyik murung. Mesyuarat di
Mawar Putih Resort petang itu terpaksa ditangguhkan gara-gara Irdina. Dia nekad
mahu melaporkan kehilangan Irdina pada pihak polis setelah cukup 24 jam
menjelang malam nanti.
“Ke manalah Cinderella ni pergi, tak balik-balik lagi. Risaunya
hati Mak Siti. Cinderella tak pernah ke mana-mana tanpa bagitahu Mak Siti. Mak
Siti pun dah anggap Cinderella macam anak kandung Mak Siti. Kalau ada apa-apa
yang buruk berlaku pada Cinderella, Mak Siti yang paling risau. Cinderella,
baliklah,” ujar Mak Siti.
Sesekali Mak Siti mengesat air mata yang basah di pipi dengan
hujung lengan baju kedahnya.
“Budak ni memang menyusahkan orang aje. Dah berapa kali saya cakap
pada dia, di villa ni ada undang-undangnya. Kalau nak pergi merayau ke
mana-mana pun, sekurang-kurangnya bagitahulah. Ni tak. Tiba-tiba aje menghilang
begini. Menyusahkan orang betul. Buat orang risau aje, hishh...,” ujar Sarah.
Tangannya dicekakkan di pinggang. Lengan baju kebayanya sudah
disinting ke paras siku.
“Undang-undang apa pulak yang awak dah bagitahu pada dia ni Sarah?
Saya yakin Cinderella selamat. Agaknya telefon bimbit dia habis bateri kot,
sebab tulah dia tak dapat hubungi kita. Yang penting, kita doakan yang
baik-baik untuk dia. Awak Sarah, kalau dia dah balik nanti, jangan dimarah
budak tu. Dengar dulu penjelasan dia. Pasti ada sebab musababnya kenapa dia tak
balik malam tadi,” ujar Rizman pula.
Serta-merta Sarah mencebik muka masam. Suaminya, kalau pasal
Cinderella, ada saja hal yang nak dimenangkan.
“Ya la.Ya la…,” ujar Sarah, geram.
Bunyi pintu gril belakang rumah dibuka menarik perhatian semua
warga Villa Mawar Putih. Mak Siti terus saja menerpa ke luar dapur. Anak matanya menangkap sesusuk tubuh
Cinderella yang begitu lemah. Orang yang memimpin tangan Irdina jadi tumpuan
anak matanya kini. Puas dia memandang sesusuk figura itu atas dan bawah. Wanita
yang turut bersama mereka juga turut mencuri perhatiannya. Lambat-lambat Mak
Siti membalas senyuman wanita itu.
“Assalamualaikum. Saya Yati. Saya hanya hantarkan mereka di sini
aje. Saya minta diri dulu ya,” ujar Mak Yati sambil menghulurkan salam.
Mak Siti menyambut salam Mak Yati. Lama dia merenung wajah polos
Haryati. Walaupun Haryati sudah tampak kelihatan berumur, namun Mak Siti tidak
dapat menipu yang wajah Haryati seperti biasa dilihat. Cuma dia tidak ingat di
mana. Mak Siti merenung wajah Irdina. Kemudian, renungannya singgah kembali ke
wajah Haryati. Hatinya rasa terusik tiba-tiba. Dia sendiri pun tidak tahu
kenapa.
“Yati singgahlah dulu. Penat datang jauh-jauh hantarkan Cinderella.
Marilah masuk minum dulu,” pelawa Mak Siti.
Haryati tersenyum-senyum. Rendah diri sungguh dia mahu menjejakkan
langkah ke rumah agam yang tersergam indah itu. Sempat juga anak matanya
singgah pada taman mawar putih yang penuh dengan mawar putih yang sedang
mengembang lebat.
Sejenak itu dia terimbau kenangan bersama suaminya dulu. Namun
imbauan kenangan itu serta-merta ditepis jauh-jauh. Tidak mahu mengundang
gerimis di hati.
“Eh tak apalah mak cik. Saya ada urusan lain. Saya minta diri dulu,
ya. Dina banyakkan rehat. Nanti dah sembuh, boleh jumpa Mak Yati lagi di kampus,”
ujar Mak Yati lagi.
“Mak Yati, kalau ini rumah saya, pasti saya akan paksa Mak Yati
singgah. Tapi ini rumah majikan saya,” ujar Irdina lagi dengan wajah yang
mendung.
“Eh, tak apa. Mak Yati faham. Mak Yati tak kisah pun. Dah puas hati
Mak Yati dapat temankan kamu hingga kamu selamat sampai di rumah ni. Baiklah,
Mak Yati minta diri dulu ya,” ujar Mak Yati sekali lagi.
“Terima kasih banyak, Mak Yati,” ujar Irdina lagi.
“Terima kasih pada Allah, nak. Dia yang tolong kamu,” ujar Mak Yati
lagi.
Setelah bersalam, Mak Yati pun kembali ke teksi yang dinaiki mereka
tadi. Tangan Irdina kini dipimpin Mak Siti. Manakala Ariyana pula menjinjing
barang-barang Irdina masuk ke dalam rumah.
“Oh terlupa pulak. Mak Siti, kenalkan. Ini kawan sekampus Dina,
Ariyana,” ujar Irdina.
Malu-malu Ariyana menghulurkan salam pada Mak Yati.
“Oh, Ariyana ke namanya. Mak Siti ingatkan tadi kawan kamu ni
jantan. Namanya cantik. Lain benar dengan rupanya. Ish… Ish...” Sempat lagi Mak
Siti berleter. Ariyana hanya tersengeh bagai kerang busuk.
“Mak Siti boleh panggil saya Arie,” ujar Ariyana lagi sambil mengenyitkan
mata.
“Ish, nama elok-elok mak bapak kamu bagi, nama Arie jugak yang kamu
suh orang panggil kamu. Tak faham lah Mak Siti dengan kamu ni.” Sekali lagi Mak
Siti berleter.
“Ala Mak Siti, nama Arie, barulah dengar rock sikit, heh… heh...,” ujar
Ariyana seraya mengangkat jari tanda piece .
“Hm.. Ya la. Jomlah masuk. Baik betul kan Yati tu. Sampai ke sini
dia temankan kamu balik,” ujar Mak Siti.
“Mak Yati yang selamatkan saya malam tadi Mak Siti,” ujar Irdina.
“Selamatkan kamu? Apa dah jadi pada kamu?” soal Mak Siti lagi.
Tangan Irdina dipimpin hingga ke dalam bilik Irdina. Rizman, Sarah
dan Faris hanya memerhati dari ruang tamu. Setelah Irdina berbaring di katil,
dia pun menceritakan apa yang telah berlaku.
Sejak Mak Siti memimpin Irdina masuk ke biliknya tadi, sejak itu
juga anak mata Faris tidak berkalih arah. Hanya memerhatikan balutan luka pada
tangan dan kaki Irdina. Dirinya serta-merta dipagut kerisauan. Hatinya melonjak
mahu tahu apa sebenarnya yang telah menimpa Irdina. Rasa bersalah juga kerana
membiarkan saja Irdina pulang lewat malam sendirian. Tapi dia hairan sendiri
melihat gadis tomboy yang turut pulang bersama Irdina.
“Ha kan saya dah cakap, mesti ada sesuatu yang buruk yang berlaku
pada Cinderella. Sebab itulah dia tak balik-balik malam tadi. Awak tu jangan
nak fikir yang bukan-bukan,” ujar Rizman.
“Ala… Kalau ye pun, takkanlah dia tak boleh telefon kita guna
telefon awam kalau telefon bimbit dia tak ada bateri pun? Abang ingat saya tak
risaukan dia ke? Dah la dia tu anak dara. Kalau berlaku apa-apa, kita juga yang
akan dipersalahkan nanti. Abang tengok la budak tomboy macam tu pun dia boleh
buat kawan. Entah apa lagi yang dia dah buat kat luar sana, kita tak tahu,”
ujar Sarah lagi.
Mendengar kata-kata Sarah itu, hati Faris turut terjentik.
‘Mama,
Cinderella bukan anak dara. Cinderella ada suami. Is suami Cinderella, mama. Is
yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap Cinderella.’
Serta-merta kesal pula mula menjalari hati Faris. Bukan kehendaknya
mahu berlama-lama merahsiakan status Cinderella. Bahkan dia sedang menunggu
kesediaan Cinderella untuk menjadi isterinya. Mak Siti keluar dari bilik
Irdina. Dia meninggalkan Irdina, agar Irdina boleh berehat. Ariyana pula serta-merta
meminta diri setelah memastikan Irdina sudah tidur. Mak Siti melangkah ke ruang
tamu. Majikannya masih berada di situ. Mereka memang menunggu khabar berita
Cinderella darinya.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku pada Cinderella, Mak Siti?” soal
Rizman.
“Hm… Cinderella diragut, Tuan. Mujur ada seorang staf cleaner yang
bekerja di kampus waktu tu. Dia yang selamatkan Cinderella. Tapi, saya tengok
banyak juga kesan luka-luka pada muka, badan, tangan dan kaki Cinderella tu.
Saya pun rasa dia macam dalam trauma. Sebab waktu dia ceritakan apa yang
berlaku pun, bergenang air mata dia menahan sebak. Ya la, siapa yang sangka
akan jadi mangsa ragut. Nasib baik peragut tu tak buat apa-apa perkara yang tak
senonoh pada dia,” ujar Mak Siti menamatkan cerita.
Mendengar apa yang berlaku, Faris dihuni rasa bersalah. Irdina
tanggungjawabnya. Sepatutnya dia yang melindungi Irdina.
‘Mawar
sayang, maafkan abang.’
“Mak Siti, siapa pengkid yang hantar Irdina balik tu? Ish, macam
manalah budak Dina tu boleh berkawan dengan budak tak senonoh macam tu.” Sarah
mencemikkan wajah.
“Oh, itu kawan Cinderella. Namanya Ariyana. Ariyana pun ikut tolong
hantarkan Cinderella tadi. Cik Puan, kita jangan menilai hati orang denga
melihat penampilan luarannya. Penampilan luaran seseorang tidak mencerminkan
apa yang tersemat di hatinya. Kadang-kadang rupa aje nampak baik, sopan, tapi
hatinya penuh dengan pra sangka dan benci.”
Kata-kata berbau sindiran itu seperti mengenai tepat ke batang
hidung Sarah. Serta-merta Sarah terdiam.
Dari
air muka Faris, Rizman dapat mengagak apa yang terdetik di hati Faris. Dia pasti
anak lelakinya itu pasti sangat risaukan Cinderella.
“Cinderella dapat cuti tak, Mak Siti?” soal Rizman pula.
Serta-merta Sarah memandang rapat raut wajah suaminya. Hatinya
terdetik, pasti ada sesuatu lagi yang mahu dirancang suaminya untuk gadis itu.
Mak Siti mengangguk.
“Ya Tuan. Cik Cinderella dapat cuti dua minggu memandangkan hampir
seluruh tubuhnya ada kesan luka dan dia mengalami trauma,” ujar Mak Siti lagi.
Rizman menganggukkan kepala. Telahan Sarah Rizman sedang memikirkan
sesuatu.
“Macam ni la Mak Siti. Saya bagi Mak Siti cuti bergaji seminggu.
Mak Siti bawalah Cinderella balik ke kampung Mak Siti, agar Cinderella boleh
tenangkan hati di sana,” ujar Rizman lagi.
Bagai nak melompat Mak Siti saat itu. Senyumannya sudah sampai ke
telinga.
“Betul ke Tuan? Kalau macam tu saya akan bawa Cinderella pulang ke
kampung saya.Insya-Allah, saya akan jaga dia hingga dia pulih,” ujar Mak Siti
bersungguh-sungguh.
“Mama, papa, segala perbelanjaan Cinderella di kampung Mak Siti
nanti, biar Is yang tanggung. Yang penting dia cepat pulih,” ujar Faris.
Semua mata mengarah ke wajah Faris. Sarah mengerutkan wajah.
“La… Kenapa pulak Is yang susah payah nak tanggung perbelanjaan
budak Cinderella tu? Kan dia dah ada gaji dan elaun bulanan belajar. Biar aje
la dia yang tanggung sendiri,” ujar Sarah lagi.
“Mama, Is rasa bersalah dengan apa yang telah berlaku pada
Cinderella. Kan Is yang bawa dia kerja di sini. Sepatutnya keselamatan dia di
sini dan di tempat belajar dia pun Is yang perlu bertanggungjawab. Jadi untuk
tebus rasa bersalah Is, biarlah Is tanggung perbelanjaan dia sepanjang dia di
kampung Mak Siti. Is ingat, Is pun nak ikut juga ke kampung Mak Siti tu,” ujar
Faris.
“Eh, yang kamu nak ikut ke sana jugak buat apa? Dia bukannya bini
kamu. Kamu tak payah nak sibuk-sibuk ambik berat hal dia,” ujar Sarah lagi.
“Ish kamu ni Sarah. Biarlah Is buat apa yang dia rasa dia nak buat.
Kan tadi dia dah cakap, dia nak tebus rasa bersalah dia pada budak Cinderella
tu. Abang rasa tak salah pun. Mak Siti pun tak kisah kan?” soal Rizman pula
pada Mak Siti.
Kali ini Mak Siti bukan hanya setakat tersenyum hingga ke telinga,
bahkan senyumnya sudah meleret-leret.
“Pucuk dicita ulam mendatang. Saya berbesar hati sangat kalau Tuan
Muda pun nak ikut ke kampung saya. Cuma di kampung saya hanya ada sungai dan
hutan. Banyak nyamuk dan unggas. Tak macam kat bandar ni,” ujar Mak Siti
merendah diri.
“Baguslah kalau kampung Mak Siti tak macam bandar, lagi saya suka.
Saya pun dah lama tak tenangkan fikiran ni. Boleh juga hirup udara segar di
kampung Mak Siti,” ujar Faris lagi.
“Kerja-kerja di pejabat kamu dah selesai ke?” soal Sarah lagi.
“Hal pejabat, setakat ni insya-ALLAH dalam kawalan. Tak ada yang
perlu diselesai segera. Hanya masalah kecil tentang komen pelancong berkenaan
servis bilik aje. Tu semua dah dibincangkan jalan penyelesaiannya dalam
mesyuarat minggu lepas,” ujar Faris lagi.
Mendengar kata-kata Faris, Sarah hanya terdiam.
“Kalau macam tu, biarlah Mak Siti bagitahu Cinderella dulu pasal
hal ni. Mak Siti pun nak cepat-cepar berkemas. Tuan Muda, kita kena bertolak
sebelum petang. Kalau terlewat nanti sampai malam, susah sikit nak lalu jalan
kampung. Gelap,” ujar Mak Siti.
“Eh, kita nak bertolak tengahari ni jugak ke Mak Siti? Tak boleh
tunggu esok?” soal Faris sambil menggaru kepalanya.
“Lagi cepat Cindralela sampai sana, itu lagi baik,” ujar Mak Siti
lagi.
Perlahan-lahan Faris mengangguk.
“Ya la… Ya la…,” ujar Faris lagi.
“Sebelum bertolak, Is pastikan hal urusan pejabat semuanya dalam
kawalan. Masuk kampung orang, jaga tingkahlaku. Dengar cakap Mak Siti ni,” ujar
Rizman lagi.
“Insya-ALLAH, baiklah papa,” jawab Faris lagi.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu sudah terbit dan berada di pasaran.
Dapatkan novel ini di toko-toko dan kedai-kedai buku berhampiran anda. Selamat
membaca..JJ
~ Annur Iman ~