Home Novel Thriller/Aksi MANGSA
BAB 8: INTIP

Dalam pejabat Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Kuala Perlis

Pegawai Kastam Kanan (PiKK), Mohd Ali Atan sedang berbincang dengan pegawai-pegawai UPP yang lain mengenai gerakan untuk melakukan rondaan di sekitar pantai Kurung Tengar dan Sungai Baru. Mereka membincangkan strategi yang perlu bagi melaksanakan tugas.

        Komander UPP Kuala Perlis, Tuan Che Ani baru pulang dari mesyuarat dengan lain-lain agensi di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang telah diadakan pada waktu pagi. Berbagai isu telah dibincangkan berhubung kawalan terhadap Skim penjualan diesel bersubsidi kepada nelayan-nelayan serta penguasaha bot perikanan yang berdaftar dengan Pertubuhan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

“Banyak isu berkaitan penyelewengan subsidi diesel sekarang ini berlaku,” tutur Tuan Che Ani.

“Tuan, pemantuan yang lebih kerap perlu dilakukan ke atas bot-bot nelayan yang menikmati diesel bersubsidi, “ cadang Pegawai Kastam, Nazam Jaafar.

“Tuan punya bot dan nelayan yang menikmati diesel bersubsidi tentu mempunyai rekod. Kita boleh periksa rekod belian mereka,” cadang PiKK Mohd Ali.

PiKK Mohd Ali turut memaklumkan berkenaan satu aktiviti yang mencurigakan berlaku di pantai Kurung Tengar di mana sebuah bot ikan didapati menjalankan kerja-kerja mengangkut barangan yang dibungkus dengan plastik hitam.  Barangan itu disyaki barang yang diseludupkan berdasarkan masa dan tempat proses itu berlaku.

"Tuan, kita sedang mengesan satu aktiviti di luar kawasan pendaratan yang sah, di kawasan pantai Kurung Tengar," tegas PiKK Mohd Ali. Beliau yang juga seorang qari dan melibatkan diri dalam aktiviti kerohanian melalui Badan Kebajikan Kastam Islam Malaysia (BAKISKA) kelihatan tenang memberi laporan kepada ketuanya.

“Tuan! Pasukan sudah membuat intipan.” Mohd Ali memberi maklum kepada Komander UPP Kuala Perlis, Tuan Che Ani.

“Bagus! Teruskan intipan. Kita akan lakukan serbuan apabila keadaan jelas. Sekarang ini kita belum dapatkan lagi ‘kaki’ yang hendak menerima barang berkenaan.

“Baru kita tahu rangkaian mereka,” Tuan Komander UPP terus memberi arahan.

“Baik Tuan. Pasukan akan terus membuat intipan hingga kita berjaya mengumpul maklumat berkenaan gerakan mereka. Saya sudah mengarahkan anggota bersiap sedia melakukan intipan,” balas Chief Mohd Ali.

Pandangan seorang Komander yang banyak pengalaman itu difahami oleh Pasukan UPP Kuala Perlis.

UPP adalah sebuah pasukan “Task Force’, terdiri daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Imigresen Malaysia. Mereka melaksanakan tugas-tugas berkaitan pencegahan penyeludupan yang dikuatkuasakan melalui Akta Kastam 1967, Akta Polis dan Akta Imigresen. Berbagai-bagai kesalahan yang dilakukan oleh orang yang disyaki (OYDS) boleh didakwa di mahkamah mengikut agensi-agensi berkenaan.

Kebanyakan kawasan sempadan antarabangsa Malaysia ditempatkan Pasukan UPP sebagai penyokong kepada pasukan keselamatan dan pasukan Polis sedia ada.

Pasukan ini juga telah berjaya mematahkan penyeludupan beras yang dibawa masuk melalui bot-bot panjang dari Thailand melalui jalan air. Bot panjang berkuasa enjin kecil yang dikenali ‘enjin ekor panjang’ sering berulang-alik membawa penumpang dan barang-barang dagangan dari Wilayah Satun di Selatan Thailand. Hubungan dagang dan hubungan kekeluargaan di Antara penduduk Kuala Perlis dan Wilayah Satun, bukanlah suatu perkara baru. Ia telah berlaku sejak berkurun lamanya. Kerancakan perdagangan di Antara Kuala Perlis dan Satun bertambah apabila Kuala Perlis menjadi pelabuhan utama.

Seawal jam enam pagi, tekong-tekong bot panjang telah sampai dan mendarat di Jeti Penumpang Kuala Perlis, di Jabatan Laut yang turut menempatkan pejabat Imigresen dan pejabat Kastam, bagi tujuan pemeriksaan penumpang dan barangan. Kuala Perlis menjadi pintu keluar utama bagi pengeksportan barangan makanan dan keperluan harian penduduk wilayah selatan Thailand, terutamanya Satun, yang dikenali dengan nama asal sebagai ‘Setul’. Satun atau Setul adalah wilayah Kedah yang telah hilang di bawah Perjanjian Inggeris-Siam yang telah ditandatangani pada tahun 1909. Jadi tidak hairanlah, jika perhubungan dagang dan persaudaraan masih kekal di Antara penduduk Kampung Seberang Ramai, Kampung Seberang Tok Pi dan Kampung Seberang Alor, Kampung Tandiap serta kampung-kampung lain, yang berdekatan.

**

Pelanduk selalu lupa pada jerat tapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Kegiatan penyeludupan yang dilakukan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab akhirnya dapat dihidu oleh anggota penguatkuasa tertamanya anggota dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dari Bahagian Pencegahan dan anggota Kastam dari UPP. Kedua-dua pasukan ini sentiasa memantau aktiviti penyeludupan melalui rondaan jalan darat dan laut. 

[bersambung...]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.