Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,394
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4

Bella Rosa II

“ Bila keluar?” Izz menyoal perlahan. Kopi panas yang dihidangkan oleh Adni sudah hampir kosong namun tidak banyak perkataan yang keluar dari bibir kedua-dua mereka. Dia dapat merasakan Dzar melirik memandangnya dan dalam sekelip mata juga, pandangan itu beralih arah.

“ 8 bulan lepas,” jawab Dzar dengan lebih perlahan sekali gus menyebabkan mata helang Izz tidak semakin merenungnya tajam.

Damn it Dzar!” Izz ingin menyumpah kuat namun suaranya hanya kedengaran bertambah dalam.

“ Dah 8 bulan kenapa baru beritahu aku?” Soalnya lagi dengan rasa tidak puas hati. Dia masih ingat lagi pertemuan terakhir mereka. Dia berpegang pada janjinya tetapi bagaimana Dzar boleh...? Izz menggeleng penuh kesal.

“ Bila kau cakap jangan datang...aku ikut cakap kau. Aku hormat kehendak kau. Aku terima walaupun aku tak setuju. Aku pegang janji bila kau cakap kau akan cari aku. Tapi...!” Kata-katanya terhenti di situ sebelum dia menyambung kembali.

“ Aku pegang janji, Dzar. I keep my words,”balasnya bersungguh-sungguh.

Dzar hanya tertunduk malu. Dia tahu sememangnya dia yang bersalah dalam perkara ini. Bukan dia tidak tahu manusia bernama Izz Karami ini cukup berpegang pada janji-janjinya. Tetapi bagaimana harus dia jelaskan kepada lelaki yang sudah dia anggap seperti saudaranya ini? Izz yang masih belum puas melontarkan amarah menjadi kendur seketika apabila melihat sesuatu pada wajah itu.

Jelas sekali Dzar Thalha itu sedang berperang dengan perasannya. Mirror image..desis hatinya tatkala air muka itu dijamahnya. Sama seperti wajahnya dahulu. Dan ketika itu Izz sedar bahawa, apa pun segala hantu demon yang melanda dan menyebabkan kekacauan jiwa lelaki di sampingnya ini masih belum berakhir. Kisah silam itu masih belum luput lagi nampaknya.

“ Kau ok?” Soalnya dengan penuh berhati-hati. Dzar menoleh ke sisi dan berkira-kira sama ada dia harus berterus-terang sahaja. Namun memikirkan itu Izz, jadi dia hanya akur sahaja. Tidak perlu berbohong. Izz tentu tidak akan percaya. Izz terlalu mengenali dirinya untuk dia berbohong.

I’m in my darkest place, Izz...” akuinya jujur.

Izz mengeluh perlahan. Dengan hanya enam patah perkataan itu sesungguh dia benar-benar memahaminya.

“ Kau dah balik rumah?” Perbualan diteruskan kerana ini sahajalah peluang dia untuk memahami isi hati lelaki yang pernah akrab dengannya dahulu.

Dzar menggeleng. “ Belum.”

“ Jadi keluarga kau tak tahu kau dah keluar? Atau kau dah beritahu cuma kau tak balik?” Izz kaget. Bukan dengan dia sahaja Dzar berahsia rupanya.

“ Dia orang tak tahu. Aku tak pernah jumpa mereka selama ni, Izz.” Perlahan dan jauh sahaja nada suaranya ketika menuturkan ayat itu. Entah apa yang sedang difikirkan dengan riak wajah sebegitu, Izz tidak dapat menelahnya cuma dia tergamam mendengar jawapan yang diberikan. Dzar tidak berguraukah? Dia tidak serius bukan? Masakan...? Izz bingung.

“ Kenapa Dzar?” Dia menyoal kesal. Tidak menyangka keputusan ini yang diambil oleh sahabatnya. Dahulu semasa mereka sama-sama menghuni tirai besi itu, dia sedar tak ada sesiapa pun yang pernah datang melawat Dzar. Bukan tidak ada yang datang cuma Dzar enggan untuk berjumpa dengan sesiapa. Fikirnya, mungkin Dzar memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharunya. Namum lama-kelamaan dia akan mengalah juga bila rindu hadir dalam jiwa. Tetapi sungguh dia tidak menyangka...Dzar tegar dengan keputusannya.

“ Bila aku dah sedia nanti...aku akan balik. Tapi bukan sekarang.” Putus Dzar tegas menandakan perbualan mereka itu sudah berakhir. Izz tidak terkata apa-apa. Dia tahu jika dia terus mendesak, keadaan akan bertambah keruh. Buat masa ini, dibiarkan sahaja Dzar mencorak hidupnya sendiri.


Vila Akasia, Shah Alam

“ Hah dah balik pun kau.” Belum sempat dia memegang tombol, pintu kayu itu sudah terbuka dari dalam dan suara ibu tirinya itu melengking kedengaran. Ara mendongak seketika sebelum dia kembali menundukkan wajah.

“ Orang banyak kerja hari ni,” jawabnya terus berlalu masuk tanpa mempedulikan Zahrah yang sedang berdiri mencekak pinggang memandangnya dengan geram. Jawapan itu ternyata membuatkan Zahrah semakin berang. Ara yang sedang mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas ditariknya kasar.

“ Aku kan dah cakap, hari ni kau kena balik awal. Dah berpuluh-puluh kali aku pesan aku ada appoinment hari ni. Sekarang sebab kau, temujanji aku kena batal. Kau tahu tak?” Zahrah seperti singa kelaparan memuntahkan kemarahannya. Mendengar kata-kata itu, Ara mengangkat mukanya merenung wajah ibu tiri yang menggantikan tempat arwah ibunya semenjak 20 tahun yang lalu.

“ Orang kan dah cakap, orang memang tak boleh balik awal. Orang nak kena siapkan tempahan kat kedai. Majlis dia esok, Mak Da. Dah berpuluh kali jugak orang cakap, tapi Mak Da yang tak nak dengar,” balasnya dengan nada yang lebih lembut tetapi tegas. Dia tidak mahu menerima kesalahan dalam perkara ini.

Dia sememangnya tidak bersalah. Lagipun untuk apa dia perlu pulang awal sedangkan tiada siapa yang perlu dijaganya. Dan sudah berkali-kali dia menyatakan minggu ini dia sibuk dengan urusan tempahan kek di kedainya, jadi sememangnya dia tidak boleh melakukan apa yang diminta. Lagipun Mak Da mempunyai kenderaan sendiri, jadi kalau mahu ke mana-mana pergi lah saja. Tidak perlu menunggu dia pulang bukan?

Zahrah yang dipanggil Mak Da itu semakin merah muka. Entah mengapa dia cukup berbulu dengan anak tirinya yang seorang ini. Kalaulah dia mempunyai kuasa, mahu sahaja dilenyek-lenyek Ara ini hingga mati. Baru puas hatinya.

“ Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Ara. Ingat aku ni siapa? Kalau aku suruh kau balik awal..balik awal sajalah. Kenapa banyak sangat alasan kau ni. Kau tahu tak betapa malunya aku bila aku terpaksa batalkan appointment aku tadi?”

Appointment dekat spa kan Mak Da?” Perli Ara sehingga Zahrah buntang biji matanya. Menggigil jemarinya yang ditunjukkan ke muka Ara. Marah sangat gamaknya kerana pecah tembelangnya.

“ Tiap dua minggu sekali Mak Da ada je appointment dengan spa tu kan? Orang rasa kalau tak pergi sehari pun tak apakan?” Sambungnya lagi dengan sengaja mahu menaikkan darah wanita yang hanya tua 17 tahun daripadanya ini. Wanita yang berjaya mencuri hati bapanya yang ketika itu bersedihan kerana kehilangan isteri buat selama-lamanya.

Azra Qaireena melihat Zahrah mengurut dada dan mengipas dirinya. Dalam hati dia menahan senyum dan rasa ingin ketawa. Mungkin Mak Danya ini tidak menyangka dia akan jadi seberani ini. Sebelum apa-apa lebih baik dia masuk ke bilik dulu. Ibu tirinya ini bukan boleh dilayan dan dilawan. Kelak sampai esok hari pun leteran dan makiannya tidak akan habis.

“ Malam ni kau jangan ke mana-mana. Zahar nak datang,” jerit Zahrah sambil tersenyum kemenangan apabila melihat langkah Ara mati tiba-tiba di atas anak tangga. Dengan perlahan Ara menoleh memandang wajah yang seperti opera cina itu.

Dia beristighfar di dalam hati. Ya ALLAH...berikanlah aku kesabaran dan ketenangan jiwa dalam menghadapi semua ini. Bukankah sudah diterangkan beribu-ribu kali bahawa dia tidak mahu ada kaitan dengan mana-mana lelaki terutamanya lelaki yang bernama Zahar itu.

“ Kalau dia nak datang sini pun ada apa kena mengena dengan orang?” Balasnya selamba sekali gus mematikan senyuman di wajah Zahrah. Ara tahu dia bersikap kurang ajar namun walaupun sudah beratus kali dia berazam mahu berubah namun sebaik sahaja berhadapan dengan Zahrah, azamnya terbang melayang. Yang pasti, dia sememangnya suka mencari fasal dengan ibu tirinya ini.

“ Malam ni abah kau balik. Buatlah perangai kau yang senonoh tu. Tunjuk kat orang tua tu biar dia tahu macam mana perangai sebenar anak kesayangan dia yang tak guna satu sen ni pun,” cemuh Zahrah tidak henti-henti.

“ Abah balik?” Ara terkejut. Bukankah abah hanya akan balik minggu depan. Ini tidak sampai lima hari abah mahu pulang ke sini. Secarik senyuman bahagia terpacar pada wajahnya. Abah balik! Hatinya menyanyi riang. Mood yang menjunam sebentar tadi berubah serta-merta melayang tinggi menerjah ke angkasa.

Kalau benar abah pulang malam ini, jumpa dengan seribu Zahar pun dia sanggup. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia berlari ke biliknya. Zahrah yang melihat wajah ceria itu mencebik bibir. Hatinya penuh dendam kesumat. Senyumlah engkau selagi mampu. Senyumlah kau sepuas-puasnya sebab satu hari nanti, semua itu akan aku lenyapkan daripada hidupmu.

Ara membuka album di hadapannya. Lama dia menatapi kulit album yang berwarna hijau muda itu. Album yang sebolehnya tidak mahu dilihat lagi. Bukan kerana benci tetapi memori yang terdapat di dalam album itu masih tersemat kukuh di dalam kotak ingatannya. Helaian pertama diselak dan matanya menjamah wajah seseorang. Buat seketika matanya terpejam menahan rasa pilu yang tiba-tiba sahaja bertamu dalam jiwa. Wajah ibu yang sudah tiada itu ditatap sepenuh jiwa.

“ Ibu, kalau ibu ada macam mana agaknya hidup kita sekeluarga? Hidup kita pasti bahagia, dan abah pula tak akan jadi asing seperti ini lagi. Banyak yang Ara mahu ceritakan ibu tapi Ara tak tahu kepada siapa yang sudi mendengar cerita Ara. Abah, walaupun sudah berkahwin lain tapi Ara tahu perasaan kasih dan rindunya tetap ada untuk ibu.” Sedang dia mengelamun sendirian itu, pintu biliknya diketuk dan ditolak dari luar. Wajah Tengku Tengku Hanafi tersembul dari luar sekali gus menyebabkan Ara melompat turun dari katilnya.

“ Abah!” Jeritnya penuh kegembiraan. Tubuh lelaki yang menghampiri separuh abad itu dirangkul kemas. Rindunya dia kepada lelaki itu hanya ALLAH sahaja yang tahu. Tengku Tengku Hanafi hanya ketawa melihat tingkah anaknya itu.

“ Kalau abah tahu macam ni excited Ara jumpa abah, lepas ni makin banyaklah abah out station ya...” Usiknya membalas pelukan anaknya dengan mesra. Tanpa sedar jawapannya itu sekali gus menyebabkan senyuman Ara mati dibibir.

“ Abah jangan nak mengada tau. Dalam bulan ni saja berapa hari je kita dapat jumpa. Sudah-sudahlah dengan sibuk abah tu. Arakan dah kerja. Ara boleh jaga abah,” pujuknya tanpa putus asa walaupun dia tahu abahnya tidak akan lut dengan pujukannya. Dari dahulu lagi Tengku Tengku Hanafi itu sudah terkenal dengan sikap ‘workaholicnya’ dan dia tahu, selagi ayahnya belum bersedia, selagi itulah ayahnya tetap akan meneruskan kerjayanya.

“ Abahkan masih muda lagi...abah masih belum bersedia nak berhenti. Lagipun kalau abah duduk sahaja, abah akan bosan. Bila abah bosan..abah akan jadi teringat pada...” Kata Tengku Tengku Hanafi mati di situ dan dia tidak berniat mahu menyambungnya. Rasanya Ara sendiri tahu apa yang ingin dikatakan. Dan ternyata anaknya itu cukup memahami. Ara mengangguk. Ya dia faham. Abah masih belum dapat melupakan ibu walaupun 17 tahun sudah berlalu.

“ Mak Da cakap Zahar nak datang ya kejap lagi?” Tengku Tengku Hanafi mengubah topik perbualan. Sesungguhnya bercakap mengenai kisah silam itu akan membuatkan hati dan jiwa mereka lebih bertambah luka. Ara hanya mengangguk. Mati sudah rasa seronoknya apabila mengingatkan kedatangan yang tidak pernah diundang itu. Tengku Tengku Hanafi yang menyedari perubahan pada wajah Ara mengajak anaknya duduk.

“ Kenapa ni hmmm? Masih tak dapat terima Zahar?” Ara merenung wajah di hadapannya. Mungkin inilah peluang yang terbaik untuk dia berterus-terang tentang apa yang dirasakan selama ini. Dengan sedikit teragak-agak dia bersuara.

“ Abah...boleh Ara tanya sesuatu?”

“ Apa dia, sayang?” Tengku Hanafi menepuk bahu Ara dengan penuh kasih sayang. Sudah besar dan dewasa anaknya ini. Namun jika Ara sudah bercucu cicit sekalipun, anak ini tetap anaknya yang manja dan manis.

“ Tentang ibu!” Soal Ara pendek dan perlahan. Dalam sekelip mata dia melihat ayahnya seperti tergamam. Mungkin tidak menyangka bahawa itu yang hendak ditanyakan kepadanya. Setelah beberapa minit, dan setelah Ara menunggu dengan debaran di dada, barulah dia mengangguk.

“ Tanyalah..,” balasnya dengan nada perlahan. Ara yang mendapat keizinan itu seperti dihembus sedikit kekuatan.

“ Bila...bila pertama kali abah jumpa ibu, apa yang abah rasa? Abah masih ingat lagi perasaan tu?” Soalnya dengan penuh berhati-hati. Dia tahu soalan yang ditanya itu cukup sensitif dan mungkin juga akan membuatkan ayahnya murung berhari-hari. Namun dia terpaksa bertanyakan itu juga. Dan mudah-mudahan jawapan kepada soalannya itu mampu membuatkan ayahnya lebih faham tentang keinginan hatinya.

Tengku Hanafi terdiam seketika. Dalam sekelip mata, kenangan 26 tahun dahulu menyelak langsir ingatan. Memori silam terbayang di mata seumpama layar filem sedang dimainkan. Dan ketika itu wajah Tengku Suhana si manis 17, menyapa pandangan. Dia masih ingat sehingga ke hari ini. Tidak pernah terlupa walapun sesaat.

Walaupun si manis itu sudah pun pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Tengku Hanafi membuka mata dan wajah Ara ditatap dengan penuh perasaan. Dia tahu mengapa Ara bertanyakan soalan itu. Tangannya mengusap rambut Ara dengan penuh perasaan kasih.

“ Abah rasa abah faham apa yang Ara cuba sampaikan. Dan abah boleh terima. Cuma Mak Da yang beria-ia benar mahu bermenantukan Zahar itu. Mungkin kalau Ara mampu buatkan Mak Da faham perasaan sebenar Ara, mungkin Mak Da tarik balik keinginannya itu.”

Ara hanya ketawa mendengar saranan ayahnya itu.

“ Nak cakap dengan Mak Da? Abah tahukan dia dengan Ara macam mana?”

Tengku Hanafi mengangguk sambil mengeluh kesal. Sehingga kini mereka berdua masih belum berbaik-baik lagi walaupun segala usaha sudah dilakukan untuk menjernihkan kembali hubungan yang keruh itu.

“ Abah harap Ara dapat bersabar dengan Mak Da. Abah tahu kadang-kadang Ara tak boleh tahan dengan dia, tapi abah harap sangat yang Ara boleh tahan dan tabah. Entahlah...abah nak cakap pun tak tahu. Kadangkala abah rasa abah ni gagal menjadi suami yang baik. Suami yang tidak mampu mendidik isterinya. Maafkan abah, Ara,” luahnya telus mengakui kesilapan diri.

Ara merenung dengan wajah simpati. Terasa kesal kerana menyebut nama ibu tirinya itu sehingga menyebabkan ayahnya ini bermuram durja. Dia tidak pernah menyalahkan ayahnya atas apa yang berlaku. Sungguhpun kehidupannya tidak dipenuhi dengan warna-warna ceria namun tidak pernah terlintas dia mahu membebankan ayahnya di atas segala kejadian yang telah berlaku.

“ Abah, jangan macam ni. Bukan salah abah kalau Mak Da yang sendiri tidak pandai menghargai. Tak apa abah. Manusia ni bukan tak boleh berubah. Kita sama-sama doakan Mak Da. Mungkin satu hari nanti, Mak Da akan berubah.”

Tengku Hanafi mengangguk. Memang benar kata-kata anaknya itu. Dia sebagai suami dan bapa benar-benar berharap agar keduanya dapat berbaik-baik semula seperti masa lalu. Dahulu...semuanya indah dan serba-serbi menyenangkan sehinggalah berlaku peristiwa itu yang merubah segala-galanya. Semenjak itu keluarga mereka tidak seperti dahulu lagi. Kepada siapa yang harus dipersalahkan sedangkan dia tahu, kedua mereka tidak mempunyai kuasa untuk memulihkan kembali keadaan.

“ Dahlah..tak nak cakap fasal benda ni lagi. Lekaslah bersiap. Nanti Zahar datang, Ara tak sedia lagi, Mak Da bising pula.” Tengku Hanafi bangun untuk beredar daripada situ. Namun suara Ara mematikan langkahnya.

“ Abah, tak nak jawab soalan Ara tadi?” Dia perlahan menoleh apabila mendengar soalan daripada anaknya itu.

“ Bila Ara dah jumpa ‘dia’, Ara akan tahu apa jawapan abah,” jelasnya berteka-teki dan terus belalu dari situ. Ara terlopong mendengarnya. Kata-kata ayahnya itu berterusan menganggu fikiran. ‘ Bila dah jumpa ‘dia’. Bila dah jumpa ‘dia’.’Ara menjungkit bahu. Malas memikirkan perkara yang tidak diketahuinya lagi. Siapakah si ‘dia’ itu? Dan bilakah mereka akan bertemu?

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh