Home Novel Thriller/Aksi DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
DISTOPIA (Trilogi Distopia #1)
kenhendri
12/6/2021 09:15:59
20,385
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Bertemankan cahaya lilin dan pelita, Pak Su menceritakan segalanya kepada Kris tentang perkara yang sedang berlaku. Mak Su turut berada di sebelah Pak Su untuk menambah jika ada perkara yang tidak diceritakan oleh suaminya. Kein pula bersandar pada dinding. Dia menjeling ke arah Kris.


Menurut apa yang difahami oleh Pak Su melalui maklumat yang disampaikan oleh berita dan akhbar, selepas tamatnya 'perang' biologi dengan COVID-19 pada penghujung tahun 2021. Sekali lagi, dunia dikejutkan dengan serangan daripada virus atau makhluk aneh. Rupa makhluk yang tidak pernah dilihat oleh seluruh manusia sebelum ini.


Perkara yang masih menjadi persoalan, adakah ianya makhluk ciptaan manusia yang digunakan untuk memusnahkan sebahagian daripada penduduk yang tinggal di bumi ataupun sebaliknya?


Jika COVID-19 menyerang seluruh umat manusia di muka bumi, virus yang baru ini pula menyerang binatang. Ianya ialah hibrid daripada Virus Rabies dan Chronic Wasting Disease (CWD). Virus hibrid ini dikenali sebagai CWD-Rabies.


Namun, apa yang peliknya, virus ini hanya menyerang binatang pemakan daging yang tinggal di darat sahaja. Ia akan membuatkan binatang yang terkena jangkitan, akan menjadi agresif dan ganas. Apa yang lebih menakutkan, tumbesaran binatang terutamanya pada bahagian tulang akan menjadi drastik sehingga binatang yang dijangkiti menjadi lebih besar daripada saiz biasa. Bahkan, lebih besar daripada saiz manusia.


Disebabkan tumbesaran tulang pada binatang yang terkena jangkitan menjadi sangat drastik dalam masa yang singkat, rupa binatang tersebut juga berubah. Tidak hairanlah jika ada orang yang menemui tulang yang disaluti daging berdarah sedang mengejarnya pada waktu malam.


Itulah makhluk yang dilihat oleh Kris ketika berada di tebing sungai tadi.


Binatang yang dijangkiti virus tersebut dikenali sebagai Karnivor kerana semuanya pemakan daging.


Virus hibrid ini pertama kali dikesan oleh seorang pemburu di utara, Amerika Syarikat. Dia yang pada mulanya ingin memburu rusa namun secara tidak sengaja bertembung dengan beruang yang telah dijangkiti. Rupa binatang itu hampir sepenuhnya berubah dan tidak dikenali oleh pemburu tersebut. 


Pemburu itu dikejar sehingga ke kawasan luar hutan. Dia bernasib baik kerana binatang yang mengejarnya tadi telah hangus terbakar terkena cahaya matahari. Jasad binatang itu telah dibawa ke makmal dan dikaji oleh saintis.


Cerita itu telah tersebar luas ke serata dunia. Tidak sampai sebulan, virus itu telah menyerang seluruh binatang pemakan daging di serata hutan di seluruh dunia.


Banyak negara telah mengisytiharkan darurat kerana sudah buntu mencari jalan dalam mengekang penularan virus hibrid itu. Bahkan, kebanyakan negara sudah kehabisan bahan bakar untuk dijadikan senjata dalam membunuh binatang tersebut.


Ada juga negara yang mengambil langkah agresif seperti membakar seluruh hutan semata-mata untuk membunuh Karnivor dan virus CWD-Rabies daripada terus merebak. Namun, langkah itu telah memusnahkan alam sekitar. Bahkan, kesan sampingan seperti pencemaran udara, penipisan lapisan ozon dan pemanasan global pula yang timbul.


Virus ini juga telah menyerang binatang pemakan daging di Malaysia. Kini, kerajaan telah melaksanakan Perintah Berkurung pada waktu malam. Kesemua bekalan elektrik dimatikan tatkala matahari berada di kaki langit kerana Karnivor akan tertarik dengan semua jenis cahaya kecuali cahaya matahari.


Jika sesebuah kawasan itu didapati ada lebih daripada tiga ekor Karnivor, kerajaan akan mengarahkan agar penduduk di sana mengosongkan tempat itu dengan segera. Penduduk di kawasan tersebut diarahkan berpindah di pusat pemindahan.


Jika pusat pemindahan di kawasan tersebut sudah penuh, maka rakyat perlu prihatin dan menerima beberapa orang luar untuk tinggal serumah dengan mereka. Ini adalah langkah yang sukar yang terpaksa dipersetujui oleh rakyat.


Pihak polis dan anggota tentera memainkan peranan yang sangat penting pada waktu ini. Setakat ini, tidak ada lagi negeri yang diisytiharkan darurat.


Virus ini sukar dibendung kerana ianya hanya menyerang binatang pemakan daging. Ianya tidak menyerang omnivor dan herbivor. Bahkan, virus ini dikatakan mudah tersebar melalui udara. Binatang yang terkena jangkitan atau Karnivor pula akan mencari binatang lain untuk dimakan.


Jika mereka tidak menemuinya, manusia pula yang akan dijadikan santapan apabila tibanya waktu malam.


"Jadi, kampung ni akan dikosongkan?" tanya Kris.


"Kita tunggu arahan daripada kerajaan. Ini kali pertama Karnivor muncul di kampung ni. Biarkan tentera yang pantau makhluk ni dalam hutan. Kalau tak ada apa-apa, rasanya, kita masih boleh tinggal lagi di sini," balas Pak Su.


"Dah tentu kes tadi akan masuk berita esok. Kat negeri ni, tak seteruk dengan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Kat sana, dah beribu-ribu orang mati kena makan," tambah Mak Su.


"Kalau difikirkan. Karnivor banyak berkumpul di tempat yang ada hutan tebal."


"Ya. Betul tu," setuju Pak Su dengan kata-kata Kris.


"Dah la. Bahaya kalau lama-lama nyalakan lilin ni. Kita tak tahu bila Karnivor akan muncul," kata Mak Su. Dia ingin memadamkan api lilin dan pelita.


Kein pula berjalan menuju ke bilik tanpa mencelah perbualan ibu bapanya dengan Kris. Lilin dibawa bersama untuk menerangi jalannya. Kris hanya melihat lelaki itu dari belakang. Agak janggal baginya untuk berkenalan dengan anak lelaki Pak Su dan Mak Su itu.


"Kalau kamu nak solat, nyalakan je lilin. Pastikan tutup langsir tingkap. Lepas saja solat, terus padam lilin."


"Okey."


Nasihat Pak Su diikuti oleh Kris. Dia berjalan keluar dari rumah Pak Su melalui pintu dapur. Dengan laju, dia berjalan masuk ke dalam rumah dan masuk ke dalam bilik. Tingkap ditutup dengan langsir seperti yang dinasihatkan oleh Pak Su.


Kemudian, dia ke bilik air lalu mengambil wuduk untuk solat sebelum kembali semula ke dalam bilik. Seusai solat, dia meniup lilin. Api dipadam. Tidak ada cahaya yang menerangi rumahnya. Bukan sahaja rumahnya, malah, seluruh rumah di kampung itu.


Hanya kelihatan cahaya lampu di kawasan khemah tentera sahaja di hujung kampung. Ianya menggunakan bekalan elektrik daripada generator. Khas hanya untuk khemah tentera dalam menjalankan tugas untuk menjaga kawasan hutan dan kampung daripada Karnivor.


****


12 JUN 2022,
Kampung Tengah Selatan.

Keesokan harinya, Kris ke gerai yang terbina di hadapan pondok. Kelihatan, beberapa orang penduduk kampung sedang minum petang. Agak kekok bagi dirinya untuk ke sana kerana dia masih baru di kampung. Walau bagaimanapun, dia memberanikan diri. Dia juga ingin bergaul dan berkenalan dengan penduduk di situ.


Dia pernah berniat untuk ke gerai itu pada pagi tadi tetapi dia malu kerana tidak ada kawan. Namun, selepas menunaikan solat asar, Mak Su mempelawanya untuk ke sana tetapi, tidak kelihatan pula kelibat wanita itu di sana.


Ingin saja menjejakkan kaki, Kris dipelawa oleh pelayan gerai iaitu Rafi untuk duduk. Lelaki berbadan agak gempal dan berumur dalam tiga puluh tahun itu melayan Kris dengan baik. Bahkan, beberapa orang kampung yang sedang makan juga melayannya dengan ramah.


Kris duduk di meja kosong yang jauh dari pelanggan lain. Dia melihat sekeliling. Gerai itu terbina dengan buluh namun, ianya disusun utuh dan rapi. Terdapat juga televisyen besar yang menjadi salah satu tarikan terhadap penduduk kampung untuk ke gerai.


Sedang asyik dia memandang gerai tersebut, Rafi datang untuk mengambil pesanan. Kris hanya memesan nasi goreng dan air teh panas. Rafi mencatat pesanan itu pada sekeping kertas sebelum memberikannya kepada Tok Ma yang merupakan tukang masak bagi gerai tersebut.


Kris terpaksa menunggu pesanan. Dia diam. Dia berasa janggal dan gementar pada masa yang sama. Datang dalam fikirannya tentang kejadian yang berlaku pada senja kelmarin. Adakah berita itu sudah tersebar ataupun telah dirahsiakan oleh Pak Su dan tentera?


"Hey, orang baru! Macam mana? Okey dengan kampung ni?" tegur Pak Long yang berada di meja sebelah. Lelaki yang berjanggut hitam dan berambut panjang paras baju itu kelihatan seperti sudah di usia empat puluh tahun. Rumahnya berada di jalan masuk untuk ke kampung.


Kris tersentak. Dia pernah terlihat Pak Long memberi makan kepada ayamnya semalam di rumah kayu berwarna putih. Dia tersenyum janggal sebelum membalas, "semuanya okey!"


"Baguslah macam tu. Hati-hati kalau nak keluar. Bukan tak boleh keluar, tapi balik sebelum matahari terbenam. Zaman sekarang ni dah tak macam dulu. Macam-macam benda pelik yang jadi."


Kris tidak membalas. Dia hanya tersenyum janggal. Terlintas dalam hatinya, adakah penduduk kampung sudah tahu tentang perkara yang terjadi kepadanya? Mungkin juga mereka semua sudah tahu.


"Nasib baiklah kamu tak apa-apa. Kalau tak ada askar yang jaga kawasan ni, dah tentu kamu akan mati. Bukan setakat kamu, semua orang dalam kampung ni kena baham dengan Karnivor," tambah Tok Ba yang merupakan suami kepada Tok Ma. Dia sedang makan di meja di hadapan Pak Long.


"Askar yang jaga kat pagar tu, tak datang lagi ke?" tanya Kris dengan berani.


"Mereka beroperasi dari matahari terbenam hingga matahari terbit. Kalau waktu macam ni, mereka tak datang lagi," jawab seorang lelaki yang berusia dalam tiga puluh tahun. Badannya sasa dan tegap seperti seorang tentera. Dia berada di meja di hadapan Kris.


Kris terkelu seketika. Dia terkejut. Dengan berani dia bertanya, "kamu ni askar ke?"


Rafi datang dengan membawa sepinggan nasi goreng dan segelas teh panas yang dipesan oleh Kris. Dia juga menjawab pertanyaan Kris, "dia polis. Azwan, anak Mek Yah. Rumah yang warna hijau tu. Adik beradik dengan Pak Su. Dulu dia bertugas di Sarawak tapi dah tukar tempat ke sini."


Kris berpaling ke arah rumah yang bercat hijau di sebelah pondok. Itu merupakan rumah Mek Yah yang dimaksudkan oleh Rafi. Azwan merupakan anak kepada Mek Yah dan Pak Cik Joe. Dia telah berkahwin tetapi isterinya sekarang berada di Sarawak, ingin menjaga ibunya yang sedang sakit bersama dengan adik beradik yang lain.


"Panggil je Pak Wan. Lepas ni ada tugas kat bandar. Kena jaga kawasan sana pula. Walaupun Karnivor ni tinggal dalam hutan, tak semestinya makhluk tu tak menyerang bandar. Pagi tadi, kecoh dalam berita pasal Karnivor yang serang pusat pemindahan kat sana. Ramai juga yang mati. Ada juga yang masih hilang. Rasanya kena makan. Kawasan bandar pun banyak tempat yang boleh Karnivor bersembunyi."


Kris ralit mendengar. Pengetahuannya tentang Karnivor yang sebelum ini kosong, kini terisi dengan cerita daripada penduduk Kampung Tengah Selatan. Namun, cerita tentang serangan Karnivor di pusat pemindahan lebih menarik perhatiannya.


Dia tidak menyangka bahawa isu yang dialami oleh negara bahkan dunia sekarang ini bukanlah isu yang mudah untuk dibendung. Karnivor yang pada asalnya binatang liar pemakan daging yang hidup dalam hutan. Kini, menjadi makhluk pemakan daging manusia. Adakah ini balas dendam daripada binatang setelah beratus-ratus tahun manusia memusnahkan habitat mereka?


Ingin sahaja Kris menyuap sesudu nasi ke dalam mulut, televisyen menyiarkan berita terkini tentang kes serangan Karnivor yang baru sahaja diceritakan oleh Azwan. Kris mengendahkannya. Dia terus mengisi perut yang kosong.


"Berita terkini tentang serangan Karnivor di Pusat Pemindahan dan Perlindungan di bandar Kuantan. Lima mangsa baharu tanpa tangan dan kaki telah ditemui, menjadikan seramai 997 orang termasuk tentera, polis dan pegawai APM telah meninggal dunia. Ketika ini, pihak bomba, polis, APM termasuk anggota RELA juga telah bertungkus lumus untuk mencari tiga lagi mangsa yang dikatakan yang hilang. Antara nama-nama mangsa yang masih lagi tidak ditemui ialah Ong Ah Chen, Akasya anak perempuan Asoka dan Haziatul Violet."


"Ni serangan yang terbesar setakat ni kat negara kita. Tiga lagi yang hilang tu mungkin dah kena telan dengan Karnivor. Rasanya, seluruh bandar akan dikosongkan sampailah Karnivor yang bersembunyi tu ditemui," kata Azwan.


Pak!


Sudu pada tangan Kris terlepas dan jatuh ke lantai buluh. Matanya terbeliak. Tangannya terketar-ketar. Wajahnya pucat tatkala mendengar berita itu. Dia bingkas bangun. Pantas, matanya memandang televisyen. Terpapar gambar tiga lagi mangsa yang belum ditemui. Salah satunya ialah gambar Violet. Kelakuannya menjadi perhatian semua orang yang ada di gerai.


"Orang baru? Kamu okey ke?" tanya Pak Long.


"Vio... Violet?"


"Violet? Kawan kamu ke yang hilang tu?" tanya Azwan pula.


Tanpa mempedulikan sesiapa, Kris berlari sekuat hati ke kebun rambutan yang berada di belakang rumah Pak Su, tidak jauh dari gerai. Rafi memanggil-manggil nama Kris tetapi lelaki itu tidak membalas.


Kris menggetap gigi. Matanya berair. Teringat kembali berita yang didengarinya tadi. Bahkan, kata-kata Azwan juga bermain dalam fikirannya. Adakah benar Violet telah menjadi mangsa Karnivor? Gambar yang terpapar pada skrin televisyen adalah gambar gadis itu. Mustahil ianya silap!


Tiba sahaja di sungai, Kris menjerit semahunya. Dia tidak dapat menerima realiti. Dengan pantas, telefon dari poket seluar dikeluarkan. Dia mencari nombor telefon Violet dan cuba menghubungi gadis itu. Tetapi, ada balasan. Selalunya, Violet akan terus mengangkat panggilan telefon Kris. Tetapi, kali ini tidak.


Hati Kris luluh. Dia menutut sambil menggenggam telefon bimbitnya. Teringat semula perbualan terakhirnya dengan Violet semalam. Dia melamar gadis itu dan lamarannya diterima. Tetapi, hari ini, perkara yang buruk pula yang berlaku.


"Violet..."


Kris segera mencari nombor kawan baiknya iaitu Raven sebelum menghubunginya. Panggilan itu juga tidak diangkat. Sejak semalam lagi Raven tidak mengangkat panggilan Kris. Adakah tempat Raven juga diserang Karnivor? Adakah dia juga menjadi mangsa?


Kris bersendirian di tebing sungai sehingga senja. Matanya layu. Sudah penat menangis. Kini, dia kehilangan segala-galanya. Terpisah dengan ibu angkat, terpisah dengan rakan-rakan yang dianggap keluarga, dan kini dia terpaksa menghadapi takdir perpisahan dengan Violet.


Matahari sudah terbenam. Hanya terlihat cahaya merah di kaki langit. Pesanan penduduk kampung tidak diendahkan namun, pesanan Pak Su untuk tidak melalui kawasan hutan pula dilanggarnya. Kris berjalan pulang ke rumah melalui kebun rambutan.


Lelaki itu kelihatan lemah. Dia berjalan terhuyung-hayang seperti orang kehilangan arah. Lampu suluh pada telefon bimbit dinyalakan untuk menerangi jalan. Sekali lagi, Kris melanggar larangan. Dia sudah tidak peduli dengan semua larangan dan pesanan Pak Su serta penduduk kampung. Tindakannya seperti ingin membiarkan dirinya dimakan oleh Karnivor.


Pada masa yang sama, seekor Karnivor sedang mengekorinya dari belakang. Binatang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada manusia itu sedang memerhati Kris seperti seekor pemangsa. Hanya menunggu masa untuk membaham.


Kris sedar bahawa dia sedang diekori. Dia menyuluh ke arah belakang. Binatang yang berupa sama dengan makhluk yang dilihatnya semalam sedang memerhatikannya. Kris tidak terkejut. Dia seperti akur. Sudah tidak mahu hidup.


Karnivor berlari dan melompat. Kris hanya melihat dengan akur. Menunggu masa untuk dimamah.


Pada masa yang sama, Kein berlari ke arahnya lalu menolak Kris ke dalam semak. Lelaki itu terbaring. Dia terkejut besar. Karnivor yang menyerang Kris hanya membaham tanah. Telefon bimbit diambil dari tangan dan dilempar jauh untuk mengalih perhatian pemangsa. Karnivor yang tidak berakal itu mengikut cahaya telefon bimbit.


"K-Kau, Kein?"


Kein menumbuk wajah Kris sebelum menarik bajunya sehingga lelaki itu terpaksa berdiri. Dia menggetap gigi kerana geram. Matanya menatap tajam mata Kris.


"Apa yang kau buat ni? Kau nak mati ke? Kau tak faham bahasa? Kan ayah aku dah cakap jangan guna cahaya! Balik sebelum waktu senja, bukan selepas senja! Bodoh ke apa?" marah Kein dengan perlahan tetapi tegas.


"Kau takkan faham apa yang aku lalui. Aku dah hilang segalanya. Kawan yang aku anggap keluarga, dan orang yang aku sayang..."


Pang!


Kein menampar pipi Kris pada tempat yang sama dia menumbuk lelaki itu. Kris mengerang kesakitan. Tamparan itu sangat kuat. Kulit pipinya terasa amat pedih. Baju Kris ditarik lagi. Kali ini lebih kuat sehingga wajah mereka bertentangan, dekat.


"Kau ni agama apa, huh? Kristian? Budha? Aku tengok kau solat macam orang Islam tadi! Apesal kau ni lemah semangat huh? Semua orang akan mati! Kau kena terima tu! Tak kisahlah kau sayang ke benci ke, mereka tetap akan mati! Kau yang hidup ni perlu teruskan hidup! Kau tu lelaki! Jangan nak jadi pondan!"


Kris terdiam seribu kata. Dia tidak tahu hendak membalas dengan ayat apa atau memang dia tidak dapat membalas kata-kata Kein. Tatkala bajunya dilepaskan, Kris meminta maaf. Benar juga kata Kein, yang hidup perlu teruskan hidup.


Karnivor yang cuba menyerang Kris tadi mula memerhati sekeliling namun dia tidak menemui kelibat dua lelaki itu. Telefon bimbit Kris sudah hancur digigit. Kris dan Kein masih dapat melihat binatang itu dengan jelas melalui semak. Jantung mereka berdegup kencang. Takut jika ditemui. Setelah tidak menemui mangsanya, Karnivor berjalan pergi. Kris dan Kein menarik nafas lega.


"Kita pulang ikut jalan kampung. Entah berapa ekor Karnivor yang ada dalam kebun ni. Bahaya kalau guna jalan ni," cadang Kein.


"Tunggu! Kita kat tengah kebun. Kalau patah balik, dan guna jalan kampung, sama jauhnya dengan terus guna jalan kebun. Dan satu lagi, kau yakin ke dah tak ada Karnivor? Apa yang kau nak buat kalau terjumpa dengan benda tu?"


"Lari," balas Kein.


Hanya lari yang mereka mampu lakukan. Kris mengikuti cadangan Kein. Dengan menggunakan jalan kampung, risiko untuk bertembung dengan Karnivor adalah kurang jika dibandingkan dengan jalan kebun.


Mereka berdua sudah yakin bahawa Karnivor yang cuba menyerang Kris tadi sudah tiada. Ingin sahaja berdiri untuk keluar daripada kebun rambutan, mereka terdengar bunyi tapak kaki Karnivor yang berlari pantas ke arah tempat persembunyian mereka.


Tidak sempat berpaling untuk melihat, bahu kanan Kein digigit oleh Karnivor. Terbeliak mata Kris melihatnya. Kein juga tidak menyangka bahawa dia akan dibaham kerana mereka berdua yakin bahawa Karnivor sudah tidak ada.


"Kein! Aku akan selamatkan kau!"


Kris menghulur tangannya. Ingin memberi bantuan. Kein juga cuba menggapai tangan Kris namun, dia diheret. Tidak sempat untuknya mencapai tangan Kris, Karnivor telah melarikannya untuk dijadikan santapan.


Bukan sahaja saiz binatang itu yang laju malah kepantasannya juga luar biasa. Kris terkelu. Matanya luas memandang kebun yang gelap. Karnivor yang membawa Kein sudah hilang dalam gelap. Dia terlutut. Kein pula menjadi mangsa tatkala ingin menyelamatkannya.


"Kein..."
















follow kenhendri di aplikasi wattpad untuk cerita penuh!




Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.