Home Novel Thriller/Aksi OBSES
OBSES
SYASYA BELLYNA
9/12/2012 20:57:46
44,037
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 41

MALAM gelita. Dipinggir hutan nipis Emily memugar langkah. Dia Ke kiri dan ke kanan dengan pandangan yang berkelana. Dikelilingi pohon-pohon teguh menggapai langit, berceracak lurus bagaikan besi penjara. Dedaun merimbun menutup cahaya cemerlang sang bulan. Akibatnya, penglihatan hampir buta. Pokok-pokok renek tersangkut dicelah jari jemari kaki sepanjang langkah yang berlainan tempo. Kadangkala Emily hampir tersandung.

Mersik angin menyapa ruang wajah Emily yang terpancar kegelisahan. Dia dibius rasa takut. Dia dimana? apa sebab dirinya tercampak dikawasan sepi dan terperangkap di hutan hitam bukat ini?

Dihujung lorong pendengaran, mendayu-dayu suara getir seseorang mengerang kesakitan. Emily berhenti melangkah. Suara itu amat dikenalinya. Ketakutan yang dirasai mula berkurangan sedikit. Tanpa bertangguh, Emily berlari deras menghala satu arah yang diyakini punca suara. Ya, semakin jelas erangan itu.

Langkahnya terhenti dengan semena-mena. Dihadapannya seperti ada dua susuk tubuh sedang bergelut. Dia percaya susuk itu milik dua orang lelaki. Namun dia tidak dapat mengagak yang mana satu pemilik suara yang amat dikenalinya itu kerana kegelapan masih menyerkup hutan nipis ini.

Walhal kawasan itu sedikit lapang. Emily mendongak ke dada langit. Bulan diselimuti gugusan awan hitam. Hanya sebentar-sebentar rembulan keluar dari kepungan gemawan. Emily berdengus perlahan.

Ketika perhatian beralih semula pada detik pergaduhan tadi, tidak kelihatan susuk seorang lagi. Ia diganti dengan tubuh langsing seorang wanita. Kelihatan mereka sedang berbicara. Lelaki tadi menyeranah wanita tersebut. Kemudian menampar wanita itu sebelum beredar pergi. Menggogoi perempuan itu sendirian sebelum berhati-hati menjenguk sesuatu. Perkiraan Emily, di sebelah sana pastinya tebing. Mungkin ada cerunan tinggi atau gaung.

"Kenapa kau tolak dia?" Wanita itu separuh menjerit.

Benarkah? lelaki yang dikenalinya itu ditolak? Emily tersentak dan berasa susah hati. Dia menyelak semak yang menjadi birai perlindung pandangan orang-orang di sana. Dia berhati-hati memijak perlantaian. Serakkan cahaya kembali berleluasa di tanah lapang itu apabila gugusan awan hitam beredar sebentar dari memeluk rembulan.

Renungan Emily tersapa pada wajahnya dengan jelas. Kulit wajah wanita itu sangat mulus. Bibirnya beroles gincu merah menyala namun nampak pudar kerana pencahayaan yang berbalam. Dagunya berlekuk. Rahang kecil sesuai dengan bentuk hidung seperti seulas oren mandarin. Dahinya sedikit luas, berhias kening lurus. Sepasang mata kecil kelihatan sayu. Ada kegalauan melayur wajahnya kini.

Sesekali hujung selendang berwarna oren yang membalut helaian rambut disapu ke pipi yang basah dengan air mata. Emily mengemam bibir. Dia mengenali wanita itu!

Prakk... jantung Emily berdegup kencang. Kayu kering yang dipijak menjengah ke lorong telinga. Perempuan muda itu dengan cepat menangkap kelibat Emily. Kini mereka saling berpandangan.

“Hey, sudahlah! Kau nak balik atau tidak?” jerkah lelaki itu dari kejauhan.

"Ya," Wanita itu menoleh sekejap pada lelaki tadi sebelum menumpahkan fokus pandangan pada Emily semula.

“Kau tengok apa tu?” kaki menghayun deras. Lelaki itu berpatah balik.

Emily gelabah. Bergetar tubuhnya kini. Wanita itu bersilih ganti mengalih pandangan antara Emily dan lelaki itu. Lantas jari telunjuk melekap di bibir, tanda meminta Emily diam. Isyaratnya juga meminta Emily pergi. Emily mengangguk perlahan. Tahulah dia bahawa wanita itu cuba melindunginya.

“Kau tengok apa?” Dia disoal lagi.

“Tak ada apa-apa,” berkali-kali wanita itu menggeleng.

Lelaki kasar itu tidak berpuas hati. Berceruak prasangka apabila wanita di depannya mempamerkan riak yang amat dikenali jika menipu. Emily yang sedia menyorok di belakang pohon besar tiga pemeluk bersandar bisu dan memejamkan mata. Banir yang tersembul dipermukaan tanah melindungi tubuhnya yang kecil. Lama juga lelaki itu meninjau persekitaran sebelum berpatah balik. Tangan kiri wanita itu direntap dan menariknya pergi.

Wanita tadi menahan langkah yang dipaksa. “Tak akan kau nak biarkan dia di bawah sana. Manalah tahu kalau dia masih bernyawa.”

“Biarkan dia mereput. Kalau kau bocorkan rahsia, aku bunuh kau pula,” lelaki itu berdengus.

Previous: Bab 33
Next: SINOPSIS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SYASYA BELLYNA