Home Novel Thriller/Aksi APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
kenhendri
13/6/2021 07:57:50
15,328
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

28 Disember 2024,
Rumah Kebajikan Al-Baqarah.

Cahaya mentari menyinari pagi indah. Angin sayu bertiup mengugurkan daun-daun mati dari pohon di sebelah rumah kebajikan. Daun-daun mati itu tidak disapu. Masih bertimbun menunggu petang untuk dibakar. Cuaca indah, angin lembut ditemani oleh alunan merdu Surah Ar-Rahman yang dibacakan anak-anak yatim setelah diajar oleh Violet. Setiap gagap mereka dipimpin gadis itu. Setiap kesalahan bacaan dibetulkan.

Suriati pula sedang sibuk memasak di dapur. Bakal menyediakan sarapan untuk 'anak-anaknya' setelah selesai mengaji nanti. Jika dahulu, hanya dia seorang sahaja yang membuat semua kerja. Tetapi, sekarang dengan adanya Violet, beban itu menjadi ringan. Dia dapat membahagikan kerja-kerja dapur dan kerja mengajar.

Bukan sahaja anak-anak yatim yang sudah kehilangan keluarga diajar mengaji dan dijaga di sini bahkan ada juga ibu-bapa yang membayar Suriati untuk mengajar anak-anak mereka mengaji sementara mereka ke tempat kerja. Ada yang belajar hanya dari pagi hingga ke petang manakala pada waktu senja pula diambil oleh ibu bapa dan ada juga yang dihantar untuk dijaga selama seminggu dan hanya pada hujung minggu sahaja mereka bertemu dengan keluarga.

Mereka tidak perlu risau lagi kerana Malaysia sudah bebas daripada Karnivor walaupun luar negara masih huru-hara. Keamanan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai manusia. Kerajaan juga mengawal ketat sempadan negara bahkan dalam hutan juga sering kali dipantau oleh tentera-tentera yang terlatih termasuklah Raven, Shen dan Marisa.

"Okeylah, setakat tu saja. Kamu semua mesti dah lapar kan?" tanya Violet setelah semua pelajar selesai mengaji. Anak-anak yatim itu menjawab serentak tanda bersetuju.

"Kamu semua boleh kemaskan barang. Rafiq, Akhil, Daisy, ikut kakak ke dapur untuk ambil makanan." Violet mengarah tiga pelajarnya yang paling tua daripada yang lain. Mereka tidak membantah kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka yang lebih tua untuk menjaga adik-adik.

Kadang-kadang, tiga orang 'adiknya' itu mengingatkan dia kepada dirinya, Raven dan juga Kris. Namun, itu semua sudah berlalu. Lagipun, dia sudah tidak mahu ingat kembali semua perkara-perkara lepas walaupun hatinya masih teringin untuk melihat wajah Kris. Tetapi, ianya mustahil. Kris sudah tiada.

Nasi, lauk-pauk dan air disusun panjang membentangi ruangan mengajar yang sudah dikemaskan. Mereka duduk bersila menghadap antara satu sama lain. Doa makan dibaca oleh Rafiq sebelum makanan dijamah. Violet hanya duduk di ruangan pintu melihat 'adik-adiknya' bersarapan. Dia kembali teringat perkara yang sama yang pernah dilaluinya ketika masih bersama dengan Kris dan Raven. Namun, imbasan kenangan itu dipadamkan seketika oleh teguran Suriati.

"Tak pergi makan sekali ke?"

"Nantilah Violet makan, ibu. Tak rasa lapar pula."

"Sejak Kris tak ada, ibu tengok kamu asyik bersendirian je lepas ajar adik-adik kamu tu. Ibu tahu yang kamu sayangkan Kris tapi itu semua takdir. Kamu kena terima ketentuan Illahi."

"Mana ada Violet teringatkan dia la ibu. Violet cuma teringat balik semua benda yang pernah Violet buat dulu. Makan, mengaji, bermain... semuanya sama macam dulu-dulu."

"Sama la tu. Ibu suruh kamu kahwin dengan Raven, kamu tak nak."

"Violet anggap Raven tu sebagai abang je. Tak pernah terfikir nak kahwin dengan dia. Lagipun, orang yang pertama lamar Violet tu Kris. Tapi, dia dah tak ada."

"Habis tu, sampai bila kamu nak membujang? Selalunya, orang perempuan umur macam kamu ni dah kahwin. Takkan kamu nak tunggu Kris hidup balik baru kamu nak kahwin?"

Violet hanya diam. Tidak mahu membalas kata. Sebelum Raven dipanggil untuk menyambung perkhidmatan untuk mengawal sempadan negara, dia sempat memberitahu Violet di hadapan Suriati untuk mengahwininya. Tetapi, Violet menolak. Raven memberi Violet waktu untuk berfikir sementara menunggu perkhidmatannya selama enam bulan itu tamat.

"Ibu bukan apa. Ibu anggap kamu dan Raven tu macam anak sendiri. Tapi, kamu berdua halal kalau dikahwinkan. Kamu berdua je anak-anak ibu yang masih hidup lepas proses pemindahan semasa Karnivor masih ada. Anak-anak ibu yang lain dah tak ada. Tak ada pun yang telefon ataupun datang ke sini lagi. Jadi, kalau kamu berdua kahwin, senang sikit hati ibu."

Violet senyap sebelum membalas, "Nantilah Violet fikir pasal tu."

Sebenarnya, dia masih tidak mahu memikirkan akan hal itu. Ibunya sering kali membangkitkan tajuk itu dalam setiap perbualan mereka kerana Raven masih menunggu jawapan daripada Violet. Sudah hampir enam bulan lelaki itu berkhidmat. Minggu depan, dia akan pulang ke rumah kebajikan. Disebabkan itulah, Suriati sering memujuk Violet.

*****


Seminggu Sebelum Itu.
Pusat Latihan Khas Ketenteraan Rahsia, Jerman.

Salji turun dengan lembut jatuh di atas timbunan ais yang sudah beku. Kelihatan berpuluh-puluh orang yang lengkap berpakaian tentera musim sejuk.


Bunyi tembakan demi tembakan dari kem latihan ketenteraan. Papan sasaran yang ditembak sering mengena dot merah. Di belakang mereka pula tersedia khemah-khemah tentera. Bermula dari hujung padang sehingga ke kaki hutan, sepuluh khemah tentera didirikan. Setiap khemah ditanda dengan nama-nama negara dan salah satunya ialah Malaysia.


Apakah yang dimaksudkan dengan nama-nama negara tersebut? Adakah ianya bangsa-bangsa yang dilatih yang datang dari pelbagai negara? Atau ianya khemah yang menempatkan tentera yang bakal menyerang negara-negara tersebut?


Nafas dihembus perlahan sebelum salah seorang tentera muda itu mengangkat keluar dua peti peluru dari khemah tentera Malaysia. Wajahnya kelihatan penat tatkala meletakkan dua peti peluru di atas tanah berdekatan dengan kawasan penembak.


Pandangannya beralih ke arah salah seorang askar yang sedang meniarap di sebelahnya, meneropong dot merah di papan sasaran melalui skop sniper. Picu ditarik. Tembakan dilepaskan. Peluru mengena tepat dot merah. Dia bangun sebelum menepuk-nepuk pakaiannya yang diselaputi tompokan salji.


"Why are you looking me like that, Karl? Do you wanna pick a fight?"


"I'm sorry, Danith." Sepatah kata maaf keluar dari mulut lelaki itu. Dia tertunduk takut.


"Enough for childish acts. Next week we will take K-Subject from Malaysia. So, be prepare. Don't forget to speak Malay language," celah seorang gadis yang datang dari belakang Karl.


"Kau suruh orang cakap Bahasa Malaysia tapi kau sendiri masih guna Bahasa Inggeris, Andalus."


"Kau tak puas hati apa dengan aku, Arora? Suka hati aku nak guna bahasa apa. Bahasa Malaysia bukannya bahasa aku."


"Kita dah dilatih selama tiga tahun dengan Bahasa Malaysia semata-mata untuk minggu depan. Penyamaran akan jadi perkara penting untuk ambil K-Subject nanti. Jadi, biasakan diri untuk guna Bahasa Malaysia."


"Jangan nak berlagak macam ketua di sini, Fritz. Komander Jargon sudah lantik aku sebagai ketua kalian. Jadi, kalian patut ikut arahan aku. Jangan nak memandai bagi arahan," potong Darith sambil merenung tajam ke arah Fritz. Lelaki itu pula mengendahkannya. Malas bertengkar.


Andalus mencekak pinggang. Pandangannya beralih ke arah Karl sebelum wajahnya didekatkan, bibirnya digigit. "Bercakap tentang ketua mesti ada ahli-ahlinya. Aku masih bingung, kenapa Komander Jargon pilih Karl untuk sertai kumpulan kita? Kau ada jawapan itu tak, Karl?"


Perlahan-lahan, Karl langkah mengundur. Seolah-olah, Andalus cuba menerkamnya. Tatkala sedang mengundur, dia terpijak seketul batu lalu terjatuh di atas timbunan salji yang kotor. Darith, Andalus dan Arora ketawa terbahak-bahak manakala Fritz hanya menggeleng kepala. Melihat rakan sepasukan mengetawakannya, Karl hanya menundukkan pandangan. Dia takut untuk melawan.


"Askar-askar K-Rebellion, berbaris!" Arahan tegas dan lantang didengar. Pantas tanpa membantah, Darith, Fritz, Arora dan Andalus berbaris melintas tegap di hadapan Komander Jargon. Karl yang yang terakhir menyertai barisan kerana berusaha untuk bangun.


"Minggu depan, kamu berlima akan dihantar ke Malaysia untuk merampas K-Subject. Kamu semua sudah tahu perkara itu kan?" lantang Komander Jargon bertanya.


"Yes sir!" lantang juga pasukan K-Rebellion menjawab.


"Bagus! Jadi, saya akan ulang sekali lagi tugasan yang diberikan oleh pihak atasan kepada kamu semua! Misi kamu semua sebagai pasukan K-Rebellion ialah untuk mengambil K-Subject dari Malaysia. Satu-satunya K-Subject yang di kesan di Malaysia, ada pada Raiqal Kris. Tetapi, dia telah dihukum mati dan ditanam di tanah perkuburan pada awal tahun ini. Tugas kamu semua ialah menggali semula kubur Raiqal Kris dan mengambil sampel daripada badan dia. Tidak kira sama rambut ataupun tulang. Selepas itu, bawanya pulang ke Jerman. Faham?"


"Yes sir!"


"Ada soalan?"


"Yes sir! Saya ada soalan!" Mata tertumpu ke arah Andalus.


"Apa yang kamu tidak faham?"


"Saya tak faham, kenapa Karl dimasukkan dalam K-Rebellion. Dia ialah K-User tetapi tidak seperti kami yang mempunyai kebolehan dalam perang. Jadi, saya masih tertanya-tanya, apa tugas dia yang sebenar."


Andalus lantang bertanya. Cuba merungkai persoalan yang bermain dalam benaknya. Bukan dia seorang sahaja yang tertanya-tanya, malah Darith, Fritz, dan Arora. Bahkan, Karl juga tidak tahu apa fungsi dia dalam pasukan. Dia hanya diberi arahan untuk menyertai K-Rebellion. Mata-mata mula tertumpu ke arah Karl. Dia menjadi perhatian. Dia pula memandang janggal wajah-wajah rakan sepasukan.


"Seperti kamu berempat, Karl juga ada peranan dalam pasukan. Darith, kamu sebagai ketua. Kamu satu-satunya K-User yang mempunyai kebolehan untuk mengawal Karnivor yang lain. Fritz, kamu ialah K-User yang boleh melihat seperti seekor Karnivor. Andalus, kamu pula K-User yang boleh mengesan jejak dan kedudukan benda hidup. Arora pula, kamu K-User yang boleh memekakkan serangan musuh dengan jeritan mega kamu. Karl pula seorang K-User dan juga seorang K-Subject yang sama seperti Raiqal Kris."


"Setiap K-User tidak semestinya K-Subject tetapi setiap K-Sucject semestinya K-User. Jadi, apa tugas budak ni, tuan?" tanya Darith dengan nada yang agak marah. Dia sebenarnya tidak bersetuju dengan kewujudan Karl dalam pasukannya.


"Bertenang, Darith. Saya sendiri masih tertanya-tanya apa tugas Karl dalam K-Rebellion kerana ini arahan pihak atasan untuk meletakkan dalam pasukan yang hebat ini. Tapi, mungkin saya sudah tahu kenapa."


"Kenapa, tuan?" tanya Andalus pula.


"K-Subject ialah gelaran bagi K-User yang mempunyai kebolehan untuk memulihkan sel-sel tisu dalam badannya dalam jangka masa yang singkat. Ada K-Subject yang tidak sampai satu jam, sudah pulih sepenuhnya dari calar atau tikaman. Hanya parut sahaja yang meninggalkan kesan. Jadi, pihak atasan mahu melihatan kebolehan lain yang mampu dilakukan oleh K-Subject selain regenaration yang yang pantas."


"Tunggu, tuan! Kalau macam tu, bermakna orang yang kami akan ambil sampel badan ni adalah orang yang mempunyai kebolehan itu?" soal Arora yang mula menyedari sesuatu.


"Bermakna, mayat Raiqal Kris tidak akan hancur dimakan ulat. Jadi, disebabkan itulah pihak atasan mahukan K-Subject. Mahukan sampel untuk dibuat uji kaji kerana kebolehan K-Subject sangat berguna dalam perang," celah Fritz dengan bijak.


"Tepat sekali!" balas Komander Jargon.


"Tapi, kenapa Malaysia? Kenapa, Raiqal Kris? Kita sudah ada Karl sebagai bahan uji kaji," soal Darith lagi.


"Seperti yang saya katakan. Setiap K-Subject mempunyai tahap penyembuhan yang berbeza. Karl boleh menyembuhkan dirinya dalam masa enam jam selepas ditikam dan ditusuk. Tetapi, kita masih tidak tahu tahap penyembuhan Raiqal Kris. Disebabkan itulah, sampel dia diperlukan. Jadi, kalian semua sebagai tentera-tentera yang hebat dan K-User yang diharapkan oleh pihak atasan akan mendapatkan K-Subject dari Malaysia!"


"Yes sir!"


"Remember! You guys are K-Users. You will steal K-Subject from Malaysia. Even a nation it takes! Do your job!"


"Yes sir!"


*****


28 Disember 2024,
Tanah Perkuburan Islam, Kampung Belut.


Senja menyapa. Gelap. Hujan turun dengan lebat. Kedengaran bunyi tanah digali dengan cangkul. Lumpur-lumpur ditarik keluar dari lubang kubur yang sudah setengah digali. Jelas tertayang pada batu nisan, nama Raiqal Kris. Kuburnya digali oleh seorang lelaki yang sanggup mencemarkan diri dengan lumpur dan sanggup dibasahi hujan.


Dia, Karl.


Di belakangnya, sedang berdiri Darith, Fritz, Andalus dan Arora yang lengkap memakai hoodie hitam dan berpayung. Pada belakang hoodie itu, terpapar lambang pasukan K-Rebellion. Mereka tiba di Malaysia dengan pasport palsu dan identiti palsu. Kini, mereka telah menemui kubur Raiqal Kris setelah melihat maklumat yang diberikan oleh Komander Jargon.


"Di Jerman, salji. Di Malaysia pula hujan. Di mana-mana tempat, semuanya menjengkelkan," rungut Darith yang tidak suka pakaiannya basah.


"Sekarang, di Malaysia sedang mengalami musim tengkujuh. Memang hujan setiap masa. Kadang-kadang, banjir," celah Firtz yang langsung tidak mendapat perhatian ketuanya.


"Memang Raiqal Kris dah lenyapkan Karnivor di Malaysia. Aku langsung tak dapat kesan jejak makhluk tu di sekeliling," kata Andalus setelah menggunakan kebolehannya untuk mengesan makhluk hidup.


"Hebat bukan? Dia seorang diri boleh melenyapkan K-User dari sebuah negara. Macam mana pula dengan Jerman? Britain? China? Perancis? Rusia? Masih dalan huru-hara. Tapi, jumlah Karnivor di Rusia sudah nampak berkurang berbanding bulan lepas," celah Arora.


"Aku tak nak tahu semua tu. Hey, budak! Kau dah siap gali ke tak?" soal Darith sambil menendang belakang badan Karl sehingga terjatuh. Lumpur mengena pakaian Darith dan Fritz yang berada di hadapan.


"Bagusnya. Sekarang, baju aku dah kotor. Terima kasih, ketua," kata Fritz sambil mengeluarkan sapu tangan lalu menyapu kotoran pada pakaiannya.


"Ini semua salah budak ni! Habis pakaian aku kotor!"


"Ma-maafkan aku!"


Darith mencampak payungnya lalu menendang Karl yang cuba bangun. Wajah lelaki itu ditendang berkali-kali. Kata-kata maaf yang keluar daripada mulutnya tidak dipedulikan. Andalus dan Arora hanya melihat. Fritz pula masih menyapu kotoran pada pakaian. Mereka mengendahkan tindakan ketua mereka. Hanya membiarkan dia menendang Karl sepuas-puasnya sehingga berhenti.


"Cepat gali kubur ni sebelum aku hancurkan muka kau!" arah Darith.


Tanpa membantah, Karl terus menggali. Wajahnya teruk ditendang. Hidungnya patah, bibirnya pecah. Air matanya mengalir turun bersama air hujan. Sakit. Itulah yang dirasai. Tetapi, siapa peduli?


"Kalau kau bertenang sekejap, kau takkan kotor dan basah kuyup macam ni. Tengoklah Fritz. Kau patut contohi dia," kata Andalus.


"Kau patut berlembut sikit dengan budak tu. Kau juga yang tendang dia sampai jatuh tadi. Sekarang, kau tendang muka dia pula. Kalau apa-apa yang jadi, komander akan salahkan kita," jampuk Arora.


"Dia kan K-Subject. Kalau aku tendang dia lagi teruk dari tadi, dia akan sembuh dalam enam jam."


"Haish, suka hati kaulah."


Setelah beberapa minit, cangkul Karl mengena keranda. Pantas, Karl menggali sekeliling keranda untuk membuang tanah. Kemudian, perlahan-lahan penutup keranda dibuka. Mata-mata mula tertumpu ke arah keranda. Tatkala penutup itu habis dibuka, mereka terkejut besar. Terbeliak mata Karl. Dia segera memandang ke arah Darith dengan wajah keliru.


"Mustahil. Mayat dia dah habis dimakan ulat?" soal Andalus.


"Tak logik. Tulang pun tiada. Lagipun, dia K-Subject. Ini hanya keranda kosong," balas Fritz.


"Kita tak salah kubur kan?" soal Arora pula.


Darith terdiam seketika sebelum tersenyum sinis. "Tak. Kita tak salah kubur. Aku dah tahu kenapa Komander Jargon cakap yang kita mesti dapatkan K-Subject walaupun dengan menghancurkan negara. Mayat Raiqal Kris dah hilang. Kerajaan sudah sorokkan mayat dia untuk dibuat uji kaji."

















Untuk membaca kesemua Trilogi Distopia, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.