Home Novel Seram/Misteri Putera Dua Wajah
Putera Dua Wajah
Eidawati
28/9/2018 19:34:56
8,038
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1-1

1986

Malam tanpa bintang. Hanya deru angin kedengaran begitu kuat. Di dalam villa biru, dua orang pembantu rumah berlari-lari anak memanjat tangga. Seorang wanita di bilik utama pula, bertarung nyawa di atas katil untuk satu kelahiran baru.

Deru angin entah kenapa tiba-tiba terhenti. Bunyi cengkerik dan katak pula tak semena-mena memenuhi pekat malam. Suara tangisan kecil yang mulai kedengaran menghentikan larian mereka di hujung tangga.

Hampir lima tahun, villa ini akhirnya menerima keluarga baru yang dinanti-nantikan. Setiap mata memandang ketika pintu bilik utama dibuka dari dalam. Seorang lelaki melangkah keluar dan menghampiri seorang lagi lelaki yang sejak tadi kelihatan resah.

“Boy?”

Doktor Hussain mengangguk.

Lukman tersenyum lebar. Anak itu akan menjadi putera di villa ini. Menjadi waris kepada segala kekayaannya. Anaknya lahir sebagai anak bertuah dari keluarga hebat dan ternama!

Malam itu seisi villa tidur lena dengan kelahiran sang putera. Namun tanpa mereka sedari, ketika semuanya diulit mimpi indah, sesusuk tubuh merangkak lalu menyelinap masuk ke dalam bilik utama. Bayi berkulit putih gebu yang sedang lena,menyeringai diperhatikan.

“Comel...”Garau suara kedengaran. “Terlalu comel dan semuanya mula terasa tak adil.”Wajah berselubung hitam itu memerhatikan bayi lelaki di depannya dengan mata mencerun.

“Aku sumpah. Kelahiran kau takkan mendatangkan bahagia. Ada harga yang perlu kau bayar!” Mengilai tawanya memenuhi ruang bilik sehingga mengejutkan Lukman dan Hana yang sedang lena.

Terbeliak mata Lukman melihat makhuk berselubung hitam mencangkung di tepi katil!

Tubuh Lukman mula menggeletar. Suis lampu cuba ditekan namun dalam keadaan panik anaknya terlebih dahulu perlu diselamatkan. Kelam-kabut Lukman mendukung anaknya. Makhluk yang masih berdiri itu terus memerhatikan mereka bertiga dengan mata merah bak saga!

“Apa...apa yang kau nak?” Tersekat-sekat Lukman bersuara.

“Bayi ni... beri pada aku.”

Lukman menggeleng. Hana merangkul pergelangan tangan suaminya kerana ketakutan.Terlalu lama mereka menunggu. Anak ini anugerah tidak terhingga untuk mereka berdua!

“Biar aku besarkan dia.” Lukman cuba menenangkan rasa gementar dalam dirinya.

“Berapa lama?” Makhuk di depannya tunduk lalu wajahnya didekatkan dengan Lukman.Termangu Lukman dibuatnya. “Janji kau pada aku dulu...”

“Sampai dia mampu ada dua wajah.” Lukman mula mencari alasan.

“Aku pegang janji kau, Lukman. Pulangkan dia pada aku. Kau tahu akibatnya kalau anakkau ini tak mampu ada dua wajah.” Tersengih makhuk berselubung hitam itu.

Lukman terdiam. Entah betul entah tidak janji akan ditunaikan. Sesak terasa nafas namun anaknya masih dirangkul erat. Hana kesat air mata yang mula mengalir. Makhuk yang sejak tadi berdiri memerhatikan mereka mula bergerak menghampiri tingkap bilik lantas bulan di langit direnung.

Terkekeh suara tawanya mengecutkan hati Lukman dan Hana yang sedaya mungkin hendak melindungi bayi kecil yang tidak tahu apa-apa!

******

Langkahnya serba tak kena. Rasa serba salah menyelinap seluruh perasaan. Hana yang sejak tadi memeluk bayi kecil itu merenung Lukman.

Sudah seminggu sejak kelahiran, tidak sedikit pun Lukman terfikir hendak memberikan nama pada anaknya walaupun puas didesak Hana. Jawabnya, jalan penyelesaian perlu dicari terlebih dulu!

“Akujanji dengan setan tu. Sampai anak aku ada dua wajah.” Lukman berkerut dahi memandang Lufti, adiknya, yang diam sejak tadi.

“Kau mesti tolong aku. Anak aku ni. Nama pun aku masih tak sanggup nak beri. Aku dah tak tahu...” Lukman terhenti dari meneruskan kata.

Lufti hela nafas lalu wajah Hana dipandang. Bila manusia jadi terlalu tamak. Bila manusia mula gunakan segala kekayaan dan ego untuk menutup segala keburukan.

Lufti bangun dari duduk. Wajah comel bayi lelaki itu direnung.

“Biar aku yang besarkan dia.” Perlahan Lufti bersuara. “Kau sendiri tahu anak kau lebih selamat dengan aku. Tak ada gangguan. Tak ada sesiapa boleh sentuh dia.”Cadang Lufti.

Bayi kecil dalam dukungan Hana diambil lalu direnung penuh kasih.

“Apa yang kau boleh buat?”

“Papa dah lama buang aku.” Serius Lufti bersuara. Menegaskan tentang pertalian yangtak mungkin dapat bertaut.

Lukman terdiam. Kata-lata Lufti ada betulnya.

“Anak kau ni. Aku akan pastikan dia tak tahu asal-usul dia.”

Hana bergegas bangun. Tak sanggup lagi rasanya hendak berdepan dengan Lukman dan Lufti!

Payah Lukman mengangguk. Bayi dalam dukungan Lufti direnung. Tanpa sepatah kata, Lukman atur langkah tinggalkan ruang tamu.

Lufti menggeleng lantas pipi bayi yang lena dalam dukungannya disentuh.

“Dua wajah. Aku akan pastikan kau ada lebih dari tu.” Sinis senyum Lufti merenung wajah bayi itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 1-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Eidawati