Home Novel Seram/Misteri ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
Riduan Judin
20/12/2014 10:01:34
25,953
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
PROLOG

PROLOG

Hutan Nusawungu -Tahun 1992

HUTAN itu sudah lama tidur. Malah, sejak tidak dikunjungi penduduk setempat, tempat itu menjadi begitu sepi. Terletak di antara banjaran pergunungan Kinabalu yang tinggi. Hutannya merimbun. Daun-daun tebal menghijau sehingga jauh ke lubuk hutan banjaran itu.

Menurut cerita, hutan Nusawungu dihuni oleh makhluk pelik yang sentiasa dahagakan darah. Bagaimana bentuk wujudnya, tiada siapa yang dapat menggambarkannya. Kalau ada penduduk yang berani masuk pun, belum tentu akan berjaya keluar dengan selamat. Hutan itu ‘bernyawa’ walaupun dipercayai sedang menyepi melalui tidur yang begitu lena.

Tragedi Berdarah

SEAWAL tengah hari tadi, dua pemuda yang mencari akar-akar kayu untuk dijadikan ubat-ubatan, telah masuk ke dalam hutan Nusawungu itu. Hutan itu, ibarat ‘syurga dunia’ yang memukau mata. Siapa sahaja yang masuk ke dalamnya, pasti akan menyelam jauh ke lubuk. Itu antara keajaiban hutan banjaran ini – ia memukau naluri dan mata hati.

“Aku takut hendak masuk jauh ke dalam lagilah,” Jairon terkebil-kebil. Kesejukan hutan banjaran itu terasa menusuk jauh ke dalam tulang sum-sum.

“Kau ni penakutlah, Jairon. Ingat, kita ini anak lelaki. Hidup mati kita memang di hutan, di banjaran ini!” Sahut Paloi. Dia mencebik marah.

“Tapi kita tidak tahu apa yang mendiami hutan banjaran ini, Paloi.” Jairon meliarkan matanya di segenap sudut hutan.

“Kita baru mula pungut akar hutan ini. Kau sabarlah sedikit,” pinta Paloi sambil sibuk memungut akar-akar kayu yang dipercayai mujarab dijadikan penawar.

“Hutan ini, macam berhantu… mari kita keluar cepat!” Jairon semakin bertambah takut. Sesekali matanya dilontar jauh ke belakang.

“Mulut kau ni, celupar sangatlah,” marah Paloi.

“Aku ada anak bini di rumah, Paloi. Aku sudah janji akan pulang sebelum matahari tenggelam. Aku takut mereka risaukan aku,” ujar Jairon.

“Aku tahulah aku ni belum kahwin. Tiada siapa pula yang sudi risaukan aku.” Paloi agak tawar hati. Merajuk dengan sikap Jairon yang terburu-buru hendak pulang.

Jairon yang memang mengetahui kedegilan Paloi, hanya berdiam diri. Menjawab bererti perkelahian lidah antara mereka akan berpanjangan dan bertambah parah.

Paloi yang bersifat tamak kelihatan memungut akar kayu hutan yang dianggap mujarab dalam perubatan. Malah, ia juga laris jika dijadikan jamu kecantikan. Biasanya wanita yang baru lepas bersalin dan anak dara sunti amat menyukai ubat-ubatan tradisional itu.

MATAHARI kian beranjak di ufuk barat. Ketebalan hutan banjaran itu membuatkan suasana hutan menjadi gelap dengan lebih cepat. Paloi dan Jairon yang terlajak waktu di hutan itu, berjalan dalam kesuraman. Kesejukan kabus yang mula berarak perlahan sengaja tidak diendahkan. Apa yang penting, mereka mesti pulang! Itu janji Jairon terhadap isterinya!

Setelah berjalan lebih kurang setengah jam, Jairon dan Paloi berasa hairan kerana masih gagal menemui jalan pulang. Malah, tempat yang mereka lalui adalah sama. Berulang kali merentasi denai dan hutan yang dipenuhi pokok-pokok sebesar dua pemeluk manusia di kaki pergunungan itu.

“Aku sudah cakap tadi, hutan ini pasti menyukarkan kita mencari jalan pulang,” bisik Jairon yang mula ketakutan.

“Jangan takut, kita akan dapat keluar dari hutan ini,” bentak Paloi.

“Kita sudah disesatkan dalam hutan ini, Paloi.” Hutan banjaran itu semakin suram. Cahaya bulan yang berjaya menerobos dedaun pokok-pokok itu sahaja yang menjadi penyuluh jalan.

“Cepat, terbalikkan baju,” jelas Paloi. Mereka segera menanggalkan baju dan menterbalikkan, lalu dipakai semula.

“Cara ini akan menemukan kita jalan pulang?” Jairon melihat-lihat bajunya yang sudah diterbalikkan.

“Sudah pasti. Mari kita teruskan perjalanan.”

Paloi yang berjalan di bahagian depan, terhenti apabila telinganya menangkap satu bunyi. Sebagai pemungut akar kayu yang sudah mahir dengan selok-belok hutan banjaran sebegitu, dia begitu peka terhadap perubahan sekeliling. Hatta, bunyi cengkerik pun akan dapat ditentukan jarak berdasarkan bunyinya.

“Ada apa, Paloi?” tanya Jairon apabila Paloi berhenti secara tiba-tiba sambil mengangkat tangan kanannya.

“Dengar bunyi itu?” tanya Paloi. Kala ini, hutan itu begitu sunyi sepi. Cuma, bunyi burung hantu, unggas dan cengkerik hutan sahaja yang menjadi latar malam.

“Bunyi burung hantu…” jawab Jairon sambil melihat-lihat di atas pokok yang tinggi.

“Shh… diam. Bunyi itu datang dari belakang pokok besar itu,” bisik Paloi sambil berjalan perlahan menuju ke arah pokok yang sebesar dua pemeluk manusia itu.

Belum sempat Paloi mendekati pokok besar itu, badannya tiba-tiba terangkat ke atas dan hilang di sebalik rimbunan hutan yang tebal. Seiring dengan itu, kedengaran suaranya menjerit panjang yang semakin menjauh mendayu-dayu di sebalik malam.

“Rogon… rogon,” bisik Jairon yang berasa begitu takut melihat sahabat baiknya itu hilang ditelan malam. Rogon bermaksud ‘hantu’ atau ‘jembalang’ mengikut kepercayaan suku kaum Dusun.

Jairon pantas membuka langkah seribu. Duri-duri tajam yang dipijaknya sudah tidak terasa sakitnya lagi. Apa yang penting adalah, selamatkan nyawa. Satu-satunya harta paling berharga yang tidak mungkin ada galang gantinya.

Lelaki itu berhenti sejenak. Kala ini, terasa duri-duri hutan berceracak di tapak kakinya yang sudah tidak beralas. Terasa nyawanya berjalan ke hujung ajal. Keseraman hutan itu membuatkan peluhnya merembes keluar tanpa henti. Kalau tadi berdua, sekarang hanya seorang. Berteman pun, bukan dengan manusia!

Jairon menoleh ke belakang apabila terasa sesuatu sedang menitis dari atas. Dia pantas mendongak ke atas. Jantungnya bagai direntap apabila jasad Paloi sedang diratah dengan penuh rakus. Tubuhnya longlai. Siapa yang sedang memakannya, dia tidak tahu. Yang pasti, itu adalah makhluk yang menghuni hutan banjaran itu dan bukan manusia!

Jairon berlari sekuat hati. Terasa jasadnya di depan, dan jantungnya tertinggal ke belakang. Langkahnya terus dipacu. Ketakutan dan cerita-cerita seram di hutan itu mula terbayang di fikirannya. Hatta, menoleh pun dia tidak sanggup lagi.

“Jairon…” Suara parau kedengaran berbisik di telinganya. Serta-merta langkahnya terhenti.

Masa inilah hujung matanya dapat menangkap kelibat bayang yang bergerak pantas berlari seiring dengannya. Badannya terasa seram sejuk. Tatkala dia menoleh ke kanan, tiada pula siapa-siapa di situ.

Jairon berpaling ke depan semula. Masa inilah dia melihat makhluk yang sangat pelik sedang berdiri di hujung laluan jalannya. Jairon begitu terkejut, lalu menghentikan lariannya secara drastik.

“Si… siapa kau?” Jairon memberanikan dirinya bertanya. Terasa badannya seram sejuk. Soalannya langsung tidak berjawab.

Lembaga itu menyeringai. Masa inilah kuku-kuku tajam tumbuh meruncing. Bulu-bulu kasar juga tumbuh di seluruh badan lembaga manusia itu. Jairon tidak berupaya untuk lari apabila badannya tiba-tiba dipaut dari arah belakang dan dilambung ke atas.

Jairon nyawa-nyawa ikan. Terasa sekujur badannya berselirat dengan kesakitan apabila dijatuhkan ke bawah dan menghempas akar-akar kayu yang timbul di permukaan tanah.

“Ro… rogon.” Belum sempat Jairon menghabiskan kata-katanya, badannya disambar lembaga itu. Dia disandarkan di batang pokok sebesar dua pemeluk manusia. Dia situ, jasadnya terkulai. Darahnya menyeruak dari luka-luka akibat goresan kuku-kuku tajam. Dalam sekelip mata, nyawanya semakin mendekati hujung ajal.


Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.