Home Novel Seram/Misteri NYAH RUBIAH
NYAH RUBIAH
Alissa Alee
23/8/2018 23:05:09
11,780
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

MALAM  itu merupakan malam untuk Nyah Rubiah menjamu ‘belaan’ dari botol  minyak ‘hidup’ pula. Sengaja dia selakkan selimutnya supaya ‘belaan’  yang sedang merangkak itu, menghisap ibu jari kaki kanan.

            Anjang kini terjaga,  dia ingin bangun namun terhenti.  Entah kenapa, hidungnya dicemari dengan bau yang sangat busuk.  Macam bau tahi pun ada.

            Anjang yang tidur beralaskan tikar mengkuang baring semula.  Sambil itu, dia mengerling atas katil di mana isterinya itu sedang tidur.  Dia seakan tahu bau apakah itu. Seraya mulutnya melafazkan Ayatul Qursi dan surah 3 Qul.  

           Matanya terus terpejam apabila makhluk hitam berambut panjang itu, kini berada di sisinya sambil mencerlungkan mata merahnya.  Bukan itu sahaja, mulutnya yang dipenuhi dengan darah Nyah Rubiah menyeringai padanya.

           Nyah Rubiah tersenyum.  Siapa suruh sibuk lagi. Sudahlah dungu lagi mahu menyibuk.  Wanita yang sedang menutupi betisnya itu dengan selimut semula,   terdengar gumaman ayat- ayat panas tersebut. Bahang mula terasa.

          “Anjang…” ujarnya lembut tapi sarat dengan maksud.  Anjang yang terdengar terus membuka matanya.

         “Allah!” teriaknya nyata terkejut dengan ulah Nyah Rubiah yang sedang memandangnya tajam.  Tiba- tiba sahaja isterinya itu berada ditepinya.

        “Apa kau tunggu lagi?”  soalnya sinis. Anjang yang mengerti dan terlalu mengerti terus bangun lalu menapak ke arah pintu.  Seperti biasa dia harus tidur di dapur lagi, selagi anyaman tikar mengkuang belum siap. Matanya memang masih lagi berat tetapi dia harus siapkannya.  

           Lengan yang lebam semula dia abaikan.  Dia tahu sudah semestinya darahnya juga harus menjadi santapan setan tersebut.  Dia tahu dia bacul kerana reda diperlakukan sebegitu oleh isteri namun, dia tiada daya untuk meluahkan rasanya yang menjeruk itu.

          “Apa lagi kau mahukan?  Tak kenyang- kenyang lagi ke?”  bentak Nyah Rubiah apabila seekor lagi belaannya datang.  Kali ini belaan tikar mengkuangnya pula. Mahu tak mahu Nyah Rubiah terpaksa menyelak lagi betisnya.

           Dalam masa yang sama,  hadirnya seorang puteri sambil diiringi lima orang pendekar berpakaian serba hitam dari permukaan Sungai Perak, yang selang beberapa langkah sahaja dari muka pintu dapurnya.

          Anjang yang sedang menyilang- yilangkan anyaman tikar terus terhenti tugasannya.   “Mana datangnya pula bau wangi ni?” soalnya sambil mengembang- kempiskan hidungnya.  Spontan tangan kanan menyapu leher. Melihat lengannya pula, ternyata bulu roma menegak.

          Kelibat tersebut melayang pula ke bahagian atas rumah melalui pintu yang mendepani tangga.  Setelah itu, barulah rasa merinding Anjang berkurangan. Dia kembali pada tugasan menganyamnya.

           Kelibat berpakaian puteri serta para pengiring hanya menjadi pemerhati pada sekujur tubuh yang sedang berbaring itu.  Dia juga mengetahui akan kandungan yang kian membesar dalam perut Nyah Rubiah, biarpun wanita itu masih lagi tidak mengetahui.


ALAM TIDAK BERDINDING,


NYAH RUBIAH tetap meneruskan perjalanan disepanjang pinggir sungai tersebut.  Dia seakan mengenali kawasan itu, apatah lagi sungai yang sedang mengalir tenang disebelah kirinya.

            Dia terpaksa mengangkat kain batik lepasnya sedikit meninggi kerana tidak mahu dilekati kemuncup.  Lalang agak tinggi. Adakalanya, dia bertembung dengan katak. Bezanya katak dikawasan tersebut, tidak sehodoh katak yang dia biasa lihat.

            Matanya tajam menancap istana tersebut.  “Istana siapa pula ni dekat tepi sungai? Aku dekat mana sebenarnya ni? Adakah aku bermimpi?’  soalnya seraya menampar pipi sendiri.

           “Aduh!” Nyah Rubiah mengaduh dan ini bermakna dia tidak bermimpi.  “Lebih baik aku pergi siasat? Kalau bernasib baik aku boleh ambil kesempatan yang ada,” ujar Nyah Rubiah memasang niat serong.

           “Aduh! Siapa tolak aku ni hah? Hei keluarlah kalau berani!”  bentaknya yang tersembam ke tanah selepas berniat begitu. “Aduh!  Aduh!” adunya kesakitan tatkala wajahnya pula ditempelang dengan berkali secara tiba- tiba.  Dia masih tidak nampak siapakah penyerangnya.

           “Nyah Rubiah..”

           “Kau siapa? Keluarlah kalau berani!  Kau tahu tak siapa yang kau pukul ni?”  bentak Nyah Rubiah yang terjelepuk ke tanah sambil memegang pipinya yang pijar.

           “Aku Puteri Sari…”  jawab suara itu. Nyah Rubiah terus terdiam dan terus meliarkan matanya.  “Kalau kau betul- betul wujud.. Menjelmalah!”

          “Hahaha”

          “Kenapa kau ketawa?  Dasar pengecut! Aduh!”  Nyah Rubiah sekali lagi ditampar malah kali ini,  lebih kuat lagi. Sambil menahan kepijaran pipi, Nyah Rubiah seraya menyeringai.  Darah kini mengalir dicelahan bibir.

          Puteri Sari dan pengiringnya lima bersahabat menjelmakan diri.  Melayang ke arah Nyah Rubiah. “Kau keturunanku..” ujar Puteri Sari menyentuh pipi yang lebam itu sehingga warnanya kian pudar.

         “Siapa kau sebenarnya?  Aku keturunan mu? Tapi,  mengapa aku tak pernah nampak kau?”  Nyah Rubiah mulai berlembut. Gadis berpakaian Puteri Perak  dan Siam itu, dilihatnya tidak merbahayakan.

          Nyah Rubiah didirikan dengan hanya mengapungkan tangan sahaja.  Sesekali mata nakal Nyah Rubiah, sempat mengerling lima pemuda yang tegak berdiri selang beberapa langkah ke belakang Puteri tersebut.

        “Kau harus terima aku”

        “Tapi aku?”

        “Ini perjanjian ibu kau!”

        “Nyah Embun?”

        “Ya… kau dan keturunan kau harus menerima aku..”  ujar Puteri Sari lalu memalingkan wajahnya. Wajah asalnya pucat dan sangat menyeramkan.

         Puteri Sari yang berpaling semula dengan wajah tadi seraya menyentuh bahu Nyah Rubiah.  “Kau memang dah menerima aku …” ujarnya lagi lalu ghaib.


KINI,


“Puteri ..  Puteri..Puteri!”  Pekik Nyah Rubiah lalu terbangun.  Termengah- mengah bagaikan mimpinya tadi benar- benar berlaku.  Dia kepenatan setelah berlari jauh kerana mahu mencari Puteri Sari yang ghaib secara tiba-tiba.

           “Siapa dia sebenarnya?  Kenapa aku? Apa perjanjian emak?”  soal Nyah Rubiah bingkas bangun lalu menapak ke arah almari.  Nyah Rubiah tidak menghiraukan perempuan berwajah separuh terbakar yang meninggung atas almari,  sebuah beg kulit besar ditarik ke bawah.

            Ktik!

            Punat beg terus terbuka.  Nyah Rubiah terus membuka serta meluaskan beg kulit itu.  Segala kertas-kertas yang telah menjadi warna kuning dia keluarkan.  Kesemuanya dalam tulisan jawi lama.

           Gambar Nyah Embun yang di makan anai- anai pada sebelah mukanya terus ditenung buat seketika.  Nyah Rubiah berkerut dahi apabila barang yang ingin dia temui tidak jumpa.

         Namun, pada hakikatnya kertas berisi pantun yang tergenggam itulah penyambung ikatan keturunannya.  “Oh emak apakah perjanjian kau sebenarnya?” soal Nyah Rubiah mengurut dahinya yang berdenyut- denyut.  

        Nyah Rubiah terus dikejutkan dengan esakkan sayu tersebut.  Nyah Rubiah bingkas bangun dan kertas berisi tulisan pantun itu terus melayang keluar.

        Angin yang menderu telah berjaya menolak jendela.  “Kau siapa? Siapa hantar kau?” herdik Nyah Rubiah pada seekor polong yang terapung- apung di depan jendela yang luas terbuka itu.

        Manakala Anjang di dapur pula masih lagi mencari siapakah yang menangis tadi.  Dia kini berada di luar rumah dan tegak berdiri sebelah pokok bunga tanjung.

        Nyah Rubiah masih lagi bergumam sambil memejam matanya.  Tangan kanan dan kiri terangkat- angkat. Polong itu pula masih lagi mengilai-gilai  terawangan. Anjang yang melihat apa yang telah berlaku terus berlari ke dalam dapur.

           Pomm! Berdentum pintu tertutup.  Anjang yang tersandar pada pintu tersebut menarik nafas.  Semputnya mulai menyerang. Terus melorot ke bawah dan perlahan-lahan matanya terpejam.

           “Aku tahu siapa yang menghantar kau!  Pergilah kau dari sini.. Ajja Muaajja…  Datang tak berjemput … Pulang tak hantar…  Iyarghh!” pekik Nyah Rubiah sambil menolak kedua-dua tangannya sebagai isyarat serangan.  Polong yang mengilai itu menjerit kesakitan lalu ghaib.

           “Argh… Jahanam kau Rubiah!”  kedengaran suara si Tuan yang menjaganya kini.  “Aku benci kau Rubiah… Kau goda laki aku… Kau lupa ke?”  soal suara itu lagi. Makin laju gerakan mulut Nyah Rubiah menggumamkan sesuatu.

            Manakala di rumah musuhnya pula,  keadaan berada di dalam keadaan kelam-kabut,   bagaikan baru dilanda gegak-gempita. Angin rakus berpusu- pusu masuk menggerakkan gantungan botol-botol menyebabkan ia berbunyi.

           Nyah Rubiah menutup daun jendela sambil tersenyum.  Dia tahu lawannya tetap akan kalah. Memang dia penat namun,  hatinya puas. “Melah.. Melah laki kau yang sujud pada aku Melah…”  ujarnya sinis.

         Masih terbayang diruangan mata,  aksi lelaki separuh abad itu menyendeng padanya.  Nyah Rubiah akui kejelitaannya makin bertambah dan banyak mata terutama mata lelaki yang acapkali ingin malahan berulangkali mahu melihatnya lagi dan lagi…

          “Kejelitaan kau itu mewarisi kejelitaan Nyah Embun.  Aku tahu kau juga ada ‘memakai’ Nyah Rubiah…” ujar Puteri Sari lalu terbang kembali ke tempat asalnya Sungai Perak.

           

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alissa Alee