Home Novel Seram/Misteri NYAH RUBIAH
NYAH RUBIAH
Alissa Alee
23/8/2018 23:05:09
11,758
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

BULAN mengambang cerah biarpun tanpa ditemani gemerlapan bintang-bintang.  Kicau burung berek-berek mengiringi seorang perempuan berjubah putih lusuh  dan berambut panjang yang sedang melayang dengan tubuhnya menelentang, untuk ke destinasi yang ingin dituju.

            Bunyi derap dedaunan kering dan  ranting patah pula menjadi peneman langkah seorang wanita berkemban yang sedang menelusuri lorong kecil menuju ke arah sungai.  Di tangannya pula kelihatan satu baldi biru berisi bungaan berwarna- warni.

            Terkelip-kelip mata si burung hantu dari atas dahan ketika,  wanita yang jelita itu sedang lalu. Bunyi aliran air sungai,  semakin kuat kedengaran kini. Ada senyuman yang sedang merekah pada bibir merah delima itu.

             Baldi diletakkan atas tanah sebelum dia mendepangkan tangannya sambil menarik nafas sedalam- dalamnya.  Tuala yang tersangkut di bahu meleret sendiri bagaikan ada tangan yang menariknya.

              Di tengah-tengah sungai yang tenang itu pula,   timbulnya satu pusaran kecil. Dan jika dilihat ia  makin lama makin membesar. Wajah jelita yang masih terpejam itu disapu dedaunan yang gugur dan berterbangan  akibat dari tiupan angin.

             Nyah Rubiah membuka matanya dan merenung tajam pada lembaga hitam yang hadir dari dalam pusaran tadi.   Dan kini, telah tiba waktunya untuk dia menyempurnakan ritual setiap malam Jumaat iaitu Siraman Panca Sari.

           “Nyawa malam datanglah kepada ku..  Nyawa malam naikkan lah seri tubuhku… Nyawa malam kau perindahkan lah wajah ku ini agar setiap mata yang memandang luruh jantung mereka… Datanglah... Datanglah… Datanglah nyawa malam kepadaku..”

             Lembaga hitam itu kini sedang mengelilingi Nyah Rubiah.  Dan munculnya beberapa jelmaan makhluk berwajah yang menakutkan mengerumuni baldi tersebut,  lalu titisan air ludahan mereka membasahi atas bunga-bungaan tersebut.

              Cucuk sanggul dia tarik dari dalam sanggulnya.  Rambut berjelanya terus mengerbang dan berterbangan.  “Argh!” desisnya tatkala hujung tajam pada cucuk sanggul tersebut tertikam di tangannya.  Dengan pantas dia menghirup darah yang menitis dan menyapu wajah.

              Kain kemban tersadai kaku atas batu.  Nyah Rubiah yang telah dirasuk terus menapak ke dalam sungai, setelah menyiram tubuhnya dengan bungaan tersebut.

              Kepala yang kelihatan kini, dia tenggelamkan jua.  Setelah sejam berlalu, Nyah Rubiah naik semula ke daratan.   Semakin jelita wajahnya.

            Nyah Rubiah harus pulang ke rumah sebelum azan subuh.   Kerana pagi nanti, dia harus berkolek ke Kuala untuk menghantar tempahan tikar mengkuang.  

             Kerana suaminya yang  bebal itu, memang langsung tidak boleh di harap.  Setelah kain kemban diikat dengan kuat pada dada. Nyah Rubiah mengangkat baldi,  segala bunga- bungaan disepak supaya kesemua memasuki ke dalam dan ada juga yang terapung atas permukaan sungai.  

             Sehingga kini,  wanita jelita tinggi lampai  itu, tidak menyedari ada mata seseorang sedang memerhatinya.  Nafas si pemerhati pula, masih lagi laju dan peluh pula membasahi pakaiannya.

            “Kalaulah aku dapat..”  ujarnya perlahan sambil menyeka peluh didahi.  Pun begitu, hakikat yang sebenar Nyah Rubiah tahu ada orang sedang menghendapnya mandi.

           “Sekadar amaran untuknya..”  arahnya pada ‘sesuatu’ yang matanya sahaja nampak.  Nyah Rubiah menyambung kembali langkah sambil tersenyum penuh makna tatkala telinganya mendengar bunyi jeritan seseorang.

            Kelam- kabut lelaki malang itu mendayung sampan untuk  kembali semula ke tengah Sungai Perak. Dia benar-benar terkejut dengan penampakan tadi.  Kerana terlalu asyik memerhati tubuh mungil Nyah Rubiah, dia alpa waktu apakah itu.


RUMAH NYAH RUBIAH,


ANJANG  sedang menyiapkan makan malamnya sendiri apabila isterinya,  Nyah Rubiah yang telah keluar dari senja tadi sehingga kini masih lagi belum pulang.

           “Allahuakbar!” ucap Anjang apabila piring yang berisi ikan goreng yang masih lagi panas, telah terlepas dari pegangan tangannya.  Sungguh dia tidak sengaja.

          “Abang!” herdik Nyah Rubiah yang muncul secara tiba-tiba di muka pintu dapur yang sememangnya luas terbuka.  Anjang makin pegun melihat wajah isterinya itu.

            Nyah Rubiah terus membaling baldi ke arah Anjang.  Nasib Anjang cepat mengelak. Kalau tidak sudah tentu benjol lagi dahinya.  “Dah la bebal! Nak pegang piring satu pun dah tak larat ke?” Nyah Rubiah terus meluru dan menunjal dahi Anjang.

            Hampir mahu terhentak belakang kepala Anjang apabila ditunjal sebegitu rupa.  “Apa tunggu lagi kutiplah! Menyusahkan aku sahaja!” ujar Nyah Rubiah sebelum menapak ke arah tangga untuk naik ke atas.  Tubuhnya yang berkemban tadi kini telah berbaju.

            Anjang terus melutut.  Tanpa lelaki itu sedari,  airmatanya berlinangan mengalir ke pipi.  Isi ikan yang telah bercampur dengan serpihan kaca dia angkat dengan berhati-hati.

           “Aduh!” Anjang melihat dahulu jarinya yang tercucuk serpihan kaca besar sebelum dia menarik kain buruk dari palang para.  Lelaki malang itu tak menyedari ada seekor makhluk hitam sedang menadah mulutnya bawah jarinya yang terluka.

           Manakala di dalam bilik pula,  setelah bersiap- siap. Nyah Rubiah menyisir rambutnya sambil bergumam sesuatu.  Disisirnya dengan lembut sambil tersenyum menyeringai. Kejap lagi, dia mahu ke Teluk Intansari.

        “Prabu sakti  sang hanuman, berikan padaku kuasa kejelitaan..  Berikan pada aku kejelitaan para dewata..” Mantera dilafazkan dengan penuh tumpuan.  Dihembuskan pada kedua belah telapak tangan, sebelum disapu ke muka dari dagu membawa ke atas.


***


MENTARI pagi kian memancar.  Nyah Rubiah masih lagi berkolek disepanjang Sungai Perak.  Adakalanya perahu koleknya sekejap ke tengah, sekejap ke tepi jika tidak menumpukan sepenuh perhatian semasa mendayung.

           “Allah! Ish apa pula ni?”  omel Nyah Rubiah sedikit terlajak ke depan apabila perahu koleknya dirempuh sesuatu.  Mata terus meliar sekelilingnya. Jenuh merenung ke dalam air yang berwarna kecoklatan itu.

             Sekali lagi perahu dirempuh sesuatu dari bawah.  Nyah Rubiah yang berpeluh diasak api amarah. Ada saja gangguan ketika dia mahu cepat sampai ke daratan.  Nyah Rubiah menarik selendang renda yang hanya menutup rambut belakang sahaja, lalu selendang diregangkan menggunakan kedua belah tangan sambil mulutnya melafazkan sesuatu.

           “Aku tahu asal-usul kau.. Pulanglah ke asalmu… Aku tahu kau cuba ujiku tapi aku tak segentar yang kau sangkakan..  Pulanglah.. Pulanglah..Yarghh!” jerkahnya sambil melibas permukaan sungai sehingga dirinya basah akibat percikkan tersebut.

            Tiba-tiba matanya terpandang sesuatu yang muncul dari arah kanannya.  Dua biji mata merah tersembul tersebut memandang Nyah Rubiah dengan tajam.

          “Aku tahu siapa kau.. Kenapa kau ganggu aku?  Aku tak ganggu kau.. Aku hanya mahu lalu..” bicara Nyah Rubiah pada makhluk itu lagi.  Setelah mendengar omelan wanita jelita bersanggul lintang dan berkebaya merah ketat itu,  kedua biji mata tersembol itu perlahan-lahan tenggelam semula.

           Nyah Rubiah yang mengenakan kembali selendang basahnya itu ke kepala terus tersenyum apabila mendengar bunyi libasan ekor.  Buaya putih bermata merah itu kini meninggalkan Nyah Rubiah.

          Di hadapan telah kelihatan pohon- pohon bakau.  Nyah Rubiah yakin dia telah sampai apabila melihat deretan perahu disepanjang pinggir daratan tersebut.

           Kedua-duanya saling bermaafan dan tersenyum ketika berlaku perlanggaran tersebut.  Lelaki itu teruja melihat kekuatan wanita jelita yang tinggi lampai itu. Sambil menapak,  Nyah Rubiah yang sedang menjunjung beberapa gulungan tikar mengkuang yang baru disiapkan semalam itu menghafaz sesuatu.

          Tangkal hitam kini dia sembunyikan semula kedalam baju.  “Adik jual tikar ya.. Boleh kakak tengok?” soal seorang wanita separuh baya.  Nyah Rubiah terus meletakkan gulungan tikar tersebut ke atas tanah.

           Ketika wanita berselendang ala petani itu asyik membelek tikar-tikarnya.  Nyah Rubiah menghembuskan mukanya. Wanita berkerut dahi lalu mendongak merenung pula mata Nyah Rubiah.

          “Bagi kakak tiga gulung dik”  ujarnya laju menyelok dadanya untuk mengeluarkan beberapa not Dollar.  Maklumlah zaman pemerintahan konsulat British. Nyah Rubiah menguntumkan senyuman tatkala melihat kepingan not Dollar yang dikeluarkan.

           Nyah Rubiah juga sempat mengerling ke arah gulungan tikar yang sedang wanita itu junjungkan.  Malam ini, belaannya bakal kenyang lagi.

          “Eh..” omelnya pabila tubuh ditolak dari arah belakang.  Pantas menunduk untuk mengutip duit yang berterbangan lalu jatuh ke tanah.  Lelaki itu juga membantunya. Huluran dari lelaki itu, menerima renungan tajam Nyah Rubiah yang mulai dikuasai amarah.

           “Maaf.. Saya tak sengaja,” ujar lelaki berkumis itu lembut.  Dia mengambil kesempatan tersebut dengan melawan tunakkan mata itu.  Senyuman yang dia lemparkan dibalas dengan jelingan tajam Nyah Rubiah,  setelah wanita itu bangun.

          “Huh.. Rubiah.. Rubiah satu hari nanti kau pasti melutut pada aku,” ujar Seman penuh tekad.  Bukannya dia tidak tahu tentang hubungan antara suamiisteri wanita itu yang diibaratkan sebagai belah menanti retak.  Lenggok pinggul itu membuatkan nafsu jantannya makin bergelora.


Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alissa Alee