Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
23,844
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

Kehilangan Nazira merisaukan Tuan Andrian dan Farish. Keduanya tidak duduk diam. Panik mengenangkan keputusan yang dibuat Nazira. Siapa sangka jika gadis berusia 22 tahun itu sanggup lari dari rumah demi keinginannya untuk ke Bario.

Tuan Andrian terduduk lemah di sofa. Kepalanya mula terasa sakit.

“Ayah tak apa-apa ke?” tanya Farish risau seraya menghampiri ayahnya.

“Kepala ayah sakit,” beritahu Tuan Andrian.

Farish mula melangkah menuju ke kabinet kecil. Minyak panas dikeluarkan.

Tuan Andrian sedikit lega sebaik Farish menyapu minyak panas tersebut ke kepalanya. Namun hati lelakinya masih terusik cemas, risau akan keberadaan anak gadisnya.

Dia masih ingat apa yang berlaku malam tadi. Nazira meminta diri untuk keluar sebentar mengambil angin namun siapa sangka, itulah kali terakhir dia bertemu Nazira.

“Ayah, kita lapor polis nak?” Farish memberi saranan.

“Lapor polis? Tapi kan belum 24jam,” jawab Tuan Andrian.

“Habis tu macamana? Takkan esok kita nak lapor? Silap haribulan, Nazira dahpun pergi kesana.”

Tuan Andrian diam. Dia mula memikirkan rancangan.

“Degil betullah dia ni. Tak habis-habis nak menyusahkan orang,” rungut Farish. Geram benar dia akan tindakan adiknya kali ini.

“Farish, dahlah tu.”

“Habis tu takkan kita nak biarkan saja ayah? Nazira tu masih mentah tau. Apapun tak tahu.”

“Apa kata kamu telefon rakan dia. Mana tahu rakan dia tahu keberadaan adik kamu,” saran Tuan Andrian. Dia tampak tenang walaupun jauh didalam hati, perasaannya bergelora tidak tenang.

Farish mula mengeluarkan telefon pintarnya. Dia mula menghubungi rakan adiknya. Satu persatu rakan Nazira dihubungi namun masing-masing menyatakan ketidaktahuan Nazira. Adiknya seolah lesap dari bumi, tidak meninggalkan jejak.

“Macamana?”

Farish menggeleng. Dengusan kasar dilepaskan. Skrin telefon mula ditekan kasar. Dia marah.

“Bodoh betullah budak ni. Tunggulah bila dia balik nanti.”

Farish mengetap bibirnya. Kedua tangannya mula mencekak pinggang. Hati lelakinya mendidih marah. Dia tidak lagi peduli dengan pandangan ayahnya.


Rumah Alia.

Nazira membuka matanya perlahan tatkala sinar matahari menerjah masuk kedalam bilik tidurnya. Silau yang tajam membuatkan dia kembali menutup mata. Selimut yang hanya menutup sebahagian tubuh mula ditarik menutup seluruh badannya. Dia masih terasa mengantuk.

Alia masuk dengan sedulang makanan. Dia hanya tersenyum melihat rakannya yang masih belum bangun. Sebuah meja kecil menjadi tempat dulang tersebut diletak.

“Zi, bangunlah. Dah nak tengahari ni,” ujar Alia perlahan. Badan Nazira perlahan digerak.

Nazira mengeriuk bagaikan udang. Matanya kembali dicelik, memandang Alia yang hanya tersenyum.

“Dah pukul berapa ni?” tanya Nazira. Matanya mula digosok.

“Dah pukul 12. 13 tengahari. Bangunlah, tak baik tau anak dara bangun lewat,” ujar Alia.

Nazira hanya menurut. Badannya yang masih terasa lemah didudukkan. Selimut diselak ke tepi.

“Makanlah dulu. Lepas tu mandi.”

Nazira hanya menurut. Dia mengensot perlahan turun dari katil. Makanan yang terhidang mula menaikkan nafsu makannya. Perutnya mula berbunyi tanda lapar.

“Aku keluar dulu ya? Nak siapkan kerja sekejap.”

Nazira hanya mengangguk tatkala Alia meminta diri. Kenal benar dia akan sikap rajin rakannya itu.

Makanan yang ada diratah dengan rakus. Dia lapar. Isi ayam digigit dan dikunyah. 

Setelah beberapa belas minit menjamu selera, Nazira bangun lalu menuju ke kamar mandi. Dia mahu membersihkan diri sebelum keluar bertemu Alia. 

Baru sahaja dia ingin melangkahkan kaki memasuki kamar mandi, telefon pintarnya berdering. Pantas Nazira berpatah balik.

Baik kau balik sekarang. Kalau tak aku akan ikat kau hidup-hidup di tiang elektrik depan rumah.

Nazira hanya mencebik membaca mesej dari abangnya. Ancaman abangnya sama sekali tidak menakutkannya.


Kehilangan Nazira sama sekali tidak memberi kesan kepada Sofia. Dia malah gembira. Wajah anak tirinya itu tidak lagi perlu dipandangnya. Malah lebih baik jika Farish turut sama menghilangkan diri.

Beg tangan berwarna biru tua dicapai dari almari pakaian. Dia sudah berjanji untuk berjumpa dengan Andhika. Pakaiannya terlihat agak menjolok mata, walaupun tidak terdedah dibahagian dada.

“Awak nak kemana?” tanya Tuan Andrian sebaik melihat isterinya keluar dari bilik tidur dengan pakaian mewahnya.

“I nak jumpa kawan sekejap,” jawab Sofia. Senyumannya diukir lebar.

“Jumpa kawan? Eh, Nazira sekarang hilang tau. Takkan awak tak risau.”

“Hello. That’s not my problem okay. I dah beritahu supaya benarkan dia pergi. Sekarang dia hilang, jadi pandai-pandailah tanggung akibatnya,” balas Sofia panjang.

Tuan Andrian diam. Benar kata Sofia. Dia tidak seharusnya melarang Nazira untuk pergi bersama rakannya.

“Macam  nilah. You beritahu dia, you beri keizinan. Pasti dia akan balik. Trust me.”

Sofia berlalu pergi. Dia tidak mahu lagi membuang masa melayan suaminya. Baginya Andhika lebih penting.

Tuan Andrian mula memikirkan kata-kata isterinya. Dia yakin itu punca dimana anaknya lari dari rumah.

“Kenapa ni ayah? Apa perempuan tu kata?” Farish datang tidak lama kemudian. Sempat dia melihat ayahnya berkata sesuatu dengan Sofia.

“Beritahu adik kamu, ayah akan izinkan dia ke Bario asalkan dia balik ke rumah ni.”

Farish terkejut. Wajah ayahnya dipandang meminta kepastian.

“Apa yang ayah kata ni? Takkan ayah nak biarkan Nazira kesana?”

“Kalau itu yang terbaik Farish. Ayah akan rasa lebih lega jika dia balik ke sini dan pergi dengan keredhaan ayah.”

Farish menghela nafas yang panjang. Dia turut pusing. 


Sofia melangkah dengan cukup yakin. Kasut tumit tinggi yang dikenakannya membuatkan dirinya terlihat lebih tinggi dan anggun. Lagaknya tidak ubah seperti seorang model walaupun hakikatnya dia bukanlah seorang model.

Senyumannya semakin lebar tatkala terpandang akan wajah kekasihnya Andhika dari balik dinding kaca kafe tersebut. Pintu ditolak dan dia melangkah masuk menghampiri Andhika yang turut tersenyum sedar akan kehadirannya.

“Hai sayang,” ucap Sofia sebaik dia melabuhkan punggung disebelah lelaki Indonesia itu.

“Hai,” balas Andhika.

“Sorry lambat.”

“Tak apa. Untuk you sampai bila pun boleh.”

Sofia tersenyum memperlihatkan giginya. 

“Betul ke you sanggup tunggu walaupun I datang lambat sampai berjam-jam?”duga Sofia meminta kepastian.

“Ya, I sanggup tapi tak tahulah kalau ada orang lain yang datang pada I,” jawab Andhika.

Sofia mencubit paha kekasihnya itu. Andhika mengaduh kesakitan. Cubitannya tidak ubah seperti digigit semut api.

“Gatal you ni kan?”

Andhika hanya tersengih. Dia mencapai tangan Sofia lalu digenggam erat. Dia mula bertentang mata dengan wanita yang dua tahun lebih tua darinya itu.

“Apahal tengok macam tu?” tanya Sofia.

“You cantik sangat hari ni. Rasa macam dating dengan puteri kayangan,” jawab Andhika.

Sofia menarik tangannya. Usikan Andhika mudah sekali membuatkan hatinya berdegup kencang.  Dan hati wanita menjerit gembira, bahagia dengan kehadiran lelaki itu. Jauh berbeza dengan suaminya.


Farish melepaskan keluhannya. Kerusi empuk miliknya diduduk. Dia masih berfikir akan kata-kata ayahnya agar memberi keizinan untuk Nazira pergi ke Bario. Jauh didalam hati, dia masih berkeras untuk tidak membenarkan adiknya pergi.

Matanya yang perlahan ditutup kembali celik tatkala pintu pejabatnya diketuk. Pantas dia menegakkan badan.

“Masuk!”

Intan masuk dengan senyuman nipis yang terukir diwajah kecilnya. Ditangannya ada sebuah fail berwarna hijau, entah apa kandungannya.

“Letak je dekat situ Intan,” arah Farish sebelum Intan sempat berkata.

Intan hanya menurut. Wajah majikannya yang agak pucat sempat dikerlingnya.

“Encik tak apa-apa ke? Nak saya buatkan kopi?”

“Tak apalah Intan. Lagipun saya nak keluar sekejap lagi,” jawab Farish.

Intan mengangguk faham.

“Awak keluarlah.”

Sekali lagi Intan mengangguk. Langkahnya mula diatur keluar dari pejabat. Jauh didalam hati, dia tertanya-tanya akan permasalahan yang dialami majikannya.

Sebaik setiausahanya keluar dari pejabat, Farish kembali melepaskan keluhan. Matanya kembali dipejam. Ibu jari dan telunjuk mula memicit dahinya. Kepalanya sudah mula berdenyut, pening dengan pilihan yang ada.

Setelah agak lama menenangkan diri, Farish kembali sedar. Dia bangun dari kerusinya. Dompet dan telefon pintarnya dicapai. Komputer yang hidup dibiarkan. 

Langkahnya diatur keluar dari pejabat. Ada satu lokasi yang ingin ditujunya. Satu lokasi yang akan menemukannya dengan seseorang.


Kenderaan yang dipandu Farish akhirnya berhenti disebuh kafe. Cuaca tengahari yang panas membuatkan dirinya mengenakan cermin mata hitam demi melindungi matanya dari terik matahari yang tajam.

Langkah diatur cepat. Bahang yang panas sedikit sebanyak sudah mula membasahkan bajunya.

Namun langkahnya tiba-tiba terhenti tatkala dirinya terpandang akan seseorang yang cukup dikenalinya. Seseorang yang sedikit sebanyak merubah hidupnya.

“Apa perempuan tu buat dekat sini?” bisik Farish pada dirinya sendiri.

Dia tidak jadi untuk masuk kedalam kafe. Tiang kaki lima yang besar mula dijadikan tempat untuk bersembunyi. Dia mula mengintai. 

Cermin mata yang dipakai mula ditanggalkan. Dia mahu memeriksa dengan teliti, risau jika dirinya salah melihat orang.

Tetapi dari lagak dan gaya yang dikenakan, dia yakin bahawa dia mengenali wanita itu.

“Gila! Sofia ada lelaki lain ke?” Farish terkejut. Dia benar-benar tidak menyangka jika wanita itu sanggup bermain dibelakang ayahnya.

“Wah... Hebat betul perempuan ni ya? Berani betul dia curang belakang ayah.”

Farish mula terfikir akan sesuatu. Telefon pintarnya dikeluarkan dari dalam poket kotnya. Dia mahu merakam apa yang telah dilihatnya. Walaupun kedudukannya agak jauh, dia berusaha sebaik mungkin untuk merakan adegan pasangan tersebut.

Bukti itu mahu ditunjukkan kepada ayahnya. Dia mahu ayahnya menceraikan wanita bertalam dua muka itu. Tidak sanggup dia membiarkan ayahnya ditipu hidup-hidup.

Tepukan dibahu membuatkan telefon yang dipegang Farish hampir tercabut. Untung saja dia sempat memegang erat. Jika tidak, sia-sia bukti yang telah dirakamnya.

“Kau buat apa tu Farish? Kau tengah intip orang ke?” tanya Midya. Dia meliar mencari empunya diri yang telah dirakam rakannya.

“Boleh tak lain kali bagi salam dulu? Nasib aku tak melatah. Kalau tak dah lama aku siku muka kau,” marah Farish dengan suara yang terkawal. Dia tidak mahu Sofia perasan akan kehadirannya disitu.

“Okay, assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” jawab Farish pantas. Dia mula menjeling Midya.

“Apa sebenarnya yang kau buat? Kau jadi spy ke?” tanya Midya lagi.

“Spy nenek hang. Tu, kau tak nampak siapa tu?”

Midya mengikut arah telunjuk Farish. Matanya dikecilkan cuba fokus. Berkerut dahinya seketika.

“Itukan Sofia, ex-girlfriend kau.”

Farish mengeluh kasar. Geram pula hatinya akan betapa lembabnya rakannya itu.

“Memanglah itu Sofia tapi yang sebelah dia tu bukan ayah aku.”

Midya semakin tidak faham. Wajah rakannya dipandang hairan.

“Kejap. Apa pula kena mengena dengan ayah kau?”

Farish mengigit bibirnya. Tidak sanggup bersabar, dia mula menampar belakang kepala Midya.

“Kau dah kenapa pukul aku?” tanya Midya sambil memegang belakang kepalanya yang terasa sakit.

“Aku nak sel-sel otak kau berhubung,” jawab Farish spontan.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail