Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 28 - Part 1

BAB 28 - Part 1

Raimi jatuh tersungkur di atas lantai. Semua orang di dalam bilik bacaan tersebut terpana seketika. Raimi bingkas bangkit. Kali ini dia pula bertindakbalas. Pipi putih melepak Rayyan sudah menjadi sasaran penumbuk sulungnya. Mereka berdua bergelutan bagaikan orang hilang akal.

Tipah memekik. “Sudah tu! Berhenti! Abang Raimi, janganlah bergaduh lagi!” Kata-kata Tipah itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi sahaja. Mereka berdua bergusti sakan bagaikan penggusti professional WWE!

Mata Tipah terbias pada sejag air kosong yang sedia terhidang di atas meja. Tipah mencapai jag tersebut. Tanpa sebarang amaran dia melempar air tersebut ke arah Rayyan dan Raimi. Basah kuyup mereka berdua di buatnya!

Raimi terus menerpa ke arah Tipah. Tangan kanan Tipah segera di regutnya. “Tipah, abang rasa baik kamu tak payah teruskan hidup dengan lelaki tak guna ni! Dia kahwin dengan kamu semata-mata untuk kepentingan dirinya saja!”

Rayyan menerkam ke arah Tipah. Tangan kiri Tipah pula menjadi sasaran regutannya. “Awak tu isteri saya, Tipah! Jangan nak jadi isteri derhaka pulak!”

Tipah tersepit di tengah-tengah. Raimi gigih menarik tangan kanannya manakala tangan kanannya di pegang dengan kuat oleh Rayyan. Bagai nak putus tangannnya dek penangan mereka berdua!

Kesabaran Tipah sudah sudah makin menipis. Di rentap kedua-dua belah tangannya dengan kuat sehingga terlepas dari genggaman mereka berdua.

Tipah berteriak. “Sudahlah tu! Korang berdua ingat Tipah ni barang ke? Suka-suka nak tarik ke sana ke sini? Dua-dua pun tak boleh pakai! Tipah tak nak tengok muka korang berdua lagi!”

Tipah berlari keluar dari bilik bacaan itu dengan hati yang bengkak. Kakinya terhayun laju menuju ke bilik. Pintu bilik di hempasnya sekuat hati sebelum tubuhnya terlayang ke atas katil. Makcik Roza dan Melah yang sedang rancak berbual di dapur terkejut mendengarnya.

Pantas Melah melangkah ke bilik tersebut. Dia segera menghampiri Tipah. Bahu Tipah di elusnya lembut. “Kenapa ni, Tipah?” Tipah menyembam wajahnya di atas katil. Hanya esak tangisnya yang kedengaran. Raina dan Makcik Roza muncul sejurus selepas itu.

“Melah, biarlah Tipah tenangkan diri dulu. Dia tengah sedih tu,” ujar Raina. Dia memberi isyarat mata pada Melah dan Makcik Roza agar meninggalkan Tipah sendirian.

Jiwa Tipah mula mengalunkan irama suram. Dia tidak menyangka sama sekali Rayyan sanggup mempergunakannya semata-mata kerana harta. Hatinya hancur luluh. Serasa bagaikan ianya terhempas ke atas batu sehingga pecah berderai. Tidak di sangkanya dia akan terperangkap dalam jerangkap perkahwinan yang langsung tidak di duganya. Ini bermakna memang tiada sekelumit pun cinta Rayyan padanya.

Tipah merintih pilu. “Rayyan, sampai hati kau main-mainkan perasaan aku! Kau kejam, Rayyan! Memang kejam!”

Entah bila dan bagaimana agaknya Tipah terlena di buai mimpi dia sendiri pun tidak pasti. Sewaktu Melah mengejutkannya untuk makan malam tadi pun dia masih dalam keadaaan terawang-awangan. Tipah menjeling ke sebelah. Melah sudah hanyut ke alam mimpi. Tipah mengerling ke arah jam dinding yang rancak berdetak-detuk. Sudah pukul dua belas tengah malam rupa-rupanya!

Tipah memegang perutnya yang rancak berkeriak-keriuk macam lagu ‘Last Song’ dendangan Rain, penyanyi Korea yang terkenal. Baru dia teringat, sejak dari pagi sebutir nasi pun belum menyinggahi perutnya. Aroma nasi lemak dan sambal kerang mula menari-nari di ruangan matanya. Perlahan-lahan dia bangkit dari katil. Dia tidak mahu mengejutkan Melah.

Tombol pintu di pulasnya dengan berhati-hati. Berjengket-jengket dia melangkah keluar dari bilik. Suasana gelap menyirami ke segenap ruang. Sahlah semua orang sudah beradu. Pantas Tipah melangkah ke arah dapur. Memang sengaja dia dan Melah memilih bilik bersebelahan dengan dapur. Bukannya apa, senanglah jikalau dia dan Melah nak melaksanakan projek masakan tergempar mereka!

Sengaja Tipah tidak memetik suis lampu dapur. Tangannya meraba-meraba meja. Kosong! Pasti semua makanan sudah di langsaikan oleh mereka semua. Kecewa Tipah di buatnya. Kini Tipah beralih ke arah peti sejuk. Dalam kesamaran malam terkial-kial dia mencari pintu peti sejuk tersebut.

“Harap-harap adalah sesuatu dalam peti ais ni yang boleh di makan,” gumam Tipah sendirian. Sebaik sahaja pemegang peti ais berada dalam genggaman terus sahaja di kuaknya peti ais tersebut. Deretan pelbagai jenis buah-buahan merangsangkan nafsu kelaparannya. Pantas di capainya sebiji epal hijau yang sedang elok ranum mekarnya.

Baru sahaja dia berkira-kira untuk mencapai sepotong kek coklat pula apabila sepasang tangan sasa tiba-tiba menerjah dan menutup pintu peti sejuk itu. Tipah segera berpaling ke belakang. Pemilik seraut wajah kacak yang bertakhta di dalam hati kini muncul betul-betul di hadapannya. Tubuh mereka berdua begitu rapat sehinggakan setiap hela nafas yang terlontar keluar berpuput lembut di wajah masing-masing.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.