Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
288,875
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 24

HAJI ROSMAN mengurut lembut bahu menantunya. “Mulai saat ini, abah serahkan tanggungjawab menjaga Rus di bahu Shah. Semoga perkahwinan ini diberkati ALLAH. Jaga anak abah baik-baik, ya?” pesan Haji Rosman dengan mata berkaca. Kemudian menantunya itu dipeluk lagi buat kali kedua.

“Insya-ALLAH, abah…” ucap Isaac Newton Shahrullah.

Penyerahan tanggungjawab ini membuat Isaac berasa amat terharu. Dia bukan sahaja suami kepada Rus Ashiya, dia juga akan jadi sahabat, kekasih dan pemimpin dalam rumah tangga mereka.

Rus yang turut ada bersama, tidak mampu menahan sebak ketika mendengar nasihat abahnya kepada Isaac. Bercucuran air mata dia sebab berasa tersentuh dan sedih. Kini dia telah bergelar isteri kepada Isaac. Sesuatu yang dia tidak duga sama sekali!

“Rus…” Giliran Hajah Kalsum pula memanggil anaknya.

Rus terus memeluk erat emaknya dan sambung menangis di bahunya.

“Mak bersyukur sangat sebab Rus dah ada pasangan hidup. Mak sayang sangat dengan kamu. Mak doakan semoga Rus dan Shah bahagia hingga ke Jannah. Nasihat mak, jangan menilai siapa suami Rus. Tapi pandanglah siapa yang mengurniakannya kepada Rus.”

Sekali lagi air mata Rus bercucuran.

“Dah tak usah nangis lagi. Ni, salam mak mentua kamu,” suruh Hajah Kalsum.

Setelah menyeka air matanya dengan tisu, Rus beralih menyalam dan memeluk mak mentuanya pula.

“Alhamdulillah… mak tumpang gembira dengan perkahwinan Rus dan Shah. Jangan sedih-sedih,” ucap Che Jamaliah sambil mengusap lembut bahu menantunya.

Kemudian giliran Isaac pula menyalam dan memeluk Mak Udanya. “Terima kasih, mak,” ucapnya. Dia amat terhutang budi dengan ibu tirinya itu. Dia turut berasa terharu hingga tidak tahu apa yang patut diucapkan lagi.


KETIKA berpeluang sendirian di bilik, Rus berasa lebih tenang. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat zuhur. Isaac masih di luar, beramah mesra dengan tetamu dan saudara mara yang hadir memeriahkan majlis. Begitu pun hanya seketika dia berasa lega. Sebaik suaminya muncul, degup jantungnya kembali laju.

Perlahan-lahan Isaac menutup pintu bilik. Sebuah senyuman dilemparkan buat isteri yang duduk di birai katil.

Rus sekadar menoleh tanpa membalas senyuman suaminya. Lidahnya turut kelu untuk memulakan sebarang bicara dengan lelaki itu. Akhirnya dia tunduk memandang permaidani.

Isaac melabuhkan punggung di sebelah Rus. Gadis itu masih diam dan menggetap bibir. Dia sedar, dalam situasi sekarang masing-masing sedang mengawal emosi. Dia tidak pasti lagi penerimaan Rus terhadap dirinya. Dia perlu banyak bersabar dan tidak mahu menyentap naluri isterinya.

Rus masih tunduk. Perasaan di hati masih sama seperti pertama kali berjumpa dengan lelaki itu. Tiba-tiba matanya terasa panas dan berkaca, entah sebab apa.

Wajah Rus yang berbaur gelisah menyapa pandangan Isaac. Dia berasa serba salah sebaik terlihat air mata isterinya yang sudah bergenang. Apakah gadis itu tidak bersetuju menerimanya sebagai suami?

Isaac beranikan diri merapati dan memeluk bahu isterinya. Rus biarkan sahaja tanpa reaksi penolakan. Perlahan-lahan Isaac genggam tangan Rus kemudian mengusap lembut jari-jemarinya. Dia amat berharap sentuhan itu akan membuatkan isterinya tenang di sampingnya.

Akhirnya Rus mengangkat wajah, seketika mereka saling berpandangan. Isaac dengan senyuman menawannya, Rus pula hanya berlagak biasa. Padahal, sentuhan lelaki itu mengundang rasa gemuruh di jiwa.

“Saya ada buat salah ke?” Isaac bertanya lembut. Matanya redup memandang isteri yang baru dinikahi. Walaupun tiada senyuman, gadis itu tetap ayu di matanya.

Rus terpinga-pinga dengan pertanyaan Isaac. Cepat benar dia gelabah. Wajahnya turut berubah menahan malu.

“Rus Ashiya Rosman…” panggil Isaac dengan mesra sekali, bagai mengucapkan baris ayat yang sangat indah.

“Kenapa awak yang jadi pengantin lelaki?” Terpaksa juga Rus utarakan soalan itu.

“Bukan sebab awak dah setuju ke?” Isaac bertanya balik. Dia sengaja berwajah serius.

Rus terkedu. Sesiapa pun faham, diam tandanya setuju. Andai ada bangkangan, sebelum akad nikah sudah pasti disuarakan.

“Kenapa senyap pulak?”

“Mana saya tahu anak sulung Tuan Rashid rupanya adalah awak,” jelas Rus.

Tadi, dia juga terkejut dengan kehadiran Tuan Malik bersama rombongan pihak lelaki. Rupa-rupanya Isaac adalah anak buah bosnya.

“Oh, ya?” Isaac buat muka terkejut. Geli hatinya melihat wajah Rus yang tersipu.

Sepi antara mereka.

Isaac mengenang pertemuannya dengan Haji Rosman sebelum ini. Dalam tidak berapa yakin untuk menyatakan hasrat hati, dia beranikan diri menyertai ahli keluarga untuk berjumpa dengannya. Hanya lelaki itu yang tahu cerita sebenar bagaimana Huzaif boleh bertunang dengan Rus.

Paling mengejutkan, rupanya dia pernah bersua dengan Haji Rosman iaitu ketika arwah papanya berada di hospital. Pada awalnya, dia merasakan peluangnya mungkin tertutup. Ketika pertemuan itu, dirinya dengan rela hati telah menceritakan masalah keluarga kepadanya.

Namun sangkaannya meleset, Haji Rosman tidak melihat perkara itu sebagai kelemahan dirinya. Sebaliknya beranggapan dialah pemuda yang selayaknya untuk menjaga anak perempuannya. Betapa bersyukurnya dia ke hadrat ILAHI.

“Kenapa awak nak teruskan perkahwinan ni? Sebab mak awak ke?” Rus bertanya setelah menyepi buat seketika.

“Bukan sebab permintaan mak, tapi sebab rasa cinta saya pada awak,” beritahu Isaac setulusnya.

Rus angkat kening. “Boleh tak jangan mengarut? Beberapa kali aje pun kita berjumpa.”

“Beberapa lama cinta itu wujud atau berapa lama kita kenal hanyalah hitungan waktu. Paling penting adalah apa yang ada di sini,” beritahu Isaac sambil meletak tangannya di dada.

Rus terdiam. Tiada hujah atau kata balasan untuk diluahkan.

“Saya nak awak tahu yang saya amat cintakan awak,” ucap Isaac dengan penuh perasaan.

Entah mengapa hati Rus berasa sesuatu saat mendengar pengakuan dan penjelasan suaminya.Apabila Isaac asyik merenung ke dalam matanya, Rus terus berasa segan. Lantas dia pejamkan mata dan berharap lelaki itu sememangnya tiada di bilik.

“Rus…” panggil Isaac.

“Buat masa ni saya tak tahu nak cakap apa,” balas Rus dan cuba menenangkan dirinya.

Jeda. Isaac mengambil nafas.

“Okey… apa yang Huzaif buat kat awak memang tak patut. Tapi kalau saya tak ambil awak jadi isteri saya, lagi tak patut!” ungkap Isaac.

Dada Rus tambah berdebar mendengar bicara Isaac. Dia kembali memandang suaminya. “Apa maksud awak?”

“Suatu hari nanti Rus akan faham. Hari ni saya tak nak ingat apa yang pernah berlaku sebelum ni. Saya nak pandang masa hadapan kita berdua.”

“Pandang masa hadapan? Hubungan kita ini pun belum tentu ada masa depan.” Rus bersuara lemah. Ketika ini, bayangan wajah Amy turut muncul di fikiran.

“Kenapa Rus cakap macam ni? Tak baik tau menidakkan ketentuan takdir.”

“Pada saya, apa yang berlaku ni satu kesilapan.”

“Astaghfirullahalazim… ALLAH tidak akan pernah silap menghantar jodoh kita. Kita yang selalunya salah memilih,” bangkang Isaac. Tidak suka dengan apa yang isterinya rasa dan suarakan.

“Apa yang awak buat ni susah diterima akal,” tekan Rus.

Begitulah Rus menilai situasi sekarang. Dari awal lagi dia tidak mahu berkahwin dengan Huzaif. Tetapi, berkahwin dengan Isaac sesuatu yang dia tidak jangka langsung. Paling mengejutkan, kedua-duanya adalah adik-beradik!

“Susah sangat ke Rus nak faham? Saya yakin Rus adalah isteri yang hati saya inginkan. Bila Huzaif berkahwin, TUHAN dah mudahkan laluan saya. Mudahkan jodoh kita!” luah Isaac sambil memandang tepat ke mata isterinya.

“Takkan macam tu aje, kan?”

“Nak macam mana lagi? Bukannya awak berkahwin dengan makhluk asing! Ni saya, lelaki yang sayangkan awak dan akan jaga awak sampai akhir hayat saya.” Isaac kembali mencapai tangan Rus lalu dikucup lembut.

Walaupun terkejut dengan tindakan spontan suaminya, Rus biarkan sahaja. Tidak pula dia mahu menarik tangannya dari pegangan Isaac.

“Saya sayangkan awak sebab awak adalah wanita yang ALLAH pilih untuk jadi isteri saya. Susah senang kita akan bersama, ya?” Isaac terus menarik Rus ke dalam pelukannya.

Lama juga mereka berkeadaan begitu, walaupun Rus hanya kaku dan tidak membalas pelukannya.

“Tak puas hati lagi dengan jawapan saya?” soal Isaac, betul-betul di tepi telinga Rus.

Rus yang berasa segan segera menjarakkan diri. “Tengoklah macam mana.” Rus bersuara perlahan.

“Tengok aje?” Isaac menjegilkan matanya. Dia terpaksa bersabar dengan jawapan acuh tak acuh isterinya.

“Itu aje pun yang boleh saya buat.”

“Suami isteri patut saling memberi dan menerima kasih sayang. Bukan saya tengok awak, awak tengok saya,” tegas Isaac walau suaranya perlahan sahaja.

Rus sendiri mahu tergelak mendengar bicara suaminya. Tahu lelaki itu hanya mahu membuat dia ceria dan selesa dengannya.

“Rus? Jangan buat tak tahu, ya?” tegur Isaac yang kini berlagak serius.

“Apa?” Rus menoleh.

“Buat-buat tak faham tak apa, tapi jangan nak buat tak dengar pulak. Nanti saya buat sesuatu yang tak terjangka, baru awak tau,” ugut Isaac pula.

Sorry…” Rus cepat-cepat mohon ampun. Nanti putera kayangan ini buat yang bukan-bukan, susah dia.

“Tahu takut!” ujar Isaac sambil mencuit manja hidung isterinya.

Rus tersipu. “Awak jangan nak buat benda pelik-pelik pulak,” ujar Rus sedikit kalut.

“Suka hati sayalah. Saya boleh aje buat apa yang saya nak kat awak.”

Rus menjeling tajam. Tidak suka lelaki itu berkata begitu.

Sebaliknya, Isaac duduk lebih rapat dengannya. Renungan matanya cukup untuk melemahkan segala urat sendi Rus.

“Eh, awak tak solat lagi, kan?” Mujur Rus dapat menyelamatkan dirinya dari terus lemas di sisi Isaac.

“Astaghfirullahalazim… macam mana saya boleh terlupa? Terima kasih sebab ingatkan saya,” ucap Isaac lalu bangun menuju ke bilik air.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.