Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
192,787
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 18
SEDANG Ayu menggoreng pisang, datang seorang wanita bersama dua orang anak kecilnya. Lantas dia memperlahankan api dan kemudian mengacau-ngacau kuali dengan sudip. Jangan sampai pisang goreng hangit. Mengamuk sakan Maziah nanti.

“Bagi pisang goreng tiga ringgit, dik. Air oren bagi dua.”

“Okey, kak. Sekejap ya.” Ayu mengacau-ngacau pisang goreng di dalam kuali lagi. Berhati-hati. Boleh diangkat ni. Dia sudah hafal warna pisang goreng yang sudah garing dan boleh diangkat.

Sesudah mengeluarkan pisang yang digoreng dari kuali, dia mematikan api sebelum melayan pelanggan. Buat kerja sendirian terpaksalah tergopoh-gapah sedikit. Maziah langsung tak membantu. Katanya, dia ada hal lain.

“Pisang goreng tiga ringgit kan, kak?” Ayu berbasa-basi supaya pelanggan itu berasa dilayan.

Melihat kakak itu mengangguk, dia meleretkan senyuman. Pesanan wanita itu disediakan. Ketika itu datang lagi pelanggan yang lain.

“Kak, pisang goreng dua ringgit.” Seorang remaja yang datang dengan motosikal membuat pesanan. “Air Milo ais satu.”

“Sekejap ya?” Ayu mahu melayan wanita yang mula-mula datang terlebih dulu.

Seketika kemudian, datang lagi lima orang gadis. Semua mahu membeli pisang goreng dan air.

Selang beberapa ketika, dua orang mak cik juga mahu membeli pisang goreng. Alamak! Pisang goreng dah tak banyak yang tinggal. Dia kena menggoreng lagi. Tapi kalau dia menggoreng, kelam-kabut dia nak melayan pelanggan. Bimbang pula pisang goreng hangit. Dia bukan reti sangat goreng pisang sambil melayan pelanggan. Silap-silap boleh rentung pisang yang digoreng. Aduh...

“Dik, air oren tiga.”

Ada lagi yang datang! Ayu bertambah kelam-kabut. Panik!

“Pisang goreng lima ringgit! Air bandung dua!”

Sedang terkocoh-kocoh menyediakan pisang goreng untuk pelanggan, tambah lagi satu pesanan pulak. Suara lelaki. Dia cuma mengangguk. Peluh sudah merenik. Sudahlah panas, bertambah bahang jadinya dia menerima pesanan yang bertubi-tubi.

“Pisang goreng lima ringgit tau. Jangan lupa. Air bandung!” Kedengaran suara tadi mengingatkan.

“Ya, ya...” Ayu terangguk-angguk sambil dalam hati fokus mengira pisang goreng yang dimasukkan ke dalam plastik. Terkurang kira kesian pula pelanggannya nanti. Dia juga nanti yang dituduh menipu.

“Lambatnya...” rungut suara tadi pula.

Ayu yang sudah habis mengira, menoleh ke arah suara itu. Ah, dia ni! Sibuk betullah! Patutlah macam cam suara tu. Budak ngok ngek ni rupa-rupanya! Semaklah!

Jeffry tersenyum mengejek. “Apa terhegeh-hegeh ni? Cepatlah sikit! Orang dah haus ni. Panas pulak tu.” Dia mengibas-ngibas mukanyadengan tangan. Konon-konon kepanasan benar.

Ayu menjeling Jeffry. Malas nak layan. Penyibuk, penyibuk, penyibuk!

Dia kembali menyediakan apa yang dipesan oleh pelanggan-pelanggannya. Namun, rentak gerak-gerinya bagaikan keras. Makin lambat jadinya. Sudahlah pisang goreng makin nak habis.

“Orang tengah panas ni. Perut lapar. Tekak haus. Yang beratur ni dah berderet-deret. Cepatlah sikit weh...” provok Jeffry. Biar Ayu cepat sikit buat kerja. Tak payah nak lemah lembut sangatlah.

Jeffry ni dah kenapa? Nak malukan aku depan orang ramai agaknya dia ni. Dahlah hari tu mendajal aku, Mala dan Eja kat perpustakaan. Tulis kat kertas yang aku ni terencat. Kurang ajar! Hari ni datang nak mengacau aku lagi pulak.

Ayu rasa nak marah. Dia buat tak dengar. Sedangkan tangannya makin menggeletar kerana mahu cepat. Dan pisang goreng tinggal beberapa keping lagi! Arghh...

Sedang dia kalut tak tentu arah, dilihat tiba-tiba Jeffry masuk ke dalam gerai dan membesarkan api dapur. Dia tercengang. Lebih tergamam apabila dengan selamba Jeffry memasukkan pisang yang sudah dibelah-belah ke dalam bancuhan tepung, lalu menggorengnya.

“Kak, nak air oren satu!”

Teguran seorang remaja perempuan membuatkan Ayu kebah daripada pegunnya. Dia memandang pelanggan yang sudah beratur di hadapannya.

“Haa... yang nak pisang goreng tu sekejap ya? Dua minit aje lagi. Tak lama. Dua minit aje. Ni saya tengah goreng. Makan panas-panas barulah sedap.” Jeffry bersuara lantang, lagak seorang penjual.

Ayu menoleh semula memandang Jeffry. Ai... kau buat macam gerai sendiri nampak?

“Layanlah pelanggan tu, Ayu. Bagi air yang dia orang order. Cepat sikit buat kerja tu. Jangan terhegeh-hegeh sangat.Jangan lembab.Pantas! Pantas!” Jeffry bersuara sambil ligat tangannya mengacau pisang dalam minyak panas dengan sudip. Tak nampak kekok langsung!

“Err... ya, ya...” Ayu terpaksa menurut walau dalam hati membentak-bentak. Tak guna! Ada ke patut dia panggil aku lembab? Terhegeh-hegeh? Malulah aku depan pelanggan! Kalau tak kerana kehadiran kau kat sini nak membantu, dah lama aku halau kau.

Jeffry yang sudah bersedia mahu mengangkat pisang goreng yang sudah garing keluar dari kuali sempat mengerling Ayu. Dia tersenyum dalam hati. Kau takkan berani halau aku. Mesti kau akan sentiasa berterima kasih pada aku lepas ni.

Sebenarnya, aku tak sampai hati tengok kau sorang-sorang kat gerai ni. Kesian tengok kau menjual pisang goreng semua ni. Sebab tu kalau aku ada masa, setiap petang aku lalu depan gerai kau. Kau mana nak perasan aku. Kau ingat aku order pisang goreng sampai RM5.00 banyak-banyak tu nak mentakedarah ke? Aku saja aje nak tarik perhatian kau. Kalau tak, kau tak sedar pun aku ada depan kau.

Dia mengangkat pisang goreng yang sudah garing keemasan. “Okey, pisang goreng siap!” Lalu diletakkan di atas dulang. Sedia untuk dijual.

Ayu mahu tersenyum tanda terima kasih, namun masih geram dengan kengokngekan Jeffry. Tapi ngok ngek, ngok ngek pun, dia dah tolong aku. Kalau tak, entah macam mana entah.

Tatkala dia mengerling memandang Jeffry, lelaki itu turut memandangnya. Pandangan mata mereka bertaut seketika. Cepat-cepat Ayu menyambung kerjanya. Apa hal Mat Ngek ni? Pandang-pandang aku pulak.

Terleret senyuman Jeffry. Minah warna-warni ni... pandang-pandang aku konon.


“DAH dekat pukul 7.00 ni.” Ayu membuka apronnya. “Pisang semua dah habis. Awak pergi baliklah. Bukan boleh percaya awak ni. Datang sini nak mengacau orang aje sebenarnya, kan? Dah, dah... pergi balik. Balik...” Dia sudah mahu menutup gerai. Barang-barang mula dikemasnya.

“Halau macam tu aje? Bukan nak cakap terima kasih,” rungut Jeffry. Dia membasuh tangan dengan air dari botol besar yang ada di situ.

Orang tak suruh pun tolong. Dia sendiri yang sibuk-sibuk nak tolong orang. Ayu mencebik dalam hati. Tak payahlah nak cakap terima kasih. Kalau Shahrul yang tolong, lainlah. Ucap terima kasih 44 kali pun dia sanggup.

“Awak ni selalu aje datang sini saya tengok. Asyik nampak muka awak aje. Bosanlah. Balik-balik awak. Balik-balik awak.”Kedengaran nada merungut pada suara Ayu.

“Atang kan duduk kat blok sana tu.” Jeffry rasa tersindir. Mesti dia ingat aku datang sini nak skodeng dia. Eeii... perasan! “Hah! Saya punya pisanggoreng mana? Saya order lima ringgit tau. Mana?”

ALLAH! Ayu menepuk dahi. Tak teringat langsung nak sediakan pisang goreng untuk Jeffry. Air bandung pun tinggal sisa aje. Aduh... macam mana ni? Terkerut-kerut mukanya memandang Jeffry yang sudah serius.

“Orang dah lapar ni!” Jeffry menepuk-nepuk perutnya.

“Err... pergilah makan nasi. Kat depan sana ada kedai mamak,” cadang Ayu senang.

“Orang nak makan pisang goreng, bukannya nasi.” Jeffry mendengus. “Dahlah tak cakap terima kasih,” ungkitnya lagi.

“Eeii... membebel aje,” bisik Ayu sambil menjeling Jeffry. “Tu balasan untuk orang yang tulis bukan-bukan atas kertas lepas tu tampal belakang saya, Mala dengan Eja. ALLAH bagi cash!

Jeffry memuncung sedikit. “Bagi saya tuala tu!” Dia tak mahu ulas pasal hal itu.

Ayu berpaling ke arah yang ditunjuk Jeffry. Oh... tuala kecil untuk lap tangan.

“Bagi yang warna hijau tu.”

Hijau? Ayu menggelabah. Yang mana satu hijau? “Yang mana?”

“Yang hijau tulah. Yang coklat tu dah kotor. Takkan yang tu awak nak bagi saya lap tangan.” Jeffry masih menunggu. Dia nak ambil sendiri tetapi tuala kecil itu tersangkut berdekatan dengan Ayu. Takkan dia nak ambil sendiri. Nanti terberdiri rapat pula dengan gadis itu.

Ayu main capai saja tuala kecil tersebut, lalu menghulurkannya pada Jeffry.

“Orang cakap warna hijau, kan? Ni coklat.” Jeffry hanya memandang tuala kecil itu tanpa mengambilnya.

“Oh... sorry.” Ayu mengambil tuala kecil yang satu lagi, lalu pura-pura selamba membuat kerja.

Jeffry memandang Ayu sampai berkerut dahi. Lama dia berfikir. Aku rasa dia ni...

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.