Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
124,177
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1



Janda 916


Melah mengesat peluh yang meleleh. Matahari yang tegak atas kepala membuatkan dia kepanasan. Terlupa pula hendak membawa payung yang menjadi keperluan wajibnya.

Dijeling beg empat segi leper berwarna hijau di sebelahnya. Belum ada isi beg yang terjual untuk hari itu. Tumit kaki yang sudah letih berjalan terasa mencucuk.

“Sabar ya Melah... ni namanya belum ada rezeki. Adatlah orang berniaga ni. Ada pasang, ada surut. Macam musim jugak, ada panas ada tengkujuh.”

Melah yang duduk di atas tunggul di bawah pokok rambutan milik orang kampung, memujuk diri sendiri.

Diambil kipas tangan di dalam kocek beg hijau untuk mengipas mukanya. Kalau boleh dia hendak juga mengipas hati yang sedang berbahang. Apakan daya, hatinya berada di dalam. Cuma dengan cuba bertenang saja yang akan dapat menyejukkan sedikit bahang itu.

Telinganya pula terdengar deraman motosikal yang semput bunyinya. Tiba-tiba Melah tersengih sendiri. Apa tidaknya, dia cukup kenal dengan penunggang motosikal yang masih belum nampak bayangnya itu.

Dia berharap sangat motosikal yang sudah layak dijual pada India besi buruk itu tidak akan lalu di situ. Baginya tuan punya motosikal sangat menakutkan.

“Malasnya nak berjalan balik. Kalaulah aku ada motor sendiri, tak payahlah bersusah-susah jalan kaki macam ni.”

“Kaki ni pulak dah selalu sangat meragam. Eeiii... nampaknya aku ni dah tua sebelum waktunya,” keluh Melah sambil terus laju mengipas mukanya.

“Alamak! Bunyi motor cabuk tu dah makin dekatlah. Mesti dia nak lalu sini.”

Cepat-cepat Melah menarik tudung lebih ke depan untuk menyorokkan mukanya. Dia lebih rela berdepan dengan Jelan senget berbanding tuan punya motosikal cabuk itu.

Sekurang-kurangnya Jelan tidak cukup akal dan nafsunya tidak sama dengan orang lain. Dia tidak ubah macam budak yang baru berumur 13 tahun walaupun pada hakikatnya sudah 31 tahun.

“Mintak-mintak dia sangka aku ni sebahagian daripada tunggul... atau pun dia langsung tak nampak aku. Itu lagi baik,” bebel Melah sendiri.

Bunyi motosikal semput semakin dekat. Bau asap hitam mula menyumbat lubang hidung Melah. Kembang kempis hidung mancungnya. Sudahlah kepala pening berpusing-pusing, ditambah lagi dengan bau asap yang membuat dia hendak muntah. Hati yang sakit bertambah sakit.

“Assalamualaikum Melah!”

Harapan Melah musnah bila motosikal itu berhenti betul-betul depannya. Melah hanya menjawab salam dalam hati. Malas hendak melayan ulat bulu yang umurnya sudah masuk senja itu.

“Sombongnya Melah. Tak panas ke berkelubung macam tu? Kalau nak balik abang boleh tolong hantarkan.” Suara ketar Pak Sood kedengaran macam seorang anak muda yang sedang cuba mengurat anak dara.

“Abang? Uwekkk... nak muntah aku!”

Mulut Melah kumat-kamit perlahan mengejek Pak Sood. Baginya orang tua itu sudah layak dipanggil datuk. Sudahlah giginya tidak cukup sifat, gatalnya pula mengalahkan miang keladi.

“Janganlah nak main sorok-sorok dengan aku, Melah. Kamu menyorok dalam guni sekali pun aku masih kenal kamu. Bau kamu tu hah... kan wanginya lain macam.” Ulat bulu sudah naik daun.

Berlaga-laga gigi atas bawah Melah menahan geram. Kalau yang mengusiknya anak muda atau bujang tua mahu juga dia menghadiahkan senyuman, ini si kambing tua yang cucunya sudah berdozen jumlahnya.

“Tak ada siapa main sorok-sorok heh... orang kata dalam panas-panas macam ni elok sangat berkelubung. Bila peluh banyak keluar, lama-lama peluh tu akan menyejukkan badan kita,” balas Melah malas.

“Aku tak pernah dengar pun orang kata gitu... ermmm, tapi Melah jangan panggil atuk boleh tak?”

Melah hanya menjuihkan bibirnya. Kasihan betul pada isteri dan anak cucu orang tua itu. Tentu mereka malu bila ketua keluarga mereka berlagak macam romeo kampung. Hendak beri makan anak isteri pun mencungap, ada hati mahu memikat daun muda yang masih bergetah.

“Atuk ni betullah, atuk kan produk era Jepun tawan Tanah Melayu. Zaman tu kan atuk tak sekolah. Mana nak tau semua tu,” bidas Melah.

Melah sedar kata-katanya kedengaran kurang ajar tapi dia terpaksa bersikap begitu. Dia sudah letih menjadi buah mulut orang kampung. Mentang-mentang dia janda muda tidak beranak, senang-senang saja mereka hendak menjaja cerita tentang dirinya.

Sedih bila hal yang kecil dibesarkan. Yang tidak ada, diada-adakan. Selama dia hidup menjanda belum pernah sekali pun dia menyusahkan orang kampung.

Melah lebih suka berdikari. Dia tidak kisah kalau rezekinya tidak semewah orang lain asalkan ia halal dan diberkati. Melah cuma mahukan hati yang tenang dan tenteram.

“Pandai kamu mengusik aku ya Melah. Itulah yang buat aku payah nak lupakan kamu. Aku bukan apa, kesian tengok kamu terkontang-kanting cari makan. Kalau kamu jadi isteri kedua aku dah tentu senang hidup kamu.”

Apa yang diperkatakan Pak Sood membuatkan Melah terasa hendak menghempuk beg hijau kerasnya pada badan orang tua tidak sedar diri itu. Sudahlah kurang bijak, tidak tahu malu pula. Tebal betul kulit mukanya. Boleh dibuat kulit kompang! Geram! Melah sangat geram!

“Boleh! Atuk boleh kahwin dengan saya kalau atuk mampu belikan saya sebiji Harley Davidson.” Ejek Melah sinis.

“Boleh? Tapi... apa binatangnya Harley Davidson tu?” soal Pak Sood sambil menggaru dagu. Bibirnya pula senyum gatal sebab menyangka Melah mulai menerimanya.

‘Apa ke bodoh orang tua ni?’ omel Melah yang makin berbahang hatinya.

“Harley Davidson tu lebih kurang macam unta padang pasir. Kalau atuk berjaya cari satu untuk saya, saya kahwin dengan atuk.” Melah bercakap sesedap rasa semata-mata hendak menghamburkan sakit hatinya.

Kadang-kadang Melah tak faham mengapa orang tua itu suka sangat menguratnya. Hendak kata dia berpakaian seksi, itu bukan caranya. Dia lebih suka bertudung dan berbaju kurung. Jalan pun tak serupa itik pulang petang. Cuma langkahnya saja yang lemah lembut

Pak Sood cukup berkenan bila melihat kulit Melah yang gebu. Baginya setiap gerak-geri Melah merupakan satu godaan buat dirinya yang sudah renta. Semangatnya akan jadi muda semula. Macam daun keladi layu yang disiram air hujan. Terus segar.

“Betul?” soalnya selepas matanya merayau mengintai ke seluruh badan Melah.

Sakit hati Melah melihatnya. Rasa hendak dicucuk saja biji mata orang tua itu dengan jarinya yang runcing. Seumur hidupnya belum pernah dia berjumpa dengan orang tua yang segatal Pak Sood.

“Apa yang betulnya?” jegil Melah.

“Kamu akan kahwin dengan abang kalau abang dapat adakan apa yang kamu nak?” soal Pak Sood membuat perut Melah jadi senak. Rasa hendak terbuang air besar saja.

“Apa-apa jelah... nak balik dulu!”

Dengan keras Melah bangkit tanpa membetulkan kain tudungnya. Sebahagian muka masih terlindung. Biji mata Pak Sood tidak lepas-lepas merenung Melah.

Kalau boleh dia hendak sangat memeluk janda itu atau paling tidak dapat memegang daging pejal Melah. Nampaknya tinggi betul angan-angan Pak Sood.

“Mari naik motor abang,” pelawanya.

“Tak payah. Silap-silap terbarai pulak motor ni tengah jalan,” sinis Melah sambil melangkah. Beg hijaunya dihayun dengan keras.

Janda itu tak mahu memberi muka kepada Pak Sood. Dia sedar Pak Sood yang sudah berusia senja itu perlu dihormati. Sama macam warga tua Kampung Kemboja yang lain.

Malangnya perlakuan orang tua itu selalu saja menyakitkan hati. Melah tak suka dituduh cuba menggoda suami orang atau datuk orang. Pantang betul dia!

“Melahhh.” Suara Pak Sood semakin menggoda.

“Sudahlah! Jauhlah!” tengking Melah bila melihat Pak Sood cuba berjalan seiring sambil menolak motosikal semputnya.

“Kamu marah bertambah cantik. Tak tahan aku, Melah.”

Kegatalan Pak Sood berganda. Belum ditambah dengan mimik mukanya yang seakan minta dilempang. Tangan kanan Melah sudah mengenyam gatalnya, mahu melempang muka orang tua itu. Biar berbirat merah kesan lima jarinya pada pipi Pak Sood.

Melah tidak mahu mengambil risiko. Silap hari bulan orang tua itu boleh mati di tempat kejadian disebabkan tekanan darah tinggi yang naik serta-merta akibat lempangan kuat Melah.

Kalau jadi kes polis dia juga yang akan susah. Melah melajukan langkahnya walaupun tumit kaki terasa makin menyucuk. Dia tahu Pak Sood tidak boleh berjalan pantas.

“Melah! Tunggu abang!” Pak Sood terkedek-kedek menolak motosikalnya.

“Bengap betul orang tua tu. Tahan ditolaknya motor tu. Tunggang pelan-pelan kan boleh kalau nak saing aku.” Sempat juga Melah menoleh sambil membebel lagi. Sesudah itu dia ketawa geli hati.

“Panasnya hari. Balik kena masak pulak. Seronok kalau jadi orang kaya, ada bibik lagi. Semuanya main arah, tau-tau semua kerja beres. Apalah nasib aku... ada laki langsung tak guna. Bila dah jadi janda, macam ni pulak jadinya.”

Tanpa sengaja ada rasa sayu yang datang. Rasa sayu itu kemudiannya berkumpul dalam dada. Tanpa sedar juga ada air yang keluar. Air mata itu hangat dan menyakitkan bila mengalir keluar. Tak ubah macam asid yang memedihkan, bahkan meleburkan terus perasaannya.

Air itulah yang selalu Melah tahan daripada keluar. Dia tahu bila sudah keluar air daripada matanya, dia akan jadi lemah. Dia tidak suka semua itu. Bila sudah hidup sendiri dia mesti pandai berdikari dalam semua segi. Termasuk berdikari merawat hatinya yang dilukai.

“Ah! Membazir je nak nangis-nangis untuk laki yang tak guna macam tu.” Itulah cara yang selalu membuat Melah kuat semula.

Mulutnya yang berkata begitu tapi dalam hati ALLAH saja yang tahu. Akal dan hatinya selalu saja perang dingin. Diam-diam hatinya masih teringatkan lelaki tak guna yang pernah jadi suaminya. Cepat-cepat akalnya memarahi. Sudahnya Melah pening sendiri.

Sedang dia melayan perasaan, terdengar deruman motosikal Pak Sood lagi. Asap jangan dikata, hitam berkepul-kepul. Rupanya orang tua itu tidak sebodoh yang disangka. Masih bergeliga juga otaknya. Mengalahkan batu cincin.

Melah sebal lagi. Terasa hendak memaki-maki tanpa hujung pangkalnya. Kalau dia berbuat begitu, apa bezanya dia dengan Jelan senget? Nasib baik akal Melah masih waras. Ditahan-tahan juga sabarnya dengan kerenah orang tua yang tidak sedar diri itu.

“Melah... berjaya jugak abang saing Melah.”

Macam main silap mata, Pak Sood sudah di sebelah Melah. Melah merengus tanpa menoleh. Dia terus berjalan tanpa mengendahkan orang tua itu.

“Janganlah sombong, Melah. Abang tak boleh tidur malam kalau sehari tak bercakap dengan Melah.” Rupa-rupanya dia masih tidak putus asa walaupun Melah terus dingin.

Cakap-cakap Pak Sood membuat badan Melah gigil. Mukanya terasa pijar. Biji matanya buntang. Tidak sedar diri betul orang tua itu!

Kalau orang tua itu bersaiz kecil sudah lama hendak ditelannya hidup-hidup walaupun dia sedar sudah semestinya daging orang tua itu rasanya pahit. Maklumlah daging tua dan liat pula.

“Dengar suara nenek lebih berpahala dari dengar suara saya ni. Bukan setakat atuk je yang dapat dosa. Silap-silap saya pun ada bahagiannya.”

“Sudahlah atuk, nenek dah tunggu atuk kat rumah untuk makan tengah hari. Kesian nenek... nenek baik sangat orangnya.”

Sudahnya itu yang keluar daripada mulut Melah. Dia tidak mahu jadi bodoh dengan bertindak bodoh dan tak masuk akal. Selagi masih boleh bersabar dengan saki baki sabar yang ada, dia akan bersabar.

Kenapalah dalam umur yang sudah lanjut, Pak Sood masih bersikap begitu. Berlagak muda! Baru Melah sedar, umur tua tidak semestinya matang. Begitulah dengan Pak Sood. Kasihan, kasihan.

“Errr... nenek? Hmmm... anu, eh nak cakap apa ya?... errr. Ya... ya, nenek. Hishhh!”

Sebaik Melah menyebut tentang isteri Pak Sood, lelaki tua itu gelisah. Serba tidak kena. Tiba-tiba saja dia menjadi gugup dan gagap. Muka yang bersemangat terus layu. Macam daun keladi yang dilayur di atas api.

Serta-merta muka isterinya yang sudah kendur dan lisut datang dan gentayangan depan matanya. Berpuluh-puluh tahun dulu isterinya ialah seorang gadis yang cantik. Tak kurang berbanding Melah.

Siapa berani menegur isterinya akan disesah orang itu habis-habisan. Sanggup dia menyingsing lengan bila ada yang hendak mengganggu isterinya. Anehnya sekarang dia tidak kisah lagi dengan siapa isterinya hendak bercakap.

“Ya, nenek. Dia tunggu atuk balik tu.” Sahut Mila dengan berat hati.

Kalau boleh dia hendak mengunci mulutnya supaya tidak bercakap lagi dengan orang tua itu. Memenatkan! Selebihnya dia kasihan melihat Pak Sood yang bersikap macam anak muda. Dasar mangkuk ayun! Dia terlupa, syurganya sangat setia menunggunya di rumah.

“Abang... abang... errr, bukan! Bukan! Atuk gerak dululah.”

Yang gugup tambah gagap. Muka Pak Sood sudah bertukar-tukar warna. Biru, kelabu asap dan merah padam semua berganti-ganti.

Terasa malu pula bila dinasihati oleh perempuan yang digilai setengah mati. Lebih-lebih lagi perempuan itu layak dipanggil cucu. Perasaan orang tua itu tidak menentu.

“Geraklah atuk.” Melah berbasa-basi.

Pak Sood menekan gear. Menyentap motosikal tuanya kemudian bergerak tersengguk-sengguk. Sebelum motosikal bergerak lebih jauh, Pak Sood menoleh untuk melihat muka Melah sepuas-puasnya.

Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan tangkal untuk dia tidur lena malam nanti. Kalau boleh dia mahu bermimpikan Melah sepanjang malam. Rupa-rupanya Pak Sood masih tak sedar diri!

“Atukkk...” laung Melah.

“Ya, Melah! Nak abang tumpangkan Melah ke?” soal Pak Sood sayup-sayup.

“Bukanlah! Isyyy... ituuu!” tuding Melah ke arah parit besar dengan muka cemas.

Tidak lama kemudian Melah menutup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Dia tidak sanggup melihat adegan yang tidak sepatutnya dilihat. Ngeri!

Sebaik dia memberanikan diri melihat ke tempat tadi, motosikal Pak Sood tidak nampak lagi. Ah! Gawat! Dalam cuaca terik itu Melah menggagahkan diri berlari-lari anak.

Dari arah bertentangan, dia ternampak Jelan sedang berlari-lari dengan sebelah selipar buruk disarung pada lengan kirinya. Sah, Jelan memang tidak normal. Tak sama dengan Melah masih waras akalnya.

“Jelan! Sini kamu!” laung Melah.

Melah yang hendak berlari ke tepi parit berhenti sekejap untuk menarik nafas. Cuaca yang panas terik membuat dia cepat mengah. Peluh yang menitik jangan dikata banyaknya. Sesudah lega dia berlari anak lagi sampai ke tempat yang dituju.

Jelan pula berlari santai dan berlenggang-lenggang sebaik dipanggil Melah. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Melah cuma mampu geleng saja. Sementara menunggu Jelan, Melah memberanikan diri mengintai ke dalam parit besar. Kedalaman parit itu Melah tidak pasti.

“Atuk!”

Melah melaung lagi bila melihat hanya motosikal Pak Sood saja yang berada dalam parit. Itu pun dengan badan motosikal di bawah dan rodanya di atas. Di mana pula orang tua itu? Melah menggaru kepala.

Glurppp... glurppp... ternampak riak air parit. Melah menelan air liur. Hendak turun ke dalam air tidak patut pula. Dia cuma berharap-harap Pak Sood akan panjang umur. Orang jahat selalunya lambat mati.

Melah juga yakin apalah sangat air parit pada Pak Sood yang merupakan anak jati kampung itu. Dia sudah sebati dengan air parit dan tanah liat yang selalu mengeruhkan air. Tentu dia tak akan lemas di situ.

“Hah...dah keluar pun tangan.”

Melah lega bila melihat Pak Sood mula menggapai tangan. Kepalanya muncul beberapa saat kemudian. Mencungap juga orang tua itu bila tertelan air parit yang keruh.

“Kak Melah!” jerkah Jelan yang baru sampai di tempat kejadian.

“Lambatnya kamu ni... tu hah, kamu tolong atuk tu,” tuding Melah ke dalam parit.

Sebaliknya Jelan cuma terlompat-lompat di tepi parit. Seronok betul dia melihat Pak Sood mencungap dan bersusah payah hendak berdiri. Muka orang tua itu sudah dikotori tanah. Jelan tidak mahu membantunya sebab Pak Sood selalu memarahinya tanpa sebab.

“Kak Melah suruh tolong atuk, kan?” Melah bercekak pinggang.

“Dia jahat! Padan muka!” ejek Jelan tanpa menghiraukan arahan Melah. Melah geleng dan melepaskan keluhan.

“Budak setengah tiang tu kamu suruh bantu aku? Rentikan... aku boleh naik sendiri.”

Sombongnya Pak Sood. Patutlah Jelan tak suka padanya. Dari dalam parit, Pak Sood sedang cuba naik ke atas. Motosikal semputnya dibiarkan saja. Petang nanti dia akan minta anak atau cucunya mengambil harta kesayangannya itu.

“Kamu tunggu ya Melah. Kita jalan kaki sama-sama.” Bertungkus-lumus Pak Sood naik ke atas.

‘Tak sedar dirinya orang tua ni...dah comot macam ni pun masih ada hati nak jalan dengan aku.’ Bisik Melah mual dengan sikap Pak Sood yang masih tidak sedar diri.

“Jelan...jom kita balik. Makin panaslah kat sini.”

Sengaja Melah mengajak Jelan pergi dari situ. Biar Pak Sood terkontang kanting sendiri. Melihat Melah mula berjalan diekori Jelan, Pak Sood semakin laju naik ke atas. Sayangnya tanah di tepi parit sangat licin lalu dia tergelincir semula masuk ke dalam parit.

“Lagi sekali!...padan muka!”

Melah menoleh sebaik terdengar jeritan kecil Pak Sood. Kali ini dia pula yang mengejek orang tua yang tidak sedar diri itu. Pandai-pandailah orang tua itu hendak naik ke atas semula. Itulah balasan untuk biang keladi.

Langkah Melah terus laju. Jelan tetap berjalan dengan caranya. Bersimpang siur ke kiri dan ke kanan. Kali ini Melah langsung tak rasa bersalah. Malahan puas hatinya meninggalkan Pak Sood sendirian.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.