Home Novel Kisah Hidup Sakit!
Sakit!
SueJya
22/5/2020 00:24:55
25,524
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 4

"Hi Shen Joanna, sahabat! Mungkin ketika kau membaca surat ini saya sudah terbang ke langit. Mungkin sedang dalam perjalanan masa yang panjang untuk pulang bertemu ibu. Kau tahu selama ini saya selalu mengharapkan kau. Dan saya yakin kau juga lelah. Tapi kau pintar dalam menyembunyikan itu. Shen, saya minta maaf tidak mampu untuk terus bertahan seperti yang kau lakukan. Saya penat mahu terus tersenyum. Saya lelah terus mengatakan okay ketika saya hendak berkata tidak. Shen, ketika ini jika saya berjaya pulang ke pluto bak kata kau saya yakin kau kecewa. Sedih, mungkin juga marah pada saya atau mungkin diri kau sendiri. Tapi tolong jangan. Sebab kau tidak bersalah. Saya yang membuat keputusan dan saya memilih ini. Maaf tidak mampu menceritakan pada kau petang kelmarin. Maaf sudah menyerah dan maaf tidak menunaikan janji untuk terus berjuang. Terima kasih sudah selalu menyokong saya selama ini. Shen, jangan nangis! Ada Brennon. Saya titipkan dia untuk kau jaga bagi pihak saya. Dia juga sakit. Sama seperti saya."


Saya menyeka air jernih yang mengalir laju dari mata. Tergamak kau Jeevan! Kau kata kau okay. Kenapa kau tidak pernah berkata apa-apa? Selama ini saya menyangka kau sudah benar-benar baik. Rupanya kau sedang mengumpul kekuatan untuk keluar dari jasad. Kau menyembunyikan segala niat itu di sebalik tawa dan senyum olok-olok. Jeevan! Saya tahan tangisan agar tidak kedengaran di luar bilik. Saya malas hendak menjawab kenapa, apa, bagaimana, siapa dan di mana dari mereka. Telefon bimbit Jeevan saya buka. Masih menggunakan password sama. Tarikh lahirnya sendiri. Saya buka ruang galeri. Teringat kalau dulu Jeevan pernah berkata jika suatu hari nanti dia hilang, cari telefon bimbitnya. Pasti ada video untuk tatapan. Saya cari folder video. Ya! Seperti yang saya jangka ada video. Tapi bukan untuk saya. Untuk ayah, ibu, abang serta dua adiknya. Hampa saya seketika sebelum menemukan satu folder lain dengan nama Shen Joe Ein. Tergelak saya melihat nama folder itu. Tapi saya buka juga untuk melihat isinya.


"Shen, kau nampak nama folder ini? Shen Joe Ein. Nah, kau suka tengok drama korea bukan? Hari ini kau sudah rasminya menjadi seorang korea dan kau patut berterima kasih untuk itu pada saya! Tapi bila difikir mungkin nama kau juga boleh jadi Shen Joe Nah." Jeevan gelak pada ayat sendiri. 

"Hey Shen, sorry sudah menyerah. Saya cuba untuk berehat tapi sakitnya tidak berhenti dan saya memilih untuk quit. Maaf. Di salah satu folder dalam galeri ini ada video untuk mereka yang lain. Tolong kirimkan untuk mereka okay? Shen, untuk kau tahu kau juga sama seperti mereka. Sangat istimewa untuk saya. Sayang saya menyerah." Jeevan gelak lagi. Tapi jelas terlihat dibuat-buat. Wajahnya muram selepas itu.

"Maaf Shen." Rakaman dihentikan dan sempat terakam dia menyeka matanya. Kenapa? Kenapa kau teruskan pilihan itu jika kau tahu itu menyedihkan kami semua dan kau juga?


Saya lihat semua isi folder Shen Joe Ein itu. Berpuluh gambar kenangan dengannya. Lalu saya padam semuanya. Biarlah. Gambar lain di atas meja saya lihat. Beberapa foto kami berdua sejak kecil. Itulah kenangan. Ketika kami masih tersenyum gembira. Biar itu sahaja yang saya simpan dan bukan ini.


Malam itu saya datangi rumah Jeevan. Mungkin untuk yang terakhir kalinya. Sakit melangkah ke sana. Ke rumah yang penuh dengan kenangan masa kecil. Dulu, rumah sebelah itu milik ayah dan ibu. Tapi ketika saya di sekolah menengah atas, kami berpindah. Ke rumah lain yang menurut ibu dan ayah jauh lebih baik.


"Kakak!"


Laung adik Jeevan. Adik tirinya. Dia hanya dua beradik. Jeevan dan abangnya Franc. Navell dan Natalie itu adik tiri dari isteri ayahnya.


Navell si kecil baru berumur 5 tahun. Sangat rapat dengan Jeevan. Sesekali saya juga ada datang ke rumah itu. Sekadar datang berkunjung sedangkan sebenarnya ingin mengajak Jeevan keluar lepak dan hal itu berlanjutan sehingga beberapa bulan lepas. Ayahnya tidak kisah. Sudah sangat biasa dengan saya. Malah sangat kenal pada ayah dan ibu juga. Ibu tirinya juga hanya tersenyum melihat saya dan kadangkala ada menegur saya juga. Sekadar berbasa basi mungkin. Franc usah dibahas. Jejaka itu juga sahabat saya. Tapi tidak serapat Jeevan. Mungkin sebab beza umur menjarakkan batas pergaulan kami.


"Kakak! Rindu kakaklah! Kenapa kakak tidak datang kelmarin? Kakak tahu, abang sakit. Abang tidur saja dari kelmarin."


Jeevan maksudnya. Jeevan. Saya senyum tapi hati penuh luka. Tidak tahu apa saya perlu katakan. Navell masih kecil. Tersangat kecil untuk faham situasi hari ini. Natalie yang sudah berumur 11 tahun hanya menyorok di belakang Franc di ruang tamu. Takut barangkali. Bukan pada saya. Tapi mungkin pada hakikat. Entahlah, Natalie sudah cukup besar untuk mengerti sakitnya.


"Kakak, besok kakak datang lagi?"


Sambil itu Navell menggerak-gerakkan kapal terbang mainan di tangan seolah ia sedang terbang. Selesa anak kecil itu dalam dukungan saya. Berat sebenarnya. Tapi entah. Navell suka didukung.


"Hai, Joanne." Sapa Franc.


"Hai. Bila sampai?"


"Baru sampai semalam. Kau..." Jeda seketika. Seolah menahan diri dari menanyakan sesuatu. 

"Kau tiada kuliah hari ni?"


"Ada." Jawab saya sepatah. Mustahil Franc tidak tahu, mana mungkin saya tidak datang ke sana hanya untuk ke kelas. Pasti saya menyesal! Jangan katakan saya tidak pentingkan pelajaran. Bukan! Tapi kadangkala ada hal yang sama penting dan akal perlu bijak memilih untuk berada di mana.


"Oh, sudah makan?" Saya geleng dan dia menunjuk ke arah dapur. Menyuruh saya untuk makan tapi saya tolak dengan baik.


Ketika suasana sudah agak lenggang. Navell dan Natalie juga sudah diarah masuk ke bilik tidur masing-masing saya hampiri Franc.


"Nah." Hanya sepatah kata dari saya. Dia pandang saya pelik.


"Buat apa?"


"Kau tahu ini telefon siapa?"


"Tidak. Siapa?"


"Jeevan."


"Simpan saja. Ada juga telefon dia di bilik."


Saya terdiam seketika. Bukan itu maksud saya. Mungkin salah saya tidak menjelaskan sejelasnya.


"Ada video dalam galeri. Untuk setiap satu dari kamu."


"Video apa?"


"Saya tidak tahu. Saya tidak buka. Yang pasti itu pesanan."


"Untuk kau? Ada?"


"Ada. Tapi sudah saya padam."


"Apa katanya?"


"Sekadar basa basi. Minta maaf dan terima kasih."


"Oh."


"Besok kau datang?"


Saya diam. Tiada jawapan untuk itu. Besok ada kuiz. Kuiz dengan 10% markah.


"Besok kami hantar dia..."


Franc tidak menghabiskan ayatnya. Tapi saya tahu benar apa yang cuba dia sampaikan.


"Okay."


"Mungkin lewat pagi."


Saya diam lagi. Sekadar mengangguk. Besok kelas saya penuh sehari dan ya ketiga-tiga kelas itu ada kuiz. Perlukah saya ponteng kelas untuk ini? Atau pertaruhkan sahaja 10 peratus markah itu demi seorang sahabat yang sudah menyerah?


"Joanne?"


"Huh?"


"Kau dengar apa kata saya tadi?"


"Apa?"


"Oh, tidak ada apa-apalah."


"Maaf, saya balik dulu Franc."


"Eh, balik? Tapikan lewat sudah ni? Tidur sini sajalah. Ada juga kawan Natalie tidur. Takut dia. Entah apalah yang dia takuti dari tadi."


"Lain kali sajalah. Lagipun saya drive."


"Kalau macam tu, hati-hati Joanne. Kalau kau ada kelas besok, tidak apalah kalau kau tidak datang. Terima kasih untuk ini."


Telefon pintar milik Jeevan dia angkat. Ditunjukkan kepada saya.


"Okay. Saya balik dulu."


"Baik, hati-hati."


Franc seorang jurutera. Sangat sibuk. Jarang sekali saya bertemu dengannya di rumah ini sejak dia mulai bekerja. Biarlah, bukan urusan saya, kamu dan mereka. 

Begitulah keadaannya di rumah Jeevan malam itu. Masih banyak orang tetapi tidak sesesak awal tadi ketika saya baru tiba. Suasana di rumah itu malas saya ulas. Kau, dia dan mereka pasti tahu bagaimana keadaan di rumah dengan keadaan sebegitu.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SueJya