Home Novel Kisah Hidup Senaskhah Hidup (Sudah Terbit)
Senaskhah Hidup (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:45:08
3,370
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 2

LANGKAH Helmi lesu. Matanya bengkak. Dia duduk di atas pangkin di halaman rumah. Lama dia merenung rumah separuh batu separuh kayu itu, yang baru sahaja bebas daripada lingkaran pita kuning milik polis. Air matanya mengalir lagi.

Mak Lang Aisyah menghampiri Helmi. Mangkuk tingkat yang dibawa, diletakkan di hujung pangkin. Dia duduk di sebelah pemuda itu.

"Mak lang dan pak lang akan bersihkan rumah ni. Kamu berehatlah."

Helmi mengesat mata dengan lengan baju Melayu yang sedikit senteng.

"Mak lang dan pak lang dah banyak sangat tolong saya. Beri makan, beri tumpang rumah. Baju pun pak lang pinjamkan."

"Kamu anak kami juga. Sakit kamu, sakit kami juga."

Jatuh lagi setitis air mata Helmi. Kali ini, dibiarkan sahaja.

"Biar saya sendiri yang bersihkan rumah ni, mak lang. Ini khidmat saya yang terakhir untuk mak, abah dan adik. Biarlah kesan darah mereka, saya yang bersihkan."

"Tapi banyak sangat ...." Mak Lang Aisyah menghentikan kata-kata. Dia tunduk, kemudian mula tersedu-sedu.

Selepas emosinya sedikit reda, Mak Lang Aisyah menyambung, "Mak kamu, kakak ipar mak lang yang paling baik. Dah macam kakak sendiri. Mak lang pun rasa kehilangan. Kita sama-samalah beri khidmat terakhir kepada orang yang kita sayang."

Helmi mengangguk perlahan.


SEBAIK masuk ke rumah itu, hanyir darah menyerbu. Mak Lang Aisyah cepat-cepat menekup hidung. Matanya berair, langsung deras mengalir. Helmi hampir terjeluak, namun pantas ditahan. Air matanya berderai lagi.

"Darah yang sama mengalir dalam tubuh kita ni, pak lang."

Pak Lang Razi memandang sayu kesan darah yang hampir memenuhi lantai ruang tamu. Percikan darah jelas kelihatan pada dinding, kusyen, meja kopi dan rak buku. Dia mengurut-urut dada.

"Zalimnya manusia ... Ya ALLAH. Astaghfirullah."

Helmi menarik nafas dalam-dalam, dan menghembuskannya kuat.

Pak Lang Razi menepuk-nepuk bahu anak saudaranya itu. "Kita keluarkan perabot dulu."

Helmi akur. Mereka mula bekerja. Di luar, beberapa jiran menjengah. Ada yang menawarkan diri untuk membantu, siap membawa peralatan sendiri.

Usai perabot dikeluarkan, Pak Lang Razi membahagikan tugas kepada semua yang ada.

"Yang perempuan bersihkan perabot dan barang-barang lain di luar. Tok imam dah pasang khemah. Boleh tarik air daripada rumah kami. Yang lelaki, kita bersihkan bahagian dalam rumah."

Helmi keluar seketika, membuka paip air, dan kembali masuk dengan menarik getah paip.

'Bismillah.' Air berkelajuan sederhana disembur ke dinding. Darah yang hampir kering, mula mengalir turun ke lantai. Helmi bertahan, tidak terjeluak lagi.

'Aku lambat. Kalau aku cepat sikit, semua ni takkan berlaku.'

Pak Lang Razi menyental dinding dengan air bercampur detergen yang sudah dibancuh lebih awal. Helmi memberus lantai. Sesekali dia berhenti, mengesat mata dengan pangkal lengan.

'Maafkan along. Along lambat.'

Bahunya terhinggut-hinggut menahan tangis.

'Kalau along tak pentingkan diri, tak kerja di KL, tentu mak abah tak jadi macam ni.'

Helmi melutut, kemudian teromok. Dia teresak-esak. Pak Lang Razi datang mendekati. Lelaki tua itu mencangkung di sisi Helmi, mengusap-usap belakangnya.

"Saya yang salah, pak lang. Kalau saya duduk dengan mak abah, takkan jadi macam ni. Saya lambat sampai. Saya sibuk kerja. Saya utamakan kerja daripada mak abah."

"Istighfar, Helmi. Istighfar. Kamu pun tahu, ini takdir ALLAH."

Helmi mengongoi.

"Kejam sangat manusia ni, pak lang. Adik tu tengah sarat mengandung. Ya ALLAH ... kasihannya, adik."

Pak Lang Razi bersuara getar, "Kita doakan ALLAH bela kematian mak abah kamu, adik kamu. Kita serah kepada polis untuk cari pelaku zalim ni."

Tok imam yang berdiri di sebelah mereka, mencelah, "Kamu nak tahu, apa janji ALLAH kepada orang yang bersabar apabila ditimpa susah?"

Helmi mendongak memandang tok imam, lalu mengangguk perlahan.

"Surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157. Maksudnya, 'Sungguh, Kami akan berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kehilangan harta, nyawa dan hasil tanaman. Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka mengatakan inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Merekalah yang akan mendapat selawat dan rahmat daripada TUHAN dan yang mendapat petunjuk'."

Helmi diam seketika.

Tok imam menyambung lagi, "Kita yang ditinggalkan, nampak perkara yang berlaku ni amat dahsyat, seakan-akan bala yang menimpa. Tapi sebenarnya, abah, mak dan adik kamu sedang berbahagia di sisi ALLAH. Mereka dalam golongan syahid akhirat."

"Syahid?"

Tok imam mengangguk.

"Mereka menemui ajal kerana dizalimi. Dan mereka pun orang-orang yang baik. Satu kampung tahu benar hati budi abah dan mak kamu. Tengok, ramai yang datang bantu. Bukti abah dan mak kamu orang baik-baik."

Bergenang lagi air mata Helmi.

"Adik kamu pun, subhanallah. Dizalimi dalam keadaan dia sarat mengandung. Sayang benar ALLAH kepada adik kamu."

Helmi tunduk. Setitis air mata jatuh ke lantai, bergabung dengan air bercampur darah dan sabun yang belum selesai dibersihkan. Perlahan-lahan bibirnya melafaz.

"Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun."


MENJELANG maghrib, barulah perabot dan rumah selesai dicuci, dilap dengan cecair disinfektan dan dibilas sekali lagi. Kebanyakan jiran sudah pulang selepas asar. Tinggal dua, tiga orang membantu mengangkat semula perabot masuk ke dalam.

Di ruang parkir, Helmi menggunakan penyeka menolak sisa air ke dalam longkang. Pak Lang Razi menyembur longkang dengan air bersih hingga segala yang berwarna benar-benar hilang daripada pandangan.

"Esok, mak lang letak pewangi sikit. Ada si ucu beli tadi. Insya-ALLAH, elok semula rumah ni."

Helmi diam. Dia mengemas peralatan.

"Marilah kita balik. Malam ni, malam ketiga baca tahlil di surau."

Helmi angguk. Dia menggulung kemas getah paip. Kemudian, dia mengangkat batang mop, berus lantai dan penyeka air sekali gus. Tiga beranak itu berjalan beriringan ke rumah sebelah.

"Saya tak sanggup nak duduk di rumah mak. Esok saya balik KL."

Pak Lang Razi dan MakLang Aisyah saling berpandangan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.