Home Novel Keluarga Jadi Sahabat Saya, Boleh?
Jadi Sahabat Saya, Boleh?
Azilah Wahab
17/6/2014 23:08:54
11,748
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1

“SEGALA kata cacian yang telah engkau berikan, membuatku rasa kosong...kosong... oh...” Lirik terakhir lagu nyanyian asal Najwa Latif itu bersambut sorakan dan tepukan gemuruh kawan-kawan. Suara usikan nakal kawan-kawan juga bercampur dengan siulan.

“Terima kasih,” kata Afrina dan Afrizal serentak sebaik saja mereka ke depan pentas dan menundukkan badan, tanda persembahan mereka sudah berakhir.

“Rina! Rina! Rina!” Suara sorakan menggamatkan seisi dewan.

“Rizal! Rizal! Rizal!” Sorakan bertambah kuat.

“Tepukan dan sorakan semakin kuat. Rina dan Rizal sudah boleh mengalahkan artis Black dan

Aizat membuat persembahan pentas.” Suara pujian Teacher Erein membuatkan Afrina dan Afrizal

tersenyum puas.

Teacher Erein yang tadinya tercegat di hujung pentas, kini mendapatkan Afrina dan Afrizal. Wajah kedua-dua beradik itu berseri-seri. Nampaknya para hadirin yang berada di dewan itu terhibur dengan persembahan mereka.

“Rasanya banyak-banyak persembahan pelajar hari ini, persembahan merekalah mendapat tepukan paling gemuruh. Are you agree with me?” tanya Teacher Erein kepada sekalian hadirin di dalam dewan.

“Yes, agreee!” Para pelajar dan guru yang menyaksikan persembahan menjawab serentak.

Tepukan gemuruh kedengaran lagi.

“Ya, saya juga sangat terhibur dengan persembahan kamu berdua. Sekali lagi, berikan tepukan gemuruh kepada Afrina Iqbal! Suaranya yang lunak merdu setanding suara Najwa Latif. Tahniah Afrina Iqbal! Begitu juga dengan abangnya, Afrizal yang menghiburkan kita dengan lagu Awan Nano tadi.

Terhibur tak pelajar-pelajar?” Teacher Erein bertanya kepada para pelajar.

“Terhibur!” Semua pelajar menjawab dengan suara teruja.

“Jarang-jarang kita melihat adik-beradik sebegini rapat dan memiliki chemistry yang cukup sempurna. Apabila si abang menyanyikan lagu, si adik memetik gitar. Apabila si adik menyanyikan lagu, si abang pula memetik gitar. Wah, perfect!” puji Teacher Erein lagi. Guru Bahasa Inggeris itu tersenyum dan kelihatan begitu teruja dengan persembahan Afrina dan Arfizal di atas pentas, sempena sambutan hari guru itu.

“Terima kasih cikgu, kawan-kawan, terima kasih semua,” balas Afrizal mendengar pujian Teacher Eiren

dan tepukan hadirin.

“Ya, terima kasih semua.” Afrina pula bersuara. Hatinya berbunga-bunga menerima pujian dan reaksi balas kawan-kawan yang tak henti-henti melaungkan namanya.

“Baiklah, Afrina, Afrizal, saya ucapkan selamat maju jaya untuk kamu berdua. Ternyata kamu berdua bukan hanya jaguh di gelanggang catur, tetapi juga berbakat dalam bidang seni persembahan. Afrizal, Afrina, lepas ni ajar saya macam mana nak main gitar ya?” usik Teacher Erein.

“Boleh teacher,” jawab Afrina dan Afrizal serentak sebelum mereka beredar ke belakang pentas.

“Baiklah, sekarang dipersilakan, tiga gadis jelita dari Kelas 3P untuk membuat persembahan mereka. Tiga gadis ini menamakan kumpulan mereka, Ratu. Dipersilakan Derlisya, Jessica dan Shui Ann!”

Tepukan gemuruh kedengaran. Bunyi muzik menyambut kehadiran tiga gadis ke tengah pentas.

Derlisya, Jessica dan Shui Ann melemparkan senyuman kepada sekalian hadirin sebelum memulakan persembahan mereka. Tiga orang gadis ini mengenakan fesyen terkini ala-Korea dan kelihatan cantik. Pakaian mereka nampak sopan di atas pentas kerana awal-awal lagi cikgu sudah mengingatkan kepada para pelajar yang ingin membuat persembahan pentas agar menjaga tata cara berpakaian.

Irama perlahan bertukar rancak. Gerak tari mulai bertukar lincah dan bertenaga. Derlisya, Jessica dan Shui Ann mempersembahkan tarian Korea Pop, dengan lagu Nobody, persembahan asal Kumpulan Wonder Girls. Persembahan Kumpulan Ratu, hampir 80 peratus menyamai persembahan asal Kumpulan Wonder Girl yang diperkenalkan Park Jin Young itu meskipun ahli Kumpulan Ratu hanya tiga orang saja.

Para penonton semakin terhibur. Persembahan mereka memang benar-benar menjadi dan berjaya. Derlisya semakin yakin, selepas ini Teacher Erien akan memuji Kumpulan Ratu melambung-lambung tinggi sepertimana pujian yang diterima Afrina dan Afrizal tadi. Kau ingat kau saja layak dipuji, Rina. Aku pun! Derlisya bersuara bongkak di dalam hati. Dia yakin selepas ini, populariti kumpulan Ratu akan melonjak naik, seratus lima puluh peratus daripada populariti yang mereka miliki hari ini.

Tiba-tiba, bedebuk! Derlisya tersentak. Jessica juga tergamam. Persembahan tarian mereka terhenti serta-merta meskipun alunan muzik masih kedengaran.

“Aduh!” Shui Ann menjerit kuat sambil meraba dahinya yang sedikit berdarah.

“Ohhhh!” Suara penonton kedengaran serentak. Mungkin juga kerana masing-masing terkejut atas

apa yang menimpa Kumpulan Ratu. Teacher Erien dan beberapa orang guru yang berada dekat dengan pentas, menerpa mendapatkan tubuh Shui Ann yang masih tertiarap itu. Derlisya dan Jessica pula tergesa-gesa mengangkat tubuh Shui Ann yang lemah dan pucat.

“Hoi Ratu! Sudahlah! Ratu konon!” Satu suara mengejek. Serentak dengan itu juga, kedengaran

sekelompok pelajar ketawa terbahak-bahak.

“Tak reti menari tarian Melayu, sibuk nak menari K-pop.” Suara ejekan kedengaran berbunyi lagi.

“Tak cukup tenaga, persembahan tak mantap!” Bertubi-tubi komentar yang kedengaran daripada para pelajar.

Derlisya dan Jessica yang masih berusaha mengangkat Shui Ann berasa sangat bengang.

“Para pelajar diminta bertenang. Sampai di sini saja persembahan pelajar hari ini. Walaupun apa yang berlaku kepada Kumpulan Ratu adalah di luar jangkaan, namun Ratu sudah membuat satu persembahan yang baik dan menghiburkan. Berikan tepukan kepada mereka.” Teacher Erein menenangkan suasana ejek-mengejek yang sedang berlaku. Shui Ann sudah pun dipapah keluar dari pentas itu dengan bantuan Derlisya, Jessica dan dua orang guru perempuan.

“Memang menghiburkan teacher, siap ada slot lawak, buah nangka jatuh tu. Hahaha!” Seorang

pelajar dengan berani memberikan pendapatnya. Komen itu diikuti dengan suara ketawa pelajar-

pelajar di dewan.

“Amirul, tak baik cakap macam tu. Mungkin hari ini, nasib dia kurang baik. Esok-esok kalau hal yang tak patut berlaku, berlaku pada awak macam mana? Sudah! Jangan ketawa lagi. Kita kena beri sokongan kepada Shui Ann dan Ratu. Mereka berani membuat persembahan dan menampilkan bakat mereka hari ini!” tegas Teacher Erein.

Acara di pentas terus dihentikan. Sementara itu pelajar-pelajar diberi kebebasan untuk bertemu

dengan guru-guru bagi memberikan hadiah.

Next: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.