Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
80,696
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

BAB 13


“YA ALLAH, ya Tuhan ku. Ampuni segala dosa-dosa ku, dosa suami, anak-anakku serta kedua ibu bapaku, ibu bapa mertuaku. Lindungilah kami daripada segala gangguan syaitan iblis. Lindungilah kami daripada orang-orang zalim. Lindungilah kami dari fitnah, khianat, malapetaka dan segala jenis penyakit. Jauhilah kami daripada kepapaan, kegagalan dan perbuatan yang sia-sia. Jauhilah kami dari terus berduka lara. Ya ALLAH, jauhilah kami dari sifat mazmumah dan peliharalah kami dengan sifat-sifat mahmudah.

Lapangkanlah dada kami ya ALLAH. Tenangkan jiwa kami. Satukan hati-hati kami Ya ALLAH. Kekalkan kebahagiaan keluarga kami Ya ALLAH. Aku amat rindukan kebahagiaan lewat musim lalu Ya ALLAH. Ya ALLAH, andai kata kakak tersasar dari jalan-MU, KAU tunjukkanlah dia jalan yang benar. Bukakanlah pintu hatinya untuk memohon ampun dan taubat daripada-MU Ya ALLAH. Namun andai kata kami yang bersalah sebagai ibu bapanya Ya ALLAH, ampunilah kami. Ampunilah akan segala dosa-dosa kami. Kami adalah hamba-MU yang tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kami juga mungkin terkhilaf Ya ALLAH.

Sesungguhnya semua ini adalah kerana kelemahan kami melaksanakan amanahMU. Ya ALLAH, KAU permudahkanlah segala urusan hidup kami agar kami terus berkelana di bumi Mu. Aku mohon Ya ALLAH agar KAU bukakanlah pintu hati suamiku semoga dia bersedia menerima anak perempuan kami kembali. Agar dia berlapang dada, memaafkan kesilapan satu-satunya puteri kami itu. Ya ALLAH, sesungguhnya, ENGKAU Maha tahu yang aku amat-amat merindui kakak. KAU lindungilah dia, walau di mana pun dia berada.

Sesungguhnya, setelah apa yang sudah berlaku, aku reda dengan takdir-MU Ya ALLAH. Aku rela memaafkan kakak. Semoga dia tidak pernah melupakan kami. Ya ALLAH, Ya Rahman, Ya Rahim. KAU bukakanlah pintu hatinya untuk kembali kepada kami. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W berserta sahabat dan keluarga baginda. Amin,amin Ya Rabbul Alamin.”

Raudah Maryam meraup wajahnya setelah mengaminkan doa panjang. Seusai itu, dia mencapai Al-Quran di atas rehal. Sesungguhnya hatinya yang resah dan gelisah mahu ditenteramkan dengan bermunajat sepanjang malam. Semoga DIA Yang Maha Mendengar, akan memakbulkan doa-doanya. Naskah Al-Quran yang berwarna merah coklat dengan tulisan berwarna emas itu direnung lama-lama. Sudah lama dia tidak menghabiskan waktu dengan mengaji Al-Quran sekeluarga.

Sebelum Marissa Norhanis dimasukkan ke sekolah berasrama penuh, saban malam mereka sekeluarga menghabiskan waktu dengan sembahyang berjemaah dan membaca Al-Quran. Apabila Marissa Norhanis tiada, hanya dia, Halim dan Hakim meneruskan rutin mereka saban malam, sekiranya dia tidak bekerja di luar kawasan. Marissa Norhanis dan Hakim begitu lancar mengaji Al-Quran kerana Halim mengajar mereka sejak mereka berusia tiga tahun lagi.

Raudah Maryam tidak tahu, sudah berapa kali Hakim dan Marissa Norhanis sudah khatam Al-Quran. Mungkin melebihi lima kali. Malah Halim turut mengajar mereka menghafal surah-surah penting berserta maknanya. Raudah Maryam akui, Halim benar-benar bertegas dalam menitik beratkan hal sembahyang dan mengaji. Malah, Raudah Maryam yang merupakan mualaf dari Kaum Iban juga banyak belajar mengaji dan ilmu Fardu Ain daripada Halim.

“Kakak, ibu harap kakak jangan tinggalkan sembahyang. Jangan lupa Al-Quran dan Al Sunnah kerana ia adalah pegangan hidup. Kalau kita terlalai, makanya kita juga boleh tersesat jauh dari Nur Ilahi. Ingat pesan ibu, sayang. Ingat, ALLAH ada di mana-mana. Setiap buruk baik yang kita lakukan hatta sebesar zarah sekalipun, kita akan dipertanggung jawab ke atasnya. Malaikat ALLAH ada di kiri kanan bahu kita. Kita saja tak nampak. Ingat ya, sayang.” Raudah Maryam teringat-ingat lagi pesanan yang pernah dititip buat Marissa Norhanis.

Waktu itu, sehari sebelum mereka berpisah kerana buat pertama kali Marissa Norhanis ke sekolah berasrama penuh.

“Sudah-sudahlah tu Maryam. Kakak kan dah buat keputusan nak berdikari. Kita kena hormat keputusan dia. Kita kena bagi dia peluang berdikari. Sekolah ni bagus. Ayah yakin, kakak pasti berjaya kelak. Ayah yakin kakak akan happy kat sini,” tegur Halim.

Ketika itu, sesi pendaftaran asrama Marissa Norhanis baru saja selesai.

“Ha ah la bu. Bukan jauh sangat pun, sekolah ni dengan rumah kita.” Giliran Hakim pula menenangkan kesedihan ibunya.

Namun ternyata, membiarkan Marissa Norhanis berjauhan dengan mereka dengan alasan berdikari itu, membuatkan banyak hal tentang anak gadisnya itu terbatas. Banyak perkara dirahsiakan Marissa Norhanis daripada pengetahuan Raudah Maryam sekeluarga. Anak gadis yang sedang menginjak remaja itu, tidak lagi ramah berkongsi cerita dengannya seperti hari-hari yang lalu.

Kesibukan di pejabat dan lantaran kerap ke luar daerah atas urusan kerja kebelakangan ini, membataskan hubungan mereka. Tentu banyak sekali permasalahan dunia remaja yang diharungi Marissa Norhanis. Malah, tanpa disedarinya, puteri mereka terjebak dengan cinta lelaki lewat 30 an itu. Bagaimana dan di mana cinta itu bermula tidak pernah dikongsi Marissa Norhanis terhadapnya. Demi kerana itu juga, Raudah Maryam sungguh-sungguh tidak menyangka akan keputusan maha drastik yang dibuat puteri kesayangannya itu.

Terpaksa atau tidak, Raudah Maryam harus menerima kenyataan. Segala apa yang berlaku terhadap mereka sekeluarga menunjukkan yang dia sudah gagal. Dia gagal untuk membentuk dan mengawal Marissa Norhanis kala anak itu jauh dari matanya. Raudah Maryam akui, sikapnya juga sebagai seorang ibu yang mementingkan kerjaya adalah pendorong Marissa Norhanis mencari kasih di luar. Andai diperhalusi, mungkin juga Marissa Norhanis memilih untuk tinggal di asrama kerana bosan dengan cara hidup keluarga mereka sekeluarga.

Walaupun pada waktu siang, Raudah Maryam dan Halim sibuk bekerja, tetapi pada waktu malam mereka tetap berusaha untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Walaupun Raudah Maryam kerap bekerja di luar daerah, tetapi dia tetap berusaha untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga setiap kali cuti sekolah.

Sikap Hakim dan Marissa Norhanis sangat berbeza meskipun mereka sama-sama berkongsi uri di dalam rahim. Hakim sememangnya seorang anak yang lebih berdikari berbanding Marissa Norhanis yang lebih mahukan perhatian. Mungkin juga kerana keduanya berlainan jantina. Mungkin kerana itu juga, sejak menginjak remaja Hakim tidak pernah merungut bosan tinggal di rumah. Tambahan pula,Hakim sering menyibukkan diri dengan pasukan bola sepaknya.

Oh, kakak! Di manakah kurangnya kasih sayang ibu terhadapmu sayang? Sampai kakak tergamak melakukan semua ini pada ibu. Pada ayah dan keluarga kita. Tidak pernahkah terfikir di benak kakak akan kesan baik buruk yang terpaksa kami lalui hari ini kerana tindakan terburu-buru kakak?

“Maryam…” Suara panggilan Halim di belakangnya membuatkan Raudah Maryam tersentak. Roda fikirannya terhenti tiba-tiba.

Wajah manis Marissa Norhanis pula hilang lenyap begitu saja. Raudah Maryam gesa-gesa mengesat lelahan air mata dengan telekung sembahyang daripada dilihat suaminya itu. Kala dia berpaling ke belakang, Raudah Maryam melihat suaminya berbaju Melaju, berkain pelikat dan lengkap berkopiah.

“Abang temankan awak mengaji, ya?” Lunak mesra suara Halim membuatkan hati Raudah Maryam kembali tenang. Syahdu menyelusup ke segenap qalbu. Dalam keadaan tak percaya melihat hadirnya Halim di situ, Raudah Maryam hanya mampu mengangguk.

“Abang nak bersolat dulu,” beritahu Halim. Dia membentangkan sejadah di depan sejadah Raudah Maryam, di dalam bilik Marissa Norhanis itu.

Raudah Maryam tersenyum. Syukur Ya ALLAH, bisiknya sebak. Hati Halim kian lembut. Kalau tak, tak mungkin suaminya itu mahu menjejak kaki ke bilik anak perempuan mereka.

Di sebalik daun pintu yang sedikit terkuak, Hakim mengintai. Dadanya sebak. Sayu hatinya mengenangkan ibu dan ayah. Hiba di relung jiwa tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Seperti mana ibu dan ayahnya, perasaan rindu terhadap Marissa Norhanis sudah tidak terbendung lagi.

Rasa marah dan kecewa dengan keputusan Marissa Norhanis tidak dapat mengatasi rasa kasih dan sayang yang melimpah ruah terhadap kakak yang pernah berkongsi uri yang sama. Dia rindukan hilai tawa Marissa Norhanis. Dia kemaruk untuk mengusik kakaknya. Dia rindu mahu melihat wajah manis Marissa Norhanis bertukar muncung sedepa setiap kali merajuk. Sungguh, dia benar-benar rindu akan setiap kenangan yang pernah mereka kongsi bersama selama 18 tahun berada di bawah teratak itu.

Biarpun rakan-rakannya mencemuh sikap Marissa Norhanis, dia tidak peduli. Biar seburuk mana pun di mata orang tentang Marissa Norhanis, Hakim yakin ada juga betulnya keputusan kakak itu meskipun cara dia bertindak agak tidak kena. Hakim memang faham akan pendirian Marissa Norhanis.

Mana mungkin Marissa Norhanis membiarkan dirinya menjadi barang murahan. Tidak sesekali tidak Marissa Norhanis senang-senang membiarkan seorang lelaki menyentuhnya. Hakim yakin tentang itu. Maka, lantaran cinta yang terlalu mendalam terhadap Zafran dan mahu menghalalkan ikatan suci, pernikahan merupakan jalan terbaik bagi Marissa Norhanis.

Bukan mahu membela Marissa Norhanis. Tetapi ada baiknya juga Marissa Norhanis bernikah. Dalam islam, ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan. Pertamanya, apabila masuk waktu dan azan dilaungkan, haruslah bersegera mengerjakan solat. Yang kedua, apabila berlaku kematian, haruslah dipercepatkan proses pengebumian.

Yang ketiga pula, apabila telah sampai jodoh, maka haruslah disegerakan akad nikahnya.

Hikmahnya, harus dipercepatkan proses nikah ialah demi menjaga kehormatan diri. Demi menjaga pasangan daripada terjerumus ke lorong maksiat. Juga untuk mengelakkan diri daripada berlakunya fitnah.

Bagi Hakim, dalam hidup ini, kekadang untuk mencapai satu matlamat, pengorbanan perlu menjadi pertaruhan. Ada kalanya untuk mendapatkan sesuatu kita perlu melepaskan apa yang kita miliki. Tetapi, sungguh tidak pernah terfikir Hakim yang Marissa Norhanis akan bertindak senekad ini.

“Kakak, Kim hanya mampu doakan yang kakak akan berbahagia dengan keputusan kakak.”

Hakim menatap jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul tiga pagi. Suara ngajian Raudah Maryam dan Halim kian berlagu syahdu, menyapa cuping telinga. Sebagai seorang anak, Hakim juga sangat memahami perasaan ibu dan ayahnya. Sebenci mana pun mereka terhadap Marissa Norhanis, satu hari nanti, perasaan itu akan bertukar rindu dan kasih jua.

Hanya masa akan menentukan segalanya. Hakim yakin tentang itu. Berserah sajalah kepada takdir ALLAH yang menentukan segalanya. Harapan Hakim juga, semoga satu hari nanti, Marissa Norhanis akan kembali ke rumah mereka. Besar impiannya untuk melihat keluarga mereka bersatu kembali. Air dicincang tak akan putus!

Suara ngajian ayahnya yang berlagu sendu kini tersekat-sekat. Halim seperti sudah tidak dapat meneruskan bacaan lagi. Dia teresak-esak sendiri. Raudah Maryah juga sudah terhenti bacaannya. Dia menggosok lembut belakang tubuh suaminya. Raudah Maryam cuba menenangkan perasaan Halim.

Seketika, mereka bercakap perlahan. Butir bicaranya tidak jelas di telinga Hakim. Percakapan Halim bercampur tangisan panjang. Kalau ikutkan hati, ingin saja Hakim memeluk tubuh kedua orang tuanya. Tetapi akalnya cepat-cepat memujuk agar dibiarkan saja insan-insan kesayangannya itu melepaskan perasaan sedih masing-masing tanpa kehadirannya. Mereka perlukan privasi untuk mencari ketenangan.

Kekadang, dalam hidup ini, ada waktu-waktunya kita perlu menangis kerana hidup bukan hanya untuk ketawa. Hidup ini juga sebenarnya penuh warna warni. Sesekali, warna-warna ceria tertumpah di atas kanvas lukisan. Sesekali juga, warna kelabu dan hitam tertumpah di situ. Segalanya demi mengimbangi sebuah lukisan hidup milik kita bernama manusia. Kita hanya manusia yang maha kerdil. TakdirNYA sudah tertulis untuk kita. Namun, mungkin sebuah doa bisa mengubah perjalanan takdir itu.

Kerana takdir ALLAH jua lah, seorang majistret bernama Halim yang tegas dan disegani ramai, menangis kesal kerana tindakan seorang anak yang sangat dikasihinya. Majistret Halim sudah menjatuhkan hukuman terhadap pesalah bernama Marissa Norhanis. Tetapi keegoan seorang ayah, akhirnya hancur ranap dek perasaan rindu yang menggunung terhadap anaknya itu.

Tanpa sedar, di dua pertiga malam itu, air mata bertitisan lebat di pipi Hakim. Segera disapunya biarpun perasaan sebak sudah tidak tertahan lagi. Diam-diam Hakim berjanji untuk mencari Marissa Norhanis dan memulihkan hubungan kekeluargaan mereka. Tapi, di manakah kau, kakak? Kenapa nombor telefon kakak dah tak aktif lagi? Dan kenapa kakak langsung tak balas email Kim? Kenapa kakak? Kenapa?

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.