Home Novel Keluarga AKU TURUT BAHAGIA ~ ASMAH HASHIM
MENAWARKAN DIRI ~ BAB 4

BAB 4

Ustazah Bariah terkejut dengan kedatangan Syifa' Umaira. Gadis manis itu jarang bertandang ke rumahnya. Mereka hanya bertemu di kelas atau pun di masjid. Syifa' Umaira gadis yang pendiam dan suka menyendiri. Dia mengenali Syifa' Umaira tetapi tidaklah serapat dia mengenali Jama'yah dan Azidah rakan sebilik Syifa' Umaira .

“Syifa' Umaira? Er!… silalah masuk,” pelawa Ustazah Bariah. Syifa' Umaira melemparkan senyuman dan melangkah masuk.

“Maaflah, datang tak beritahu ustazah,” kata Syifa' Umaira. Dia terus duduk di ruang tamu yang agak kecil itu. Mata syifa' Umaira liar memerhati, terjengah-jengah ke dalam bilik. Tercari-cari kelibat seseorang.

“Tak apa, rumah saya sentiasa terbuka untuk semua pelajar Malaysia,” kata Ustazah Bariah ramah. Matanya tidak terlepas memerhatikan Syifa' Umaira.

"Ustaz tak ada," kata Ustazah Bariah seperti tahu apa yang sedang dicari Syifa' Umaira.

“Kenapa ni? Resah semacam je,” usik Ustazah Bariah. Syifa' Umaira tersenyum lagi.

“Begini ustazah.” Syifa' Umaira diam semula. Ustazah Bariah duduk bersila di hadapan Syifa' Umaira. Apalah yang hendak disampaikan oleh gadis manis ini, detik hati kecil Ustazah Bariah.

“Cakap je lah, yang awak malu-malu kucing ni kenapa?” Ustazah Bariah menampar peha Syifa' Umaira. Dia tersenyum melihat gelagat Syifa' Umaira yang malu-malu ala itu. Syifa' Umaira tersengih. Buntu memikirkan ayat yang sesuai untuk menyampaikan hasrat hatinya.

“Saya… Saya nak tanya… betul ke Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon untuk dijadikan isteri keduanya?” Tanya Syifa' Umaira tergagap-gagap. Takut tersalah cakap dia juga yang malu nanti. Dahi Ustaza Bariah berkerut. Wajah Syifa' Umaira ditenung dalam-dalam.

“Mana awak dengar ni? Siapa cakap kat awak?” Ustazah Bariah terus bertanya.

“Bukan apa, tadi Jama'yah balik dari jumpa ustazah, kan? Dia yang bagi tahu.” Syifa' Umaira menundukkan kepala. Terasa malu pula apabila Ustazah Bariah memandang sinis padanya

“Cepatnya berita itu sampai kepada pelajar perempuan lain ya, awak percaya?” Ustazah Bariah ketawa. Giliran Syifa' Umaira pula mengerutkan dahi. Apa halnya pula, takkan salah berita yang dibawa oleh Jama'yah tadi, tidak mungkin mereka permainkan dia? Kalau salah berita yang disampaikan, malu besar dia nanti. Macam mana ini, kata hati kecil Syifa' Umaira. Dia mula resah. Merah padam mukanya menahan malu. Ustazah Bariah pula asyik tersenyum sahaja memandangnya. Sahlah dia dipermainkan, kata hatinya lagi. Sekejap Syifa' Umaira duduk antara dua sujud, sekejap bersila, sekejap bersimpuh. Ustazah Bariah memerhatikan sahaja tingkah laku gadis di hadapannya itu.

“Yang awak menggelabah semacam tu kenapa?” Ustazah Bariah ketawa lagi. Gelihatinya melihat gelagat Syifa' Umaira yang mula resah, serba salah pun ada.

“Kalau tak benar berita yang disampaikan kepada saya, saya minta maaflah. Menganggu ustazah je.” Syifa' Umaira sudah bersedia untuk bangun. Semakin galak Ustazah Bariah ketawa.

“Awak ni Mai, sudahlah susah nak jumpa saya. Bila ajak ke rumah selalu menolak. Hari ni tiba-tiba datang tanya soalan pada saya, betul ke Ustaz Amir Hudzaifa cari calon isteri? Lepas tu mengelabah macam kucing nak beranak, resah tak tentu pasal. Manalah saya tak ketawa,” kata Ustazah Bariah saja hendak mengusik Syifa' Umaira.

“Kalau tak betul, saya minta diri dululah.” Syifa' Umaira bingkas bangun. Ustazah Bariah menarik tangannya menyuruh dia duduk semula. Dia memandang wajah gadis manis kacukan melayu-arab itu. Memang cantik gadis yang berada di hadapannya. Ramai siswa yang terpikat dengan Syifa' Umaira. Cantik orangnya, secantik namanya. Ada beberapa pemuda masuk meminang tetapi semua pinangan itu ditolak oleh Syifa' Umaira. Suaminya bagaikan agen pencari jodoh di situ. Jika ada pemuda yang ingin menyunting mana-mana siswi mereka akan terus berjumpa dengan Ustaz Baharom, suaminya.

“Kenapa awak tanya soal itu pada saya? Awak berminat ke?” Soal Ustazah Bariah. Syifa' Umaira memandang wajah Ustazah Bariah yang sudah serius semula. Syifa' Umaira tersenyum. Ustazah Bariah turut tersenyum.

“Ustazah tak jawab pertanyaan saya tadi? Betul ke Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon isteri?” Tanya Syifa' Umaira semula. Ustazah Bariah mengerling sekilas pada Syifa' Umaira dan tersenyum manis.

“Betul? Tapi kenapa? Awak teringin nak jadi calon ke?”

“Itu sebab saya datang jumpa ustazah. Saya memang nak jadi calon,” lancar saja ayat itu keluar dari mulutnya. Ustazah Bariah terlopong mendengarnya. Biar betul anak dara ini, takkan sanggup nak jadi isteri ke dua?

“Awak jangan main-main Mai! takkan awak sanggup jadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa?” Ustazah Bariah seperti tidak percaya dengan pengakuan anak gadis di hadapannya ini. Syifa' Umaira tersengih. Dia menganggukkan kepala mengiyakan kata-kata Ustazah Bariah tadi.

“Ya, ALLAH… awak benar-benar sanggup ni?” Ustazah Bariah meminta kepastian. Semakin kuat anggukan Syifa' Umaira. Ustazah Bariah mendengus kasar, pelik sungguh anak gadis ini, pinangan lelaki bujang ditolak mentah-mentah, lelaki yang sudah beristeri pula yang dia mahu.

“Saya sanggup ustazah. Sebenarnya… dah lama saya simpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa.” Syifa' Umaira berterus-terang. Terkejut Ustazah Bariah mendengarnya. Macam tidak percaya pula gadis secantik Syifa' Umaira akan jatuh cinta dengan ustaznya sendiri. Walaupun tidak mengajar sepenuh masa di universiti tersebut, kehadiran Ustaz Amir Hudzaifa banyak membantu pelajar-pelajar di universiti itu menambah ilmu di dada. Dengan ketampanan Ustaz Amir Hudzaifa, kredibilitinya, ilmunya yang tinggi tidak mustahil ramai yang menyimpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa dalam diam. Syifa' Umaira adalah salah seorang dari mereka. Ustazah Bariah menggelengkan kepala. Gadis ini terlalu berani, detik hati kecil Ustazah Bariah.

“Awak tak boleh semudah itu menyatakan kesanggupan awak menjadi isteri kedua, Mai. Kenalah bertanya dulu dengan keluarga awak. Apa pula kata mereka nanti? Lagi pun awak masih belum habis belajar lagi, takkan nak kahwin?” Nasihat Ustazah Bariah.

“Hati dah suka ustazah, nak buat macam mana?” Syifa' Umaira mengeluh.

“Suka? Suka yang bagaimana, Mai?”

“Suka… sukalah… takkan ustazah tak faham?" Syifa' Umairah mencebik. Ustazah Bariah macam nak permainkan dia pula.

“Jatuh cinta?” teka Ustazah Bariah dan tersenyum.

“Iyalah!” jawab Syifa' Umaira sepatah. Dia menundukkan muka. Terasa tebal pipinya apabila menyuarakan perasaannya kepada Ustazah Bariah. Ustazah Bariah adalah isteri Ustaz Baharom yang menyambung pelajaran peringkat Master di Universiti tertua di dunia itu, Universiti Al-Azhar. Tempat yang menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dari Asia tenggara untuk mendalami bidang agama. Ustaz Baharom merupakan kenalan Ustaz Amir Hudzaifa dan juga anak murid yang tekun mendapatkan ilmu dari ustaz tersebut.

“Dalam diam awak menyimpan perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa? Dah lama ke jatuh hati?” usik Ustazah Bariah. Syifa' Umaira bermain-main dengan jari-jemarinya yang runcing itu. Ustazah Bariah tersenyum melihat tingkahlaku Syifa' Umaira yang pemalu itu. Malu seorang gadis. Namun berani menyuarakan hasrat hati.

“Ustazah janganlah mempersendakan saya… malu saya.” Syifa' Umaira tidak berani bertentang mata dengan Ustazah Bariah.

“Cuba awak pandang mata saya, berterus-terang dengan saya. Kenapa awak nak menjadi calon isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa. Takkan cinta je? Cinta saja tak cukup, Mai.” Ustazah Bariah meminta kepastian.

“Saya sayang beliau kerana keimanannya. Saya cintakan beliau kerana ilmunya tinggi. Saya kasihkan beliau kerana kebaikannya,” kata Syifa’ Umaira berterus-terang. Ustazah Bariah mengangkat kening. Terkejut dengan pengakuan gadis manis itu.

“Awak serius ni?” Ustazah Bariah meminta kepastian. Syifa’ Umaira mengangguk. Ustazah Bariah menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Biar betul budak ini. Tidak mungkin gadis ini sanggup menjadi isteri kedua. Syifa’ Umaira masih muda, cantik dan masih lagi belajar. Tidak terfikirkah dia akan masa depannya. Bukan salah menjadi isteri kedua, tetapi? Ahh! Kenapalah terlalu mengikut kata hati tanpa memikirkan akibat dari tindakannya itu.

“Mai, saya tidak melarang keinginan awak. Tapi baik awak bincang dulu dengan keluarga awak. Kalau mereka tak setuju, susah awak nanti. Apatah lagi bila hasrat awak ni saya dah sampaikan kepada Ustaz Amir Hudzaifa. Kalau dia dah setuju, keluarga awak pula tidak, macam mana?”

“Keluarga saya? Rasanya mereka tidak menjadi masalah. Lagi pun bukan saya berkahwin dengan orang sebarangan. Selama ini pun jika ada yang meminang, saya beritahu mereka. Mereka serahkan pada saya untuk buat keputusan. Belum pernah mereka mempersoalkan tindakan saya waktu saya menolak semua pinangan,” kata Syifa' Umaira semakin berani menyuarakan pendapatnya.

“Itu lelaki bujang trang tang tang! Ini suami orang, lain Mai. Situasi sama tapi tak serupa.” Ustazah Bariah masih lagi cuba menasihati Syifa' Umaira agar tidak membuat keputusan terburu-buru.

“Saya dah nekad ustazah, cinta saya terlalu mendalam pada Ustaz Amir Hudzaifa. Siang malam hanya wajah dia je yang terbayang di mata saya. Tolonglah ustazah, usahakan agar saya menjadi calon pilihan Ustaz Amir Hudzaifa,“ rayu Syifa' Umaira, hilang perasaan malu. Apa yang penting segala impiannya akan tercapai untuk berkahwin dengan orang yang dicintainya. Ustazah Bariah mengeluh. Nekad sungguh gadis manis ini. Kalau sudah jatuh cinta, segala-galanya indah. Sebab cinta manusia sanggup buat apa sahaja. Kerana cinta, manusia hilang rasa malu.

“Mai… saya pun tak tahu nak cakap apa lagi. Bukan mudah Mai, bagi seorang perempuan berkongsi kasih dengan perempuan lain. Awak perempuan, saya pun perempuan. Saya sendiri tak sanggup nak bermadu. Saya tak tahu nak kata apa. Saya macam tak percaya pula. Selama ini awak selalu menolak bila ada orang nak menyunting awak untuk dijadikan isteri. Mereka yang datang meminang bukan calang-calang orang. Iyalah nak kata apa lagikan? Mungkin mereka bukan jodoh awak? Tapi menjadi isteri nombor dua bukan perkara mudah. Hati dan perasaan kita mudah tercalar, perasaan iri hati, cemburu, pasti ada. Keikhlasan penting Mai dalam hidup berpoligami ini. Bukan cukup hanya kerana cinta dan sayang sahaja. Awak bukan setakat berkongsi suami tapi berkongsi segala-galanya. Saya rasa baik awak balik dulu. Buat istikharah. Cari jawapan yang pasti. Minta petunjuk ALLAH SWT.”

“Saya dah buat Istikharah, ustazah. Hanya wajah Ustaz Amir Hudzaifa sahaja yang terbayang di mata.” Syifa' Umaira tersenyum manis. Menggambarkan keinginannya terhadap Ustaz Amir Hudzaifa. Ustazah Bariah menggelengkan kepala. Berita baru sahaja disampaikan takkan sempat buat solat Istikharah? Biar betul budak ini, bisik hati kecil Ustazah Bariah.

“Saya dah fikir masak-masak ustazah. Inilah keputusan saya. Saya ingin menjadi calon isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa. Kalau boleh biarlah jadi ya,” kata Syifa' Umaira mengharap. Ustazah Bariah mengeluh. Tidak malunya. Ada senyum di hati. Ada risau di jiwa. Ustazah Bariah tidak terkata. Keputusan dibuat tanpa merujuk pada orang tua, buruk nanti akibatnya.

“Keluarga awak macam mana?”

“Tak apa, tahulah saya menguruskannya,” kata Syifa' Umaira penuh yakin.

“Kuliah awak bagaimana pula? Takkan nak belajar sekerat jalan, sayanglah.”

“Insya-ALLAH pasti ada jalan keluar yang terbaik buat saya,” kata Syifa' Umaira dengan penuh semangat. Ustazah Bariah mengeluh.

“Kalau awak dah beriya-iya hendak sangat, saya boleh kata apa. Beginilah, esok awak datang bawa gambar awak pada saya. Nanti saya akan sampaikan pada Ustaz Baharom. Dia yang menguruskan hal ini. Cuma, sambil-sambil tu fikir-fikirkanlah semula keputusan awak, ya! Saya tak nak awak kecewa di kemudian hari, Mai.” Ustazah Bariah terus memujuk agar Syifa' Umairah memikirkan keputusannya.

“Insya-Allah, ustazah. Esok saya akan hantar gambar saya. Terima kasih atas nasihat ustazah. Saya tahu apa yang saya lakukan.” Syifa Umaira tersenyum. Hatinya menari-nari riang. Perasaan hatinya yang selama ini dipendam dalam diam akhirnya terlahir juga. Semoga

dialah yang akan menjadi pilihan Ustaz Amir Hudzaifa. Biarlah dia yang menjadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa. Pertama atau kedua tidak menjadi soal yang penting dia akan hidup bersama dengan orang yang dicintainya.

“Semoga awak ada jodoh dengan Ustaz Amir Hudzaifa, Mai,” lembut suara Ustazah Bariah menuturkannya. Syifa' Umaira terlalu muda untuk mengetahui asam-garam kehidupan dalam rumah tangga. Hidup berdua suami- isteri pun banyak dugaan yang terpaksa ditempohi inikan pula berkongsi dengan perempuan lain. Ustazah Bariah bimbang. Takut Syifa' Umaira tidak mampu menghadapinya.

“Jazakumullah khair, ustazah. Saya minta diri dulu.” Syifa' Umaira bingkas bangun dan berjalan ke pintu, diikuti Ustazah Bariah. Mereka berhenti seketika di hadapan pintu. Syifa' Umaira menoleh memandang ke arah Ustazah Bariah. Mereka bersalaman dan berpelukan. Setelah mengucapkan salam, Syifa' Umaira pun berlalu dari rumah Ustazah Bariah. Hatinya berlagu riang. Impiannya untuk memiliki orang yang disayang akan tercapai tidak lama lagi. Dia melangkah dengan penuh yakin. Apa yang penting sekarang adalah berdoa semoga Ustaz Amir Hudzaifa adalah jodohnya. Dalam Islam sendiri ada garis panduan dalam memilih jodoh yang sesuai. Pilih kerana harta, kemulian, kecantikan dan agama. Pilihlah yang beragama kerana akan selamat hidup di dunia dan akhirat. Ustaz Amir Hudzaifa memiliki semua ciri-ciri tersebut. Syifa' Umaira yakin dia tidak tersalah pilih. Apa yang penting adalah keimanan dan ketakwaan Ustaz Amir Hudzaifa. Itulah kebahagian dunia dan akhirat apabila mempunyai seorang suami yang berilmu, beriman dan bertakwa. Syifa' Umaira tersenyum sendiri. Orang berilmu seperti Ustaz Amir Hudzaifa pasti boleh berlaku adil. Senyumlah hati, bernyanyi dan berlagu rianglah engkau. kekasih hati akan kau miliki, detik hati kecil Syifa' Umaira.

Ustazah Bariah memerhatikan sahaja langkah Syifa' Umaira dari tingkap rumahnya. Dia menggelengkan kepala. Siapa sangka ya, gadis secantik Syifa' Umaira akan jatuh cinta pada suami orang. Patutlah Syifa' Umaira sanggup menolak pinangan beberapa pemuda yang datang meminangnya, rupanya hatinya telah dimiliki dan orangnya pula jauh lebih baik dan bukan calang-calang orang. Ustazah Bariah tersenyum sendiri apabila memikirkan Syifa' Umaira. Pasti suaminya akan terkejut. Suaminya juga beriya-iya hendak menjodohkan Syifa' Umaira dengan adik bongsunya yang baru sahaja habis belajar dari Universiti di Jordan. Nampaknya tidak kesampaianlah hajat suaminya itu. Orang cantik pasti menjadi rebutan. Tidak mengapalah

masih ramai lagi pelajar-pelajar Malaysia yang boleh dijadikan calon untuk adik iparnya itu. Ustazah Bahriah mengeluh lagi. Biarlah Syifa' Umaira dengan pilihannya, jika itu yang dirasakan baik untuknya dan masa depannya. Dia bukan sesiapa pada Syifa' Umaira. Orang kalau sudah mabuk cinta, semuanya baik pada pandangan mata. Semoga jalan yang Syifa' Umaira pilih ini adalah yang terbaik untuknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.